Kemajuan dalam teknologi pembuatan kenderaan membuatkan para
pengeluar berlumba antara satu sama lain untuk memperkenalkan ciri-ciri
baru pada kenderaan keluaran mereka.
Walaupun pada hakikatnya sesuatu teknologi itu sudah lebih dari
mencukupi, mereka akan sentiasa mencari idea-idea baharu yang lebih
kreatif untuk memikat pembeli. Antara kesan proses ialah kita menghadapi
pelbagai masalah baru sedangkan sebelum ini ia bukannya merupakan satu
masalah pun.
Semakin kereta bertambah dan berkembang, kita dapat lihat
yang sesetengah bahagian tidak mampu digantikan dengan walaupun dengan
teknologi terkini. Kalau ada pun, ia memang tidak sesuai dan lari
daripada konsep asal.
Berikut adalah beberapa aspek kemajuan automobil yang membuatkan kita
kembali mengimbas ke belakang sewaktu kereta-kereta adalah lebih
ringkas tanpa bantuan pelbagai alat elektronik canggih.
1. TIANG-A YANG KECIL (PILLAR A)
Jika anda orang lama macam kami mesti anda perasan yang tiang-A pada
kereta sekarang adalah jauh lebih besar berbanding kereta-kereta
terdahulu. Ini adalah kesan daripada piawaian keselamatan yang menjadi
semakin ketat tahun demi tahun.
Ia memang diakui sebagai sesuatu yang positif tetapi pada masa yang sama ia juga mengganggu penglihatan
(blind spot) yang
juga tidak kurang pentingnya jika dinilai dari aspek keselamatan. Bukan
itu sahaja, bahagian sisi tingkap kenderaan turut ditinggikan atas nama
keselamatan.
Susah betul nak ambil angin stail dulu-dulu dengan meletakkan siku di
atas birai tingkap kereta. standard baru keselamatan ini sekaligus
telah membuatkan bukan hanya tiang-A tetapi tiang-B dan juga C turut
bertambah ‘gemuk’.
Jika anda tidak percaya, cuba pandu kereta-kereta lama seperti Datsun
120Y ataupun Volkwagen Beetle dan anda akan dapati adalah cukup mudah
untuk anda mengawasi kenderaan dari kiri dan kanan anda kerana saiz
tiang-A yang cukup kecil tidak menghalang pemanduan anda. Kini saiznya
yang hampir sebesar batang pinang memang membuatkan anda perlu lebih
berhati-hati sebelum keluar simpang. Ia lebih selamat tetapi pada masa
yang sama mengundang bahaya. Ironik bukan?
2. KUNCI VS BUTANG START/STOP
Satu ketika dulu kita cuma perlu masuk ke dalam kereta, tutup pintu, pusing kunci penghidup dan pandu.
Kini dengan kereta-kereta moden, permulaan pemanduan bagaikan
persediaan untuk menerbangkan sebuah pesawat ringan. Apatah lagi banyak
juga kereta yang memerlukan anda memilih mod pemanduan yang dimahukan,
amaran penggunaan pemain audio sambil memandu, tetapan suhu penyaman
udara (kecuali model yang mempunyai mod auto) dan mencari capaian
Bluetooth untuk telefon pintar anda.
Itu baharu contoh, banyak lagi sebenarnya apatah lagi dengan kecanggihan teknologi kenderaan pada masa kini.
Satu lagi ciri yang kami agak terasa kehilangan ialah penggunaan
kunci penghidup. Memang ia cukup penting atas nama keselamatan khususnya
buat pemanduan wanita yang mahu cepat-cepat memasuki kereta selepas
seharian bekerja ataupun membeli-belah tetapi rasanya unit kawalan jauh
sudah memadai untuk memudahkan anda membuka pintu kereta dari jauh.
Malah berapa sangatlah tenaga yang diperlukan untuk memusingkan kunci
penghidup untuk memulakan perjalanan? Lagi satu kalau kunci Volkswagen
ayah saya rosak atau hilang dahulu, kos untuk membuat kunci gantian cuma
RM2. Berapa agaknya kos nak repair kunci start-stop Honda Jazz kalau
rosak. Itu belum masuk kunci Mercedes sekarang pula mesti ditempah dari
Stuttgart agaknya.
3. GANGGUAN DARI ‘BIBIK’ ELEKTRONIK
Apa pula bibik eletronik ni? Ia merupakan sistem kawalan cengkaman
ataupun Traction Control yang memang diprogramkan agar dalam keadaan
aktif setiap kali kereta anda bergerak. Ia sedikit sebanyak menghalang
keseronokan pemanduan (Contohnya sekali sekala nak buat aksi bodoh dalam
keadaaan terkawal, drift ala kampung).
Logiknya mudah sahaja, kurangnya kemampuan pemandu untuk membuat aksi
bodoh akan mengurangkan jumlah kemalangan. Walaupun fungsi ini memang
boleh dinyahaktif tetapi ia memakan masa beberapa saat dan sesetengah
model tidak boleh dinyahaktif seratus peratus untuk keselamatan. Payah
juga bila ada bibik yang tak pernah tidur ni.
4. KEMASAN KROM
Kemasan krom yang memberikan kilauan tambahan pada sesebuah kereta
kini sudah semakin dilupakan (Bukan aksesori krom plastik kedai aksesori
okey). Ia bukan hanya disebabkan oleh trend yang semakin berubah tetapi
juga kerana faktor penjagaan alam sekitar yang dikatakan tercemar
dengan penggunaan bahan-bahan kimia sewaktu proses saduran dilakukan.
Walaupun terdapat pelbagai cara untuk menyerlahkan kilauan sesebuah
permukaan baik dari sudut luaran mahupun dalaman kereta namun tidak ada
satupun yang memberikan efek yang sama dengan kemasan krom yang sebenar.
Lihat sahaja perbezaan yang ada pada sebuah Mercedes-Benz klasik dan
yang terkini, mungkin catnya lebih bagus tetapi ada sesuatu yang telah
hilang yang menjadikannya lebih elegan.
5. STERENG BERKUASA TANGAN
Suatu ketika dahulu, boleh dikatakan hampir kesemua kereta
menggunakan stereng manual tanpa bantuan kuasa ataupun terkini dengan
teknologi elektrik. Kebaikan stereng manual ialah ia membolehkan anda
berkomunikasi dengan kereta anda.
Bukan bermaksud perlu bercakap dengan kereta tetapi stereng anda
membolehkan kita merasai keadaan kenderaan dan permukaan jalan. Stereng
dengan bantuan kuasa pula menghilangkan deria rasa dengan bantuan kuasa
bagi mengurangkan penggunaan tenaga sewaktu memutar stereng.
Anda masih boleh merasa keadaan permukaan jalan termasuk keadaan tayar tetapi tidak sebaik kenderaan dengan stereng manual.
Namun begitu ia mungkin sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana
kereta-kereta moden juga sudah semakin besar sama seperti kita yang
semakin gemuk kerana melantak makanan segera setiap hari.
Namun sebenarnya masih ada kereta moden dengan stereng manual untuk
peminat yang mahukan sensasi pemanduan yang sebenar seperti Alfa Romeo
4C. Satu sajalah masalahnya. Ia terlalu mahal.
Mungkin ada beberapa ciri lain yang kami terlepas pandang. Jangan segan atau malu untuk memberikan komen dan cadangan anda.