drmaza.com
Al-Quran
tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah
dalam syurga atas bahu isterinya Hawa. Sekalipun Bible dan
riwayat-riwayat Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa
adalah punca yang menyebabkan Adam memakan buah larangan dalam syurga,
namun al-Quran tidak pernah menyatakan demikian.
Menurut
al-Quran, kesalahan tersebut ditanggung oleh kedua belah pihak.
Sementara Bible (Genesis 3:6-17) menceritakan Hawa (Eve) telah
mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan telah menghukum Hawa dengan
diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut oleh
riwayat-riwayat Israiliyyat yang sering dibaca oleh sesetengah
penceramah di masjid dan surau. Namun, para pengkaji hadis mendapati
riwayat-riwayat itu tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan
dengan apa yang disebut dalam al-Quran.
Al-Quran menyebut:
“dan
Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu dalam
syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu
berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu
menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang
zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari
syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka
telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian
dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua
disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga
ke suatu masa (mati)”. (Surah al-Baqarah: 35-36).
Dalam Surah Taha pula Allah berfirman:
“dan
(ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:
“Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia
enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini
musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan
kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan
menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu,
bahawa kamu tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang.
Dan sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan
merasa panas matahari”. Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan)
kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan
kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup selama-lamanya, dan
kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”. Kemudian mereka berdua
memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat
masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga;
dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan
(dari mencapai hajatnya). (Surah Taha: 116-121).
Ayat-ayat
ini jelas bahawa kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke
bumi, bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca
dari kelemahan Adam sendiri yang ditipu oleh Iblis, yang akhirnya dia
dan isterinya terlibat bersama dalam kesalahan tersebut. Ini berbeza
dengan Bible. Berbeza juga dengan cerita-cerita sesetengah penceramah
agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa dari riwayat Israiliyyat,
ataupun Bible atau diwarisi cerita dari satu ustaz ke satu ustaz tanpa
dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.
Lebih buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi episod
‘kartun’ yang
dimuatkan. Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis sehingga
mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan ke
dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah:
“Semuanya
ini dari sumber Bani Israil yang mereka tokok tambah dan mencampurkan
antara yang benar dan yang batil”.(Dr. Muhammad Abu Syahbah,
al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179. Kaherah:
Maktabah al-Sunnah).
Maka, umat Islam atau lelaki
muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya
bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruh yang
kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita,
namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang
kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.
Muslihat Wanita
Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan
‘usikan’ wanita atau lebih jelas
‘muslimat’ mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan
‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki
‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya. Perancangan atau
‘plot’ wanita
begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan
kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya
Zulaikha) dalam kisah Yusuf:
“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat”. (Surah Yusuf: 28).
Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah
Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya
The Prophet Joseph menterjemahkan perkataan
Kaid sebagai
scheme yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau:
“..this
word, which I have translated as scheme means guile and plotting that
could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic
Book Trust).
Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa
‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan
‘kaid’ atau perancangan halus dan
‘sulit’ wanita.
Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun
bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika
perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali
mereka yang memenangkan takwanya atas godaan atau
kaid tersebut.
Nabi s.a.w pernah bersabda:
“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sabda baginda juga:
“Sesungguhnya
dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di
atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada
(fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, karena
sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya”
(Riwayat Muslim).
Maka, tidak hairan berapa ramai
pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau
isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan
disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin
kerana gelagat isterinya. Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang
memakai gelaran
‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan
masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri
pemimpin di pelbagai peringkat.
Elena Ceausescu
Maka,
tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania
Nocolae Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania
disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman
kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan
pengawal yang soleh terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan
boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau
kaid mereka.
Perhiasan Terindah
Namun
wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada
lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan
kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik
seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita
benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah lelaki
yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka
tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w
bersabda:
“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” (Riwayat Muslim).
Ada
harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada
wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan
dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah
yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda
Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan
suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila
menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” (Riwayat
al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani).
Sabda Nabi s.a.w juga:
“Tiga
dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia
mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga
dirinya dan harta engkau” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai
hasan oleh al-Albani)
Untuk menjadikan
wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika
tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang,
seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami
yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri
yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.