Khamis, 2 Mac 2017

Manchester United : Tragedi Munich Dan The Busby Babes

Tragedi Udara Munich 1958. Ada satu jam di Old Trafford masih kekal dibekukan/dihentikan pada 3:04 pada Feb 6, 1958. Satu perkataan di bawahnya ialah Munich.

Ia adalah simbolik di mana Manchester United telah terhenti seketika daripada dunia.
Satu tragedi nahas kapal terbang disebut Tragedi Udara Munich berlaku pada tarikh 6 Februari 1958 tepat jam 3.04 petang.
Tragedi yang telah meragut 23 nyawa termasuk 8 Busby Babes (pemain United), dan 8 petugas media sebaik sahaja berlepas dari Munich.

Latar belakang
Pada 1955, UEFA memutuskan ada kejohanan kelab di antara ahli gabungan mereka dikenali dengan nama Piala Eropah.
Kejohanan itu bermula pada musim 1956/57. Namun pada edisi pertama, tiada kelab England menyertainya.
Ini kerana, setiausaha FA England, Alan Hardaker enggan meluluskan penyertaan juara Inggeris 1955/56 – Chelsea untuk menyertainya.
Alasannya, Chelsea tidak cukup kuat untuk mewakili England beraksi di Eropah ketika itu.
Pada musim berikutnya, Manchester United menjuarai liga. Mereka menerima nasib yang sama, Alan Hardaker enggan meluluskannya.
Kalau Chelsea pun tak boleh inikan pusukan ‘budak-budak’ muda di bawah Sir Matt Busby.
Sir Matt Busby telah mencabar keputusan Alan Hardaker dan menuntut hak mereka dengan merayu kepada Pengerusi FA ketika itu Stanley Rous.
Perlepasan oleh Rous bermakna kuasa Alan Hardaker tak terguna pakai. Oleh itu, United adalah kelab Inggeris pertama bermain dalam kejohanan Eropah 1957/58.
Menariknya, skuad yang digelar The Busby Babes, kerana rata-rata pemain muda awal 20-an tahun ini berjaya mara ke separuh akhir kejohanan Eropah.
Mereka menyingkirkan Shamrock Rovers dan Dukla Prague pada pusingan awal. Pada suku akhir mereka menentang Red Star Belgrade.

United menang ke atas Belgrade di Old Trafford. Dalam kunjungan mereka untuk timbal balik pada 5 Februari 1958.
United sekadar seri. Namun ia sudah cukup untuk mereka mara ke separuh akhir.
United perlu pulang segera ke England kerana hujung minggu ini mereka ada perlawanan Liga Inggeris.
United mahu membuktikan mereka sedia bersaing dalam jadual padat bersedia untuk mara lebih jauh dalam Piala Eropah.
Ia lebih kepada mahu menutup mulut Hardaker yang terlalu prejudis ke atas pasukan Inggeris.
Tragedi Udara Munich 1958
Cuaca buruk melanda Eropah ketika itu dan menyukarkan perjalanan melalui jalan udara.
Sebelum ini mereka pernah melalui cuaca buruk ini ketika pulang dari perlawanan menentang Dukla Prague pada pusingan sebelum ini.
Mereka terpaksa menggunakan cara alternatif kerana tidak boleh terbang terus dari Prague ke Manchester.
Jadi mereka terbang ke Amsterdam, Belanda. Dari sana mereka menaiki feri ke Harwich. Dari Harwich barulah mereka menaiki keretapi ke Manchester.
Satu perjalanan yang sangat memenatkan, namun mereka masih mampu seri 3-3 dengan Birmingham dalam perlawanan liga.
Kali ini Mereka terpaksa mendarat di Munich kerana cuaca buruk selepas berlepas dari Belgrade.
Ia mengingatkan kita kepada kapten Edward Smith yang berdegil meneruskan kapal Titanic meredah Iceberg.
Difahamkan, Kapten James Thain berkeras mahu meneruskan usaha beliau untuk berlepas daripada lapangan terbang Munich.
Meskipun 2 cubaannya sudah pun gagal kerana masalah enjin. Jadi, dia meneruskan usaha untuk kali ke-3.
Pembantu Kapten, Kenneth Rayment memang tidak yakin ia pilihan selamat namun terpaksa berbuat demikian demi memenuhi jadual penumpang.
Ada beberapa pemain tahu ia mungkin hari terakhir mereka melihat dunia, namun mereka bersedia menerima takdir mereka.
Ada yang mulai beralih ke tempat duduk di belakang kerana ia dipercayai lebih selamat. Kapal terbang pun meluncur laju untuk berangkat.
Tidak lama selepas itu, ia telah tergelincir dari landasan dan berlepas tak sempurna serta melanggar pagar lapangan terbang.
Sayap pesawat melanggar bangunan termasuk rumah-rumah yang berhampiran. Komponen peswat mulai rosak dan pecah.
Pesawat mulai terbakar dan Kapten Thain mulai panik. Dia mengarahkan semua orang mengosongkan pesawat kerana dia khuatir pesawat akan meletup.
Pramugari Rosemary Cheverton dan Margaret Bellis antara yang terawal meninggalkan pesawat dengan terjun melalui pintu kecemasan belakang.
Thain menjerit kepada pembantunya kapten Rayment untuk cepat keluar, namun Rayment tersepit. Rayment mengarahkan Thain untuk pergi tanpanya.
Sementara itu, di kabin penumpang, penjaga gol Manchester United, Harry Gregg, gigih menyelamatkan penumpang lain untuk keluar dari pesawat.
Dia hanya berserah dan tahu itu adalah hari untuknya ‘pergi’. Dia tersedar dari ketika merasa darah yang mengalir.
Dia melihat ada cahaya dan dari satu lubang. Gregg menendang lubang itu supaya muat untuk dirinya keluar. Dia berjaya keluar melaluinya.

Bangkit semula
Hanya 9 pemain dan Sir Matt Busby yang terselamat daripada nahas tersebut.
Ia bukan alasan untuk United menjadi lemah malah menguatkan lagi tekad mereka untuk membentuk Manchester United baru yang lebih kuat.
Fundamental kepada lebih banyak kejayaan Manchester United selepas itu.
10 tahun selepas peristiwa ini, mereka menjuarai Piala Eropah pertama mereka.
Ia sangat sentimental. Kerana pengurus yang sama melihat cita-cita mereka terkubur di Munich telah membawa United menjuarainya.
Beliau adalah Sir Matt Busby.
Itulah sedikit bingkisan Tragedi Udara Munich yang kekal menjadi sejarah hitam dalam dunia bola sepak.
‘Gone But Never Forgotten’

Rabu, 1 Mac 2017

7 Perkara Yang Perlu Dilakukan Apabila Berniaga Di eBay

Sebelum ini artikel bagaimana jana keuntungan di eBay mendapat pelbagai respon. Jadi, untuk mengukuhkan lagi kefahaman, saya kongsikan perkara-perkara yang anda patut buat sebelum berbisnes di eBay atau lebih tepat sebelum buka akaun eBay.

1. Jenis Akaun

Buat permulaan pilih buka Personal Account di eBay sahaja kerana anda boleh upgrade ke Business Account jika bisnes anda kebaboom (rancak)! Jangan risau segala transaksi sebelum itu tidak akan hilang. Untuk Business Account pula, anda mesti ada bisnes berdaftar. Ia akan diterangkan dalam artikel akan datang.

2. Nama Pengguna

Pemilihan nama pengguna (username) merupakan antara langkah penting kerana ia memberi gambaran awal kepada bakal pelanggan terhadap anda. Jadi, pilih nama yang tidak menyinggung perasaan, tidak senonoh dan tidak bersifat negatif.
Buat pengetahuan anda juga, eBay akan beri anda peluang ubah nama dengan sela 30 hari setiap kali tukar.

3. Akaun PayPal

PayPal pun ada 2 jenis akaun seperti eBay iaitu Personal Account dan Business Account. Tanpa PayPal ini anda tidak boleh terima pembayaran daripada pelanggan di eBay. Jadi, kena setup satu akaun untuk melancarkan urusan.
Jenis akaun PayPal juga boleh diubah dari masa ke masa ikut keselesaan anda kerana akaun peribadi akan mendedahkan butir diri seperti nama anda pada pelanggan.
Anda juga perlu alert bahawa anda akan dicaj 2.9% dari jumlah jualan tambah 0.30 per transaksi dengan kadar tertentu untuk jualan antarabangsa dan kadar diskaun. Itu semua ialah sebahagian daripada kos yang perlu anda tanggung.

4. Alamat

Pelanggan akan dapat lihat return address anda kerana ia akan digunakan oleh pelanggan untuk memulangkan barang kepada anda jika ada yang tak kena dengan barang tersebut. Jadi, pendedahan alamat ini menakutkan bagi anda yang mementingkan privasi, terutama alamat kediaman.
Maka, anda perlu fikir alamat yang sesuai bagi bisnes di eBay ini. Mungkin anda boleh guna perkhidmatan virtual office.

5. Penghantaran

Bahagian ini juga penting kerana jika tersilap maklumat anda akan terpaksa menanggung kos yang tinggi. Apa yang anda perlu buat ialah mendapatkan informasi tentang perkhidmatan penghantaran.
Pastikan anda tahu berat dan dimensi pakej penghantaran. Masukkan juga faktor bubble wrap bagi memelihara kondisi produk anda dalam mengharungi satu perjalanan yang panjang. Sebab bisnes eBay ini boleh melangkau sehingga ke luar negara.
Jadi, jangan sesekali memandai menganggar data yang diperlukan. Jika buat juga mungkin anda perlu tanggung kos dua kali ganda lebih mahal daripada nilai produk anda itu.

6. Jual 0.99 Sen

Harga 0.99 sen biasanya harga mula pembidaan di eBay. Anda perlu fikir segala risiko jika pilih untuk lakukan pembidaan ke atas barang jualan anda, sekurang-kurangnya tetapkan pelanggan perlu tanggung kos penghantaran.
Anda juga boleh tetapkan harga permulaan minimum pembidaan. Selain itu, anda ada pilihan untuk jual barang anda dalam mod “Buy It Now” di mana boleh tetapkan harga jual atau mod “Make An Offer” di mana anda boleh terima tawaran harga daripada pelanggan.

7. Polisi eBay

Memang benar jika anda tidak faham polisi eBay, anda ada kemungkinan alami kerugian. Jadi, anda perlu tahu berkenaannya terutama tentang yuran eBay sebelum anda menyenaraikan barang-barang anda di eBay.
Anda perlu tahu kos yang akan anda tanggung seperti yuran eBay, caj PayPal, kos penghantaran, kos pembungkusan, kos barang dan lain-lain. eBay juga ada caj insertion fee dan final value fee.
Complicated kan kalau tak faham semua ini. Tapi itu tak boleh jadi alasan untuk anda lepaskan peluang jana wang dalam US dollar (USD) di eBay.
Sebab itu anda perlu ada panduan bisnes eBay agar tidak melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan anda kerugian.
Walau bagaimanapun, aspek paling penting dalam bisnes eBay ialah memberikan perkhidmatan pelanggan yang baik dan positive feedback pelanggan sebab ada rating untuk penjual di mana akan dijadikan panduan oleh bakal pelanggan sebelum berurusan dengan penjual.

Selasa, 28 Februari 2017

Sejarah Permulaan LEGO

Di Malaysia, barangan permainan Lego semakin mendapat perhatian ramai. Maklumlah, Malaysia dah ada Legoland sekarang. Dan mungkin ramai yang tidak mengetahui Lego berasal dari Denmark. Tetapi mungkin ramai yang tidak mengetahui asal-usul sejarah permainan Lego bermula.

Perkataan Lego adalah mengambil berasal dari perkataan ’Leg Godt’ dalam bahasa Danish yang bermaksud ’play well’. Sejarah mencatatkan bahawa pada asalnya seorang tukang kayu bernama Ole Kirk Christiansen memulakan permainan kanak kanak daripada kayu dan seterusnya memcipta permainan dengan menggunakan bongkah plastik. Kini, generasi ketiga iaitu cucu ketiga Ole Kirk Christiansen merupakan orang yang terkaya di Denmark setelah 25 tahun menjadi CEO Lego Group.

Untuk mengetahui lebih lanjut sejarah asal usul permainan Lego, sila layan video animasi pendek mengenai sejarah bagaimana permainan terkenal seantero dunia ini bermula and and let yourself be inspired. It’s a most inspiring story with a lot of great lessons to learn!
Kini permainan LEGO ada dijual di serata dunia dengan pelbagai model yang menarik. Dan bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak lelaki, malah baru-baru ini Lego telah mula memasarkan permainan untuk kanak-kanak perempuan yang lebih kepada pembinaan rumah-rumah yang bewarna pink dan tidak seperti kanak-kanak lelaki yang lebih kepada membina kereta, keretapi, kapal terbang dan sebagainya. Tetapi anda tidak perlu menjadi kanak-kanak untuk bermain LEGO. Apa yang diperlukan hanya unlimited imigination!

Fakta mengenai permainan Lego
  • Lego bermaksud “Saya menyusun” atau “Saya merangkai” dalam Bahasa Latin.
  • Setiap saat, sebanyak 7 set permainan Lego terjual di seluruh dunia
  • Kira-kira 20 billion bongkah Lego dibuat setiap tahun di Kilang Lego di Billund, Denmark dan bersamaan 2 million bongkah setiap jam dan 35 000 setiap minit.
  • Ketepatan mesin acuan plastik yang digunakan adalah 0.002mm dan hanya 18 bongkah yang rosak atau di ’reject’ bagi setiap sejuta produk
  • Kiraan matematik menunjukkan terdapat 915,103,765 juta cara untuk mencantum Lego.
  • Secara purata, setiap individu di Dunia ini mempunyai 62 bongkag Lego seorang.
  • Sejak 1949, kira-kira 440 billion bongkah Lego telah dihasilkan
  • Jika semua bongkah Lego di susun, ianya dapat membalut bumi sebanyak 4 kali
  • Terdapat kira-kira 2,350 jenis bentuk bongkah dengan 52 jenis warna

Sehingga kini terdapat 9 Legoland di seluruh dunia, antaranya ialah :-
  • Legoland Billund Resort (Billund, Denmark; dibuka pada 1968)
  • Legoland Windsor Resort (Windsor, United Kingdom; dibuka pada 1996)
  • Legoland California (Carlsbad, San Diego County, California; dibuka pada 1999)
  • Legoland Deutschland Resort (Günzburg, Germany; dibuka pada 2002)
  • Legoland Florida Resort (Winter Haven, Florida; dibuka pada 2011)
  • Legoland Malaysia Resort (Iskandar Puteri, Johor, Malaysia; dibuka pada 2012)
  • Legoland Dubai Resort (Jebel Ali, Dubai, United Arab Emirates; dibuka pada 2016)
  • Legoland Japan (Nagoya, Japan; bakal dibuka April 1, 2017)
  • Legoland Korea (Chuncheon, Gangwon Province, South Korea; dibuka pada 2017)

Dan terdapat beberapa lagi Legoland Theme Park yang masih dalam rancangan pembinaan. Memang berbaloi dengan apa yang telah mereka usahakan selama berdekad naik turun dalam perusahaan permainan ini.

Isnin, 27 Februari 2017

Toyota Corolla Gen 1 Hingga Kini

Toyota Corolla merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Inilah model Toyota yang paling laris dengan jualan melebihi 43 juta unit di seluruh dunia. Sekali gus menewaskan model paling laris terdahulu iaitu Volkswagen Beetle.
Diperkenalkan sejak tahun 1966, Corolla kini sudah memasuki generasi kesebelas.  Untuk makluman anda, nama Corolla diambil daripada model Toyota Crown kerana Corolla bermaksud “mahkota bunga-bungaan” dalam bahasa Latin.
Menariknya bukan hanya Corolla, tetapi kebanyakan model Toyota bermula dengan huruf ‘C’ seperti Celica, Carina, Corsa dan Camry. Majoriti model terawal Corolla menggunakan pacuan roda belakang sebelum diubah ke pacuan roda hadapan.
  1. Generasi Pertama (E10/1966-1970)
Corolla generasi pertama diperkenalkan pada Oktober 1966 dengan menggunakan enjin 1100cc. Dua tahun kemudian Toyota Sprinter dikeluarkan dan dijual secara eksklusif melalui rangkaian pengedar Toyota di Jepun yang dikenali sebagai Toyota Auto Store. Pesaing terdekat Corolla waktu itu ialah Nissan Sunny (Datsun) dengan enjin berkapasiti 1000cc. Corolla mengatasi jualan Sunny dalam masa setahun dengan kelebihan 100cc.
  1. Generasi Kedua (E20/1970-1974)
Corolla E20 dihasilkan dengan bentuk badan yang lebih sporty. Varian enjin bersesaran 1,400 dan 1600cc juga ditambah kepada pilihan sedia ada. Nama Corolla dan Sprinter digunakan untuk membezakan kedua-dua model itu dari segi kemasan luaran dan dalamannya. Sementara Corolla Levin dan Sprinter Trueno pula diperkenalkan sebagai model berprestasi tinggi sebaik sahaja enjin baru dengan DOHC diperkenalkan pada Mac 1972 (TE27).

  1. Generasi Ketiga (E30, E40, E50, E60/1974-1979)
Corolla baru yang lebih besar dan berat diperkenalkan pada tahun 1974. Ia turut diperkenalkan dengan versi lifback dua pintu. E50 ialah Corolla yang dinaik taraf daripada E30. Manakala E60 pula ialah model Sprinter yang dinaik taraf daripada E40.

  1. Generasi Keempat (E70/1979-1983)
Rekaan terbaru Corolla generasi keempat menyaksikan model Corolla yang lebih bersegi. Rekaan hadapan dan belakang kelihatan cukup bersahaja dan kurang kompleks. Enjin siri A telah diperkenalkan bagi menggantikan enjin siri K dan T. Sistem pancitan bahan api turut diperkenalkan sebagai pilihan untuk pasaran Jepun.

  1. Generasi Kelima (E80/1983-1987)
Inilah Toyota LE yang cukup terkenal di Malaysia. Ia merupakan antara kereta termoden pada zamannya dengan bonet hadapan yang menurun ke depan dan but belakang yang tinggi. Sistem pancitan bahan api juga ditawarkan sebagai pilihan pada model E 80 ini.
Kebanyakan model pada ketika itu menggunakan sistem pacuan hadapan kecuali AE85 dan AE86 yang masih menggunakan pacuan roda belakang (FR).
Kod cesi AE 85 dan AE86 turut digunakan oleh Sprinter (termasuklah Sprinter Trueno yang sudah menjadi lagenda). Sprinter hampir menyerupai Toyota kecuali beberapa perbezaan kecil seperti lampu hadapan jenis pop-up.

  1. Generasi Keenam (E90/1987-1991)
Model ini kelihatan lebih aerodinamik dan selesa dipandu berbanding Corolla terdahulu. Masih menggunakan pacuan hadapan, tetapi ada juga beberapa model yang menggunakan sistem 4WD All-Trac. Enjin yang ditawarkan pula bermula daripada enjin 2E 1.3-liter sehinggalah enjin 4A-GZE dengan kuasa maksimum 165hp.

  1. Generasi Ketujuh (E100/1991-1995))
Diperkenalkan pada Jun 1991, E100 ataupun dikenali dengan nama Toyota Corolla SEG di Malaysia merupakan Corolla yang paling besar dan berat berbanding model-model sebelumnya.
Versi coupe AE101 Corolla Levin turut diperkenalkan, tetapi bukan untuk pasaran Malaysia. Semua enjin dibekalkan dengan sistem pancitan bahan api elektronik.

  1. Generasi Kelapan (E110/1995-2000)
Generasi kelapan kelihatan sedikit kecil dari segi saiz berbanding generasi terdahulu dan nampak lebih moden. Pada tahun 1998, buat pertama kalinya Corolla baru ini dilengkapi enjin baharu, 1ZZ-FE yang menggunakan blok dan kepala selinder aluminium. Ini menjadikannya lebih ringan berbanding E100.

  1. Generasi Kesembilan (E120, E130/2000-2006)
Diperkenalkan pada tahun 2000 dengan saiz yang lebih besar. Ia perkenalkan di negara Asia lain dan dikenali dengan nama Corolla Altis. Terdapat juga versi station wagon untuk pasaran Jepun dan dinamakan Corolla Fielder. Inilah wajah baru Corolla yang jauh lebih moden berbanding model sebelumnya.
Mempunyai banyak pilihan enjin daripada sekecil 1.4-liter sehingga 2.0-liter. Ia juga merupakan antara model Toyota yang paling popular.
  1. Generasi Kesepuluh (E140, E150/2006-2013)
Diperkenalkan di Jepun dengan nama Corolla Axio. Negara lain termasuk Asia masih mengenalinya dengan nama Corolla Altis. Mempunyai pilihan enjin paling banyak dari sekecil 1.3-liter sehinggalah 2.4-liter termasuk enjin diesel D-4D.
Urban road.
  1. Generasi Kesebelas (E160, E170/ 2013-Kini)
E160 merupakan Corolla generasi kesebelas untuk pasaran Jepun. Sementara E170 pula ialah untuk pasaran antarabangsa. E170 kelihatan lebih futuristik berbanding E160.
Pilihan enjin dikurangkan, tetapi pilihan transmisi bertambah dari 5-kelajuan manual sehingga 7-kelajuan automatik Super CVT-i (terdapat juga versi CVT-i 8-kelajuan untuk pasaran China). Toyota juga menekankan penjimatan bahan api yang optima untuk Corolla ini.

Untuk pasaran Malaysia, tiga varian Corolla Altis diperkenalkan iaitu 1.8E, 2.0G dan 2.0V. Kesemua varian dilengkapi transmisi CVT 7-kelajuan sports dengan tukaran sequential.
Kelahiran Corolla lima puluh tahun dahulu bertitik tolak daripada pemikiran inovatif, teknologi dan kemampuan membuat keputusan yang terbaik daripada pihak pengurusan Toyota.
Semua faktor tersebut menyumbang kepada perkembangan DNA Corolla yang telah diwarisi dari generasi ke generasi di Toyota Motor Corporation. Kini, dengan produksi keseluruhan melebihi 40 juta unit dan dipasarkan di lebih 150 negara di seluruh dunia, Toyota Corolla diakui sebagai “The World’s Most Popular Car”.

Ahad, 26 Februari 2017

6 Kegagalan Besar Richard Branson & Virgin Group

“If you haven’t failed yet, you haven’t been in the business long enough..”
– Sir Richard Branson
Richard Branson antara nama yang tidak asing lagi di mana-mana tempat seluruh dunia. Beliau yang merupakan antara billionaire dan tokoh usahawan tersohor serta dihormati ini ialah antara tunjang utama yang berjaya membangunkan jenama “Virgin” ke serata dunia dan menguasai pelbagai industri yang berbeza.
Dilahirkan pada 18 Julai 1950, beliau sangat dikenali sebagai pengasas kepada syarikat Virgin Group yang memiliki lebih 400 syarikat di bawahnya. Antara perniagaan yang berjaya di bawah jenama syarikat Virgin Group ialah:
  • Virgin Atlantic (Penerbangan)
  • Virgin Gaming (Permainan Video)
  • Virgin Mobile (Telekomunikasi)
  • Virgin Money (Perbankan)
  • Virgin Records (Syarikat Rakaman)
Beliau sebenarnya telah mengalami kerugian yang besar dalam perniagaan tetapi beliau masih kekal sebagai antara orang terkaya di dunia. Beliau dan syarikatnya telah melaburkan banyak wang dalam industri tertentu seperti pakaian, kosmetik dan sebagainya tetapi perniagaan ini tidak menguntungkan.
Dalam autobiografi beliau yang bertajuk, “Losing my Virginity” tanpa segan silu beliau bercerita mengenai kegagalan yang telah beliau hadapi dengan nada yang sangat tenang serta bersemangat – seolah-olah beliau sangat menikmati kegagalan tersebut sebagai satu pembelajaran dalam kehidupan beliau hingga berjaya seperti kini.
Tidak semua perniagaan yang beliau ceburi berjaya mendatangkan hasil yang menguntungkan. Ini kerana lain industri, lain pendekatan yang perlu dilakukan untuk memikat hati pengguna. Berikut antara 6 perniagaan Virgin Group yang mengalami kegagalan.

#1 – Virgin Cola

Virgin Cola diwar-warkan sebagai kegagalan terbesar bisnes jenama “Virgin” dan merupakan antara kegagalan yang sering diingati oleh Sir Richard Branson sendiri.

Pengajaran yang beliau dapat ialah jangan sekali-kali memandang rendah kepada pengeluar minuman utama di dunia. Ia satu kesilapan besar jika fikirkan bahawa syarikat mereka tidak ambil tahu. Jenama besar yang sudah lama bertapak tidak pernah ‘tidur’. Mereka sentiasa memerhati dan bersedia ‘mengetuk’ jenama-jenama baru ini bila-bila masa sahaja.

#2 – Virgin Bride

Virgin Bride dilancarkan di beberapa tempat di England pada tahun 1996 dan ketika pelancarannya, Richard Branson mencukur janggutnya dan memakai pakaian perkahwinan.

Namun begitu perniagaan dalam industri pakaian perkahwinan ini hanya bertahan untuk satu jangkamasa yang singkat sahaja. Kedai-kedai Virgin Bride berhenti mengambil tempahan pada Disember 2007 selepas mengalami kerugian akibat persaingan bisnes yang sangat kompetitif.

#3 – Virgin Vie

Virgin Vie merupakan jenama yang menjual barangan kosmetik dan kelengkapan yang didagangkan secara online, di kedai-kedai Virgin Store serta dari rumah ke rumah.

Selepas ditutup akibat jualan yang tidak memberangsangkan, jenama ini memfokuskan kepada konsep jualan langsung dan menjadi “Virgin Vie At Home”.

#4 – Virgin Clothing

Virgin Clothing membariskan pelbagai pilihan pakaian lelaki dan perempuan serta kasut-kasut dan aksesori. Ianya hanya dijual oleh para peruncit di UK dan kedai-kedai terpilih sahaja.

Virgin Group telah membayar untuk mendapatkan perkhidmatan rekabentuk iklan daripada agensi pengiklanan terbesar, Saatchi & Saatchi. Jenama Virgin Cloting ini akhirnya gulung tikar dan memberikan kerugian kepada para pemegang saham.

#5 – Virgin Megastore

Virgin Megastore merupakan kedai rangkaian peruncitan hiburan yang diasaskan Sir Richard Branson pada tahun 1976. Pada tahun 1979, syarikat ini membuka Megastore pertama mereka di hujung Oxford Street dan Tottenham Court Road.
Syarikat ini berkembang kepada beratus-ratus kedai-kedai di seluruh dunia pada tahun 1990-an, tetapi telah kehilangan sebilangan besar kedai-kedai pada tahun-tahun kebelakangan ini. Akibat daripada kesan pasaran muzik digital, kedai-kedai ini akhirnya ditutup pada tahun 2009.

Richard Branson turut mengakui perniagaan Virgin Megastore ini sudah beroperasi terlalu lama walaupun mengalami kerugian yang besar. Kegagalan beliau untuk menutup operasi kedai ini dengan segera mengakibatkan kerugian yang sangat banyak.

#6 – Virgin Express

Virgin Express merupakan syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Brussels, dilancarkan pada tahun 1996 untuk bersaing dengan EasyJet.

Namun selepas mengalami kerugian, penerbangan Virgin Express ini ditutup pada tahun 2006. Pada hari ini syarikat penerbangan ini beroperasi dengan menggunakan nama Brussels Airline.
Selain itu, beliau juga gagal untuk mengembangkan bisnes automobile retailer (Virgin Cars), kedai bunga (Virgin Flower), muzik digital (Virgin Pulse & Virgin Digital), laman social network (VirginStudent), pakaian dalam wanita (Virginware), minuman keras (Virgin Vodka) serta loteri (Virgin National Lottery).
Namun ia tidak menghalang beliau dan Virgin Group untuk meneroka peluang-peluang baru dalam pelbagai industri agar perniagaan mereka berkembang maju pada masa hadapan.
Gagal bukan bererti penamat, teruskan berusaha dan mencari peluang!

Sabtu, 25 Februari 2017

8 Tips Menyejukkan Rumah Dan Bilik Anda

Mesti ramai yang mengalami masalah tidak selesa rumah atau bilik yang panas kan? Kalau di pejabat tu lainlah kisahnya sebab aircon 24jam, tapi kalau di rumah pasang aircon 24jam alamat melambung bil lah. Itu bagi yang mampu pasang aircon, tapi bagi yang kurang berkemampuan memasang dan bayar bil yang lebih tinggi lagi bagaimana pula?
Jangan risau ada cara mudah untuk atasi suhu panas di rumah dan bilik anda itu.
Berikut adalah 8 tips mengatasi suhu rumah atau bilik yang panas yang patut anda cuba, di samping menjimatkan kos anda.

1. Letakkan besen berisi air di bilik

Sejukkan suhu dalam bilik tidur dengan besen-besen berisi air. Selalunya kita tertanya-tanya kenapa bilik air selalunya sejuk. Jawapan yang paling mudah ialah di dalam bilik air ada bekas air atau selalu disirami dengan air. Dikatakan dengan meletakkan besen-besen berisi air di dalam bilik, maka bilik akan bertambah sejuk kerana wap-wap panas di dalam rumah akan terserap ke dalam air di dalam besen itu tadi. Untuk kesan terbaik, gunakan besen air yang mempunyai luas permukaan yang besar bagi memudahkan penyerapan wap-wap panas di dalam bilik.

2. Pasang jaring kelambu besi dan buka tingkap pada waktu malam

Selalunya pada waktu malam, udara panas akan mengewap. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan membuka tingkap bagi membebaskan udara panas. Apabila udara panas, zarah-zarah udara akan semakin berjauhan, dan apabila tingkap dibuka, dengan mudahnya wap panas ini keluar. Namun, ada satu masalah lain, iaitu rumah atau bilik anda mungkin akan mudah dimasuki nyamuk. Pemasangan jaring yang halus lubangnya seperti kelambu boleh membantu mengatasi masalah nyamuk.

3. Pasang papan fiber di siling rumah

Fiber cement board. Siling jenis ini lebih murah dan senang diperoleh. Untuk memastikan ruang dalaman kelihatan sejuk, alaskan dengan fiberwool insulation. Ramai yang terpedaya dengan menggantikan kepada siling kumai di mana siling ini lebih mahal dan juga menjadikan ruang dalaman kelihatan rendah serta bersuhu panas. Siling baru eloklah dipasang mengikut bentuk bumbung supaya pasak kayu bumbung boleh dilihat. Siling yang tinggi juga mampu untuk menjadikan ruang dalaman rumah anda sejuk.

4. Guna lampu dari jenis kurang mengeluarkan haba

Anda disarankan untuk menggunakan ‘flourescent bulb’. Lampu jenis ini menawarkan jumlah kuantiti cahaya yang sama seperti ‘incandescent bulbs’ tetapi lampu ini mengeluarkan sedikit haba. Selain itu ‘flourescent bulbs’ juga kurang menggunakan tenaga elektrik.

5. Pokok ekor kucing boleh menyejukkan dalaman rumah

Tanaman hiasan dalaman juga boleh diletakkan di sudut rumah anda. Selain menjadikan ruang rumah anda kelihatan lebih segar dan menarik, ia juga dapat membantu menyejukkan ruang dalaman. Antara pokok hiasan hidup yang sesuai diletakkan di dalam rumah ialah ekor kucing, pokok palma, Anthurium sp.,Caladium sp., Dieffenbachia sp., Begonia sp. dan sebagainya.

6. Warna cerah di dinding rumah dapat memantulkan haba

Anda juga boleh mengecat dinding rumah dengan menggunakan warna yang cerah seperti biru cair, kuning cair dan sebagainya. Ini dapat membantu ruang dalaman rumah anda lebih sejuk kerana warna cerah dapat memantulkan semula cahaya. Selain itu, rumah anda juga akan kelihatan lebih cantik, tenang dan segar.

7. ‘Awning’ dapat mengurangkan pemanasan atap rumah

Anda digalakkan untuk memasang awning. Awning dapat membantu melindungi rumah anda dari cahaya matahari yang terlampau.

8. Jauhkan pendingin hawa dari tv dan komputer

Ini memang tak ramai tahu dan mungkin biasa terbuat. Jangan meletakkan penghawa dingin berhampiran televisyen atau komputer. Ini kerana televisyen dah komputer mengeluarkan haba yang banyak dan ini sekaligus membuatkan penghawa dingin terpaksa beroperasi lebih untuk menyejukkan ruang rumah anda.

Jumaat, 24 Februari 2017

Raja Kala Jengking Yang Sebenar ‘El-Loco’

Mula-mula orang cakap Henrikh Mkhitaryan ialah Scorpion King selepas gol menentang Sunderland. Tak lama kemudian orang cakap Olivier Giroud pula Scorpion King yang sebenar selepas jaringan beliau ke atas Stoke City.
Tapi rasanya gelaran itu tidak layak langsung untuk dua pemain ini. Kerana di dalam dunia bolasepak hanya ada satu sahaja Scorpion King yang sebenar dan namanya ialah Rene Higuita.
Pada 6 September 1995, ketika berlangsung aksi persahabatan England dan Colombia di Wembley, Higuita mempertontonkan kepada seluruh dunia aksi paling licik dalam sejarah bola sepak.
Hari itu menyaksikan kemunculan sulung ‘Sepakan Kala Jengking’ ciptaan Higuita. Teknik itu cukup mengagumkan apabila Higuita yang sepatutnya mudah menangkap bola tendangan pemain lawan, Jamie Redknapp, tidak berbuat demikian sebaliknya melayang dan membengkokkan badan lalu mengeluarkan bola dengan tumit.

Perlawanan itu mungkin hanya berkesudahan 0-0, namun aksi ‘Sepakan Kala Jengking’ membuatkan semua orang meninggalkan stadium dengan kenangan manis.
Penjaga gol legenda ini bukan setakat sekali sahaja melakukan aksi itu bahkan berkali-kali selepas pertama kali mempersembahkannya kepada dunia dalam perlawanan persahabatan menentang England pada tahun 1995.
Higuita juga memiliki rekod cemerlang, dihasilkan melalui sepakan penalti dan percuma. Dia menjaringkan 33 gol sepanjang karier di kelab dan pasukan kebangsaan.

Khamis, 23 Februari 2017

5 Penyebab Kerosakan Kompresor Penghawa Dingin Kereta

“Encik, compressor air-cond kereta encik sudah rosak. Kena tukar ni, harga lebih kurang RM2000.” Wow! Mesti terbeliak biji mata anda kan. Mana tidaknya, sekarang ini dah hujung bulan. Poket dah makin kering, ada habuk saja.
Berpusing kepala fikir sebab nanti nak bawa anak-anak pergi sekolah, pergi mencari rezeki, pergi jalan-jalan dan macam-macam lagi. Kadang-kadang terlintas juga, kalau aku seorang je, aku tangguh dulu baiki. Naik kereta pakai fresh air, hirup udara segar. Tapi dah ada family tak bolehlah macam ni, nak tak nak kena baiki juga.
Yang ada kad kredit terus swipe kad, yang tiada kad kredit berhutang dengan kawanlah nampaknya. Namun jika financial planning anda bagus, perkara ini tidak begitu menjejaskan anda. Baik, ini cerita lainlah kalau nak sembang pasal financial planning.
Ini cerita kenapa air-cond compressor rosak dan bagaimana anda boleh elakkan daripada duit anda melayang. Mungkin anda tidak dapatkan elak 100%, akan tetapi sekurang-kurangnya anda mengurangkan risiko berlakunya kerosakan. Jom kita lihat perkara-perkara utama yang kita perlu berjaga-jaga.

1. Kandungan Refrigerant (Gas) Yang Rendah

Apabila ada kebocoran dalam paip saluran refrigerant, kandungan gas akan berkurangan. Menyebabkan compressor anda terpaksa bekerja keras untuk mencapai suhu yang sejuk. Lama-kelamaan compressor akan rosak.

2. Kandungan Refrigerant (Gas) Yang Terlampau Tinggi

Jika sekiranya anda tidak bernasib baik terjumpa dengan mekanik yang kurang mahir, diisinya gas terlampau banyak mahupun tertukar jenis gas yang digunakan, maka terimalah duit anda melayang. Pastikan anda rujuk kepada manual air-cond kereta atau rujuk kepada yang pakar.

3. Coil Kotor

Pernah tengok coil? Kalau anda pernah tengok kat air-cond kat rumah atau belakang peti ais, anda nampak besi warna gangsa atau keemasan.
Jika ianya sangat kotor, ianya tidak dapat berfungsi seperti biasa menyebabkan compressor anda juga terpaksa bekerja lebih kuat untuk menyejukkan sistem. Lama-kelamaan compressor anda terlebih panas dan akhirnya rosak.

4. Masalah Litar/Komponen Elektrik

Yang ini seolah-olah silent killer. Kenapa ya? Yalah, bunyi macam kecil saja masalahnya kadang-kadang. Contoh wiring putus, fuse terbakar dan lain-lain kerosakan elektrik tetapi impaknya anda kena tukar compressor. Fuh melayang duit.
Seeloknya carilah mechanic/technician yang berpengalaman dan lakukan inspection atau servis secara berkala supaya kita dapat mengesan komponen-komponen yang mungkin rosak ataupun sudah rosak.

5. Kekurangan Lubricant

Jangan ingat enjin kereta saja ada lubricant. Compressor pun ada. Yang ini saya sendiri pun ambil ringan, maklumlah jarang dengar pula orang tukar lubricant compressor.
Yang pasti selepas beberapa tahun anda pakai kereta anda, anda mesti check kandungan lubricant compressor anda. Jika berkurangan maka silalah top up atau tukar sahaja lubricant baru.
Jika tanya kekerapan, saya pun susah nak cakap tapi bolehlah rujuk mana-mana technician yang jujur dan amanah tentang kekerapan menukar lubricant.
Kesimpulannya, bagi mengelakkan duit anda melayang lagi banyak, maka lakukanlah servis secara berkala air cond kereta anda.
Ianya memerlukan sedikit usaha dan labur sedikit wang demi menjaga air cond compressor kereta anda daripada rosak.
Yang pastinya harga tukar compressor memang mahal. Akhirnya rujuk kepada mechanic/technician yang amanah dan jujur berdasarkan pengalaman kawan-kawan ataupun review masyarakat awam.
Sekian dan semoga bermanfaat.

Rabu, 22 Februari 2017

5 Aktiviti Yang Anda Patut Lakukan Bagi Mengeratkan Hubungan Kekeluargaan

Kumpul bersama ahli keluarga menjadi lebih indah apabila dapat memanfaatkan masa dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan menyeronokkan sama ada di rumah atau tempat peranginan. Memandangkan tahun ini ramai merancang untuk berjimat, jadi saya nak kongsikan ini dengan anda.
Saya percaya 5 aktiviti mudah yang boleh dilakukan bersama ini baik untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan di rumah. Saya juga kategorikan aktiviti-aktiviti ini sebagai klasik aka evergreen sebab ia relevan daripada saya kecil sampai dewasa kini.


1. Gotong-Royong

Pastinya aktiviti ini bakal mengeluarkan peluh seisi keluarga. Semua bekerjasama membersihkan kawasan dalam dan luar rumah. Bahagi-bahagikan tugas, sama-sama ringankan kerja rumah. Puas hati apabila ibu bapa tersenyum gembira melihat rumah cantik berseri. Lagi syok, buat kejutan dekorasi untuk orang tua kita.

2. BBQ

Ini aktiviti kegemaran famili saya. Selalu buat BBQ apabila balik kampung di Kelantan. Aktiviti ini bagus kerana boleh memasak dan makan bersama yang secara tak langsung dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga terutama apabila masing-masing tinggal berjauhan kerana kerjaya atau pengajian. Waktu inilah setiap ahli keluarga boleh bekerjasama membakar daging dan ayam, menyediakan sos perapan dan pencicah, menyiapkan tempat makan, membeli barang basah, membasuh dan mengemas. Boleh juga buat gaya potluck. Best!

3. Movie Night

Tonton filem beramai-ramai bersama keluarga di rumah bagaikan mencipta momen menonton di panggung wayang. Bertambah seronok apabila filem atau drama yang ditayangkan itu dapat menepati citarasa seisi famili. Sebut tentang citarasa, saya teringat minggu lepas berjaya tonton 3 filem Malaysia lakonan Maya Karin iaitu Nota, Sejoli dan Pisau Cukur bersama ayah dan mama. Ketiga-tiga filem menepati citarasa dan mencapai “piawai” ayah sehingga mendapat pujian. Yeay! I’m happy.

4. Board Games

Permainan seperti Uno, Monopoly, Scrabble atau menyusun jigsaw puzzle boleh juga dijadikan salah satu aktiviti keluarga. Ia bukan sahaja dapat merapatkan hubungan, malah boleh tambah ilmu dan memupuk kesabaran juga. Tambahan pula tak perlu banyak persediaan atau ruang, tak perlu risau akan hujan atau panas. Boleh saja dilakukan di ruang tamu rumah. Pasti meriah dan kecoh terutama saat nak hampir menang gitu. Hehe.

5. Sembahyang Bersama

Ini antara kunci kebahagiaan keluarga. Jika diamalkan solat bersama famili pasti berasa tenang di hati. Apatah lagi selepas solat, ada pula sesi tazkirah dan tadarus al-Quran. Apabila dah biasa dengan suasana sebegini, pasti rindu mahukannya lagi.
5 cara di atas hanyalah cadangan. Anda boleh merancang aktiviti yang lebih dekat dengan ahli keluarga. Bagi saya, silaturrahim patut dijaga baik-baik dengan penuh kasih sayang, lembut, saling menghormati dan ambil berat. Sayang melihat hubungan kekeluargaan jadi rengang apabila ibu bapa sudah tiada. Selagi ada peluang, semaikan rasa cinta pada keluarga yang dianugerahkan Tuhan ini.
Kongsikan artikel ini dengan ahli keluarga. Semoga bermanfaat!

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...