Ahad, 3 Jun 2018

Satu kisah tentang kebodohan

Cuba bayangkan dan fikirkan keadaan ini ...

Seorang kanak-kanak, dalam lingkungan 6 tahun berada di kelas pra-sekolah. Dia seorang yang begitu cerdas pemikirannya, berada di sudut bilik kelasnya dan sedang bermain jigsaw puzzle. Sedang tekun menyusun keratan-keratan untuk menjadikannya sebagai satu gambar besar yang menarik. Cantik. Sudah lama dia menyusun dan hasilnya hampir 70% jigsaw puzzle itu sudah siap disusunnya. Bukan mudah, kerana kerja ini memerlukan banyak imaginasi, ketekunan dan taktik agar semuanya berpadanan. Tidak ramai di dalam kelasnya mampu melakukannya. Mungkin kerana rakan-rakan kelasnya memandang permainan ini sesuatu yang sukar atau sahaja malas untuk memikirkan bagaimana untuk menyelesaikannya.

Tiba-tiba, tanpa disedarinya, datang seorang rakan sekelas. Dikenali sebagai seorang kanak-kanak yang lembap tahap pemikiran dan juga nakal. Suka membuli dan mempermain-mainkan rakan-rakannya yang lain. Suka merampas apa jua permainan yang dibawa oleh rakan-rakan yang lain. Samada dia membawanya pulang atau akan dihancurkan bila dia sudah puas bermain. Dan melihatkan ketekunan kawannya tadi menyelesaikan jigsaw puzzle itu, timbul di hati busuknya, untuk menganggu rakannya itu. Dan dengan sepantas yang mungkin dia merapat dan terus menyelerakkan hasil usaha kawannya tadi. Malahan dia berkesempatan mengambil beberapa keratan-keratan puzzle itu lalu melambungkan tinggi ke atas. Tidak puas dengan melakukan begitu, dia kutipnya lagi, lalu ditaburkan ke sekeliling bilik kelasnya..

Kawannya tadi hanya mampu terdiam, tergamam dengan tindakan temannya itu. Dan kelihatan linangan airmata mengalir dari matanya. Lalu akhirnya dia menangis teresak-esak. Bukan kerana kesakitan tubuhnya, tetapi sedih melihat hasil usahanya akhirnya dibinasakan oleh kawannya yang nakal itu. Bukan itu sahaja, teman-teman kawan nakal dan jahatnya itu, sudah mula mengejeknya, mengetawakan dia yang sudah berlinangan airmata.

Dengan rasa kesedihan, dia memungut kembali keratan-keratan jigsaw puzzle tadi. Dikutipnya dengan rasa kepiluan, kerana dia telah diperlakukan begitu. Dia tahu, kawannya yang nakal itu sebenarnya cemburu dengan kebolehannya. Dia tahu tahap pemikirannya begitu dungu untuk menyusun keratan-keratan itu menjadi satu pemandangan yang indah. Dia tahu kawannya itu begitu bodoh dan bebal hingga tidak memperdulikan perasaannya. Dia tidak kisah jika kawannya itu mahu bermain sama, pasti dia akan mengajar kawannya itu untuk sama-sama berseronok untuk menyelesaikan masalah pada puzzle itu. Tetapi ternyata, kawannya itu memang seorang budak yang bodoh lagi bebal dan degil, maka itulah dia jadi begitu. Teringat dia kata bapanya beberapa malam sebelum itu, manusia tidak semua dijadikan pandai. Ada juga manusia yang tetap bodoh, walaupun dia diajar berulangkali. Dan akan tetap dungu walaupun dia menjadi rajin sekalipun. Tetap juga bebal kerana tanpa kesedaran, dia tidak akan sekali-kali mengakui kebodohannya itu.

Dan bila teringatkan kata-kata ayahnya, airmatanya serta-merta berhenti mengalir. Malahan dia tersenyum kerana dia menyedari itulah kenyataan yang telah dia pelajari dari ayahnya. Dan tanpa dia sedari, senyuman itu rupanya diperhatikan oleh si bodoh tadi. Si dungu itu malah menjadi hairan atas sikap temannya yang tangisnya tidak berpanjangan, malahan sudah mula tersenyum.

Jadi, begitulah teman-teman, satu kisah yang aku ingin ceritakan pada kalian. Fikirkanlah jika jigsaw puzzle itu adalah satu kehidupan. Dikotak-katik oleh manusia yang punyai akal yang pendek dan berfikiran singkat. Dihuru-harakan oleh manusia yang hidupnya dilingkungi nafsu. Ditonggang terbalikkan oleh manusia yang punyai kebodohan yang tidak terfikir oleh kita.

Dan jangan kita jadi seperti mereka, merasa hairan dan takjub apabila melihat ketabahan dan keteguhan hati kita sesudah hidup kita cuba dibinasakan olehnya. Orang yang penuh kebodohan memang begitu sifatnya, akan merasa tindakan bijak orang lain adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkannya selama ini!

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...