Sabtu, 23 Mei 2015

BAYI KECIL ITU BERKATA-KATA

Hari itu, seperti kebiasaan Mashitah menjalankan rutinnya. Rambut anak gadis Firaun
disisir rapi. Perlahan-lahan dan lemah lembut perlakuannya selayak seorang penyisir
rambut istana. Sudah bertahun-tahun Mashitah bekerja di istana Firaun. Cuma bezanya
kini, hati Mashitah sudah diisi cahaya. Sinar iman dan hidayah sudah menyelubungi 
jiwanya. Kudratnya saja yang bekerja di istana Firaun, tetapi hati dan akidahnya 
terikat dengan ajaran Musa as.
 
“Allah!”kalimah itu terkeluar dari mulut Mashitah sebaik saja sikat yang dipegang 
terjatuh. Anak gadis Firaun turut mendengar kalimah itu. Serasa pernah didengar 
tetapi dia tidak ingat di mana. Mashitah lantas menekup mulutnya. Hatinya berdebar
tidak keruan. Bagaimana dia boleh terlepas cakap. Selama ini rahsia dia memeluk 
Islam dipendam sebaik mungkin. Semua tahu, Firaun memang akan menzalimi dan 
menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang menerima ajaran Musa ketika itu. 
 
“Mashitah, boleh kau ulang semula kalimah tadi?”Puteri Firaun meminta kepastian.
“Tiada apa-apa tuan puteri,” Mashitah menjawab ringkas. Segera disisirnya rambut 
puteri itu. Selesai saja tugasnya, Mashitah terus bergegas pergi. Langkahnya 
diekori dengan pandangan curiga puteri Firaun. 
 
“Nantilah, akanku laporkan pada ayahanda Firaun,”desis puteri itu.
Sememangnya tidak lama untuk menanti. Esoknya, berita pengislaman Mashitah sudah 
sampai ke telinga Firaun. Kemarahan Firaun kali ini benar-benar tercabar. Masakan 
dia begitu cuai sehingga pembantu istananya sendiri tega belot kepadanya yang 
mengaku sebagai tuhan.
 
Agenda jahat Firaun terus berkuasa. Dikerahnya pengawal memasak air panas di dalam 
sebuah kawah besar. Jika benar Mashitah mengengkarinya, hukuman berat pasti 
menantinya.
 
Lantas Mashitah dan keluarganya ditangkap. Suami dan dua orang anaknya termasuk 
seorang yang masih bayi dijadikan tawanan. Firaun bertanya dengan bongkak.
 
“Mashitah, siapakah tuhanmu?”
 
Mashitah menjawab “Tuhanku adalah Allah SWT”.
 
Sejurus itu, pengawal menolak suaminya ke dalam air panas. Tersentap hati Mashitah 
melihat suaminya yang meronta di rebus hidup-hidup. Firaun bertanya lagi soalan yang
sama namun Mashitah masih memberi jawapan yang sama. Kali ini, anaknya yang sulung 
pula ditolak ke dalam kawah.  Tersayat hatinya melihat darah daging sendiri lebur 
di dalam air menggelegak. 
 
Kali ketiga, Firaun bertanya lagi soalan yang sama. Pengawal pula sudah siap 
mengangkat bayinya yang masih merah itu untuk dicampak ke dalam kawah. Kala itu, 
naluri keibuan Mashitah benar-benar teruji. Tidak sampai hatinya mengenang anak 
kecil itu menanggung penderitaan direbus hidup-hidup. Dengan air mata yang berlinang,
hati Mashitah mula berbelah bahagi. 
“Tidak mungkin aku mengaku Firaun sebagai Tuhan, dan bagaimana pula aku tega 
membiarkan tubuh bayiku dimamah air panas, Ya Allah, kuatkan imanku,” Mashitah 
merintih sedih.
 
Di saat-saat getir itu, Allah menunjukkan kebesarannya. Bayi kecil Mashitah pun 
berkata-kata. “Ibu, usah bimbang, usah takut, kita berada di jalan benar. Syurga 
sedang menanti kita.”
 
Suara bayi kecil itu meruntun hati Mashitah. Demi Allah, imannya kian bertambah 
tatkala melihat kebesaran Tuhan. Mashitah merebut bayi kecil itu dari tangan 
pengawal. Lantas dia terjun bersama bayinya ke dalam air menggelegak. Hanya Allah 
mengetahui, betapa besar pengorbanan Mashitah. Demi mempertahankan iman, bukan saja
tubuhnya, malahan orang-orang kesayangannya turut terkorban. Syahidlah keluarga 
Mashitah dan terbukalah pintu syurga buat mereka. 
 
Diriwayatkan juga dalam perjalanan Israk Mikraj, Rasulullah tercium bau yang sangat
harum. Tidak pernah tercium bau semerbak itu dalam hidupnya.  
 
“Bau apakah ini?”tanya baginda.
“Inilah bau dari kubur Mashitah, salah seorang penghuni syurga yang tinggi darjatnya,”
jelas Malaikat Jibril.
Catat Ulasan

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...