JIKA anda
telah mengikuti siri berkenaan tentang penjagaan jantung dan diabetes
ini, maka anda sudah ten Dalam perbualan bersama rakan-rakan anda,
pernyataan
“Penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia” selalunya akan diikuti dengan
“Diabetes merupakan faktor risiko utama bagi penyakit jantung.”
Dan, kini setelah anda berjaya menarik perhatian mereka, anda boleh menutup perbincangan dengan,
“Tetapi tahukah anda bahawa anda tidak perlu menghidap diabetes untuk menjadi mangsa kepada serangan jantung atau strok?”
Pernyataan-pernyataan ini adalah benar dan di
dalam bahagian terakhir daripada enam bahagian bersiri ini, kita akan
mengkaji ketiga-tiganya dengan lebih mendalam lagi.
Apakah itu penyakit jantung?
Bagaimana untuk mengekalkan jantung yang sihat tidak kira sama ada kita menghidap diabetes ataupun tidak?
Bagaimanakah caranya untuk kita mengetahui sama ada jantung kita bermasalah?
*Penyakit jantung
Penyakit jantung merupakan satu keadaan
yang menjejaskan otot-otot jantung (miokardium) dan saluran-saluran
darah dalam jantung (arteri koronari). Punca penyakit jantung yang
paling lazim adalah penyempitan arteri koronari iaitu satu proses yang
dikenali sebagai aterosklerosis.
Aterosklerosis bermula apabila lapisan
bahagian dalam arteri koronari telah rosak atau cedera akibat bermacam-
macam faktor termasuk merokok, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi
dan sesetengah penyakit seperti diabetes.
Kolesterol dan bahan-bahan lain akan berkumpul
dalam dinding arteri untuk membentuk plak. Semakin lama, semakin banyak
plak yang akan terbentuk. Akhirnya, plak ini akan menyempitkan ruang
dalam arteri, menghalang bekalan darah serta mungkin akan pecah untuk
membentuk darah beku.
Jika darah beku menghalang pengaliran darah ke
jantung anda, maka anda akan mendapat serangan jantung; jika ia
menghalang pengaliran darah ke otak anda, maka anda akan mendapat strok.
Kehadiran plak sahaja, walaupun jika ia
tidak pecah, masih boleh membahayakan. Plak akan menyempitkan saluran
darah dengan teruk hingga anda akan mempunyai simptom-simptom penyakit koronari jantung (CAD) seperti angina (sakit dada).
Jika tidak dirawat dengan betul, anda mungkin akan
mendapat serangan jantung atau kegagalan jantung kongestif (kegagalan
jantung).
Adakah ini akan berlaku kepada saya?
Risiko untuk anda menghidap penyakit jantung
adalah tinggi terutama sekali jika anda mempunyai sejarah keluarga yang
menghidap penyakit jantung atau anda sudah berusia lanjut.
Jantina turut merupakan faktor: lazimnya, kaum
lelaki akan berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung manakala
risiko bagi wanita pula akan meningkat tinggi selepas menopaus.
Malangnya, anda tidak boleh mengubah faktor-faktor risiko ini.
Di sini terdapat beberapa faktor risiko yang masih
boleh anda ubah: merokok, gaya hidup tidak aktif (sedentari), tabiat
makan yang tidak sihat, tekanan dan berat badan yang berlebihan atau
obes.
Kesemua faktor ini akan mengkucar-kacirkan glukosa
darah, tekanan darah serta kolesterol darah anda di mana ia akan
meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung.
Seperti yang telah disebutkan tadi, diabetes
merupakan faktor risiko yang utama. Mereka yang menghidap diabetes
adalah dua hingga empat kali lebih cenderung untuk mendapat penyakit
jantung ataupun strok, berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.
Dua daripada tiga orang yang menghidap diabetes akan meninggal dunia
akibat penyakit jantung atau strok dan mereka mempunyai kemungkinan
yang lebih untuk meninggal dunia akibat serangan jantung berbanding
mereka yang tidak menghidap diabetes.
Jika anda mempunyai sebarang daripada
faktor-faktor risiko ini, maka anda dinasihatkan agar segera mendapatkan
nasihat doktor. Anda perlu sedar bahawa masalah jantung memerlukan
perhatian perubatan yang segera.
Jangan tunggu sehingga berlakunya serangan jantung
atau strok. Pengesanan serta rawatan awal akan dapat menyelamatkan
nyawa anda.
*Tanda-tanda serangan jantung
Tidak semua serangan jantung akan berlaku secara mengejut dan sangat menyakitkan.
Sesetengahnya bermula dengan sangat perlahan serta
kurang menyakitkan atau hanya rasa kurang selesa hingga ramai yang
tidak sedar bahawa mereka sedang mengalaminya dan ini menyebabkan mereka
gagal untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.
Majoriti akan mengalami simptom- simptom. Berikut adalah simptom-simptom yang menandakan anda sedang mengalami serangan jantung:
* Tekanan yang
tidak selesa, rasa sesak, penuh atau sakit di bahagian dada yang
berlanjutan selama lebih daripada beberapa minit, atau sakit yang hilang
dan datang semula.
* Sakit atau ketidakselesaan pada bahagian- bahagian lain di bahagian atas badan.
* Pendek nafas dengan atau tanpa rasa ketidakselesaan pada bahagian dada.
* Berpeluh sejuk, rasa loya atau pitam.
*Gejala dan tanda amaran serangan jantung
Satu daripada tanda amaran adalah Serangan Iskemia Sementara (TIA) - iaitu satu gangguan sementara bekalan darah ke bahagian tertentu otak.
TIA adalah
serupa seperti strok tetapi ia hanya berlaku untuk jangka masa yang
lebih pendek sebelum terus hilang dengan tidak meninggalkan sebarang
kesan kekal yang ketara.
TIA menandakan satu serangan strok yang betul mungkin akan berlaku tidak lama lagi. Jika anda mempunyai satu atau lebih daripada simptom-simptom berikut, maka anda perlu segera mendapatkan bantuan perubatan:
* Rasa kebas atau lemah secara tiba-tiba pada sebelah bahagian badan
* Kesukaran untuk bertutur atau memahami pertuturan, gagap
* Penglihatan menjadi kabur secara tiba-tiba
* Kesukaran untuk berjalan, rasa pening, hilang keseimbangan atau koordinasi secara tiba-tiba
* Sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab
* Masalah ingatan atau kekeliruan
*Tujuh tip jantung sihat
1- Apakah sejarah keluarga anda?
Ketahui sejarah perubatan keluarga anda dan beritahu doktor anda tentang sebarang risiko-risiko keturunan.
Jika salah seorang daripada datuk nenek, ibu bapa
atau adik-beradik anda pernah mengalami penyakit jantung sebelum berusia
55 tahun, maka anda turut cenderung untuk turut mendapatnya.
Mengetahui maklumat sedemikian akan membantu anda mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mencegahnya daripada berlaku.
2- Di meja makan
Makan diet yang seimbang yang terdiri daripada
buah- buahan, sayur- sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah
lemak. Amalkan masa makan yang tetap pada setiap hari dan elakkan dari
terlebih makan.
Kesemua lemak mempunyai kalori yang tinggi dan
akan meletakkan anda berisiko untuk mendapat kolesterol darah tinggi,
jadi anda perlu mengehadkan pengambilannya. Jika anda mesti mengambil
lemak, maka pilihlah lemak-lemak tidak tepu. Elakkan makanan yang
mengandungi lemak tepu, asid lemak trans dan kolesterol.
3- Serat larut: senjata rahsia anda
Serat larut (terutama sekali beta-glukan) adalah
karbohidrat kompleks yang sangat bermanfaat terutama sekali untuk
kesihatan jantung. Ia telah terbukti secara klinikal akan menurunkan
kolesterol darah dengan menggabungkan asid-asid hempedu (yang
mengandungi kolesterol) di dalam saluran pencernaan anda.
Mereka kemudiannya akan dikeluarkan bersama bahan
buangan badan anda dan ini bermakna kolesterol akan diserap dengan lebih
sedikit ke dalam aliran darah anda. Ini akan membawa kepada paras
kolesterol darah yang lebih rendah serta mengurangkan risiko penyakit
jantung.
Oleh kerana serat larut (seperti beta-glukan)
merupakan makanan rendah GI (Indeks Glisemik), maka ia juga berkesan
untuk menstabilkan paras glukosa darah anda.
Ini dilakukan dengan memperlahankan pencernaan
serta penyerapan agar glukosa (gula) akan mengambil masa yang lebih lama
untuk memasuki aliran darah anda. Ini akan mengelakkan paras glukosa
darah naik secara mendadak.
Oleh yang demikian, memasukkan lebih banyak serat
larut serta makanan karbohidrat rendah GI ke dalam makanan seharian anda
adalah suatu langkah yang bijak. Sesetengah contoh makanan rendah GI
termasuklah barli, beras perang, muesli dan roti rendah GI yang telah
dirumus khas.
4- Mengawal tekanan darah
Tahukah anda bahawa hanya enam daripada setiap 100
rakyat Malaysia dapat mengawal tekanan darah mereka? Jangan biarkan
diri anda menjadi salah seorang daripada 94 orang tersebut! Periksa
tekanan darah anda sekurang- kurangnya dua kali setahun dan pastikan
anda mengekalkannya pada paras yang rendah (130/80 mmHg atau lebih
rendah) tanpa mengira usia anda.
5- Awasi berat badan anda
Lakukan senaman selama sekurang- kurangnya 45
minit pada kebanyakan hari dalam seminggu (atau lebih baik lagi,
lakukannya pada setiap hari).
Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai berat
badan yang berlebihan atau obes, maka anda perlu lebih kerap melakukan
senaman (dan dalam tempoh yang lebih lama) untuk menurunkan berat badan
yang berlebihan.
Secara amnya, anda perlu mengekalkan Indeks Jisim
Tubuh (BMI) pada lebih kurang 18-23 kg/m2. Bagi orang Asia, ukur lilit
pinggang yang kurang dari 90sm bagi lelaki dan kurang dari 80sm bagi
wanita adalah ideal.
6- Berhenti merokok
Tembakau dalam rokok akan mengakibatkan saluran
darah anda menjadi sempit serta mengurangkan bekalan darah ke jantung
dan organ-organ penting anda yang lain. Jadi, jika anda merokok,
hentikannya sekarang demi kebaikan jantung anda.
7- Jangan lupa berjumpa doktor!
Dan akhir sekali, jangan terlepas daripada
menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan anda. Pemeriksaan yang kerap
akan dapat mengesan serta merawat kes-kes awal penyakit jantung dan
diabetes.
- Dr. Khoo Kah Lin merupakan Perunding Kardiologi, Yayasan Jantung Malaysia.
Artikel ini sumbangan oleh Program Menangani Wabak Diabetes (FAD)
Penjagaan Jantung yang dianjurkan oleh Institut Diabetes Negara (NADI).
Program ini juga disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada
Roti Gardenia Breakthru. Untuk pertanyaan, sila hubungi NADI di talian
03-78761676/78761677.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan