Halaman

Isnin, 2 Disember 2019

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas  walaupun 
yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini 
mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan 
program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi. 
“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang 
kakak berterus-terang. “Mengapa?” balas saya. “Organisasi ini dipenuhi oleh kaki 
bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah 
dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka.
 
Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” Kakak 
itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun 
bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program 
latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya 
dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan 
rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. 
Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah 
dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?  Sewaktu rehat, sambil
 minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang 
anak?” Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi 
sebelumnya dapat diredakan. “Oh ramai encik…” “Bagaimana dengan anak-anak kakak?” 
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. 
Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang 
menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah 
menjadi hafiz. 
“Kakak, boleh saya bertanya?” “Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. 
Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang 
anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi. 
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana 
yang kakak pilih?” Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak 
naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak 
saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta 
kita yang paling berharga!” Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya. 
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini 
telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik. “Maksud encik?” 
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. 
Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak 
anak-anak yang menjadi.” “Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” “Allah Maha 
Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk 
dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu 
hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan 
kembali kepada kita. Yakinlah.” “Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu 
pihak yang kita berikan kebaikan itu?” “Maksud kakak?” “Macam ni, saya buat 
kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada 
keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja,
 sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”“Itulah yang saya 
katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. 
Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas 
dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!” Kakak itu 
termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam 
organisasi dengan familinya. 
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang 
mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah
lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati 
melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan 
untuk kereta itu masuk di hadapan kita…” 
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu 
mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu 
teliti. 
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah 
berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang

memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita 
mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”
Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi 
entah ke mana perginya.” “Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan 
untuk kita?’“Pasti ada! Insya-Allah.”“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak 
pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya 
untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ 
untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak
pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.” “Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. 
Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita 
tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. 
Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.” “Kita tidak boleh kecewa bila 
keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta
diiyakan.“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan 
Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak 
memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang 
melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada 
pembalingnya!” “Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.” 
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha 
kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.” “Maksud 
encik?” “Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. 
Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan 
paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan
 kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”“Jadi orang ikhlas 
akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya 
terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka 
dapat naik pangkat!”Giliran saya pula tersenyum.“Tidak ada kebaikan yang akan kita 
dapat melalui jalan yang salah. 
Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka 
dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. 
Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back…Golden rule itu bukan 
untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. 
Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki 
ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas 
dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar. “Jadi apa yang harus 
saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi 
ni?” “Bekerjalah dengan gigih. 
Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu 
ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia
juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan 
berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…” “Maksud encik?”
 
 “Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat 
kepadanya.”“Kenapa?”“Kita akan sakit jiwa!” “Kenapa?” “Kerana umumnya manusia 
tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau  kepada Allah yang Maha Memberi pun 
manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang 
pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,
 
” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran. “Tetapi Allah tidak 
berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan. 
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka 
dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti 
memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”“Ah, kita 
terlalu ego…”
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya 
dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana 
pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu 
pertanyaan… orang ikhlas tertindas?
 
Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan