Kisah hidup Rasulullah SAW yang menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.
1. Pernah seorang Arab Badwi menarik dengan begitu kasar jubah buatan
Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga
berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah SAW tidak marah, malah
menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.
2. Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan
duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh
Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu
ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan
menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan
kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.
3. Rasulullah SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak
kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, “Engkau mencium anak kecil, ya
Rasulullah?” Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium
anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, “Barang siapa tidak
mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”
4. Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-sahabatnya. Jika seorang
Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya, “Ke
mana perginya si polan si polan itu…”
5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW, tidak pernah
baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat mengambil
berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang
menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70 hajatnya.”
6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam
Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab
itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, “Biarkan dia
menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah SAW
sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab
Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.
7. Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin
Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak
dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota
tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat
penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk
menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi
Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya
ini rasul-Nya.” Malaikat menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda
terus berdoa untuk penduduk Thaif: “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi
kaumku, mereka tidak mengetahui.”
8. Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit paha atas paha dengan
Rasulullah SAW. Baginda membiarkannya sahaja untuk menjaga hati Sahabat
tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk
bersamanya.
9. Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda
oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang
ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah
SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali
itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa.
Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak
akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.
10. Satu ketika seorang musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW
sedang berehat di satu batu. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya
di leher Rasulullah SAW dan berkata, “Siapa yang akan menyelamatkan
nyawa kamu dan tanganku?”
Rasulullah SAW spontan menjawab, “ALLAH!”
Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.
Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, “Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?”
Da`thur tergamam dan menjawab, “Tiada siapa.”
Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang
ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah
syahadah (masuk Islam).
11. Rasulullah SAW sangat penyayang dengan anak-anaknya dan
bertimbangrasa dengan isteri-isterinya. Pada kesilapan isteri-isterinya,
baginda selalu memberi maaf. Baginda juga membantu kerja-kerja rumah
dan menampung jubah dan kasutnya sendiri.
12. Rasulullah SAW selalu berjalan dengan fakir miskin dan sering
menziarahi janda-janda, bertanya akan keperluan hidup mereka. Bahkan
dengan orang-orang miskin dan melarat, baginda selalu duduk bersama
mereka, berbual, makan minum dan bermesra dengan mereka.
13. Pernah di satu pagi Hari Raya, Rasulullah SAW bertemu seorang
kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya,
“Mengapa engkau menangis?” Kanak-kanak tersebut menjawab, “Ayah saya
telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya
terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk
berhari raya.” Rasulullah SAW mengalirkan air mata mengenangkan nasib
kanak-kanak tersebut. Baginda berkata: “Sukakah kamu kalau aku menjadi
ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulullah) menjadi ibumu?” Sungguh tidak
terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah
SAW yang mulia menjadi ayahnya. Baginda pun membawa pulang kanak-kanak
tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu dimandikan, dipakaikan dengan baju
raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu,
begitulah gembiranya hati Rasulullah SAW kerana dapat menggembirakannya.
14. Pada ketika yang lain, dalam perjalanan menuju ke pasar, Rasulullah
SAW melihat seorang budak (hamba sahaya) sedang menangis di tepi jalan.
Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak itu menjawab bahawa dia
menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah hilang. Rasulullah
SAW terus mengganti duit yang hilang itu dengan duit baginda sendiri.
Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak yang sama
masih menangis. “Kenapa kamu masih menangis?” tanya Rasulullah SAW.
“Kali ini saya menangis kerana takut dimarahi dan dipukul oleh tuan saya
kerana saya sudah terlambat pulang dan pasar,” jawab budak itu.
Untuk mengelakkan budak itu daripada dimarahi, Rasulullah SAW sendiri
menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita.
Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali memberi salam,
barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW bertanya,
“Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?” Wanita-wanita itu
menjawab, “Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami
mendapat doa daripada Rasulullah SAW banyak kali…”
Rasulullah SAW terus menerangkan mengapa budak itu lambat. Baginda
meminta supaya budak itu tidak dirotan, tetapi sekiranya mereka tidak
puas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan.
Lantas Rasulullah SAW menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata
Rasulullah SAW itu, kumpulan wanita itu lantas berkata, ” Tidak, ya
Rasulullah. Mulai sekarang, kami merdekakanlah budak ini.” Itulah kesan
kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
16. Rasulullah SAW berjiran dengan seorang Yahudi. Baginda sangat
menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang
menyakiti hati jirannya malah baginda selalu menghadiahkan makanan dan
lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.
17. Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir
zimmi. Baginda bersabda: “Siapa yang menzalimi kafir zimmi walaupun
orang Islam sayalah pembelanya (penebusnya).”
18. Rasulullah SAW juga sangat mengasihi binatang. Baginda melarang
kanak-kanak menyeksa binatang. Untuk menyembelih binatang, Rasulullah
SAW berpesan supaya menggunakan pisau yang tajam, agar binatang
tersebutcepat mati dan tidak lama dalam kesakitan. Rasulullah SAW sering
mengingatkan supaya unta-unta dan himar tidak dibebani oleh muatan yang
berlebihan daripada apa yang sanggup ditanggung. Pernah seekor kucing
tidur atas serban Rasulullah SAW. Maka baginda menggunting bahagian
tempat kucing itu tidur di atasnya kerana tidak mahu mengejutkan kucing
tersebut. Ketika dalam perjalanan dan Madinah ke Makkah di tahun
kemenangan, Rasulullah melihat seekor anjing di tepi jalan. Anjing itu
mengeluarkan suara seakan-akan membujuk anaknya yang sedang
mengerumuninya untuk menyusu. Maka Rasulullah meminta seorang Sahabat
untuk menjaga jangan sampai ada dan kalangan anggota rombongan baginda
yang mengganggu anjing itu dan anak-anaknya. Ketika Rasulullah melihat
seekor himar yang telah diberi tanda dengan besi panas di mukanya,
baginda menentangnya dan melarang haiwan diberi tanda dan dipukul di
mukanya.
19. Ketika Rasulullah meninggalkan kabilah Saqif, ada seorang lelaki
yang memohon kepada beliau, “Wahai Rasulullah, berdoalah untuk
kebinasaan mereka.” Rasulullah berkata, “Ya ALLAH, berilah petunjuk
kepada kabilah Saqif dan bawalah mereka (ke jalan yang benar).”
20. Satu ketika Abu Zar keluar bersama hamba sahayanya yang berpakaian
seperti apa yang beliau pakai, lalu ada orang bertanya, “Mengapa kamu
berbuat demikian?” Abu Zar menjawab, beliau mendengar Rasulullah
berkata: “Hamba sahaya itu adalah saudaramu, mereka di jadikan oleh
ALLAH di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa saudaranya di bawah
kekuasaannya (di bawah jagaannya), hendaklah dia memberi makan dengan
apa yang dia makan dan memberi pakaian dengan pakaian yang is pakai, dan
janganlah hamba itu disuruh melakukan pekerjaan di luar batas
kemampuannya. Apabila mereka diperintahkan bekerja maka bantulah
mereka.”
INILAH sebahagian daripada cerita-cerita sebagai bukti betapa pengasih
dan pemaafnya Rasulullah SAW, model agung kecintaan yang paling unggul
dan patut dicontohi oleh manusia sepanjang zaman. Cerita-cerita itu
menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW sama ada kepada
manusia atau bintang, yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam ...
Sila Share wahai sahabat.. agar seluruh umat sedar akan agungnya akhlak Rasulullah s.a.w ..
Allah Taala berfirman dalam Surah Al ~ Qalam :: 4
" Wainnaka laa'la khuluqin azim "
( Sesunguhnya engkau ( Muhammad ) yang mempunyai akhlak terpuji ) ..