"Sewajarnya kita fahami wang hantaran
kahwin hanya termasuk perkara adat istiadat perkahwinan orang Melayu.
Tiada nas daripada al-Quran mahupun Hadis menetapkan kewajipan memberi
wang hantaran dalam majlis perkahwinan. Apa diwajibkan dalam Islam
adalah mas kahwin atau mahar dan ternyata wang hantaran dan mas kahwin
adalah dua perkara berbeza,” kata penulis buku agama, Ustaz Mohd Yaakub
Mohd Yunus.
Beliau berkata, menurut Undang-undang
Keluarga Islam di Malaysia, mas kahwin (mahar) adalah pembayaran kahwin
yang wajib dibayar di bawah hukum syarak oleh suami kepada isteri pada
masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya
dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau
berupa sesuatu yang menurut hukum syarak dapat dinilai dengan wang.
Hukumnya adalah wajib berdasarkan Firman
ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan
itu mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian
jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari
mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu
sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah An-Nisa’: 4)
Mohd Yaakub berkata, nilai mas kahwin di
Malaysia telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri dan
nilainya dalam lingkungan RM22 hingga RM120. Hanya sahaja apa yang lebih
difokuskan dalam adat Melayu adalah wang hantaran yang nilainya
mencecah ribuan ringgit.
Namun begitu, syarak lebih menekankan
kepentingan mas kahwin kerana ia adalah secara mutlak milik isteri dan
suami tidak boleh mengambil sedikit pun bahagian daripada mas kahwin
tersebut melainkan sekiranya dibenarkan isteri.
Manakala wang hantaran pula bukanlah hak
milik mutlak sepenuhnya isteri pada neraca syarak dan ia boleh diambil
oleh keluarga pihak isteri untuk menyelenggarakan majlis perkahwinan.
Tambahan pula katanya, Islam tidak
menetapkan kadar maksimum dan minimum jumlah mas kahwin bagi seseorang
wanita kerana Islam mengiktiraf wujud perbezaan dalam masyarakat dari
segi kekuatan ekonominya dan setiap kaum turut memiliki adat resam
tersendiri.
Oleh itu, Islam menyerahkan persoalan
mengenai kadar mas kahwin mengikut kemampuan seseorang serta tradisi
masyarakat setempat. Sungguhpun demikian, Islam menganjurkan supaya
bersederhana iaitu tidak meletakkan nilai mas kahwin terlalu tinggi dan
tidak pula terlalu rendah berdasarkan kemampuan masing-masing.
Rasulullah SAW menggalakkan kita agar mempermudah mahar sebagaimana
dalam sabdanya yang bermaksud: “Mas kahwin yang paling baik adalah yang
paling mudah.” (Riwayat Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak).
Menurut Mohd Yaakub, namun begitu, bagi
suami berkemampuan, dia boleh memberikan mas kahwin yang tinggi. Syaikh
al-Islam Ibnu Taymiyyah RA di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa berkata:
“Lelaki yang mempunyai harta yang banyak dan ingin memberikan mas kahwin
kepada isterinya dalam jumlah yang besar, maka tiada masalah baginya,
sebagaimana Firman ALLAH SWT: “…sedangkan kamu telah pun memberikan
kepada seseorang di antaranya harta yang banyak, maka janganlah kamu
mengambil sedikit pun daripada harta itu.” (Surah An-Nisa’: 20).
Mengenai nilai mas kahwin ideal, Imam
al-Syafi’i RA berkata dalam al-Umm: “Bersederhana dalam memberikan mas
kahwin lebih kami sukai, dan saya lebih menyukai agar mas kahwin itu
tidak melebihi jumlah mas kahwin yang pernah diberikan oleh Rasulullah
SAW kepada isteri-isterinya dan yang ditetapkan untuk anak-anak
perempuannya iaitu sebanyak 500 dirham. Hal ini adalah untuk mendapatkan
keberkatan dan meneladani segala yang dilakukan Rasulullah SAW.”
Ini adalah bersandarkan kepada sebuah
riwayat daripada Abu Salamah bin Abdurrahman bahwa dia berkata: “Saya
pernah bertanya kepada Aisyah, isteri Nabi SAW: “Berapakah mas kahwin
Rasulullah SAW?” Dia menjawab: “Mahar beliau terhadap isterinya adalah
dua belas uqiyah dan satu nasy. Tahukah kamu, berapakah satu nasy itu?”
Saya (Abu Salamah) menjawab: “Tidak.” Aisyah berkata: “Setengah uqiyah,
jumlahnya sama dengan lima ratus dirham. Demikianlah mas kahwin
Rasulullah SAW untuk setiap isteri baginda.” (Riwayat Imam Muslim).
Nilai 1 dirham pada zaman Rasulullah SAW
adalah lebih kurang harga seekor ayam dewasa dan kini setelah 1400
tahun berlalu seekor ayam dewasa masih boleh dibeli dengan 1 dirham di
kebanyakan tempat. Ini menunjukkan betapa stabilnya mata wang
menggunakan emas dan perak. Nilai terkini 1 Dirham (pada 6 Disember
2012) berdasarkan penilaian World Islamic Mint adalah RM25. Oleh itu 500
dirham bersamaan dengan RM12,500.
“Begitulah sedikit sebanyak parameter
yang telah ditetapkan oleh syarak dalam kadar pemberian mas kahwin yang
boleh dijadikan panduan untuk menilai kadar pemberian wang hantaran. Dan
tentu sekali sekiranya nilai wang hantaran itu dijadikan sebagai jumlah
pemberian mas kahwin kepada isteri adalah lebih baik dan menepati
syarak,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan