Selasa, 19 November 2013

7 SEBAB KENAPA TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN


ARTIKEL DALAM MAJALAH AL ISLAM FEBRUARI 2012
-----------------------------------------------------------------------------------------
7 SEBAB KENAPA TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Perubatan tradisional dan komplementari (PTK) di Malaysia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 menunjukkan 56% rakyat Malaysia menggunakan PTK sebagai alternatif kepada perubatan moden. Manakala kajian oleh World Health Organisation (WHO) pula menunjukkan 80% daripada populasi negara membangun dan 65% populasi negara maju bergantung kepada PTK untuk perkhidmatan kesihatan mereka. Maka tidak hairanlah banyak pusat-pusat rawatan alternatif wujud ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Malangnya, dalam keghairahan menawarkan khidmat PTK ini, terdapat segelintir pengamal perubatan Islam menggunakan kaedah yang bertentangan syara’. Antaranya ialah menggunakan khidmat makhluk halus dari kalangan jin, sama ada sebagai khadam, pendamping atau sahabat dalam proses merawat pesakit. Mereka mendakwa, jin yang digunakan adalah jin Islam dan hukumnya harus. Dakwaan sebegini bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah boleh membawa kemudaratan yang lebih besar. Jika dikaji, ada 7 sebab utama kenapa Islam tidak membenarkan penganutnya menggunakan khidmat makhluk ini, khususnya dalam merawat penyakit.
Hujah Pertama: Kemudaratan yang Timbul Akibat Meminta Tolong Jin
Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang akibat yang akan menimpa mereka sekiranya meminta pertolongan dan perlindungan dari makhluk jin. FirmanNya dalam surah Al-Jin ayat 6:”Dan bahawa sesungguhnya ada beberapa orang dari manusia meminta perlindungan kepada ketua-ketua golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitab Al-bayān al-mubīn fi Akhbār al-jinni wa al-shayāṭin, halaman 58, jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan berasa bangga apabila diminta tolong dan mereka akan segera datang. Jin dan syaitan sangat mengetahui bahawa manusia itu lebih mulia dan lebih berkuasa dari mereka. Maka apabila manusia tunduk kepada jin dan meminta perlindungan dari mereka, ianya ibarat seorang raja yang melutut di kaki seorang hamba untuk meminta ditunaikan hajatnya.
Lebih menakutkan lagi ialah apabila Allah SWT memberi amaran bahawa azab neraka bakal menimpa orang-orang yang bersahabat dan meminta bantuan dari jin melalui firmanNya dalam surah Al-An’am ayat 128: ”Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah".
Hujah Kedua: Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak pernah meminta pertolongan jin
Dalam sirah Nabi Muhammad SAW dan sirah para sahabat Baginda, tidak ada satu riwayat pun yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah meminta pertolongan dari kalangan jin. Apatah lagi menggunakan jin bagi tujuan rawatan mahupun dalam kehidupan harian sebagai manusia biasa. Menurut Imam Al-Alusi dalam tafsirnya, jilid ke 19, halaman 83, terdapat 6 pertemuan antara jin dan Nabi SAW atas urusan dakwah dan penyampaian ilmu. Tiada langsung unsur meminta bantuan bagi urusan duniawi atau merawat pesakit. Hatta bagi menghadapi peperangan pun, Nabi SAW sendiri tidak pernah meminta bantuan dari malaikat, apatah lagi dari jin. Bala tentera malaikat turun membantu tentera Islam atas arahan Allah SWT, bukannya atas permintaan Nabi.
Hujah Ketiga: Melihat dan Menguasai jin adalah salah satu mukjizat khusus untuk para Nabi dan Rasul
Manusia biasa tidak mungkin boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al A’raf, ayat ke 27: “Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka”. Imam Syafi’i r.a., sebagaimana yang dipetik dalam Kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar al Asqalani, turut menegaskan bahawa sesiapa yang mendakwa dapat melihat jin nescaya terbatal penyaksiannya, kecuali dia seorang Nabi. Memang ada ulama’ yang mengatakan kemungkinan melihat jin itu ada, tetapi bukan dalam rupanya yang asal, sebaliknya dalam jelmaan seperti ular atau anjing. Keupayaan melihat dan menguasai jin merupakan satu keistimewaan dan juga mukjizat yang dikhususkan kepada para Nabi dan Rasul yang terpilih. Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan kebolehan menguasai jin dan syaitan. Kebolehan ini tidak diberikan kepada mana-mana manusia sesudah Baginda sebagaimana doa Baginda dalam surah Ar Shad ayat 35: ”Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorang juapun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemberi”.
Namun, kebolehan Nabi Sulaiman memerintah jin telah dijadikan dalil oleh syaitan untuk mengharuskan manusia lain untuk berbuat demikian. Maka, timbullah dakwaan dari para perawat kononnya mereka boleh menangkap, memenjara serta menyembelih jin. Bagi menolak dakwaan batil seperti ini, Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dalam kitab Shahihnya: “Satu ketika ketika Rasulullah hendak bersolat, tiba-tiba syaitan datang mengganggu Baginda. Lalu Baginda berjaya menangkapnya dan dicekik leher syaitan sehingga Baginda dapat merasa sejuk lelehan liurnya. Lalu Baginda bersabda: “Kalau bukan kerana aku teringat doa saudaraku Sulaiman (yang berdoa agar Allah tidak memberikan lagi kerajaan dan kebolehan menguasai jin atau syaitan kepada selainnya-rujuk ayat 35 surah Sad) pasti akan ku ikat syaitan itu pada tiang masjid supaya menjadi mainan kanak-kanak di Madinah.” Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW dikurniakan kebolehan untuk melihat, menangkap dan merantai jin. Akan tetapi, Baginda SAW menghormati doa dan permintaan Nabi Allah Sulaiman a.s. Justeru, sayugia kita sebagai umatnya turut mengikuti contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, perbuatan menangkap dan mengurung jin jelas bertentangan dengan sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Sekiranya orang yang mempunyai kebolehan tersebut bukannya seorang Nabi, berkemungkinan beliau melakukan istidraj (perkara luarbiasa yang terhasil melalui tipudaya syaitan) tanpa beliau sedari.
Hujah Keempat: Tipu daya jin sangat licik
Makhluk jin adalah makhluk yang penuh tipu daya dan helah. Jin-jin yang menjadi pengikut syaitan akan menggunakan pelbagai cara, sama ada halus atau kasar bagi tujuan menyesatkan manusia. Allah mengingatkan hal ini melalui firmanNya dalam surah Al A’raf, ayat 16-17: “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur.
Jika dilihat kepada sejarah, Nabi Sulaiman a.s., yang diberikan kebolehan untuk menguasai jin dan syaitan, juga pernah diperdaya oleh jin bernama Sokhel sehingga Baginda hilang kerajaan selama 40 hari 40 malam. Begitu juga dengan kisah Abu Hurairah r.a. yang telah ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga stor yang menempatkan kurma zakat. Stor tersebut telah diceroboh oleh makhluk jin selama 3 malam berturut-turut. Setiap kali ditangkap, jin tersebut mencipta pelbagai helah dan memberikan pelbagai janji palsu. Akhirnya apabila ditangkap kali ketiga, jin tersebut dapat juga meloloskan diri setelah mengajarkan Abu Hurairah satu ayat yang dapat menghalangnya dari memasuki stor tersebut. Kisah di atas diriwayatkan Imam Bukhari dalam Shahihnya, kitab Al-Wakalah, hadis no. 2311. Ini menunjukkan bahawa makhluk jin dan syaitan mempunyai seribu helah dan tipu daya yang licik serta seringkali menggunakannnya untuk memperbodohkan manusia. Kalau kita manusia biasa yang bukan bertaraf Nabi mahupun sahabat, sudah tentu lebih mudah untuk ditipunya.
Hujah Kelima: Hanya orang jahil bersahabat dengan jin
Para ulama-ulama turut melarang sebarang persahabatan dan perjanjian dengan makhluk jin dan menganggap itu adalah perbuatan orang jahil. Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir, bahawa bersahabat dan bersekutu dengan jin itu sangat keji. Beliau mengatakan: “Barangsiapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana menjadi tabiat jin untuk berlebih-lebih dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana tabiat orang fasik. Maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin, sepertimana dia perlu mengelak dari bersahabat dan bersekutu dengan manusia yang fasik.” Beliau menambah lagi : “Aku tidak pernah melihat seseorang yang bersahabat dengan jin itu mendapat kebaikan, kerana asal kejadian jin itu dari api dan api itu sangat banyak geraknya, maka perbuatan dan perkataan orang itu hanya berlebih-lebihan.”
Syeikh Muhyiddin Ibnu al-Arabi turut menegaskan perkara ini di dalam kitabnya al-Futuhat: “Adapun orang yang bersahabat dengan jin itu tiada beroleh ilmu Allah, kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya. Dan terkadang orang yang bersahabat dengan jin itu menyangka bahawa segala perkara (ghaib) yang dikhabarkan oleh jin itu itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka sangkaannya itu adalah batil”. Tambah beliau lagi: “Sesetengah yang telah terjawab bahawasanya banyak orang bersahabat dengan jin itu jadilah takabbur atas segala manusia itu dan barangsiapa takabbur dimurkai Allah Ta’ala akan dia dan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang tersebut dalam beberapa ayat Quran dan Hadis Nabi s.a.w.
Hujah Keenam: Jin tidak akan rela melakukan kerja-kerja khadam
Bagi mereka yang mendakwa jin yang digunakan adalah khadam yang dikuasainya, maka sesungguhnya orang tersebut telah tertipu dengan helah jin. Seorang khadam ialah orang yang patuh kepada perintah tuannya dalam setiap keadaan tanpa sebarang bantahan. Malangnya, jin yang kononnya menjadi khadam ini hanya membantu dalam perubatan sahaja. Selalunya dengan menampilkan perkara-perkara ajaib seperti memberitahu lokasi barang hilang, scan penyakit, mengubati pesakit dari jarak jauh, membongkar isi hati pesakit. Sekiranya khadam jin ini disuruh melakukan kerja-kerja harian sebagai khadam seperti membersih rumah, membasuh pakaian, memasak, menjaga anak, membeli barangan di pasar, membasuh kereta, nescaya mereka tidak akan melakukan. Bagi mereka, pekerjaan tersebut adalah suatu yang menghinakan. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Saba ayat 14: “Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan.” Ayat ini menunjukkan bahawa khidmat yang diberikan oleh makhluk jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman adalah dalam keadaan terpaksa. Apabila nabi Sulaiman wafat, mereka merasakan mereka baru terlepas dari perhambaan yang menyeksa lagi menghinakan. Jika suruhan Nabi sulaiman pun mereka buat dalam keadaan terpaksa, apa lagi suruhan manusia biasa. Tanpa disedari, manusia pula yang menjadi khadam kepada jin tersebut kerana menuruti segala kehendak dan syarat jin itu.
Hujah ketujuh: Bersahabat dengan jin adalah evolusi kepada upacara menurun
Penggunaan jin dalam rawatan adalah bentuk satu fotokopi kepada ’upacara menurun’ dalam bentuk moden. Kaedah ini sebenarnya sama sahaja dengan kaedah merawat menerusi resapan mahkluk tersebut ke dalam tubuh perawat seperti dalam upacara tok bageh, main putri, ulek mayang dan sebagainya. Apabila umat Islam telah menyedari kaedah resapan roh menyalahi ajaran Islam, maka syaitan memperkenalkan kaedah terbaru iaitu menggunakan jin sebagai sahabat. Melalui strategi baru ini, makhluk tersebut tidak lagi meresap masuk ke dalam tubuh perawat, sebaliknya mengilhamkan sesuatu melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib dari pandangan, serta pelbagai lagi perkara-perkara luar biasa. Kehebatan yang ditunjukkan ini menyebabkan orang di sekeliling menganggapnya sebagai wali yang keramat. Sebenarnya, kedudukan jin yang menyampaikan maklumat kepada pengamal melalui bisikan atau ilham ini adalah sama dengan kedudukan syaitan yang berusaha untuk menyesatkan manusia. Firman Allah dalam surah Al An’am ayat 112: ”Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu."
Oleh itu, para pembaca harus berhati-hati dan jangan tertipu dengan helah makhluk ini. Walaupun apa yang ditampilkan kelihatan sangat baik, kita tidak seharusnya menjadikan mereka sebagai sahabat. Jika difikirkan, manusia yang mempunyai jasad fizikal yang dapat dilihat secara kasar ini pun banyak melakukan penipuan, apatah lagi jin yang langsung tidak dapat dilihat. Bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa kepada permainan licik syaitan, maka umat Islam diseru menjauhkan diri dari bersahabat dengan makhluk ini. Allah SWT berfirman dalam surah Fathir ayat 6:“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
Cadangan penyelesaian
Bagi memastikan umat Islam tidak terus diperdayakan oleh makhluk jin, maka insititusi-institusi pentadbiran dan perundangan Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan agama Islam negeri (JAIN) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) perlu mengambil langkah bagi memberi kesedaran kepada pengamal rawatan alternatif Islam tentang tipu daya dalam dunia perubatan, sama ada melalui penganjuran kursus, seminar dan juga sebaran am. Ini kerana ada sebahagian perawat menyangka apa yang mereka amalkan tidak salah dan bertepatan dengan ajaran Islam.
Selain itu, dicadangkan juga agar sijil tauliah Amalan Perubatan Islam dijadikan sebagai syarat kepada pusat rawatan Islam yang ingin menjalankan rawatan Islam. Pensijilan ini adalah salah satu bentuk pemantauan oleh pihak berkuasa bagi memastikan ianya tidak menyeleweng dari syariat Islam. Ketiadaan pemantauan ini menyebabkan sesiapa sahaja boleh menjalankan rawatan dan mendakwa rawatannya adalah rawatan Islam. Melalui cara ini, kaedah yang digunakan oleh pusat rawatan tersebut akan dinilai dan ditelitikan sebelum sijil tauliah dikeluarkan. Hasilnya, masyarakat akan merasa lebih yakin dan secara tidak langsung dapat menyelamatkan akidah mereka. Sekiranya perubatan moden mensyaratkan para doktor untuk memiliki sijil amalan, maka peraturan-peraturan tersebut juga patut digunapakai kepada perawat-perawat alternatif. Dengan usaha ini, diharap taktik syaitan untuk memperdaya anak Adam melalui perubatan yang terseleweng dapat dipatahkan.
Catat Ulasan

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...