Jumaat, 17 April 2015

Meremeh Temehkan Dosa

Dipetik Dari Kolum Mahmudah , Majalah Solusi V
 
Barang siapa yang sangat menghormati Allah SWT, lalu bersegera melaksanakan semua 
perintahnya meskipun kecil, maka itu adalah tanda bahawa dirinya sangat terhormat 
di sisi Allah. Sebaliknya, barang siapa yang meremehkan hak-hak Allah dan tidak 
menghormatinya sama sekali, itu pertanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT.
Imam Ahmad dan Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dari Sayyidina Salman Al-Farisi ia 
berkata, “Seorang lelaki masuk syurga karena seekor lalat, dan seorang lelaki masuk
neraka juga karena seekor lalat.” Murid-muridnya bertanya, “Bagaimana itu terjadi?”
Ia lalu bercerita, “Dua orang lelaki berjalan melalui sebuah kaum yang penyembah 
berhala. Mereka tidak membiarkan sesiapa berlalu dari tempat itu sebelum 
mempersembahkan korban untuk berhala mereka. 
 
Kaum itu berkata kepada salah seorang dari keduanya, “Persembahkanlah sesuatu untuk
berhala.” Ia menjawab, “Aku tidak memiliki apa-apa.” Mereka berkata, “Persembahkanlah
walau seekor lalat.” Ia lalu mengorbankan seekor lalat kepada berhala dan mereka 
pun melepaskannya. Salman berkata, “Orang ini masuk Neraka.” Mereka berkata kepada
lelaki yang lain, “Persembahkanlah walau seekor lalat.” Ia menjawab, “Aku tidak

akan mempersembahkan apa-apa selain kepada Allah SWT.” Mereka lalu memenggal 
kepalanya. Salman berkata, “Orang ini masuk syurga.”
Selain itu Imam Al-Sya’rani bercerita: Seseorang bermimpi bertemu Imam Ghazali

setelah beliau wafat. Orang itu bertanya, “Bagaimana Allah memperlakukan terhadap

dirimu?” Dia menjawab, “Allah mengampunkan aku karena suatu hari aku membiarkan 
seekor lalat minum dari tinta yang sedang aku gunakan untuk menulis.”
Kisah yang dipaparkan ini mengajar kita sesuatu yang sangat penting, iaitu walaupun
perbuatan kecil yang dilakukan seseorang namun kadang-kadang memberikan impak yang 
sangat besar. Seekor lalat dapat menentukan nasib seseorang di akhirat: Apakah ia

akan masuk syurga atau neraka. 
 
Perintah Kecil
 
Segala sesuatu yang Rasulullah SAW perintahkan, sekecil apa pun perbuatan itu, 
mengandungi hikmah tertentu bagi diri dan masyarakat kita. Oleh sebab itu, seorang

pencinta kebaikan tidak pernah melihat kecil perbuatan baik yang dilakukannya.
 
Sebaliknya, perbuatan itu dilihat sebagai peluang besar untuk meninggikan darajat 
di dalam syurga dan mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda,
“Janganlah kau meremehkan perbuatan baik (ma’ruf) sekecil mana pun, walau hanya

tersenyum ketika berjumpa dengan saudaramu.” (HR Al-Bukhari).
Setiap tokoh besar dalam Islam tidak pernah melihat kecilnya sebuah perbuatan baik,
akan tetapi menyaksikan kebesaran Allah yang mencintai kebaikan tersebut. Sehingga 
semangatnya dalam kebaikan tidak lebih kecil daripada ketamakan seorang pencinta 
harta yang tak pernah ragu mengambil wang sekecil walaupun yang ditemuinya di tengah
jalan. Ia tidak melihat kecilnya nilai wang itu, akan tetapi ia selalu membayangkan
peningkatan kekayaannya karena wang tersebut.
Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata, “Barang siapa 
yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka periksalah kedudukan Allah 
di sisinya.” (HR Ibn Al-Mubarak pada kitab Al-Zuhd). Ertinya, barang siapa yang 
sangat menghormati Allah SWT, lalu bersegera melaksanakan semua perintahnya 
meskipun kecil, maka itu pertanda bahawa dirinya sangat terhormat di sisi Allah.
Sebaliknya, barang siapa yang meremehkan hak-hak Allah dan tidak menghormatinya 
sama sekali, itu pertanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT.
Dua rakaat solat sunnah yang sangat ringan dan tidak mengambil banyak masa, namun 
impak positifnya sangat besar di akhirat kelak. Imam Ibnu Al-Mubarak dalam kitab 
Al-Zuhd meriwayatkan dari Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang melalui di
sebuah kubur yang baru dikebumikan jenazah. Baginda bersabda, “Dua rakaat singkat 
yang kalian anggap remeh namun boleh menambahkan pahala orang ini kerana lebih dia

sukai daripada seisi dunia.” 
Menyedari hal ini, ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash sewaktu melewati sebuah 
perkuburan, beliau segera melakukan solat dua rakaat. Seseorang bertanya kepadanya,
“Ini sesuatu yang belum pernah anda lakukan sebelumnya.” Dia berkata, “Aku 
membayangkan ahli kubur dan amal perbuatan yang tidak akan dapat mereka lakukan 
lagi. Maka aku ingin lebih mendekatkan diriku kepada Allah dengan dua rakaat tadi.” 
 
Mengeluarkan sampah yang terletak di lantai masjid sangat ringan, namun bernilai 
tinggi di sisi Allah. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Buraidah Al-Aslami 
bahawa Rasulullah SAW melihat sebuah kubur yang baru ditimbus. Lalu baginda 
bertanya, “Kubur siapa ini?” Abu Bakar menjawab, “Ini kubur Ummi Mihjan, seorang 
wanita yang sangat suka memungut serpihan sampah di masjid.” Nabi bersabda, 
“Mengapa kalian tidak memberitahuku (tentang kematiannya)?” Abu Bakar menjawab, 
“Waktu itu anda sedang tidur. Kami tidak ingin mengganggu anda.” Nabi bersabda, 
Jangan lakukan seperti itu lagi. Sesungguhnya solatku bagi jenazah akan menjadi 
cahaya di dalam kuburnya.” Baginda terus mengatur barisan sahabatnya dan melakukan 
solat ghaib untuk wanita itu.
 
Membuang sampah di masjid ini sangat diambil berat oleh ahli hadis terutama Imam 
Muhammad bin Ismail Al-Bukhari (w.256 H). Pada sebuah majlis di sebuah masjid, 
Imam Al-Bukhari melihat seseorang mengasah penselnya. Potongan kecil pensel yang 
terjatuh di atas lantai itu dibiarkan begitu saja. Imam Ahli hadis ini hanya diam 
dan tidak melakukan apa-apa. Sebenarnya, beliau boleh menegur orang tersebut atau 
memerintahkan pegawai masjid untuk membersihkan lantai itu. Namun ahli hadis ini 
memilih untuk diam sebab beliau ingin mendapat ganjaran sunah untuk mengeluarkan 
kotoran dari masjid. Setelah semua orang pergi meninggalkan masjid, Imam Al-Bukhari
segera mengambil potongan pensel itu dengan tangannya lalu membuangnya keluar. 
 
Begitu juga mendoakan orang yang bersin sangat ringan, namun besar nilainya di sisi
Allah terutama ketika sunnah ini telah ditinggalkan oleh kebanyakan orang. Imam Abu
Daud Sulaiman bin Asy’ats Al-Sujistani (w.275 H), penulis kitab “Sunan”, suatu hari
berada di pinggir sebuah sungai. Tiba-tiba beliau mendengar seseorang dari seberang
sungai itu bersin. Dia segera mendapatkan sebuah sampan untuk menyeberangi sungai
itu bagi menemui orang tersebut. Dia berkata, “Apa yang kamu ucapkan ketika bersin?” 
Orang itu menjawab, “Aku ucapkan: Alhamdulillah.” Imam Abu Daud segera berkata, “Yarhamkallah 
(semoga Allah merahmatimu).” Setelah itu dia kembali ke tempatnya semula.
Membantu orang lain yang memerlukan walau dengan kata-kata dan nasihat yang baik 
akan ditulis sebagai sedekah yang sangat berharga. Imam Jalaluddin Al-Mahalli, 
seorang ahli fiqah Mazhab Al-Syafii yang terkenal di Mesir, pernah berkata, “Tidak 
ada seorang ulama pun yang setelah meninggal dunia lalu dilihat dalam mimpi 
memberitahu bahawa Allah mengampuninya karena ilmu yang ia miliki. (Kalaupun ada), 
mungkin sangat sedikit saja. Tetapi kebanyakan mereka berkata, ‘Allah mengampuni 
dosaku karena membantu hajat seseorang.’ Oleh sebab itu, aku berharap Allah 
mengampuniku dengan sebab hal ini.”
Bahkan memberi makan binatang yang sedang kelaparan dan kehausan sekalipun sangat 
bernilai di sisi Allah. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang menceritakan 
bahawa Allah pernah mengampuni dosa seorang pelacur karena ia memberi minum seekor 
anjing yang kehausan.
Sebenarnya, sunnah besar yang kita mimpikan dapat terwujud di negeri kita hanya 
apabila kita dapat membiasakan diri melakukan sunnah kecil terlebih dahulu. Apabila
sunnah kecil itu telah menjadi sebahagian daripada hidup kita, sunnah besar akan 
menyusul dengan segera menjadi sebahagian daripada masyarakat kita. 
Larangan Kecil
Walau bagaimanapun sebalik daripada sikap di atas, kita sebenarnya tidak boleh 
meremehkan larangan Allah meski sekecil apa pun. Sebab dosa ibarat racun berbahaya
yang dapat membinasakan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Seseorang yang 
berakal dan mencintai hidupnya tidak akan mencuba-cuba untuk meminum racun meski 
hanya setitik sebab kesannya boleh jadi sangat besar. 
Imam Al-Nasai dan Ibn Hibban meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Seseorang itu
kadang-kadang tidak mendapatkan rezeki akibat dosa yang dilakukan.” Imam 
Al-Thabarani meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud dia berkata, “Saya yakin bahawa 
seseorang dapat melupakan ilmu yang telah dipelajarinya akibat dosa yang 
dilakukannya.” 
Rasulullah SAW memberitahukan bahawa dosa kecil yang dilakukan terus menerus dapat
membawa ke neraka. Ibn Al-Mubarak meriwayatkan dari Ibn Mas’ud ia berkata, 
“Jauhilah dosa-dosa yang dianggap ringan, sebab dosa-dosa itu akan menebal dan 
seterusnya membinasakan pelakunya. 
Oleh sebab itu jangan remehkan satu kalimat yang kita ucapkan sebab kalimat tersebut
kadang membawa kita kepada kebinasaan. Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan 
daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sering kali sebuah kata yang
diucapkan seseorang dapat membuatnya melayang-layang di Neraka tujuh puluh tahun.” 
Berdasarkan pengalaman hidup kita, terdapat kes menunjukkan betapa banyak 
kerenggangan hubungan seseorang dengan temannya, anaknya, isterinya bahkan orang 
tuanya akibat satu kalimat yang terlepas diucapkan.
Seorang bapak atau ibu kadang mencintai salah satu anaknya melebihi yang lain. 
Mereka menganggap ringan perlakuan tersebut padahal agama kita menilainya sebagai 
sebuah kezaliman. Anas bin Malik bercerita: Suatu hari ketika seorang lelaki duduk 
bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba anak lelakinya datang. Orang itu segera mengambil
anak itu, lalu menciumnya dan mendudukannya di pangkuan. Tidak lama kemudian, 
datang anak perempuannya. Orang itu segera mengambilnya lalu mendudukkannya di 
samping tempat duduknya. Melihat hal itu, Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak adil
kepada anakmu ini.” (HR Al-Baihaqi)
Sebahagian besar masyarakat kita, termasuk orang yang bekerja sebagai guru agama, 
sering kali meringankan bentuk pergaulannya dengan kaum bukan sejenis. Sehingga 
sering terjadi khalwat yang diharamkan dengan alasan memberi kaunseling agama, 
meminta fatwa, atau belajar mengaji. Rasulullah SAW selalu memperingatkan bahawa 
berdua-duaan dengan kaum bukan sejenis merupakan mainan syaitan untuk merosakkan 
keimanan seseorang. Larangan ini berlaku umum untuk semua orang; tidak peduli usia 
atau ilmu seseorang. Barang siapa merasa bahawa mereka tidak diliputi oleh larangan
ini dengan alasan apa pun, hal itu hanya menunjukkan kejahilannya terhadap syariat 
agama Islam.
Sayidina Ubadah bin Shamit, seorang sahabat Nabi SAW yang tinggi ilmunya berkata 
tentang dirinya, “Tidakkah kamu melihat bahawa aku selalu berjalan sambil dipapah,
dan hanya memakan makanan yang telah dilembutkan oleh kawanku – maksudnya: 
kemaluannya telah mati sejak lama. Namun aku tetap tidak suka berkhalwat dengan 
seorang perempuan yang tidak halal bagiku, meski dibayar dengan seisi dunia. Sebab 
aku khawatir suatu saat syaitan datang lalu menggerakkannya kembali.” Inilah sikap
seorang mukmin sejati yang memahami agamanya dengan mendalam.
Akhir kata, dosa sekecil sebanyak mana pun adalah pintu masuk syaitan ke dalam hati
manusia. Terserahlah kepada kita apakah akan membiarkan pintu itu terbuka selalu 
atau segera menutupnya rapat-rapat. Ingatlah, seekor lalat dapat memasukkan 
seseorang ke dalam neraka. 
 
Wallahu a’lam.
Catat Ulasan

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...