Ahad, 12 Mac 2017

Kepentingan Kolagen Untuk Awet Muda

Kolagen merupakan sejenis protein yang sangat diperlukan oleh tubuh badan untuk memelihara keremajaan dan keanjalan kulit. Secara kasar, 33% dari protein dalam badan adalah protein kolagen, dan 75% kulit terdiri dari kolagen. Ia menyokong sebahagian besar sel-sel yang memberikan struktur, kekuatan dan kekenyalan kulit dan tisu badan.

Kolagen juga terdapat pada kornea, kanta mata, salur darah, keratin (rambut dan kuku), tulang, tendon, rawan sendi, gigi, hati, tulang sum-sum dan tisu dan organ seperti buah pinggang,jantung serta sistem limfa.


Semakin Berkurangan

Penghasilan kolagen berkurangan dengan kadar 1.5% pada setiap tahun selepas usia 25 tahun. Selepas usia 45-50 tahun, badan kita akan kehilangan hampir separuh daripada kolagen yang ada. Jadi, semakin tua, semakin berkurangan kolagen dalam badan.

Oleh itu kolagen diambil sebagai makanan kesihatan untuk pelbagai penyakit seperti osteoarthritis(sakit sendi), osteoporosis, arteriosclerosis selain untuk kegunaan kosmetik, pelembab kulit dan anti-penuaan.

Secara umumnya, kesan kekurangan kolagen adalan kesan-kesan penuaan seperti kulit kusam, berkedut dan kendur, pigmentasi kulit, cepat letih dan lesu, sakit badan dan sendi, mudah lupa, kurang penglihatan dan rambut semakin lemah dan kurang.


Menegangkan Kulit

Seringkali kolagen dikaitkan dengan kesihatan kulit manusia. Ia bersama-sama keratin menjadikan kulit kuat dan anjal. Kolagen menjadi kurang dengan bertambahnya usia, menyebabkan kulit menjadi berkedut. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ramai yang mencari-cari sumber dalam usaha menangani kesan ketara penuaan pada kulit.

Selain itu, kolagen diperlukan dalam hal perubatan, turut dijual sebagai suplemen bagi melancarkan pergerakan sendi. Kadang-kadang digunakan dalam merawat dan mengubat kes-kes melecur yang serius. Bagi merawat kes melecur, ia digunakan bagi mencipta ganti kulit palsu.

Sumber Kolagen

Kolagen boleh diperolehi daripada banyak sumber, antaranya ialah :

* lembu (bovine) – diternak secara tertutup contohnya di Australia dan New Zealand
* babi (porcine origin)
* haiwan laut – contohnya ikan, gamat, sirip jerung
* tumbuhan – contohnya kacang soya, buahan citrus
* yak – produk dari China
* manusia – plasenta, janin yang digugurkan

Oleh itu, adalah amat penting untuk memastikan sumber kolagen adalah daripada sumber yang halal. Antara sumber kolagen terbaik ialah kolagen bersumber ikan laut dalam, kerana mempunyai nilai protein yang tinggi dan jauh daripada pencemaran.

Kepentingan Kolagen

Mengekalkan kelembapan dan mencegah kedutan - kolagen merupakan komponen utama dalam kulit kita. Ia mempertingkatkan penghasilan sel-sel baru, membantu memelihara keremajaan kulit, melembut dan membuatkan kulit lebih bercahaya. Kolagen juga efektif untuk menghilangkan kedutan dan mencegah proses penuaan kulit.

Memulihkan masalah kulit - apabila kolagen disuntikkan ke dalam kulit yang terluka, ia akan menstimulasikan pertumbuhan sel-sel kulit baru dan menyediakan perlindungan kepada kulit. Kolagen sangat efektif untuk memulihkan parut, pengecutan ephithelium, kedutan dan garis-garis halus.

Mencantik dan menyuburkan rambut - nutrisi dalam kulit kepala sangat penting untuk memelihara kesihatan rambut. Kandungan kolagen dalam lapisan korium merupakan bekalan nutrisi kepada epidermis, rambut dan kuku. Kekurangan kolagen menyebabkan rambut kering dan bercabang, manakala kuku menjadi kusam dan mudah pecah.

Menegangkan payudara - kesan kolagen untuk menegangkan payudara sudah pun diketahui umum. Payudara sebenarnya terbentuk oleh jaringan-jaringan penyambung dan kumpulan lemak yang berperanan sebagai penyokong bagi pembentukan payudara. Kolagen bertindak dengan protein polisakarida untuk membentuk satu jaringan yang kuat untuk menyokong dan menegangkan payudara.

Menguatkan tulang - penyatuan kolagen yang secukupnya adalah penting untuk membentuk kerangka tulang yang kuat. Oleh itu,kolagen juga dikenali sebagai kerangka tulang. Masalah osteoporosis dan kekejangan kaki adalah berpunca daripada kehilangan kolagen yang membentuk 80% daripada jumlah kepadatan tulang sedangkan kehilangan kalsium, magnesium dan fosforus hanya 20%. Pengambilan kalsium tambahan sebenarnya tidak dapat menangani masalah tersebut. Hanya dengan pengambilan kolagen yang mencukupi dapat mengembalikan kepadatan tulang yang normal, dan juga dapat memperlambatkan osteoporosis.

Mencerahkan kulit dan mengurangkan pigmentasi - kolagen dapat merapatkan sel-sel dan mempercepatkan pembentukan sel-sel baru. Dengan fungsi ini, ia secara efektif dapat mencegah pengumpulan pigmen dan racun, membantu mencerahkan kulit dan mengurangkan pigmentasi.

Melambatkan proses penuaan kulit - seiring dengan peningkatan usia dan gaya hidup yang sibuk, kandungan kolagen dalam kulit akan semakin berkurangan dan kerana itu, kulit menjadi kering dan kusam. Pengambilan kolagen secara berterusan dapat membantu kulit untuk menyeimbangkan semula kolagen yang berkurangan.

Sumber : sihatselalu.com

Sabtu, 11 Mac 2017

5 Perubahan Ciri Kereta Lama Dan Baru

Kemajuan dalam teknologi pembuatan kenderaan membuatkan para pengeluar berlumba antara satu sama lain untuk memperkenalkan ciri-ciri baru pada kenderaan keluaran mereka.
Walaupun pada hakikatnya sesuatu teknologi itu sudah lebih dari mencukupi, mereka akan sentiasa mencari idea-idea baharu yang lebih kreatif untuk memikat pembeli. Antara kesan proses ialah kita menghadapi pelbagai masalah baru sedangkan sebelum ini ia bukannya merupakan satu masalah pun.
Semakin kereta bertambah dan berkembang, kita dapat lihat yang sesetengah bahagian tidak mampu digantikan dengan walaupun dengan teknologi terkini. Kalau ada pun, ia memang tidak sesuai dan lari daripada konsep asal.
Berikut adalah beberapa aspek kemajuan automobil yang membuatkan kita kembali mengimbas ke belakang sewaktu kereta-kereta adalah lebih ringkas tanpa bantuan pelbagai alat elektronik canggih.


1. TIANG-A YANG KECIL (PILLAR A)
Jika anda orang lama macam kami mesti anda perasan yang tiang-A pada kereta sekarang adalah jauh lebih besar berbanding kereta-kereta terdahulu. Ini adalah kesan daripada piawaian keselamatan yang menjadi semakin ketat tahun demi tahun.
Ia memang diakui sebagai sesuatu yang positif tetapi pada masa yang sama ia juga mengganggu penglihatan (blind spot) yang juga tidak kurang pentingnya jika dinilai dari aspek keselamatan. Bukan itu sahaja, bahagian sisi tingkap kenderaan turut ditinggikan atas nama keselamatan.
Susah betul nak ambil angin stail dulu-dulu dengan meletakkan siku di atas birai tingkap kereta. standard baru keselamatan ini sekaligus telah membuatkan bukan hanya tiang-A tetapi tiang-B dan juga C turut bertambah ‘gemuk’.
Jika anda tidak percaya, cuba pandu kereta-kereta lama seperti Datsun 120Y ataupun Volkwagen Beetle dan anda akan dapati adalah cukup mudah untuk anda mengawasi kenderaan dari kiri dan kanan anda kerana saiz tiang-A yang cukup kecil tidak menghalang pemanduan anda. Kini saiznya yang hampir sebesar batang pinang memang membuatkan anda perlu lebih berhati-hati sebelum keluar simpang. Ia lebih selamat tetapi pada masa yang sama mengundang bahaya. Ironik bukan?

2. KUNCI VS BUTANG START/STOP
Satu ketika dulu kita cuma perlu masuk ke dalam kereta, tutup pintu, pusing kunci penghidup dan pandu.
Kini dengan kereta-kereta moden, permulaan pemanduan bagaikan persediaan untuk menerbangkan sebuah pesawat ringan. Apatah lagi banyak juga kereta yang memerlukan anda memilih mod pemanduan yang dimahukan, amaran penggunaan pemain audio sambil memandu, tetapan suhu penyaman udara (kecuali model yang mempunyai mod auto) dan mencari capaian Bluetooth untuk telefon pintar anda.
Itu baharu contoh, banyak lagi sebenarnya apatah lagi dengan kecanggihan teknologi kenderaan pada masa kini.
Satu lagi ciri yang kami agak terasa kehilangan ialah penggunaan kunci penghidup. Memang ia cukup penting atas nama keselamatan khususnya buat pemanduan wanita yang mahu cepat-cepat memasuki kereta selepas seharian bekerja ataupun membeli-belah tetapi rasanya unit kawalan jauh sudah memadai untuk memudahkan anda membuka pintu kereta dari jauh.
Malah berapa sangatlah tenaga yang diperlukan untuk memusingkan kunci penghidup untuk memulakan perjalanan? Lagi satu kalau kunci Volkswagen ayah saya rosak atau hilang dahulu, kos untuk membuat kunci gantian cuma RM2. Berapa agaknya kos nak repair kunci start-stop Honda Jazz kalau rosak. Itu belum masuk kunci Mercedes sekarang pula mesti ditempah dari Stuttgart agaknya.

3. GANGGUAN DARI ‘BIBIK’ ELEKTRONIK
Apa pula bibik eletronik ni? Ia merupakan sistem kawalan cengkaman ataupun Traction Control yang memang diprogramkan agar dalam keadaan aktif setiap kali kereta anda bergerak. Ia sedikit sebanyak menghalang keseronokan pemanduan (Contohnya sekali sekala nak buat aksi bodoh dalam keadaaan terkawal, drift ala kampung).
Logiknya mudah sahaja, kurangnya kemampuan pemandu untuk membuat aksi bodoh akan mengurangkan jumlah kemalangan. Walaupun fungsi ini memang boleh dinyahaktif tetapi ia memakan masa beberapa saat dan sesetengah model tidak boleh dinyahaktif seratus peratus untuk keselamatan. Payah juga bila ada bibik yang tak pernah tidur ni.

4. KEMASAN KROM
Kemasan krom yang memberikan kilauan tambahan pada sesebuah kereta kini sudah semakin dilupakan (Bukan aksesori krom plastik kedai aksesori okey). Ia bukan hanya disebabkan oleh trend yang semakin berubah tetapi juga kerana faktor penjagaan alam sekitar yang dikatakan tercemar dengan penggunaan bahan-bahan kimia sewaktu proses saduran dilakukan.
Walaupun terdapat pelbagai cara untuk menyerlahkan kilauan sesebuah permukaan baik dari sudut luaran mahupun dalaman kereta namun tidak ada satupun yang memberikan efek yang sama dengan kemasan krom yang sebenar.
Lihat sahaja perbezaan yang ada pada sebuah Mercedes-Benz klasik dan yang terkini, mungkin catnya lebih bagus tetapi ada sesuatu yang telah hilang yang menjadikannya lebih elegan.

5. STERENG BERKUASA TANGAN
Suatu ketika dahulu, boleh dikatakan hampir kesemua kereta menggunakan stereng manual tanpa bantuan kuasa ataupun terkini dengan teknologi elektrik. Kebaikan stereng manual ialah ia membolehkan anda berkomunikasi dengan kereta anda.
Bukan bermaksud perlu bercakap dengan kereta tetapi stereng anda membolehkan kita merasai keadaan kenderaan dan permukaan jalan. Stereng dengan bantuan kuasa pula menghilangkan deria rasa dengan bantuan kuasa bagi mengurangkan penggunaan tenaga sewaktu memutar stereng.
Anda masih boleh merasa keadaan permukaan jalan termasuk keadaan tayar tetapi tidak sebaik kenderaan dengan stereng manual.
Namun begitu ia mungkin sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kereta-kereta moden juga sudah semakin besar sama seperti kita yang semakin gemuk kerana melantak makanan segera setiap hari.
Namun sebenarnya masih ada kereta moden dengan stereng manual untuk peminat yang mahukan sensasi pemanduan yang sebenar seperti Alfa Romeo 4C. Satu sajalah masalahnya. Ia terlalu mahal.
Mungkin ada beberapa ciri lain yang kami terlepas pandang. Jangan segan atau malu untuk memberikan komen dan cadangan anda.

Jumaat, 10 Mac 2017

Tips Untuk Kesegaran Dalam Kenderaan Anda

Masalah kereta berbau berpunca dari makanan atau sisa makanan yang tertinggal dalam kereta. Disebabkan itu, jangan amalkan makan dalam kereta. Bila kereta dah keluarkan bau tak menyenangkan, jadi salah siapa? Tapi jangan risau, kami ada cara mudah untuk hilangkan bau busuk dalam kereta. Senang je, ikut sahaja tips ini okay! Tak perlu berhabis wang untuk bagi kereta bau harum sepanjang masa. Balik rumah nanti boleh cuba buat pastu letak dalam kereta ya. Selamat mencuba!
Berikut adalah cara-cara yang ditunjukkan olehnya:
1. Sediakan 1 bekas plastik. Ambil 1 getah gelang.
2. Ambil sehelai kertas tisu.
3. Satu sudu besar kopi.

Letak dalam bekas, tutup dengan tisu dan ikat dengan getah lalu simpan di bawa kerusi kereta anda. Sifat kopi menghilangkan bau. Boleh juga diganti dengan hirisan daun pandan.
Insyaallah, kita terhindar dari pemakaian pewangi sintetik kimiawi yang dapat merosak paru-paru dan jimat ratusan ringgit per tahun utk membeli pewangi kereta.
Selamat mencuba dan jangan sekali kali tukar kopi dengan serbuk teh kerana lain baunya nanti!

Khamis, 9 Mac 2017

URAL – Motosikal Zaman Perang Dunia Kedua

Nama Ural mungkin agak asing bagi kita di Malaysia tetapi motosikal tiga roda ini mempunyai sejarah dan pengaruh yang cukup panjang sejak dari zaman Perang Dunia Kedua.
Ia bermula bila pihak Soviet Union memperolehi rekaan dan teknik pembuatan motosikal BMW R71 pada tahun 1940. Motosikal Ural pertama yang dinamakan M-72 telah berjaya dihasilkan pada tahun 1941.
Army troops on Ural motorcycles
Pada asalnya kilang Ural terletak di Moscow, Leningrad dan Kharkov tetapi kemudiannya telah dipindahkan ke Irbit dan Gorky untuk mengelak kemaraan pihak Jerman sewaktu peperangan.
Sejarah syarikat Ural ini bermula sejak dari Perang Dunia Kedua di mana pihak Soviet memerlukan kenderaan khusus untuk mobiliti ketenteraan khususnya untuk bersaing dengan pihak Jerman. Pemimpin Soviet ketika itu, Joseph Stalin mengarahkan pihak tentera untuk bersedia untuk mempertahankan Soviet Union dari serangan darat tentera Jerman.
Satu mesyuarat telah diadakan oleh Kementerian Pertahanan Soviet dan mereka memutuskan motosikal adalah kenderaan yang paling sesuai untuk kegunaan Tentera Merah itu. Pihak Tentera Merah mahukan sebuah motosikal yang moden sesuai dengan kegunaan mereka. Ini kerana motosikal yang sedia ada tidak memuaskan hati pihak tentera.
Mereka telah memilih motosikal BMW dengan sidecar yang dinamakan R71 sebagai model untuk motosikal baru mereka. Lima unit motosikal tersebut telah dibeli secara sulit sebelum dibawa masuk ke Soviet untuk ditiru oleh para jurutera mereka.

Ia dileraikan dan dijadikan acuan untuk projek motosikal baru Tentera Merah sebelum prototaipnya ditunjukkan kepada Stalin. Beliau bersetuju dengan rekaan tersebut dan proses pengeluarannya segera dimulakan. Sebuah model asal yang dibeli secara sulit itu masih ada sehingga ke hari ini dan dipamerkan di muzium Ural di Rusia.
URAL ADALAH SYARIKAT GLC
Perusahaan Ural di Russia masa kini dimiliki sepenuhnya oleh pemerintah dan jika ada pegawai kerajaan yang ingin memiliki motosikal, mereka mesti membeli motosikal Ural (nasib baik Malaysia tidak membuat peraturan yang sama, mesti beli motosikal Modenas).
Keterbukaan dasar kerajaan juga telah membolehkan Ural menggunakan komponen-komponen motosikal yang diimport dari luar negara.
Kini motosikal Ural telah dimodenkan dengan gabungan pelbagai alat ganti dari seluruh dunia. Sebagai contoh ia kini dilengkapi dengan enjin empat lejang 750cc dengan teknologi suntikan bahan api, gear empat-kelajuan dengan tambahan gear mengundur, penyerap hentak moden dan brek cakera pada ketiga-tiga roda.

Rekaan luarannya bagaimanapun masih dikekalkan dengan imej tahun 40-an yang cukup klasik. Bahagian badan dan luaran termasuklah rim bagaimanapun masih dihasilkan menggunakan logam besi yang kukuh. Tidak ada aksesori yang dihasilkan menggunakan plastik murah pada motosikal ini.
Sama seperti pengeluar motosikal lain, Ural kini menggunakan khidmat pembekal luar untuk menghasilkan komponen motosikal mereka. Mereka mendapatkan alternator dari syarikat Nippon-Denso, brek dari Brembo, sistem penghidup dari Ducati Energia dan banyak lagi syarikat lain.
Hanya bahagian kerangka, enjin dan bahagian badan dihasilkan sendiri. Ia masih kelihatan seperti replika Ural tahun 1940 yang lengkap dengan meter kelajuan analog.

Di Rusia, kebanyakan jalan-jalan desa mempunyai kualiti yang kurang baik dan motosikal Ural sangat tahan lasak merupakan satu keperluan buat penduduk luar bandar. Tetapi kini, motosikal Ural mula dieksport ke serata dunia seperti Australia, Eropah, Asia Barat, Amerika Selatan dan banyak lagi. Di Asia ia juga telah memasuki pasaran Indonesia.
Hubungan yang baik antara pemerintah Indonesia khususnya Presiden Jokowi dan Presiden Rusia Vladimir Putin membolehkan Ural terjual di Indonesia. Sehingga hari ini dikhabarkan lebih daripada 20 unit motosikal Ural telah terjual di negara jiran itu. Ia dipasarkan menerusi PT Hobby Motor Indonesia. Model paling laris dinamakan Gear Up dan berharga RP 425 juta.

Motosikal Ural bukannya dihasilkan untuk peminat kelajuan tetapi lebih kepada peminat motosikal sejati yang menghargai nilai sejarah dan sentimental yang ada pada sebuah motosikal.
Jika motosikal keluaran Jepun telah menjajah kita dari segi ekonomi, Ural pula pernah menguasai dunia dalam peperangan yang sebenar. Ia meletakkan namanya sebaris dengan wira-wira perang dunia seperti kereta kebal Panzer dan U-Boat Jerman, Jip Willy’s Amerika dan pesawat pejuang Mitsubishi Zero dari Jepun.

Rabu, 8 Mac 2017

Legasi Bluebird Coupe 510

Ya. Kereta kecil saiz ala-ala Saga BLM, dua pintu dengan attached hood belakang. Idea ini datang pada tahun 1970-an, lama sebelum kereta lagenda macam Mazda MX-5 dilancarkan pada penghujung tahun 1980-an.

Konsep kereta macam ini kadang-kadang macam tak masuk akal. Logiknya, buat apa nak jarakkan pintu untuk sebuah kereta murah? Kereta-kereta coupe/convertible/spyder adalah konsep Eropah/Amerika yang asalnya untuk tema Gran Touring. Tengok sejarah Jaguar, Corvette dan Pontiac, kereta sedan tak dibuat dengan betul sampaikan payah nak jumpa pada hari ini.
Nak jumpa kereta macam ni boleh kira tahap mustahil di Malaysia. Malah di Jepun sendiri, model macam ni mengalami masalah kepupusan yang kronik. Di Jepun sekarang, main kereta Olskool dah jadi hobi orang kaya.

Semuanya berebut, daripada body kereta reput sampailah ke alat ganti yang diburu hingga ke lubang cacing. Dalam banyak-banyak kereta yang saya cakap ni, Nissan 510 adalah antara senarai teratas dengan harga barang-barangnya yang tak masuk akal.
Realiti untuk main kereta macam ini cabarannya sangat kuat. Kalau acah-acah baru minat kereta sekolah lama lepas tu nak bermula dengan 510, nasihat para otai, baik jangan. Melainkan duit bukan halangan atau memang dah niat nak jadikan kereta ni lebih buruk dari asal. Kalau ada duit banyak tapi tak ada semangat pun tak boleh juga. Membuat badan kereta ni merupakan kerenah paling besar.

Tapi macamana kalau dapat badan coupe?
Itu cerita lain. 510 coupe berada dalam kelas tersendiri dan sudah tentulah tidak murah kalau nak beli. Korang ingat boleh jumpa iklan kereta ni tiap-tiap bulan dalam mudah? Mungkin timbul 5 tahun sekali dan saya rasa ada berapa buah sahaja di Malaysia.

nggapan saya zaman itu masih sama. Masa tahun 1970-an, siapa nak beli kereta murah dua pintu? Tentu yang betul-betul minat, mampu dan nak lari daripada tema Alfa Romeo, Fiat dan Mercedes.
Waktu kereta ini dibawa balik dari penjual pertama, keadaannya tidaklah secantik ni. Badan pun tinggal masa nak runtuh. Tetapi disebabkan keinginan pemilik baru memiliki sesuatu yang luar biasa, kereta ini telah dipulihkan sesempurna mungkin. Buat body je berapa tahun baru siap. Korang tak tau, jangan ingat macam nak repair ketuk Myvi.

Kerja peningkatan tidak dibuat pada enjin asal yang masih boleh diharap lagi. Apa yang diganti ialah sebuah karburetor SU. Pemiliknya pun tak kisah, janji badan kereta cantik dan guna rim yang betul.
Kereta ‘anugerah’ ini dipadankan dengan rim RS Watanabe 14X7 di depan dan 14X7.5 belakang. Kalau nak buat stail kanjo memang tak cukup lebar. Ada dua cara sebenarnya. Guna rim buka 9-10 inci belakang dengan fender flare atau kekalkan macam ni, nampak macam 70-an dengan fender trim rata.

Set suspensi direndahkan untuk mendapat set-up level begitu. Bahagian depan kasi modified potong spring. Sementara bahagian belakang pula guna set suspensi daripada Toyota AE86. Semua brek kereta ni tak diusik. Senang cakap, sentuhan modifikasi pada kereta ini sangat minimalis.
Bahagian dalaman pun sama. Semuanya nampak kepada proses restorasi semula dengan kit kulit/PVC. Papan pemuka kemas cantik, memang payah nak jumpa 510 dipelihara begini. Stereng yang nampak lain tu datang dari model Datsun versi Competition.

Sejak kebelakangan ini, kami dihujani pelbagai pertanyaan yang selama ni tak pernah terlintas nak jawab. Contohnya, ramai yang minat nak tahu macam mana nak bawa balik kereta macam ni dari Jepun, ssebab nak cari di sini memang tahap tak munasabah. Jawapannya boleh. Tunggu saya jadi menteri MITI.
Memang boleh, ada 2 cara iaitu dapatkan Permit Import (AP) kereta klasik atau AP pelajar/pekerja yang lebih 12 bulan duduk luar Malaysia. AP terbuka biasa memang tak boleh sebab kereta mestilah dalam lingkungan usia 5 tahun.
Kalau ada jalan nak dapat kelulusan pelikbinajaib ini barulah boleh uruskan dari sebelah Jepun, beli dan serahkan pada agen eksport untuk siapkan semua. Saya tengah usha satu Hakosuka jadi-jadian ni. Baru-baru ni ada orang post gambar di  port sebijik Hakosuka kuning. Sapa punya tu?

Selasa, 7 Mac 2017

5 Tips Hilangkan Bau Tangan Selepas Makan

Tak feel rasanya kalau makan durian atau gulai tempoyak menggunakan sudu. Makanan macam ni memang kena makan guna tangan. Tapi lepas makan tu, mesti tangan akan berbau. Basuh guna sabun pun masih kuat bau tu.
Ada 5 bahan semulajadi yang boleh guna untuk hilangkan bau tu:
1.GULA
Ambil satu sudu teh gula dan gosokkan pada tangan selama 2-3 minit. Kemudian bersihkan dengan air.

2. LIMAU
Ambil potongan limau nipis atau lemon dan gosokkan perlahan-lahan pada tangan selepas dibersihkan dengan sabun. Kemudian dibilas dengan air bersih seperti biasa.

3. CUKA
Gunakan hanya 1-2 sudu besar cuka dan gosok pada tangan. Urut lembut tangan dan kemudian dibilas. Selepas itu, cucilah tangan dengan sabun seperti biasa.

4. GARAM
Sama seperti gula, ambil sedikit garam dan gosokkan pada tangan. Biarkan seketika sebelum dibersihkan dengan air.
Salt spilled from shaker
5. DAUN SELASIH
Basahkan sedikit tangan dan gosokkan daun selasih pada tangan. Selepas itu, bolehlah dibersihkan dengan air.


Isnin, 6 Mac 2017

Mengenali Kamera, SLR & DSLR

Artikel kali ini akan menerangkan tentang jenis kamera yang selalu digunakan dalam fotografi, SLR dan DSLR. Terdapat beberapa perbezaan antara kedua-dua jenis kamera ini dan mungkin ada yang mnganggap kamera SLR dan DSLR adalah sama. Sebenarnya ada persamaan dan ada juga perbezaan. Ada juga yang menganggap ‘SLR’ dan ‘DSLR’ ini adalah model kamera seperti Nikon, Canon, Sony dan sebagainya. sebenarnya tidak. Ia adalah antara jenis kamera dan mempunyai ciri-ciri tertentu.
Bercakap tentang SLR, apa yang dimaksudkan dengan SLR? ada yang memberi tafsiran sendiri seperti ‘single light ray’. SLR sebenarnya membawa maksud ‘single lens reflex’. Kamera SLR pula ialah:
Satu kamera yang biasanya menggunakan satu sistem cermin dan prisma (‘reflex’ dari pantulan cahaya) yang membenarkan jurugambar untuk melihat dengan tepat apa yang akan ditangkap (captured) melalui ‘viewfinder’. Ini membolehkan jurugambar untuk melihat bahagian dalam kamera itu sendiri dan melihat imej sebenar yang dibentuk oleh lens.

Terdapat 3 jenis kamera SLR:
  • Manual type – semua setting dikawal secara manual.
  • Automatic type – setting telah ditetapkan secara automatik (bilt-in program)
  • Semi-automatic type – kombinasi kedua-dua jenis (manual dan automatic)
DSLR pula ialah ‘digital single lens reflex’ (digital-SLR). maksudnya lebih kurang seperti SLR (telah diterangkan di atas) tetapi ada penambahan perkataan ‘digital’. Jadi, apakah perbezaan antara kedua-dua jenis kamera ini? Ada orang kata sama je kedua-dua nie..
Perbezaan antara kamera SLR dan kamera DSLR. Antaranya ialah:
  • SLR menggunakan filem manakala DSLR pula menggunakan memory card sesuai dgn namanya Digital-SLR. Filem terhad kepada 36 keping gambar (kebiasaan) manakala memory card boleh memuatkan beratus atau beribu keping gambar (bergantung kepada saiz memory card).
  • SLR merupakan Full Frame Format yang menggunakan 35mm filem, manakala DSLR pula byk yang menggunakan ‘crop sensor’ atau istilah lain APS-C. Tetapi sekarang dah ada DSLR yang mempunyai Full Frame seperti Nikon D800, , D3x, D3s, D4, D5,Canon 5D MK II, 5D, 1D MK IV dan sebagainya.

  • DSLR menggunakan sensor (CCD atau CMOS) untuk menukarkan cahaya kepada pixel, SLR hanya menggunakan filem kamera biasa.
  • Dari segi penggunaan, DSLR lebih praktikal kerana boleh tengok terus hasil gambar yang diambil, manakala SLR menggunakan filem, tak boleh tengok hasil yang diambil sebelum dicuci.
  • Cara penggunaan SLR dan DSLR hampir sama seperti setting untuk ISO, shutter speed, aperture, dan lain-lain. Kedua-duanya juga mempunyai jenis manual dan jenis automatik.
  • Untuk mengambil gambar menggunakan SLR, kene pastikan jarum exposer berada di kedudukan normal, jika tidak gambar akan over atau under. DSLR tak perlu, hanya snap! (nama pun digital).
  • Disebabkan SLR menggunakan filem, jadi nak cuci gambar kenalah hantar kt kedai atau cuci kt dark room (agak susah dan leceh). DSLR hanya guna memory card, boleh print sndiri kt rumah.
  • Contoh kamera SLR ialah Nikon FM10 dan FM2, contoh kamera DSLR Nikon D3400, D500 dan D5. (aku bg contoh nikon je sbb aku suka nikon..hehe.. nk lain, blh google)

Kebiasaan fotografer sekarang menggunakan DSLR kerana lebih mudah berbanding SLR walaupun harganya agak mahal. Mungkin dah takde fotografer menggunakan SLR kerana mempunyai banyak kekurangn berbanding DSLR.

Ahad, 5 Mac 2017

Evolusi Ford Tahun ke-113

Pada tahun 1903, Henry Ford dan 11 orang pelabur asal telah menandatangani perjanjian untuk menubuhkan Ford Motor Company. Apa yang mereka ada hanyalah satu impian, wang tunai sebanyak $28,000 dan beberapa buah peralatan.

Sejak Model T pertama mereka yang “‘meletakkan dunia di atas roda” – Ford sering menjadi peneraju dalam banyak aspek industrI automotif. Warisan inovasi ini telah membawa kepada pelbagai kemajuan hebat pada kenderaan. Terbaharu, Ford bertanggungjawab dalam menghasilkan teknologi-teknologi baharu dan perintis seperti enjin EcoBoost yang penuh kuasa.
Inovasi-inovasi Penting Ford

Pengilangan
Pada tahun 1913, bagi membantu memenuhi permintaan terhadap Model T, Henry Ford telah memberi perhatian untuk menambah baik proses pengilangan. Saluran pemasangan bergerak mungkin satu sumbangan terhebat Ford Motor Company terhadap proses pengilangan automotif.

Ia membolehkan pekerja untuk berada di satu tempat dan melakukan tugas sama secara berulang-ulang ke atas kenderaan berbeza yang melalui mereka.
Proses ini membantu Ford mengatasi para pesaingnya dan dapat menghasilkan “kereta yang sangat mampu milik sehinggakan tiada orang yang berpendapatan bagus tidak mampu memilikinya.”

Keselamatan
Rekod prestasi Ford dalam memperkenalkan ciri-ciri keselamatan termaju bermula pada tahun 1927, apabila syarikat mula menghasilkan kaca tingkap bersalut plastik yang pertama.
Perubahan besar juga berlaku pada tahun 1956 apabila tali pinggang keselamatan mula dipasang di kilang.Pada tahun 1999, Ford menjadi syarikat pertama yang memperkenalkan beg udara untuk perlindungan kepala dan dada pemandu pada kenderaannya. Pada tahun yang sama, Ford membangunkan BeltMinder™, teknologi amaran penggunaan tali pinggang keledar yang diambil mudah oleh kebanyakan pemandu pada hari ini.

Teknologi itu menerima pujian daripada Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika Syarikat kerana ia telah meningkatkan penggunaan tali pinggang keledar dalam kalangan pemandu.
Antara inovasi keselamatanterbarutermasuklah Active City Stop yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran ketika memandu pada kelajuan rendah. Sistem itu memantau trafik yang tidak bergerak di hadapan dan akan membrek secara automatic sekiranya ingin berlaku pelanggaran.

Sebagai tambahan, Blind Spot Information System atau BLIS Ford meningkatkan kepekaan pemandu dengan member amaran apabila melepasi kenderaan yang berada dalam titik buta mereka menerusi lampu isyarat LED pada cermin sisi. Kedua-dua teknologi ini dipasang pada Ford Focus serba baharu di pasaran Asia Pasifik.

Salah satu pencapaian terkini Ford ialah enjin 1.0 liter  EcoBoost. Ia merupakan enjin bersesaran kecil dalam keluarga enjin EcoBoost global yang turut merangkumi enjin 1.6 dan 2.0 liter empat silinder serta dua varian enjin 3.5 liter V6.
Biarpun kecil, enjin1.0 liter EcoBoost mampu menjana kuasa mencecah 125PS untuk menyaingi enjin 1.6 liter konvensional, pada masa yang sama menjimatkan penggunaan bahan api.

Membuktikan bahawa saiz tidak penting, enjin1.0 liter EcoBoost mencatat pencapaian mengagumkan apabila memenangi angerah enjin terbaik antarabangsa (International Engine of the Year) selama dua tahun berturut-turut pada tahun 2012 dan 2013. Para pemandu di Asia Pasifik boleh merasai sendiri kuasa enjin ini pada kenderaan seperti Fiesta baharu.
Ketika Ford meraikan sejarah 111 tahunnya pada bulan Jun ini, komitmen tidak berbelah-bahagi syarikat terhadap inovasi terus meletakkan jenama ini berada di posisi yang kukuh di pasaran Malaysia dan di seluruh dunia, ketika ia terus maju dalam industry automotif secara keseluruhannya.

Sabtu, 4 Mac 2017

Kisah Kejayaan Syarikat Adabi

Bermula dengan dua produk kegunaan harian pada awal 1970an, siapa sangka produk perintis itu terus menjadi titik tolak kepada pengasasnya untuk mula mempelbagaikan produk bagi memenuhi pasaran semasa.


Nama Datuk Syed Manshor Syed Mahmood mungkin jarang didengar tetapi sumbangan dan peranannya dalam memajukan produk rempah ratus jenama Adabi tidak dapat dipertikaikan lagi.Mengimbau sejarah produk jenama Adabi, Syed Manshor adalah individu pertama yang mengusahakan perniagaan itu dengan menjual tepung goreng pisang dan perencah nasi goreng di pasar basah sekitar Kuala Lumpur awal 70an.
Jenama Adabi dikeluarkan oleh Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, pengeluar rempah ratus dan makanan terkemuka di Malaysia. Bercerita tentang sejarah, jenama dan falsafah yang cuba diketengahkan jenama itu suatu ketika dahulu dijual tanpa menggunakan jenama dan kebanyakkan resipi dihasilkan ilham daripada ibu saudaranya. Dengan sambutan yang kian bertambah, beliau akhirnya mula memberi identiti kepada produknya. Bermula 1984, jenama Adabi mula dikomersilkan secara agresif. Logo produk mula dibentuk; ekoran permintaan kian bertambah, kilang perngeluaran pertama dibina di kawasan perindustrian Batu Caves.

Sajian istana di zaman silam dipilih sebagai moto bagi memberi gambaran yang lebih jelas kepada produk sekaligus memberi kelainan bagi mencapai standard untuk tujuan eksport dan pasaran tempatan. Dari segi logo, semuanya lahir secara tidak sengaja dan tercetus ketika Syed Manshor melihat buku sekolah anak perempuannya. Logo itu dikatakan memberi gambaran tentang keunggulan rempah ratus masyarakat melayu di samping mengembalikan kegemilangan makanan dan sajian melayu sejak berkurun lama.
Melihat peluang dan pasaran yang kian stabil, Adabi terus mengorak langkah dan pada 1986 Adabi berpindah ke kilang yang lebih besar di Taman Perindustrian Kepong di samping kilang tambahan di Taman Perindustrian Ehsan dalam tahun 1990 dan 1992.

Sehingga kini, 80 hingga 90 peratus produk dikeluarkan menerusi kilang di Rawang, manakala produk sardin dihasilkan oleh kilang di Indonesia. Kawasan itu juga merangkumi gudang untuk penggumpulan stok, pusat pentadbiran serta penyelidikan dan pembangunan produk.Kini, produk Adabi telah membentuk empat segmen yang terdiri daripada serbuk rempah ratus, pes, sos soya dan tepung campuran dengan tiga jenama dalaman seperti Adabi, Lazat dan produk terbaru berasaskan minuman, Asfa yang terdiri daripada minuman soya, asam jawa dan air mineral.

Memiliki kumpulan penyelidik yang kuat dan kreatif, yang sentiasa berdedikasi untuk mencipta produk makanan baru dan inovatif. Syarikat telah berkembang dengan pesat, iaitu daripada 25 kakitangan dan jualan tahunan sebanyak RM2 juta pada tahun 1984, sehingga ke kedudukan saat ini yang mana mempunyai lebih dari 400 anggota dan mensasarkan jualan tahunan sebanyak RM120 juta dapat dikaitkan dengan kejayaan syarikat yang telah berjaya memperkenalkan pelbagai produk baru sepanjang beberapa dekad.
Adabi telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan terhadap memastikan kualiti produk keluaran. Bahkan, produk Adabi adalah yang pertama untuk menerima sijil Halal dari Jabatan Hal Islam dari Jabatan Perdana Menteri. Di antara anugerah yang lain yang dimenangi adalah Superbrand Status (Reader’s Digest Malaysia), International Makanan & Minuman Award (New Millenium Award – Paris) dan Anugerah Kecemerlangan Industri (MITI) dan Anugerah Produk Terpuji (Institut Teknologi Pangan Malaysia).

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...