Selasa, 22 September 2015

Kelebihan Membaca Al-Quran

Ada seorang Atuk tua tinggal bersama cucu lelakinya di sebuah bukit di pendalaman. Setiap pagi Atuk bangun awal pagi duduk di meja makan dan membaca Al-Quran. Cucunya ingin menjadi seperti Atuk dan meniru seberapa boleh akan bacaan yang dibaca oleh Atuknya.

Pada suatu hari cucunya bertanya, ‘Atuk! saya cuba membaca Al-Quran macam Atuk baca tapi saya tak faham pun, dan jika saya faham sekali pun saya akan lupa sebaik sahaja saya menutupinya. Apa bagusnya bila kita membaca Al-Quran?’ Sedang orang tua itu meletakkan arang batu ke dalam dapur pemanas badan, dengan perlahan dia menoleh kepada cucunya sambil berkata, ‘ Bawa guni arang batu ini ke sungai dan bawakan saya seguni air.’

Budak lelaki itu buat seperti apa yang disuruh, tetapi semua air itu membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Orang tua itu ketawa dan berkata. ‘ Awak hendaklah berjalan lebih cepat untuk yang akan datang,’ dan meminta cucunya ke sungai bersama dengan guni arang batu untuk cuba sekali lagi. Kali ini budak lelaki itu berjalan lebih laju, sekali lagi guni itu kosong sebelum dia tiba ke rumah. Terlalu letih, dia memberitahu Atuknya bahawa mana mungkin untuk membawa air di dalam guni, dan dia pergi untuk mengambil baldi. Orang tua itu berkata, ‘ saya tidak mahu sebaldi air, saya mahu seguni air. Anda tidak cukup kuat mencubanya.’ dan dia menuju ke pintu melihat cucunya mencuba lagi.

Pada katika itu, budak lelaki itu sudah tahu bahawa tidak mungkin dapat membawa air di dalam guni hingga ke rumah, tetapi untuk tidak menunjukkan apa-apa reaksi kepada Atuknya dia berlari seberapa laju yang dia boleh, semua air yang di bawa masih membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Budak lelaki itu sekali lagi pergi ke sungai dan berlari secepat mungkin dengan seguni air, tetapi apabila sampai kepada Atuknya, guni tersebut sekali lagi kosong. Meletihkan, katanya,’ tengok Atuk, tak guna!’ ‘ Jadi anda fikir ianya tidak berguna?’ Orang tua itu berkata,’ tengok guni itu.’

Budak lelaki itu melihat akan guni tersebut dan buat kali pertamanya dia sedar bahawa guni tersebut sudah berubah. Ia telah bertukar daripada guni lama yang kotor bekas arang batu menjadi begitu bersih, luar dan dalam.

‘Cucuku, itulah yang akan berlaku jika anda membaca Al-Quran. Anda mungkin tidak faham ataupun ingat kesemuanya, tetapi apabila anda membacanya, anda akan berubah dengan sedirinya, dalaman dan luaran. Itulah kurniaan Allah s.w.t. dalam kehidupan kita.’

Oleh itu, marilah kita sama-sama cuba sedaya upaya memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Jika perlu untuk belajar, marilah kita Belajar Tajwid Al-Quran untuk menyempurnakan lagi bacaan kita dan baca la juga tafsir/terjemahan Al-Quran agar kita paham apa yang kita baca.

Isnin, 21 September 2015

ORANG ASING VS KELUARGA SENDIRI

Situasi di tempat awam:

Bila terlanggar seorang asing semasa berjalan, "Oh maafkan saya, saya tak perasan"

Katanya "Maafkan saya juga, Saya tak nampak saudara"

Kami amat bersopan dan saling menghormati, Kami saling melambai sambil berlalu pergi.

Situasi di rumah:

Bila di rumah lain pula ceritanya, Bagaimana kita melayan orang tersayang, tua dan muda,

Lewat petang, tika memasak makan malam, Anak lelaki kecilku berdiri di dapur secara diam-diam sambil memegang bunga.

Bila berpaling aku hampir melanggarnya jatuh.

Jerkahku, "Jangan buat kacau di sini, pergi main jauh-jauh"

Dia berlalu pergi, hatinya hancur luluh dan beku.

Aku tak sedar, bertapa kasarnya kata-kataku.

Sedangku berbaring di katil mendengar musik, Terdengar suara halus datang membisik,

"Bila bersama orang tak dikenali, Begitu bersopan dan merendah diri, Tetapi ahli keluarga tersayang, sering dimarah dan dicaci"

"Cubalah kau pergi lihat di lantai dapur, Kan kau temui bunga-bungaan berterabur".

"Itu adalah bunga-bunga dibawanya untuk kamu.

Dia memetiknya sendiri, kuning, biru dan unggu"

"Dia berdiri senyap agar jadi kejutan buat kamu.

Kamu tak pernah sedar airmatanya yang datang bertamu".

Pada tika ini, aku merasa amat kecil sekali, Airmataku mencurah ibarat air di kali.

Senyap-senyap ku kebiliknya, dan melutut di katil.

"Bangunlah, anakku, bangunlah si kecil"

"Apakah bunga-bunga ini dipetik untuk mak?

Dia tersenyum,

"Adik terjumpanya belakang rumah di semak"

"Adik memetiknya kerana ia cantik seperti ibu, ibu tentu suka terutama yang ungu.

"Maafkan ibu, atas sikap ibu hari ini, Ibu tak harus menjerkah kamu sebegini.

Katanya,"Oh, ibu, itu tak mengapa, Saya tetap sayang ibu melebihi segala.

Bisikku, "Anakku, ibu pun sayang kamu, dan ibu suka bunga itu, terutama yang ungu.

FAMILY:
Adakah kita sedar, sekiranya kita mati hari ini, syarikat tempat kita berkerja akan senang-senang mendapat pengganti, dalam hanya beberapa hari?

Tetapi keluarga yang kita tinggalkan, akan merasa kehilangan kita sepanjang hayat.

Dan sedarlah, sekiranya kita menghabiskan masa kita kepada kerja, Melebihi keluarga kita, adalah merupakan suatu pelaburan yang tidak bijak. Bukankah begitu?

Jadi apakah maksud yang tersirat?

Tahukah kita makna "FAMILY"?
FAMILY = (F)ATHER (A)ND (M)OTHER (I) (L)OVE (Y)OU

"HARGAILAH KELUARGA KITA"

##Memang benar, sifat manusia itu. Kita akan lebih menghargai benda yang hilang berbanding yang sentiasa di depan mata.
Semoga apa yang berlalu dijadikan pengajaran dan yang mendatang ditempuhi dengan penuh kesabaran..

Ahad, 20 September 2015

Hikmah Bertudung

Hikmah Bertudung & Mengamalkan Ayat Qursi - seorang muslimah terselamat daripada dirogol...

Seorang wanita muslim dari Malaysia yang bekerja di US, memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus. Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Maklum hari sudah lewat. Berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut berjalan bersaorangan. Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang saudari kita ni boleh buat adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia disaat itu.

Masa dia melepasi lelaki yang bersandar itu, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, saudari ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut.Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari. Tapi perempuan Muslim ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Muslimah ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?”
Perogol tu jawab: “No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.”

Saudari ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

MORAL CERITA INI:
Jika kita sebagai hambaNya menurut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan memelihara kita. Muslimah tadi pertama-tamanya menutup aurat dan memang Muslimah yang menjaga batas-batas yang ditetapkan Islam. (Kalau aurat terbuka malaikat pun malas dekat). Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga hambaNya yang sentiasa ingat akan diriNya.

Ayat Kursi sememangnya adalah ayat pelindung yang mustajab…selalulah amalkannya. Bayangkan anda seorang yang selalu ingkar suruhan Allah, kufur dengan nikmatnya, sambil lewa beribadat. Dapatkah anda mendapat pertolongan sebegini dari Allah? Balasan Allah tu boleh datang semasa di dunia lagi. Di akhirat kelak memang pasti kerana itu janji Allah. Jadi, renungkanlah di mana level ‘iman’ kita sekarang ini. Wassalam.

Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya,Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya [Dari Abdullah bin ‘Amr r.a.] Sebuah kisah benar yang sangat sangat menarik pada pandangan saya.semoga anda semua mendapat pengajaran dan ilmu yang bermanfat.sebagai hamba kita seharusnya percaya dengan kemampuan senjata orang mukmin iaitu DOA….semoga kita sentiasa dipeliara Allah dari kejahatan syaitan yang di rejam…….

"Kecantikan bukan terletak pada pakaian yang dipakai tetapi ia bergantung kepada keelokan akhlak dan budi pekerti."

Sabtu, 19 September 2015

Aku Ahlus Sunnah Pencinta Rasulullah???

Ramai sekali manusia zaman ini mengakui mencintai Rasulullah. Ramai sekali yang mengakui “aku seorang ahlus sunnah”. Dan banyak sekali ucapan di bibir bernada gencar, “Aku adalah pejuang Sunnah Nabi!”. Tidak kurang mereka yang menyeru, “Ayuh! Kembalilah kepada al-Qur’an dan as-Sunnah...” - Wallahu a'lam...

Tapi... sungguh terasa peliknya apabila dibawakan hadis-hadis nabi dan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alahi wa Sallam, mereka menjadi marah, melenting serta menidakkan. Tidak kurang juga yang menjadi kepelikan dan memandang aneh. Sebahagian lagi ada juga yang mengatakan itu dan ini, begitu dan begini demi menolak sunnah yang sahih. Mereka tidak sanggup mengakui bahawa mereka tersalah memegang sunnah. Mereka tidak mahu mengakui manusia biasa mungkin silap dan mungkin tersalah dalam mengambil dan menganggap sunnah.

Hati-hati wahai manusia, kerana Allah berfirman (maksudnya):

“Maka ketika mereka berpaling (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahui), Allah memalingkan hati mereka (dari mendapat hidayah); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasiq – derhaka.” (Surah al-Saf, 61: 5)

Mengapa begitu mudah di bibir mengakui “aku adalah pengikut sunnah dan pejuang sunnah”. Namun, tidak jua memiliki walau senaskhah kitab Shahih al-Bukhari, atau Shahih Muslim, atau jua Kitab Sunan Abi Daud, barangkali juga at-Tirmidzi, an-Nasa’i mahupun Ibnu Majah? Bukan jua tidak memilikinya, tidak juga terdetik di hati untuk mengusahakannya... Ataukah mungkin membeleknya barang sekali atau dua kali, pernahkah? Tidak kurang juga di luar sana langsung kosong tentang apa itu al-Bukhari, Muslim, dan selainnya tapi bijak bertutur “aku berpijak di atas sunnah”. Lantas kita berkata, “Sunnah yang mana yang engkau berdiri dengannya???”

Mengapa kita mengakui bermazhab dengan kaedah asy-Syafi’i, namun tidak jua pernah memiliki apatah lagi membuka dan membaca kalam imam asy-Syafi’i sendiri? Kitabnya yang mana pernah kita pegang dan buka?

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggung jawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)

Sudah habiskah kita membelek al-Qur’an, kitabullah. Sudahkah kita fahami ia? Lembaran kitab tafsir yang mana satukah yang pernah kita buka dan baca isinya?

Usah kita terburu-buru, bersabarlah kita dalam meniti dan berdiri untuk beristiqomah di atas titian ilmu.

“Katakanlah (Wahai Muhammad kepada mereka): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

“Dan orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketaqwaannya.” (Surah Muhammad, 47: 17)

“Dan Allah akan menambahi hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan hidayah...” (Surah Maryam, 19: 76)

Kita juga mengakui beraqidah dengan aqidah golongan ahlus sunnah... Namun, kitab aqidah ulama ahlus sunnah manakah yang pernah kita hayati dari lembaran demi lembaran naskhahnya? Kitab manhaj mana yang pernah kita khatamkan?

“Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung”.” (Surah at-Taubah, 9: 129)

Wallahu a’lam...>>>>>>http://an-nawawi.blogspot.com

Jumaat, 18 September 2015

kapten power....

Pada sebuah penerbangan dari Kuala Kumpur ke Australia.

"Ini Kapten Kamal berbicara".

"Atas nama seluruh anak kapal kami mengucapkan selamat datang dan selamat menikmati perjalanan anda bersama Hebat Airlines nombor penerbangan MH101 dari Kuala Lumpur menuju Australia".

"Saat ini kita berada pada ketinggian 35000 kaki ke arah timur".

"Jika anda melihat ke luar jendela pada sisi sayap, maka anda akan melihat bahawa kedua mesin sedang terbakar"

"Jika anda melihat ke luar jendela arah ke belakang, maka anda melihat bahagian ekor sudah mulai tercabut"

"Jika anda melihat ke bawah ke laut, anda akan melihat perahu darurat kecil berwarna kuning dengan tiga orang melambaikan tangan kepada anda"

"Mereka adalah saya iaitu kapten anda, bersama co-pilot dan seorang pramugari. Anda sedang mendengarkan rakaman pesan saya...."
--------------
MORAL: Jadilah manusia yang bertanggungjawab.

Khamis, 17 September 2015

Kesabaran Seorang Nabi dan Rasul

Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”
(Bukhari)

Huraian:
Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.

Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.

Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

Rabu, 16 September 2015

Pantun Nasihat Siri 4

31.    Batang rotan dikerat-kerat
Buat pengandar sarung ketupat
Jika kerja hendak berkat
Buat cermat- cermat dan tepat

32.    Cik Puan orangnya peramah
Jangan dibereng suaminya Penghulu
Jika tuan empunya rumah
Panganan mulia dihidang dahulu

33.    Buah langsat kuning mencelah
Keduduk tidak berguna lagi
Sudah dapat gading bertuah
Tandok tidak berguna lagi

34.    Jangan duduk di muka pintu
Nanti terhantuk kayu belati
Orang tua memang begitu
Cepat sangat berjauh hati

35.    Kunang-kunang disangka cahaya
Terbang berdiang di lampu pelita
Apalah diingat kepada saya
Jasa sedikit budi pun tiada

36.    Sejuk sungguh air perigi
Dijirus segar bunga melati
Bila kuasa dah tiada lagi
Jauh di mata jauh di hati

37.    Manis cik Puan berbaju kasa
Anaknya empat disangka lima
Hajat di hati nak buat jasa
Tak tahu pula orang tak terima

Selasa, 15 September 2015

Pantun Nasihat Siri 3

21.    Orang meminang puteri tujuh
Ambil air cucikan kaki
Benih muda kalau bertumbuh
Pucuknya hijau cabangnya mati

22.    Menumbuk padi gadis jelita
Padi huma baru diketam
Jangan jadi jelaga pelita
Orang bercaya kita menghitam

23.    Airnya dalam di Tanjung Tualang
Tempat berlabuh tongkang dan jong
Jangan bawa resmi udang
Ekor berdetik tahi dijunjung

24.    Pakai gelang sekerat lengan
Tapi semuanya perak suasa
Jauh berjalan banyak pengalaman
Lama hidup banyak dirasa

25.    Sayang Cik Andak menjerat landak
Di tepi perigi ikan puyu
Orang tergelak saya tergelak
Orang membenci saya tak tahu

26.    Beli kuda baik dipacu
Raja berangkat dari ulu
Pada songket baik belacu
Harga murah ganti selalu

27.    Sayang serindit punai di Jawa
Membuat sarang di pohon berduri
Pelepah jatuh pucuk ketawa
Pangkal juga menahan diri

28.    Salah ikat boleh diungkai
Salah letak boleh dicari
Salah buat badan terkulai
Salah cakap memburuk diri

29.    Kumbang menyeri bunga nan layu
Layu terkulai jatuh ke perdu
Saya umpama golok kayu
Tetak tak lut gadai tak laku

30.    Kalau hendak memilih tempat
Biar dekat pekan  sehari
Teman ketawa senang didapat
Kawan menangis sukar dicari

Isnin, 14 September 2015

Pantun Nasihat Siri 2

11.    Ikan belanak ikan pelata
Manakan sama ikan pelaga
Kata mak kata pendita
Kata ayah kata raja

12.    Kalau tuan ke Sungai Baru
Singgah sebentar di Pasar Desa
Kalau tuan jadi tetamu
Pandai-pandailah berbudi bahasa

13.    Madat ditumbuk dibuat jamu
Buat  penyeri gadis jelita
Adat orang menjadi tetamu
Biar diberi dari meminta

14.    Buah ciku dalam raga
Delima merah dimakan sahaja
Kata cikgu kata pujangga
Kata Pengarah kata raja

15.    Kuala Linggi tanahnya merah
Tempat perahu mengisi muatan
Suara tinggi bukanya marah
Sekadar mahu memberi ingatan

16.    Harum baunya bunga cempaka
Dihiris sekuntum bunga cengkih
Tersenyum jangan disangka suka
Menangis jangan disangka sedih

17.    Pokok ciku di tepi kota
Buah dilarah penuh seraga
Kata cikgu kata pendita
Kata Pengarah kata raja

18.    Ular tedung jangan dipermudah
Bisanya dapat membawa maut
Jika tak maut merana juga
    Berhujan panas aku tak endah
    Keris lembing aku tak takut
    Kehendak hati kuturut juga

19.    Baik-baik memancing ikan
Jangan terpancing ikan parang
Baik-baik memilih intan
Jangan terpilih batu karang

20.    Ambil air dalam perigi
Ada dijinjing ada ditatang
Belum suruh sudah pergi
Belum dipanggil sudah datang

Ahad, 13 September 2015

Pantun Nasihat Siri 1

1.    Subur tumbuhnya pokok kelapa
Buahnya banyak bertali-tali
Turutlah kata ibu dan bapa
Takbur jangan sekali-kali

2.    Burung pipit burung kedidi
Manakan sama si Rajawali
Ikutlah rasminya padi
Makin tunduk makin berisi

3.    Padat sungguh buluh perindu
Diikat seberkas jadi segenggam
Adat muda menanggong rindu
Adat tua menanggong ragam

4.    Tinggi melentur pokok kelapa
Daun disisir diambil lidi
Kalau kita bertegur sapa
Jangan sampai sakitkan hati

5.    Burung terbang dipipiskan lada
Dimasak gulai dalam kuali
Buat baik berpada-pada
Buat jahat jangan sekali

6.    Pak Mamat menanam labu
Labu dijual di Tanjung Batu
Kalau berkawan boleh seribu
Kalau berkasih biarlah satu

7.    Layang-layang berpaku semat
Dihias dengan emas perada
Sayang Ketua sayang hormat
Sayang kawan masa berada

8.    Buah pauh buat janganan
Untuk menjamu Datuk Penghulu
Orang jauh jangan dikenang
Orang dekat menanggong rindu

9.    Batang padi berdaun suasa
Isi durian berpangsa-pangsa
Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa

10.    Sayang Laksamana mati dibunuh
Mati dibunuh Dato Panglima
Bukan benih tak mau tumbuh
Kiranya bumi tak mau menerima

Sabtu, 12 September 2015

Peraturan dan undang-undang yang pelik di luar negara

North Dakota - Adalah salah jika anda berbaring atau tidur dalam keadaan masih memakai kasut.

Kanada - Anda dilarang samasekali membuka balutan di tempat awam.

Samoa - Adalah salah jika anda tidak mengingati hari lahir isteri anda.

Canton - Anda diharamkan menggunakan padang awam untuk beriadah atau bersukan tanpa kebenaran penyelia taman.

Greece - kasut tumit tinggi dilarang penggunaannya di kawasan yang bersejarah seperti di Acropolis untuk mengelakkan kerosakan pada monumen purba yang bersejarah.

Israel - Dilarang sama sekali membawa beruang bersiar-siar si pantai.

Thailand - Diharamkan membawa kereta tanpa memakai baju.

Kentucky, USA - Wanita diharamkan memakai bikini atau pakaian mandi di lebuhraya kecuali diiringi oleh polis, mengalami kecederaan, atau wanita tersebut mempunyai berat bawah 20 paun atau lebih 200 paun.

Sweden - Anda harus menyalakan lampu kereta anda 24 jam sehari jika menggunakan jalanraya.

Jumaat, 11 September 2015

Pantun Belajar Siri 4

31.    Perahu kecil menyusur selat
Nampak dari tanah seberang
Banyak sudah dapat dilihat
Tidak berilmu dihambakan orang

32.    Pergi berburu membawa gelas
Untuk mengisi air di sumur
Jasa guru tak minta dibalas
Cukup doakan panjang umur

33.    Pokok ciku di tepi kota
Buah dipetik penuh seraga
Kata cikgu kata pendeta
Kata Pengarah kata raja

34.    Penakik pisau raut
Ambil galah sebatang lintabung
Seludang dijadikan nyiru
    Setitik dijadikan laut
    Sekepal dijadikan gunung
    Alam terbentang dijadikan guru

35.    Buruan dapat dibawa balik
Lalu ditambata di pohon kelapa
Agar dapat ilmu yang baik
Dapat berbakti ibu dan bapa 

36.    Burung merpati dalam sangkar
Baru sepurnama dapat dijerat
Jika kita rajin belajar
Ilmu berguna banyak didapat

37.    Pandang-pandang kanan dan kiri
Melintas jalan berkira-kira
Kurang ringgit boleh dicari
Kurang akal habis bicara

38.    Asyik tuan pergi berburu
Bunga di taman ditinggal layu
Mujurlah saya baru berguru
Kalau tidak terbuang lalu

Khamis, 10 September 2015

Pantun Belajar Siri 3

21.    Pohon sena tepi sempadan
Tempat tupai menumpang lalu
Bercerai nyawa dari badan
Barulah putus petua guru

22.    Terbang lebah di hujung bendang
Hinggap di dahan membuat sarang
Banyak sudah dapat dipandang
Tiada ilmu dihambakan orang

23.    Jambu batu buah pedada
Tepi sungai pokok sena
Kalau ilmu tak ada di dada
Orang maju kita merana

24.    Dapat seekor ikan belada
Ikan telas serkapnya jarang
Kalau ilmu penuh di dada
Sampai mati disanjung orang

25.    Sarong ketupat di Padang Jambu
Letak mari di sampiran kain
Sudah dapat orang berilmu
Bagai lilin menerangi yang lain

26.    Nasi melukut sayur keladi
Lambat makan kuahnya basi
Adat berilmu resam padi
Makin tunduk makin berisi

27.    Sayang Cik Siti menyampin kain
Kain disampin di pagi hari
Orang berilmu bagaikan lilin
Menerangkan orang membakar diri

28.    Singgah sekejap di Sungai Baru
Orang Linggi ke Tanjung Tuan
Sudah tersurat pesannya guru
Ada ilmu panjang-panjangkan

29.    Masuk ke hutan pergi berburu
Singgah di sungai mengail ikan
Ingat-ingat pesan guru
Ada ilmu panjang-panjangkan

30.    Padat sungguh di Pasar Tamu
Ramai mengiring Dato Penghulu
Adat orang mendapat ilmu
Ilmu sedikit diamal selalu

Rabu, 9 September 2015

Pantun Belajar Siri 2

11.    Ambil pedoman si Gunung Daik
Kapal berlayar menuju barat
Kalau mendapat guru yang baik
Ilmu yang dapat menjadi berkat

12.    Kapal menuju sebelah barat
Ke tanah seberang membawa halia
Bila ilmu mendapat berkat
Semua orang memandang mulia

13.    Jual halia bersama kentang
Masak bersama sekati udang
Guru yang mulia jika ditentang
Hidup pasti kita kecundang

14.    Batu bernama si batu bata
Tempat hinggap si burung balam
Guru itu ibarat pelita
Memberi cahaya setiap malam

15.    Jahit baju sama selendang
Tidak cukup sebola benang
Jasa guru hendaklah dikenang
Baru hidup bersenang lenang

16.    Berlenggang lenggok si anak Minang
Sambil membawa si daun palas
Walau hidup bersenang lenang
Jasa guru perlu dibalas

17.    Pergi berburu memegang gelas
Gelas dibuat dari kaca
Jasa guru tak minta dibalas
Cukup setakat mengenang jasa

18.    Lipat berbucu si daun tapai
Hendak diisi beras sekal
Pesan guru jangan diabai
Jika hendak ilmunya kekal

19.    Tindin kasih jahitan baju
Bila menjahit baju pendita
Terima kasih kepada guru
Tiada guru siapalah kita

20.    Akar keranji dikerat-kerat
Campur halia dibuat jamu
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berilmu

Selasa, 8 September 2015

Pantun Belajar Siri 1

1.    Cuka-cuka beli di Bandar
Simpan makan dalam perahu
Suka-suka mahu belajar
Tidak belajar mana kan tahu

2.    Hiris rojak hantar ke surau
Hendak menjamu Datuk Penghulu
Gadis bijak orang tak hirau
Ilmu di dapur laksana dulu

3.    Berburu ke padang datar
Dapat rusa bergelang kaki
Berguru kepalang ajar
Macam bunga kembang tak jadi

4.    Pergi memburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Kalau berguru kepalang ajar
Seperti bunga kembang tak jadi

5.    Keris kecil menikam ular
Keris besar menikam singa
Dari kecil tak hendak belajar
Sudah besar tertanya-tanya

6.    Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suruh makan dia makan
Suruh mengaji dia tak tahu

7.    Tanam di hulu pohon rambutan
Sayang durian tidak berbunga
Sesal dahulu pendapatan
Sesal kemudian tidak berguna

8.    Anak Cina pergi memburu
Buruan dapat dibawa balik
Hidup di dunia mesti berguru
Agar dapat ilmu yang baik

9.    Bawa senapang dengan peluru
Masuk ke hutan hendak berburu
Ilmu kau tuntut semalam lalu
Jangan kau cuba melawan guru

10.    Turun ke laut janganlah jemu
Walau mendapat si ikan parang
Jika hidup tidak berilmu
Memang hina dipandang orang

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...