Selasa, 8 September 2015

Pantun Belajar Siri 1

1.    Cuka-cuka beli di Bandar
Simpan makan dalam perahu
Suka-suka mahu belajar
Tidak belajar mana kan tahu

2.    Hiris rojak hantar ke surau
Hendak menjamu Datuk Penghulu
Gadis bijak orang tak hirau
Ilmu di dapur laksana dulu

3.    Berburu ke padang datar
Dapat rusa bergelang kaki
Berguru kepalang ajar
Macam bunga kembang tak jadi

4.    Pergi memburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Kalau berguru kepalang ajar
Seperti bunga kembang tak jadi

5.    Keris kecil menikam ular
Keris besar menikam singa
Dari kecil tak hendak belajar
Sudah besar tertanya-tanya

6.    Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suruh makan dia makan
Suruh mengaji dia tak tahu

7.    Tanam di hulu pohon rambutan
Sayang durian tidak berbunga
Sesal dahulu pendapatan
Sesal kemudian tidak berguna

8.    Anak Cina pergi memburu
Buruan dapat dibawa balik
Hidup di dunia mesti berguru
Agar dapat ilmu yang baik

9.    Bawa senapang dengan peluru
Masuk ke hutan hendak berburu
Ilmu kau tuntut semalam lalu
Jangan kau cuba melawan guru

10.    Turun ke laut janganlah jemu
Walau mendapat si ikan parang
Jika hidup tidak berilmu
Memang hina dipandang orang

Isnin, 7 September 2015

Pantun Jamuan

1.    Tikar pucuk tikar mengkuang
Alas nikah Raja Melayu
Ikan busuk jangan dibuang
Buat perencah si daun kayu

2.    Bagus rupanya bunga melor
Putih rupanya bunga pinang
Berukir bertangkai perak
Permainan Raja Perempuan

Pahar, cerek sudah teratur
    Cawan, mangkok sudah terhidang
    Penganan mulia sudah terletak
    Samalah duduk kita makan.

3.    Banyak tumbuh pohon di sini
Encik Anjang orang berbudi
Silalah makan hidangan ini
Mana yang kurang jangan dikeji

4.    Jatuh upih jatuh seludang
Jatuh mari di laman kami
Nasi putih lauk udang
Mari makan bersama kami

5.    Tabu liat tabu kapor
Sama tengah pokok keladi
Apa dibuat orang di dapur
Kalau dah masak hidang ke mari

6.    Ubi kentang si ubi temu
Di bawah pokok jambu mawar
Orang kenyang kalau dijamu
Lauk sedap dikatakan tawar

7.    Anak Batak pandai menari
Anak Rama pandai melata
Kalau dah masak angkat ke mari
Sama-sama kita merasa

8.    Pokok kelapa disuruh panjat
Kelapa muda idaman mentua
Doa diminta disampaikan hajat
Hidangan tersedia disudikan jua

Ahad, 6 September 2015

Pantun Perkenalan Siri 4

31.    Turun ke laut hingga ke petang
Sotong dicandat dapat sembilang
Saya ucapkan selamat datang
Ke Negeri Beradat Negeri Sembilan

32.    Kalau tuan turun ke ladang
Jangan lupa memetik cengkih
Kami ucapkan selamat datang
Ke Tanah Beradat Negeri Perpatih

33.    Buah langsat di tepi busut
Mari dimuat di dalam peti
Besar hajat hendak menjemput
Besar niat di dalam hati

34.    Tepung tawar buat merenjis
Batang jerami di atas para
Tuan hadir memeriahkan majlis
Izinkan kami mulakan acara

35.    Dari mana mudik ke hulu
Sambil menyanyi mendayung sampan
Belum bersuara tersenyum dulu
Menambah seri wajahmu tuan

36.    Turun ke laut mengail gelama
Dapat siakap dan cencaru
Hajat hati sudahlah lama
Hendak dicakap terasa malu

37.    Dua tiga burung kenari
Manakan sama si burung helang
Dua tiga boleh dicari
Manakan sama tuan seorang

38.    Tanam selasih di tepi kali
Diikat selonggok batang jerami
Terima kasih berulang kali
Sudi menjemput kami ke sini

39.    Rambut hitam berkilat-kilat
Jatuh ke bantal berlipat-lipat
Tuan laksana air yang lebat
Minum sedikit menjadi ubat

Sabtu, 5 September 2015

Pantun Perkenalan Siri 3

21.    Dari pauh angkat permatang
Singgah beli timba baldi
Dari jauh tuan datang
Dengar khabar baik budi

22.    Kacang kelisa tumbuh di dusun
Tumbuh sepohon di pangkal batang
Kami menyambut bersusun-susun
Kerana meraikan tuan datang

23.    Sayang manggis belah pun manggis
Belah mari kulit isinya
Duduk manis berdiri pun manis
Manis dengan hati budinya

24.    Anak kerbau mati tertambat
Mati tertambat di pohon bunga
Baru sekarang saya mendapat
Mendapat tuan bijak laksana

25.    Dari Melaka pergi ke Pahang
Singgah di Johor beli berangan
Saya mengucap selamat datang
Jikalau salah dikeji jangan

26.    Mengetam padi dalam jerami
Angkut-angkut dalam almari
Kerana sudi akan kami
Kerana dijemput datang ke mari

27.    Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

28.    Manis rasanya si gula nira
Buat hidangan makan petang
Gembiranya hati tidak terkira
Melihat tuan sudah pulang

29.    Nampak api di  Bukit Rahmat
Nyala semarak hingga ke pagi
Harap hati kepada Yang Berhormat
Tidak Yang Berhormat siapa lagi

30.    Harum baunya si bunga tanjung
Harum semerbak melintasi gunung
Yang Amat Berhormat umpama payung
Tempat kami tumpang berlindung

Jumaat, 4 September 2015

Pantun Perkenalan Siri 2

11.    Pokok pauh tepi permatang
Pokok pandan di birai perigi
Dari jauh hamba nan datang
Mendengar tuan yang baik budi

12.    Pokok pauh di tanah seberang
Benih berasal dari kampong
Dari jauh kami nan datang
Besar harapan setinggi gunung

13.    Pokok terap tumbuh di bukit
Buahnya lisut dimakan kera
Harap di hati bukannya sedikit
Sebanyak rambut atas kepala

14.    Putik pauh dari Permatang
Sayang selasih dalam puan
Lagi jauh kami datang
Kerana kasih kepada mu tuan

15.    Temirang baru perahu pun baru
Baru sekali masuk Melaka
Tuan baru, saya pun baru
Baru sekali bertentang mata

16.    Buah rambutan setangkai ranum
Mari dimakan bulan puasa
Tuan tertawa saya tersenyum
Hendak ditegur belum biasa

17.    Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di pohon dedap
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah saya mohon bercakap

18.    Ledang-ledang buah keledang
Jatuh sebiji di rumpun buluh
Tuan ibarat si pohon rendang
Hujan dan panas tempat berteduh

19.    Asah kapak tajam beliung
Tebang mari kayu berduri
Tuan umpama kemuncak payung
Kami di bawah berteduh diri

20.    Bintang-bintang terbit pagi
Diselaput oleh awan putih
Tuan sudi sampai ke mari
Saya memberi terima kasih

Khamis, 3 September 2015

Pantun Perkenalan Siri 1

1.    Samarinda tenunan suri
Bunga dedap di dalam puan
Maka pun abang datang ke mari
Hendak mengadap adikku puan

2.    Dari mana punai melayang
Dari paya turun ke padi
Dari mana datangnya sayang
Dari mata turun ke hati

3.    Dua tiga kucing berlari
Mana nak sama si kucing belang
Dua tiga boleh ku cari
Mana nak sama abang seorang

4.    Dari Johor ke Mejapahit
Singgah mari di Pulau Bentan
Sudah mahsyur nama yang baik
Tambah pula bertuah badan

5.    Dari pauh permatang layang
Singgah berapat papan kemudi
Dari jauh abang datang
Mengenang adik baik hati

6.    Haluan sarat banyak muatan
Nampak cahaya batu karang
Tuan ibarat permata intan
Di mana tercampak di situ terang

7.    Anak cina pergi ke hutan
Ambil terap dengan getahnya
Tuan umpama permata intan
Saya nak tumpang kilat cahayanya

8.    Asap api di Tanjung Tuan
Nampak dari Tanjung Jati
Harap hati kepada tuan
Tidak tuan siapa lagi

9.    Banyak itik anak itik
Turun ke sawah makan padi
Tengok cantik dipandang cantik
Tambah pula berhati budi

10.    Orang singgah di Kuala Daik
Beli durian dalam perahu
Jikalau sudah emas yang baik
Tak payah diuji orang pun tahu

Rabu, 2 September 2015

Pantun Perpisahan Siri 4

31.    Buah pauh delima nilam
Anak sembilang di tapak tangan
Walau pun jauh di Negeri Sembilan
Jauh di mata di hati jangan

32.    Sarang lebah di pohon buluh
Tebang sebatang dibuat galah
Datang bersembah jari sepuluh
Mohon ampun silap dan salah

33.    Tanam di dusun serumpun buluh
Buluh diracik perangkap ikan
Datang meyusun jari sepuluh
Salah silap mohon dimaafkan

34.    Damai nian suasana kampong
Ramai petani turun membajak
Menanam ubi dibuat tapai
      Sudah sekah tempat bergantung
      Telah patah tempat berpijak
      Di manakah tangan hendak mengapai   

35.    Cincin emas permatai baiduri
Manis gadis pakai di jari
Kerana hari sudah pun tinggi
Mohon saya mengundur diri

36.    Banyak kelok ke penarik
Kelok tumbuh pohon kuini
Nan elok dibawa balik
Nan buruk tinggalkan di sini

37.    Baik-baik menebang jati
Biar serpih tumbang jangan
Baik-baik mencari ganti
Biar telebih terkurang jangan

Selasa, 1 September 2015

Pantun Perpisahan Siri 3

21.    Lipat kain lipat baju
Taruh mari di atas puan
Sekiranya air menjadi batu
Barulah saya lupakan tuan

22.    Tembilang tepi batangi
Tembilang elok tumpuknya
Kok yang hilang boleh diganti
Nan hilang elok lagi bangsanya

23.    Cincin emas permata nilam
Manis sungguh pakai di jari
Kerana hari dah larut malam
Mohon izin mengundur diri

24.    Dari jauh nampak kelabu
Nampak ke Gunung Jerai
Malam ini kita bertemu
Malam esok kita bercerai

25.    Besar sedulang sarang tebuan
Disengat bengkak berhari-hari
Nak pulang pulanglah tuan
Ingat-ingat datanglah ke mari

26.    Dua tiga kelapa bali
Papan di Jawa saya tarikkan
Dua tiga boleh dicari
Tidak sama semacam tuan

27.    Janganlah kesal berhari-hari
Bertimbun turun ke mata
Barang salah menyusun jari
Junjung dengan tutur kata

28.    Sayang selasih ditumpah minyak
Bunga padi dengan jerami
Terima kasih banyak-banyak
Kerana sudi bersama kami

29.    Lari-lari kucing berlari
Sambil mengejar burung kenari
Sebelum tuan mengundur diri
Salam hormat kami sudahi

30.    Jangat-jangat batang padi
Batang padi tepi perigi
Ingat-ingat akan kami
Kalau rindu datanglah lagi

Isnin, 31 Ogos 2015

Pantun Perpisahan Siri 2

11.    Ubor-ubor sampingan dua
Tanam melati bersusun padat
Satu kubur kita berdua
Kalau boleh bersusun jasad

12.    Tanam melati bersusun padat
Tanam padi satu persatu
Kalau boleh bersusun jasad
Daging hancur menjadi satu

13.    Kapal berlayar sarat muatan
Nelayan di laut sedang memukat
Biar jauh seberang lautan
Kerana budi terasa dekat

14.    Malam ini merendang jagong
Siang besok menumbuk serai
Malam ini kita berkampong
Siang besok kita bercerai

15.    Orang mengail di Lubuk Batu
Dapat seekor ikan gelama
Hilang satu berganti satu
Manakan sama orang lama

16.    Menuai padi di bulan puasa
Ambil daun buatkan alas
Dalam hati gelisah rasa
Budi bertimbun tak terbalas

17.    Permata jatuh di atas rumput
Jatuh ke rumput berbilang-bilang
Kalau di mata boleh luput
Dalam hati masakan hilang

18.    Pokok sena dahan sena
Sulur menyulur di tepi perigi
Tahun mana musim yang mana
Harap kita berjumpa lagi 

19.    Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Tahun mana bulan mana
Boleh kita berjumpa lagi

20.    Kiri jalan kanan pun jalan
Sama tengah pohon mengkudu
Kirim jangan pesan pun jangan
Sama-sama menanggong rindu

Ahad, 30 Ogos 2015

Pantun Perpisahan Siri 1

1.    Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Walau pun jauh beribu batu
Hilang di mata di hati jangan

2.    Hari ini bertanam jagong
Hari esok bertanam serai
Hari ini kita berkampong
Hari esok kita bercerai

3.    Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur panjang
Boleh kita berjumpa lagi

4.    Kalau ada kaca yang pecah
Jangan disimpan di dalam peti
Kalau ada kata yang salah
Jangan disimpan di dalam hati

5.    Pecah cangkir berganti pinggan
Emas urai dalam geleta
Sejak abang adik tinggalkan
Gila berurai si air mata

6.    Asam pauh dari seberang
Tumbohnya dekat tepi tebat
Badan jauh dirantau orang
Sakit siapa akan mengubat

7.    Elok rupanya kumbang jati
Dibawa itek pulang petang
Tidak terkata besarnya hati
Melihat tuan sudah pulang

8.    Arak-arak kelapa puan
Tidak puan kelapa bali
Harap-harap kepada tuan
Tidak tuan siapa lagi

9.    Kalau tuan pergi ke pekan
Yu beli, belanak beli
Ikan parang beli dahulu
   
Kalau tuan pergi berjalan
    Ibu cari sanak pun cari
    Indok semang cari dahulu

10.    Tanam melati di tepi huma
Ubor-ubor sampingan dua
Kalau mati kita bersama
Satu kubur kita berdua

Sabtu, 29 Ogos 2015

PERBUALAN SEORANG BAYI SEBELUM KELAHIRANNYA

Baca dan hayati kisah di bawah ini. Fahami mesej yang cuba disampaikan. Dan paling penting, amalkan ilmu yang anda dapat.


Adalah dikisahkan….pada ketika seorang bayi akan dilahirkan ke dunia nyata.
  •  Bayi  itu bertanya kepada Tuhan : “Para malaikat di sini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup di sana? Saya begitu kecil dan lemah.”
Tuhan menjawab: “Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Dia akan menjaga dan mengasihimu dengan sepenuh hatinya.”
  • Bayi bertanya lagi: “Tetapi disini, didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa…Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia.”
Tuhan menjawab: “Malaikat mu nanti akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia di sana”
  • Bayi bertanya lagi: “Bagaimana mungkin saya dapat memahami orang-orang bercakap dengan saya sedangkan saya tidak memahami bahasa mereka?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar. Dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara untuk berkata-kata.”
  • Bayi bertanya lagi: “Apakah yang boleh saya lakukan ketika saya ingin berbicara kepadaMu?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa dan bermunajat kepadaKu.”
  • Bayi bertanya lagi:”Saya mendengar bahawa di  Bumi  banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya nanti?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu lah yang akan melindungimu, walaupun mungkin jiwa dan raga terpaksa dikorbankannya.’
  • Bayi bertanya lagi: “Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak lagi dapat melihatMu lagi.”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku dan akan mengajarkan bagaimana kamu nanti akan kembali juga kepadaKu, walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu.”

Pada saat itu, Syurga begitu tenang dan hening sehingga suara dari Bumi dapat jelas kedengaran.
  • Dan sang bayi bertanya perlahan : “Tuhan, jika saya terpaksa pergi sekarang ini, bolehkah  Kamu  khabarkan kepadaku nama malaikat yang Kamu maksudkan itu?”
Tuhan menjawab: “Kamu akan memanggil malaikatmu itu sebagai “IBU”.  Maka ingatlah, sentiasa kamu berkasih sayang dengannya dan menghargai setiap pengorbanan ibu mu. Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa. Dialah satu-satunya harta mu yang tiada galang gantinya, dunia mahupun akhirat.

Dan untuk para ibu, ingatlah kisah ini dikala kamu hilang sabar dengan karenah anak-anak mu yang sedang membesar. Sesungguh nya Syurga itu dibawah telapak kakimu. Sucikanlah 4 perkara dengan 4 perkara :
  1. Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan
  2. Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu
  3. Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Robb mu
  4. Dosa-dosa mu yang lalu dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu
 Sekian, semoga dapat sikit sebanyak manfaat daripada coretan ini.

Jumaat, 28 Ogos 2015

10 Ramuan Melampau Dalam Mi Segera

Membenarkan 136 bahan penambah dalam mi segera menimbulkan persoalan genting: 
 
Adakah mi segera makanan sebenar atau makanan palsu? 
 
Apakah bahan penambah ini sebenarnya dan sejauh manakah ia selamat? 
 
Berikut adalah beberapa ramuan yang mungkin anda mengambilnya bersama dengan mi 
segera anda. 
 
  • Kalsium Sulfat: Kapur Paris; 
 
  • Asid Tartarik:Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan 
    cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen; 
 
  • Kalsium Oksida:Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga; 
 
  • Tertiary Butyhydroxyquinone (TBHQ):Produk berasaskan petroleum; satu bentuk
    butane (cecair dalam pemetik api); 
 
  • BHT:Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal; 
 
  • Propyl Gallate:Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan 
    kesan samoinga kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan 
    menghalang pengeluaran sperma; 
 
  • Pentasodium triphosphate:Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan 
    dalam bahan cuci), bahan samak kulit, juga digunakan dalam pengeluaran 
    kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air; 
 
  • Propylene Glycol:Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. 
    Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang 
    berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil 
    boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang; 
 
  • Polydimethylsiloxane:Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan 
    rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas; 
 
  • Pewarna tiruan: (contohnya: Sunset Yellow FCF dan Tartrazine):Menyumbang kepada hiperaktiviti dalam kalangan kanak-kanak; mungkin 
    turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran, kerosakan saraf, 
    mungkin menjadi penyebar kenser. 
     
    Utusan Pengguna; Nov-Dis2010; Jil34Bil6

Rabu, 26 Ogos 2015

Apa yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan al-Aqsa?


Sebenarnya banyak langkah praktikal yang boleh kita lakukan bagi menyelamatkan Masjid al-Aqsa dari ancaman kemusnahan. Di antaranya ialah
  1. Bermula dengan diri kita dengan mengenali sejarah Palestin serta kepentingan Masjid al-Aqsa di dalam aqidah umat Islam.
  2. Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin dan al-Aqsa serta menyebarkan kesedaran tentang status sebenar  al-Aqsa kepada mereka dengan apa jua cara.
  3. Menganjurkan program berkaitan dengan Masjid al-Aqsa pada sambutan peristiwa Isra’ dan Mi’raj ataupun pada Hari al-Aqsa Sedunia pada 21hb Ogos di masjid-masjid, sekolah-sekolah, kampus universiti dan di premis-premis yang lain serta melibatkan pihak media.
  4. Memberikan sumbangan kewangan kepada badan-badan yang memperjuangkan masa depan Masjid al-Aqsa.
  5. Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.
  6. Melibatkan golongan bukan Islam dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan dimensi kema nu siaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, kema nu siaan dan keadilan sejagat.
  7. Melonjakkan isu ini ke persada internasional kerana perjuangan pembebasan al-Aqsa adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.
  8. Berdoa kepada Allah swt agar Masjid al-Aqsa diselamatkan dari musuh-musuh umat Islam dan kemuliaannya sentiasa terpeilhara.
Jom… kita bertindak segera secara berterusan dan sistematik demi masa depan al-Aqsa. Sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita berganding bahu dan mengorak langkah ke hadapan bagi memperjuangkan kemuliaan al-Aqsa yang tercinta……

Selasa, 25 Ogos 2015

Apakah lagi jenayah Zionis ke atas Masjid al-Aqsa?


Pihak Zionis telah bertungkus-lumus untuk mengYahudikan Masjid al-Aqsa sejak dari peristiwa An-Naksah (Malapetaka yang berulang) iaitu peristiwa penjajahan Baitul Maqdis Timur dan Masjid al-Aqsa pada 1967.
 
Banyak lagi, di antara jenayah projek pengYahudian al-Aqsa ialah:-
  1. Menghalang umat Islam dari menziarahi masjid ini dan memakmurkannya
  2. Menghalang usaha membaik-pulih Masjid al-Aqsa yang rosak
  3. Merampas Tembok Buraq yang merupakan sebahagian dari al-Aqsa
  4. Mengadakan upacara agama Yahudi di dalam Masjid al-Aqsa
  5. Siri pengeboman secara terancang ke atas Masjid al-Aqsa
  6. Siri pembunuhan umat Islam di Masjid al-Aqsa
  7. Penggalian terowong yang besar lagi panjang di bawah masjid ini
  8. Mengubah identiti Islam dan Arab kepada identiti Yahudi di Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa
  9. Pembinaan Sinagog Hover bersebelahan dengan al-Aqsa dll
Sudah terlalu banyak jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Masjid al-Aqsa yang merupakan jantung hati umat Islam. Al-Aqsa adalah qiblat yang pertama umat, masjid yang ketiga suci serta bumi Isra’ dan Mi’raj, Masjid al-Aqsa mesti diselamatkan dari kemusnahan dan kehancuran oleh tangan-tangan pengganas rejim Zionis dan pelampau Yahudi.
 
Apa yang telah dan sedang berlaku terhadap al-Aqsa merupakan sesuatu yang sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan umat Islam dari terus lena dalam buaian mimpi.

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...