Halaman

Jumaat, 7 Julai 2017

Rasulullah S.A.W Larang Dekati Masjid Dalam Keadaan Berbau


Dalam bulan Ramadhan ini, pastinya ramai yang solat secara berjemaah di surau atau masjid kerana ingin melipatgandakan pahala sebanyak 70 kali ganda. Bukan itu sahaja, disyariatkan supaya umat Islam menunaikan solat Tarawih secara berjemaah, dan secara tak langsung ia menggalakkan kita untuk hadir ke masjid secara berterusan, walaupun sebelum ini kita hanya solat sendirian di rumah atau pejabat.


Namun, di dalam kita teruja untuk meramaikan masjid, perlu kita tahu adab-adab solat berjemaah. Antara salah satunya adalah memastikan bau badan kita sentiasa wangi dan menyenangkan. Atau dalam erti kata lain, badan kita tidak berbau busuk sehingga mengganggu jemaah lain. Perkara ini sering dianggap remeh, namun ia memberi kesan yang amat besar.
 

Mungkin di antara kita tidak sedar yang badan atau ketiak kita berbau, namun ia mudah disedari oleh orang lain. Bukan itu sahaja, disebabkan oleh ada yang tidak menggosok gigi kerana berpuasa, ataupun bau mulut perokok, bau mulut yang sangat kuat dan tidak menyenangkan ini akan mencetuskan ketidaksenangan bagi orang lain. Ini kerana bau-bau yang tidak menyenangkan ini akan mengganggu kekhusyukan solat jemaah di sebelah kita, dan bagi orang yang sangat sensitif dengan hal ini, ia pastinya akan langsung tidak mampu meneruskan solat.
 
Larangan Rasulullah S.A.W
Terdapat larangan oleh Rasulullah S.A.W mengenai mereka yang berbau mulut untuk tidak hadir ke masjid. Sabda Rasulullah S.A.W :
 
مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ, الْبَقْلَةِ، الثّومِ (وَقَالَ مَرّةً: مَنْ أَكَلَ الْبَصَلَ وَالثّومَ وَالْكُرّاثَ) فَلاَ يَقْرَبَنّ مَسْجِدَنَا، فَإِنّ الْمَلاَئِكَةَ تَتَأَذّى مِمّا يَتَأَذّى مِنْهُ بَنُو آدَمَ”. (رواه مسلم)

“Barangsiapa yang memakan biji-bijian ini, yakni bawang putih (suatu kali beliau mengatakan, “Barangsiapa yang memakan bawang merah, bawang putih dan kurrats -sejenis daun bawang-), maka janganlah ia mendekati masjid kami, kerana malaikat merasa terganggu dengan hal (bau) yang membuat manusia terganggu.”[1HR.Muslim ]
 
Wajib tinggalkan solat berjemaah sementara waktu



Bagi mereka yang mempunyai masalah ini, adalah diwajibkan ke atas mereka untuk meninggalkan solat secara berjemaah buat sementara waktu, hinggalah bau itu hilang atau masalah itu diselesaikan terlebih dahulu. Dalam sabda Rasulullah S.A.W yang menerangkan mengenai bawang, itu hanyalah sebagai contoh, jelas Ibnu Hajar Al-Asqalani. Bau yang dimaksud adalah semua bau yang menyengat dan tidak sedap. Beliau berkata:
 
وقال ابن حجر : وقد ألْحَقَ بها الفقهاء ما في معناها من البقول الكريهة الرائحة ، كالفجل
“Para ulama ahli fiqh menyamakan hal ini kepada sesuatu yang semakna dengannya (bawang) seperti sayuran dan lobak yang menyengat.”[Fathul Bari 14/364 ]

Jadi, sama-samalah kita lebih peka ke atas bau badan atau bau mulut kita, lebih-lebih lagi jika kita kerap menunaikan solat secara berjemaah kerana ia dapat menjaga kekhusyukan solat kita serta orang lain, di samping menjaga silaturrahim sesama jemaah. Adalah lebih baik jika kita memakai wangian terlebih dahulu bagi menyenangkan baunya.
 
Wallahualam.
 
Sumber : Muslim Or Id

Tiada ulasan:

Catat Ulasan