Isnin, 11 Julai 2016

AWAS! 5 Penyakit Utama Wanita Patut Tahu dan Berhati-hati

Fibroid

Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid. Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia subur (30 – 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/ m², wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous). Ada fibroid yang mencetuskan simptom dan ada juga yang berlaku tanpa simptom. Secara umumnya, wanita yang berada dalam lingkungan usia subur akan berisiko tinggi untuk menghidap fibroid. Dalam lingkungan umur ini, wanita digalakkan untuk hamil dan melahirkan anak.

Endometriosis

Endometriosis mengambil maksud daripada perkataan endometrium, iaitu endo, ‘dalam’, dan metra, ‘rahim’. Ianya membawa maksud kepada keadaan atau kejadian di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati berada di luar kawasan rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi seseorang wanita. Simptom utama penyakit ini adalah sengugut dan sakit pada bahagian pelvik. Di Malaysia, tiada statistik khusus yang dijalankan bagi pengidap endometriosis. Endometriosis merupakan masalah yang kerap berlaku. Hampir satu pertiga pengidap endometriosis menjadi punca mandul (infertiliti) dalam kalangan wanita.

Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

PCOS merupakan gangguan hormon yang paling tinggi dalam kalangan wanita yang berada pada peringkat subur dan menjadi salah satu faktor ketidaksuburan (infertiliti) dalam kalangan wanita. Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, punca berlakunya sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. Gejala PCOS boleh menjadi tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang penghidap dengan penghidap yang lain. Antara gejala yang mungkin berlaku termasuklah kedatangan haid yang sedikit dan tidak teratur atau mengalami oligomenorea dan kadangkala amenorea (ketiadaan haid), bulu roma yang berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), masalah jerawat yang teruk dan kronik, masalah obesiti, masalah keguguran berulang, masalah kulit menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan), dan juga masalah kebotakan menyerupai lelaki (male baldness).

Anorexia Nervosa

Anorexia atau nama saintifiknya ‘Anorexia Nervosa’ berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk. Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan. Penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut ‘trend’ dan juga tidak diinginkan. Kecelaruan gaya pemakanan merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan. Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan.

Menopaus

Putus haid atau menopaus ialah waktu pertengahan usia seseorang wanita itu, apabila dia berhenti mengeluarkan haid. Hal ini terjadi, apabila ovari (kilang telur) berhenti menghasilkan telur. Biasanya, menopaus terjadi secara perlahan-lahan dalam suatu jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada juga kes yang berlaku secara mendadak. Kesannya, ia akan mempengaruhi hormon, badan dan perasaan seseorang wanita. Ada sebahagian wanita tidak merasakan apa-apa perubahan atau gangguan, manakala sebahagian besar mengalami gangguan vasomotor (seperti hangat memerah, berpeluh, susah tidur, berdebar-debar, panas baran, pelupa, mudah berkecil hati, kurang konsentrasi), fizikal dan kejiwaan (seperti kemurungan dan stres) yang boleh mengurangkan dan mengganggu gugat kualiti hidup. Dalam hal ini, sepasang suami isteri perlu mempunyai pengetahuan tentang menopaus.

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...