Khamis, 28 November 2019

Pantun Budi Siri 9

81.    Kalau berladang menanam keladi
Keladi dibawah ke tanah seberang
Kalau dagang pandai berbudi
Sampai mati dikenang orang

82.    Perahu nelayan berlayar ke seberang
Sampan kolek mudik ke hulu
Kalau budi dikenang orang
Mengapa dagang terbuang lalu

83.    Burung pipit burung kedidi
Hinggap di pokok di tepi sawah
Jika hidup tidak berbudi
Ibarat pokok tidak berbuah


84.    Di sana padi di sini padi
Padi huma dari seberang
Di sana budi di sini budi
Barulah nama disebut orang

85.    Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima ksih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

86.    Anak itik pandai menari
Anak angsa terlompat-lompat
Rupa cantik dapat dicari
Budi bahasa mana nak dapat

87.    Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

88.    Di sana padi di sini padi
Padi huma dari seberang
Di sana budi di sini budi
Barulah nama disebut orang

Rabu, 27 November 2019

Pantun Budi Siri 8

71.    Terang bulan kapal belayar
Singgah sebentar di Ulu Tanjung
Berjuang tak minta dibayar
Berkhidmat tak minta disanjung

72.    Sayang Musalamah memakai sanggul
Turun ke sawah menanam padi
Emas berkoyan sanggup ku pikul
Aku tak sanggup menanggong budi

73.    Turun ke sawah menanam padi
Padi dijual di Pekan Desa
Jangan selalu menanggong budi
Kelak badan jadi binasa

74.    Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman

75.    Kalau tuan ke Kampong Baru
Singgah sebentar di Kampong Desa
Kalau tuan jadi tetamu
Pandai-pandailah berbudi bahasa   

76.    Air tenang di Tanjung Tuan
Mudik ke teluk membawa umpan
Bila terkenang budimu tuan
Nasi sesenduk tidak termakan

77.    Dalam peti kain kasa
Dalam dulang buah delima
Niat di hati nak buat jasa
Tapi orang tak menerima   

78.    Teluk Emas Tanjung Ketapang
Tempat Uda mengail tenggiri
Bersalut emas hebat dipandang
Budi bahasa ke mana pergi 

79.    Ambil sebiji buah kelapa
Dikopek sabut unggun api
Di dalam hati tak kan lupa
Bagai rambut bersimpul mati

80.    Ada padi adalah beras
Ditanak nasi bulan puasa
Ada budi adalah balas
Orang berbudi kita berbahasa

Selasa, 26 November 2019

Pantun Budi Siri 7

61.    Budak-budak menumbuk padi
Padi huma dari Pelembang
Kalau hidup tidak berbudi
Tentu hina dipandang orang

62.    Pergi ke pekan membeli papan
Papan dibuat pelantar mandi
Mati ikan kerana umpan
Mati insan kerana budi

63.    Anak itik terenang-renang
Renang mari dalam perigi
Adat budi dikenang-kenang
Budi baik dibawa mati


64.    Rosak peti kerana padi
Rosak padi kerana bunganya
Rosak hati kerana budi
Rosak budi kerana orangnya

65.    Rosak pandan kerana padi
Rosak padi kerana bunganya
Rosak badan kerana budi
Rosak budi kerana orangnya

66.    Dari Daik ke Tanjung Jati
Sampan berlaboh membawa setanggi
Kalau baik niat di hati
Budi ditabur disanjung tinggi

67.    Kampung Paya Pantai Peringgit
Nampak dari Kampong Gangsa
Orang kaya berbudikan ringgit
Orang miskin berbudikan bahasa

68.    Kalau ribut runduklah padi
Padi cupak Datuk Temenggong
Kalau hidup tidak berbudi
Duduk tegak berdiri canggong

69.    Tegak rumah kerana sendi
Rosak sendi rumah binasa
Tegak bangsa kerana budi
Rosak budi bangsa binasa

70.    Kalau ribut rundaklah padi
Padi cupak Datuk Temenggong
Kalau hidup tidak berbudi
Seperti tegak berdiri condong

Isnin, 25 November 2019

Pantun Budi Siri 6

51.    Dari mana hendak ke mana
Sayang Cik Mamat menjual padi
Kasih tidak sejauh mana
Hati terkenang kerana budi

52.    Dari mana hendak ke mana
Dari sawah turun ke padi
Duduk jauh di mana-mana
Budi tak lupa di dalam hati

53.    Dewa Sakti melayang ke Daik
Hendak mencari Dewa Jaruga
Kalau ada budi yang baik
Sampai ke mati orang tak lupa

54.    Jurumudi mana haluannya
Barat daya angin kencang
Baik budi apa balasnya
Doa minta umur panjang
      
55.    Layang-layang terbang melayang
Putus tali sambong benang
Siang malam terbayang-bayang
Budi bahasa terkenang-kenang

56.    Kemas rumah di waktu senja
Anak buaya naik mencuri
Emas intan ada harga
Budi bahasa sukar dicari

57.    Sungguh banyak duri mengkuang
Baik-baik terkena tangan
Banyak sungguh budimu tuan
Tidak ku lupa sepanjang zaman

58.    Bukan saya pergi ke Daik
Sudah ke Daik menali benang
Orang baik dibalas baik
Sudah baik selalu dikenang

59.    Anak angsa mati lemas
Mati lemas di air masin
Hilang bangsa kerana emas
Hilang budi kerana miskin

60.    Angkat sauh kembangkan layar
Kapal berlayar pulang ke Langkat
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi hati terikat

Ahad, 24 November 2019

Pantun Budi Siri 5

41.    Kain batik kain kasa
Dilipat disimpan dalam peti
Orang baik budi bahasa
Diingat juga sampai mati

42.    Orang Daik pulang ke Daik
Ambung-ambung bertali benang
Kalau ada budi baik
Sampai mati akan dikenang

43.    Pondok menjadi bangsal
Bangsal ada di hujung desa
Usul menunjukkan asal
Bahasa menunjukkan bangsa


44.    Anak beruk di kebun cina
Diberi makan dari jeti
Mas perak kebesaran dunia
Budi bahasa di bawa mati

45.    Anak empat disangka enam
Ibunya lari tinggallah seorang
Sakit diubat mati ditanam
Tentulah budi dikenang orang

46.    Anak merak Kampong Cina
Singgah berhenti kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa tak dapat dicari

47.    Bila pasang alur Cik Malik
Belum pasang tenang di hulu
Bila dikenang  budi yang baik
Belum makan kenyang dahulu

48.    Buat rakit batang kelapa
Anyam ketupat daun mengkuang
Bukan cantik dipandang mata
Kerana budi jiwa tertawan

49.    Bukan laras saya nilaikan
Sebab uni tumbuh di pancur
Bukan paras saya gilakan
Kerana budi hatiku hancur

50.    Cuci kain cucikan baju
Mari beralas di atas papan
Sukat air menjadi batu
Saya tak lupa budimu tuan

Sabtu, 23 November 2019

Pantun Budi Siri 4

31.    Pacak lokan panggang lokan
Lokan tersangkut di papan kemudi
Kakak bukan saudara pun bukan
Tersangkut sedikit kerana budi

32.    Padi perak berdaun suasa
Emas merah warna buah
Sudah berbudi lagi berbahasa
Itulah tanda bistari bertuah

33.    Pucuk manis pucuk langgudi
Daun purut digetus rusa
Yang manis bernama budi
Yang indah itu bahasa

34.    Pucuk palas si daun palas
Tetak mari beranti-ranti
Bukan berbudi minta dibalas
Asal ingat di dalam hati

35.    Pulau Daik banyak kelapa
Pulau Karimon banyak pegaga
Budi baik payah dilupa
Beribu tahun dikenang juga

36.    Semenjak kentang dibuat gulai
Ubi tidak dikari lagi
Semenjak wang jadi pemakai
Budi jarang dipeduli lagi

37.    Tebang kayu  buatkan sampan
Sampan dibuat siap kemudi
Ikan mati kerana umpan
Manusia mati kerana budi

38.    Ulit tenang mudik suasih
Pergi ke teluk menorah papan
Bila terkenang budi kasih
Nasi sesenduk tidak termakan

39.    Anak angsa mati lemas
Lemas mati di air masin
Hilang bangsa kerana emas
Hilang budi kerana miskin

40.    Banyak ubi perkara ubi
Ubi mana orang tanamkan
Banyak budi perkara budi
Budi yang mana orang kenangkan

Jumaat, 22 November 2019

Pantun Budi Siri 3

21.    Kalu ada menanam tebu
Boleh dijual di pasar desa
Kalau kita jadi tetamu
Biar pandai berbudi bahasa

22.    Kalau ada peria pahit
Belanga baru jerang udang
Kalau ada jasa baik
Jadi abu dikenang orang

23.    Kalau udang dibuat gulai
Daging rusa dimasak kari
Kalau wang menjadi pemapai
Budi bahasa pengiring diri

24.    Kuala Deli airnya jernih
Tempat bermain ikan gelama
Pokok mati meninggalkan benih
Manusia mati meninggalkan nama

25.    Limau manis batang berduri
Batang selasih dalam dulang
Mulut manis kerana budi
Hati kasih kerana sayang

26.    Marilah kita menanam padi
Padi ditanam tanah bendang
Marilah kita menabur budi
Supaya kita dikenang orang

27.    Masak udang dalam perahu
Ubi rebus terletak di padang
Zaman sekarang kalau nak tahu
Budi hangus menjadi arang

28.    Nanas dijual di pasar niaga
Ramai orang datang membeli
Emas perak perhiasan dunia
Budi bahasa perhiasan diri

29.    Orang  Aceh menanam padi
Padi tumbuh nampak jarang
Antara kasih dengan budi
Budi juga dikenang orang

30.    Orang hulu menebang jati
Orang darat memetik palas
Kalau nak tahu budi sejati
Tidak berhajat minta dibalas

Khamis, 21 November 2019

Pantun Budi Siri 2

11.    Bagaimana kalau tak ikat
Ikat dengan duri-durinya
Bagaimana aku tak ingat
Orang baik hati budinya

12.    Banyak saya menabur padi
Padi habis dimakan amerang
Banyak saya menabur budi
Emas juga dipandang orang

13.    Banyak duri perkara duri
Tidak sama duri mengkuang
Banyak budi perkara budi
Tidak sama budimu seorang


14.    Banyak duri perkara duri
Mana sama duri selasih
Banyak budi perkara budi
Manakan sama budi kekasih

15.    Tanam cempedak di luar kota
Tumbuh rendang condong ke desa
Orang nan tak pandang harta
Tapi memandang budi bahasa
  
16.    Inang-inang padi Pak Daik
Padi tak sama rupa bunganya
Sungguh ku kenang budi yang baik
Tidak ku lupa selama-lamanya

17.    Kain berlipat dalam istana
Pakaian puteri raja kayangan
Sepatah nasihat ilmu yang berguna
Secubit budi jadi kenangan

18.    Kain perai baju pun perai
Letak mari atas peti
Hancur badan tulang berkecai
Budi tuan dibawa mati

19.    Kain songket berkodi-kodi
Tersusun indah di atas peti
Biar pun sedikit bernama budi
Guna menempah jasa bakti

20.    Kait kelapa  kukur kelapa
Kupas ubi buat pengat
Hendak ku lupa tak terlupa
Kerana budi sudah terpikat

Rabu, 20 November 2019

Pantun Budi Siri 1

1.    Tenang-tenang air di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik rasa nak junjung

2.    Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

3.    Bunga cina di atas batu
Jatuh daunnya ke dalam ruang
Adat dunia memang begitu
Sebab emas budi terbuang

4.    Anak beruk di tepi pantai
Pandai melompat pandai berlari
Biar buruk kain dipakai
Asal hidup pandai berbudi

5.    Pisang emas bawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

6.    Yang korek itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

7.    Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandong tanah
Budi yang baik dikenang juga

8.    Puaslah saya menanam keladi
Nenas juga ditanam orang
Puaslah saya menanam budi
Emas juga dipandang orang

9.    Perahu dimuat penuh sarat
Mudik ke hulu berulang kali
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli

10.    Ambilkan saya buah delima
Masak sebiji di balik daun
Budi tuan saya terima
Jadi kenangan bertahun-tahun

Selasa, 19 November 2019

Awas - Panggilan Misteri Kad Kredit Untuk Menipu

Seorang rakan dengan nada cemas, menelefon saya meminta bantuan masalah yang dihadapinya.

Semuanya gara-gara kad kredit...

Begini kesnya:

Rakan ini mempunyai kad kredit yang dikeluarkan oleh Bank A dengan had kredit kurang dari RM10,000.

Pada suatu hari, dia menerima panggilan telefon dari seseorang yang saya kategorikan sebagai penjenayah.

Penjenayah 1 - Encik, saya dari Bank B, ingin meminta pengesahan mengenai pembelian barangan menggunakan kad kredit encik ini. 


Rakan -  Pembelian barang? Saya tidak membeli apa-apa barang. Kad kredit ada pada saya. 


Penjenayah 1- Kami sedang menunggu kelulusan encik untuk 'approve' penggunaan kad kredit ini. Had limit encik sudah melebihi, sebab itu kami menelefon untuk kepastian.


Rakan - Apa yang saya beli? Saya tidak pernah ada kad kredit dari Bank B.


Penjenayah 1 - Maaf, tapi kad kredit encik ini 'Gold Card', had limit dah melebihi RM20,000. Baru tadi ada satu lagi transaksi RM5000. Itu dah diluluskan. 


Rakan - Macamana boleh berlaku ? Di mana transaksi itu berlaku?


Penjenayah 1- Di KLIA. Kalau macam tu, kad kredit encik mungkin telah dipalsukan. Kami perlukan maklumat lanjut untuk membantu encik.


Rakan - Saya kena buat laporan polis dan Bank Negara.Ada orang salahgunakan maklumat diri saya.


Penjenayah 1- Ok, encik jangan bimbang. Saya akan sambungkan encik dengan pegawai di Bank Negara untuk membantu encik.


Panggilan diletakkan dalam 'on-hold' dan beberapa saat kemudian, kedengaran satu suara.

Penjenayah 2 - Saya Penjenayah 2 dari Bank Negara. Ok, encik jangan risau. Kami akan pantau keadaan ini, tetapi encik jangan buat apa-apa laporan polis lagi. Tunggu dalam tempoh 3 hari.


Rakan - Kenapa tak boleh buat laporan polis?


Penjenayah 2 - Oh, itu prosedur kami, kerana kami tidak mahu penjenayah lari atau tahu dia sedang dikesan. Untuk itu, kami perlukan butiran encik seperti nama penuh, alamat, maklumat kad kredit dan butiran lain.


Oleh kerana cemas, panik dan risau, maka tanpa teragak-agak, rakan itu memberikan butiran seperti yang diminta. Maka bocorlah berbagai maklumat yang tak sepatutnya kepada orang yang tak dikenali.

Sebaik menceritakan keadaan itu kepada saya, saya meminta dia melaporkan kepada polis kerana panggilan itu adalah penipuan semata-mata untuk mendapatkan maklumat untuk mereka palsukan kad kreditnya atau tujuan lain.

Panduan :

1. Panggilan kononnya dari bank untuk meminta kepastian penggunaan kad kredit itu sendiri sudah terang-terang penipuan.
    Lojiknya ialah - pernahkah ketika anda gunakan kad kredit, tiba-tiba pihak bank telefon anda sendiri untuk mengesahkannya sedangkan anda tiadapun kad kredit dari Bank B itu.

2. Taktik penjenayah bahawa kad anda konon telah dipalsukan, berjaya membuatkan anda panik dan seolah-olah menyerah diri kepada Bank untuk membantu.

3. Begitu mudah Bank menyambungkan panggilan ke Bank Negara adalah merupakan satu lawak jenaka yang sepatutnya anda telah menyedari anda sedang ditipu.

4. Tempoh 3 hari supaya tidak membuat laporan polis, adalah juga lawak yang sepatutnya anda ambil serius. Sebenarnya, dalam tempoh 3 hari itulah akaun anda akan dikerjakan mereka.

5. Taktik ini sama seperti email scam , cuma bezanya, ia menggunakan telefon.

6.Menurut rakan saya, dia baru sahaja mendaftarkan nombor telefon barunya tidak sampai sebulan dengan sebuah syarikat telco, dan tiada siapa yang tahu nombor telefon itu. Dia pelik, bagaimana 'Bank' tahu nombor telefon itu sedangkan dia tidak pernah catat atau hebahkan nombor itu kepada sesiapa atau mana-mana pihak.

7. Anda tidak akan dapat menghubungi nombor yang membuat panggilan ke telefon bimbit anda kerana penjenayah menggunaakan 'private number' atau nombor yang tidak akan dapat anda dail semula. --

Isnin, 18 November 2019

Atasi marah & panas baran (Cara Islam)

Sifat pemarah dan panas baran adalah suatu emosi yang kadang-kadang berlaku kepada manusia biasa. Marah tidak digalakkan di dalam Islam dan perlu dikawal kerana ia memberi impak negatif terhadap keperibadian, keseimbangan akal dan keharmonian masyarakat.

Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:
  1. Mengubah Posisi - Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)
  2. Berwuduk - Rasulullah s.a.w bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud) .
  3. Minum air.
  4. Mendiamkan diri ketika marah.. banyakkan istighfar di dalam hati.
  5. Berlindung kepada Allah daripada syaitan.
  6. Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.
  7. Berfikiran positif.
  8. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elakkan daripada memekik atau bertindak garang.
  9. Bawa bertenang seperti menarik nafas.
  10. Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan. 

Wallahu'alam.

Ahad, 17 November 2019

Erti Tangisan

Ketika kanak-kanak :
menangis ku kerana haus dan lapar..
menangis ku kerana inginkan belaian hangat ibu di tubuhku,
menangis ku kerana inginkan barang permainan,
menangis ku kerana inginkan perhatian dari ayah dan ibu setiap masa.

Ketika usiaku menjangkau awal remaja:
menangis ku kerana rakan-rakanku,
menangis ku kerana gelojak rasa sayang terhadap kaum yang bertentangan dengan jantinaku,
menangis ku kerana aku gagal dalam bercinta,
menangis ku kerana aku gagal atau cemerlang dalam peperiksaan,
menangis ku juga kerana ada ketika aku berjaya menarik perhatian gadis dan jejaka,
menangis ku kerana kesepian tanpa rasa rindu dan cinta pada hamba ciptaanNya.

Ketika usiaku menginjak dewasa :
aku mungkin menangis kerana susahnya menempuh alam pekerjaan,menuntut seluruh kosentrasiku, memerah keringatku,
menangis aku kerana anak-anak ku,
menangis ku kerana isteri atau suamiku,
menangis aku kerana tidak punya kereta besar atau rumah yang sempurna,
menangis ku kerana tidak mampu memberi kesenangan harta benda kepada keluargaku.

Ketika usiaku berada di penghujung :
aku menangis kerana gagal memberi kesenangan kepada keluargaku,
menangis aku kerana kesihatanku yang sudah mula merosot,
menangis aku kerana anak-anakku pergi meninggalkan aku berkhidmad untuk keluarganya,
menangis aku kerana jarum silih berganti menusuk kulitku,
menangis aku kerana aku bakal meninggalkan dunia,sedangkan aku masih belum MENANGIS KERANA AKU LALAI PADA PERINTAHNYA! !

Mungkin kita tergolong dalam salah satu rentetan usia tersebut.. kita sentiasa menangis untuk perkara-perkara remeh meliputi hal-hal duniawi..TAPI kita selalu alpa untuk menangis atas kejahilan kita mengenal YANG MAHA ESA, kita sibuk mengumpul ilmu serta harta dunia, sehingga kita lupa untuk menangis atas kurangnya harta serta saham untuk alam abadi kelak, kita menangis kerana hilangnya cinta pada kekasih, isteri atau suami serta anak-anak, tetapi kita alpa untuk menangis atas KEHILANGAN NIKMAT IMAN SERTA KASIH ALLAH KEPADA KITA. Kita menangis kerana kecacatan fizikal yang diberi Ilahi, namun kita gagal untuk menangis tanda syukur atas nikmat lain yang diberi tanpa meminta secebis balasan sekalipun..

Renung-renungkanlah ..saya mengingatkan diri saya yang selalu lupa untuk MENANGIS keranaNya..sebagai panduan kita bersama..
Wallahu’alam.

Jumaat, 15 November 2019

8 Jenis Solat Orang Islam Zaman Sekarang

#1 - Solat Ikut-Ikutan
Solat secara zahir sahaja, solat secara membuta-tuli, solat tanpa mengetahui hukum hakam solat.

Solat ini adalah solat orang durhaka dan mendapat kemurkaan Allah SWT di dunia dan akan diazab oleh
Allah SWT di Akhirat kelak.

#2 - Solat Ikut Mood
Solat orang yang tahu hukum-hakam solat tetapi tidak melawan kehendak hawa nafsu selepas
menunaikan solat.

#3 - Solat Orang Lalai
Solat golongan ini adalah solat mereka yang tidak mencintai Bahasa Allah SWT, mereka jadikan Bahasa
Allah SWT sebagai bahasa arab, sedangkan mereka tidak dapat membezakan Bahasa Al-Quran dengan
Bahasa Arab.

#4 - Solat Awam
Solat golongan yang cukup syarat, tahu bahasa arab, tahu fadhilat, tahu doa dan sempurna segala bacaan
berkaitan dengan solat.

Semasa solat mereka masih terselit tujuan solat yang bermatlamatkan pahala, syurga, bidadari dan sebagainya.

#5 - Solat Orang Yang Kurang Khusyuk
Golongan ini mampu mencapai khusyuk didalam solat tetapi bukan sentiasa dalam keadaan sedemikian, namun kadang-kala khusyuk.

Solatnya masih khayal dan teringatkan urusan dunia di luar solat, mereka insaf dan sedar tetapi hatinya
tidak putus dengan urusan dunia.

#6 - Solat Orang Soleh

Golongan ini solat dengan penuh keilmuan, memahami lafaz -lafaz Allah SWT yang termaktub didalam Al-Quran Al-Karim, hati dan jasadnya telah dekat dengan Allah SWT. Urusan dunia tidak mampu melalaikannya kepada Allah SWT.

#7 - Solat Golongan Al-Muqarrabin
Solat golongan ini adalah solat yang ditunaikan dengan penuh kenikmatan dan hubungan mereka semasa solat amatlah Indah.

Mereka terlalu dekat dengan Allah SWT semasa solat, sujud dan tasbih sentiasa mengiringi setiap gerak geri
hati dan pergerakkan mereka semasa solat dan diluar solat.

#8 - Solat Golongan As-Siddiq
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi kedudukannya di sisi Allah SWT. Solat adalah talian hayat hidup mereka.

Sekian.

Semoga kita dapat menilai level solat kita berada pada tahap mana untuk sama-sama mendapat iktibar.

Rabu, 13 November 2019

Keajaiban Penciptaan Nyamuk

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 26 :
 
“Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih 
rendah dari itu[1]. adapun orang-orang yang beriman, Maka mereka yakin bahwa 
perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: 
"Apakah maksud Allah menjadikan Ini untuk perumpamaan?." dengan perumpamaan itu 
banyak orang yang disesatkan Allah[2], dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak 
orang yang diberi-Nya petunjuk. dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali 
orang-orang yang fasik,”
 
Nyamuk, seekor makhluk yang lemah tapi menakjubkan. Ketika membuat perumpamaan 
seekor nyamuk, Allah hendak menjelaskan kepada manusia bahawa makhluk yang kecil 
ukurannya ini, agung dalam penciptaannya yang mengagungkan penciptnya.
Berikut ini adalah sebahagian fakta tentang nyamuk :
 
1. Ia adalah seekor betina;
2. Memiliki seratus mata di kepalanya;
3. Memiliki 48 gigi di mulutnya;
4. Mempunyai 3 jantung di perutnya lengkap dengan bahagian-bahagiannya;
5. Memiliki 6 pisau di belalainya dan masing-masing mempunyai fungsi yang berbeza;
6. Memiliki 3 sayap pada setiap sisinya;
7. Ia dilengkapi dengan alat pengesan panas seperti infra merah yang berfungsi 
mamantulkan warna kulit manusia dalam kegelapan menjadi warna ungu hingga 
membolehkannya melihat;
8. Dilengkapi dengan alat pembius yang membantu daripada bahaya tusukan, agar 
manusia tidak merasakan. Adapun yang kita rasa seperti gigitan adalah hasil 
daripada hisapan darah kita;
9. Dilengkapi dengan alat tapisan darah, hingga ia tidak menyedut sembarangan darah;
10. Dilengkapi alat untuk mengalirkan darah hingga darah boleh mengalir melalui 
belalainya yang sangat lembut dan kecil;
11. Ilmu pengetahuan moden telah mengungkapkan fakta bahawa di atas punggung nyamuk
hidup serangga yang sangat kecil, yang tidak nampak kecuali dengan alat pembesar 
mikroskop). 
Ini adalah beberapa bukti kehebatan Allah. 
Wallahu’alam.
 
[1]  diwaktu Turunnya surat Al Hajj ayat 73 yang di dalamnya Tuhan menerangkan 
bahwa berhala-berhala yang mereka sembah itu tidak dapat membuat lalat, sekalipun 
mereka kerjakan bersama-sama, dan Turunnya surat Al Ankabuut ayat 41 yang di 
dalamnya Tuhan menggambarkan Kelemahan berhala-berhala yang dijadikan oleh 
orang-orang musyrik itu sebagai pelindung sama dengan lemahnya sarang laba-laba.
[2]  disesatkan Allah berarti: bahwa orang itu sesat berhubung keingkarannya dan 
tidak mau memahami petunjuk-petunjuk Allah. dalam ayat ini, Karena mereka itu 
ingkar dan tidak mau memahami apa sebabnya Allah menjadikan nyamuk sebagai 
perumpamaan, Maka mereka itu menjadi sesat.
 
Mohamad Sodikin Rahman; Misteri Keajaiban Dunia; Pustaka Azhar; Johor Bahru, 2009. 

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...