Anda  yang gemar membaca komik Asterix dan  anda yang pernah menonton filem  'Pirates of The Carribean', tentu ingat  watak jahat 'Barbarossa' bukan?  Sejak zaman pertengahan, aneka macam  karya fiksyen Eropah dan Amerika  biasa menggunakan nama Barbarossa  untuk menamakan watak seorang penjahat  (biasanya seorang lanun laut  jahat). 
The Barbarosa Brothers
Pada   abad ke-15 Masihi, di Laut Mediterranean ada dua pelaut bersaudara  yang  disebut The Barbarossa Brothers. Kedua-dua tokoh ini menjadi  legenda  dalam dunia lautan dan merupakan tokoh pelaut yang sangat  ditakuti  orang-orang Eropah pada zamannya.
Kebiasaannya   ialah merampas barang-barang berharga yang dibawa oleh kapal-kapal   milik kerajaan-kerajaan Eropah yang melintasi Laut Mediterranean. Awak   kapal yang dirampas biasanya diberi dua pilihan; mati kerana melawan   atau hidup dengan menyerah secara sukarela.
Siapakah   sebenarnya Barbarossa yang sangat ditakuti oleh orang-orang Eropah   selama berabad-abad itu? Mengapa hingga zaman sekarang nama itu terus   menghantui benak dan fikiran mereka?

Barbarossa   bukanlah sebuah nama. Barbarossa merupakan kata dalam bahasa   Latin-gabungan dari kata barber (janggut) dan rossa (merah). Jadi   Barbarrossa bererti janggut merah. Barbarossa merupakan julukan yang   diberikan oleh para pelaut Eropah kepada adik-beradik Aruj dan   Khairuddin dari Turki. Kedua-dua adik-beradik ini hanyalah pelaut-pelaut   biasa yang rutin belayar di kawasan perairan Greece dan Turki.
Awal Gerakan Barbarosa
Pada   suatu hari, tanpa sebab yang jelas, kapal milik keluarga mereka   diserang secara kejam oleh kapal tentera Knight of Rhodes. Dalam   peristiwa ini, adik bongsu Aruj dan Khairuddin terbunuh. Aruj dan   Khairuddin sangat sedih dengan kematian adik bongsu mereka.
Sejak   saat itu, mereka melakukan aksi lanun terhadap semua kapal-kapal   tentera milik kerajaan-kerajaan Kristian. Aksi-aksi mereka sangat   menggemparkan dan membuat mereka ditakuti tentera Kristian. Aruj dan Khairuddin pun kemudian dikenali sebagai The Barbarossa Brothers Pirates kerana kedua-duanya berjanggut merah.
Kaum Eropah menyebut Barbarossa sebagai lanun laut, walaupun tidak ada bendera hitam dan tengkorak yang menjadi simbol lanun. Bendera   yang dipasang Aruj dan Khairuddin di kapal mereka adalah sebuah  bendera  berwarna hijau mengandungi kaligrafi doa Nashrun minallaah wa  fathun  qariib wa basysyiril mu'miniin, wahai Muhammad, empat nama  khulafaur  rasyidin, pedang Zulfikar dan bintang segi enam Yahudi  (Bintang David)  kerana anak kapal yang dipimpin kedua bersaudara ini  terdiri daripada  orang-orang Islam dari bangsa Moor, Turki, dan  Sepanyol, serta beberapa  orang Yahudi.
Pada   tahun 1492 M, Andalusia yang sejak tahun 756 M dikuasai oleh Daulah   Khilafah Islamiyah, jatuh ke tangan Pasukan Salib yang terdiri daripada   pasukan gabungan Aragon dan Sepanyol. Dalam peristiwa penaklukan   Andalusia ini, berjuta-juta orang Islam dan Yahudi tewas dibantai   pasukan yang dipimpin Raja Ferdinand II dari Aragon.
PERJUANGAN JIHAD Barbarosa
Peristiwa   itu mengubah haluan misi dendam Aruj dan Khairuddin menjadi misi Jihad   Islam. Berganding bahu bersama sekumpulan militan bangsa Moor, mereka   kemudian menyelamatkan puluhan ribu Umat Islam dari Sepanyol ke Afrika   utara (Maghribi, Tunisia dan Algeria). Kemudian mereka membina  pangkalan  pertahanan laut di Algeria untuk menghalang gelombang  serangan Pasukan  Salib dari jalur Afrika Utara menuju Tanah Suci  Palestin.
Khalifah   Islam ketika itu, Sulaiman I, mendengar cerita-cerita kehebatan   Barbarossa bersaudara. Sulaiman I sangat kagum pada heroisme mereka.   Kerana prestasi mereka di lautan, akhirnya Sulaiman I mengangkat Aruj   dan Khairuddin sebagai Kapudan Pasha (Panglima Tentera Laut) Khilafah   Islamiyyah untuk memantapkan Tentera Laut Daulah Khilafah Islamiyah yang   amburadul.
HASUTAN PIHAK SEPANYOL
Pada   tahun 1518 Sepanyol berjaya menghasut Amir bandar Tlemcen (Tilmisan)   untuk melancarkan pemberontakan kepada kepemimpinan Aruj. Aruj kemudian   menyerahkan pemerintahan Algeria kepada Khairuddin untuk sementara.  Lalu  ia memimpin pasukan untuk berangkat ke Tlemcen. Hati Aruj sangat  pilu  kerana dia malah berperang dengan saudara sendiri sesama Muslim.   Akibatnya dia kurang menumpukan perhatian dan pasukannya kucar-kacir.
Aruj   sempat melepaskan diri, namun banyak pasukannya yang tertangkap.  Kerana  hubungan emosionalnya dengan anak buahnya, Aruj kembali ke  Tlemcen  untuk bertempur dan dia gugur dalam pertempuran tersebut.
Dengan   gugurnya Aruj, kepimpinan Tentera Laut Daulah Khilafah Islamiyah   beralih ke tangan Khairuddin. Sepanyol mengira bahawa era kejayaan   Barbarossa di Laut Tengah telah berakhir. Lalu, dengan yakin, Sepanyol   menghantar 20,000 tenteranya ke Algeria. Pertempuran hebat pun berlaku,   namun Khairuddin berjaya menewaskan pasukan laut tersebut.
Sejarah dan Kehebatan Pasukan Janissary
Dengan   meminimumkan ancaman dari negeri sekitar Algeria, selain ancaman utama   Sepanyol, Khairuddin kemudian meminta kepada Khalifah Sulaiman I agar   kuasa Amir Tunisia dan Tlemcen dialihkan kepadanya. Sulaiman I pun   setuju. Pada 1519, Khalifah mengangkat Khairuddin sebagai beylerbey   (Bakhlair Baik) atau wakil Khalifah untuk wilayah Algeria dan   sekitarnya. Kemudian Khairuddin juga ditugaskan untuk memimpin pasukan   tentera elit Daulah Khilafah Islamiyah, Pasukan Janissary.
Dalam   masa kepimpinan Khairuddin, Pasukan Janissary berjaya melakukan banyak   penyelamatan Umat Islam di Andalusia. Tercatat mereka melakukan 7 kali   pelayaran dengan 36 buah kapal untuk mengangkut Umat Islam Sepanyol  yang  diburu seperti haiwan oleh Ferdinand II dan Pasukan salibnya.
Pertengahan   dekad 1520-an, Pasukan Darat Janissary yang dipimpin oleh Khalifah   Sulaiman I berjaya memenangi semua pertempuran darat. Pada masa yang   sama, Pasukan Laut Janissary di bawah pimpinan Khairuddin juga berjaya   mengawal lalu lintas pelayaran di Laut Tengah sepenuhnya. Keadaan ini   membuat Pasukan Salib Kristian Eropah menjadi keruan.
Akhir Gemilang Barbarosa Sebelum Kematiannya
Tahun   1538, Pasukan Salib Gabungan Itali-Sepanyol menyerang Preveza yang   ketika itu merupakan pelabuhan penting di Laut Tengah. Andrea Doria   memimpin 40 kapal dan Barbarossa hanya memimpin 20 kapal. Namun dengan   kecerdikannya, Barbarossa memecah armadanya ke tiga arah dan memerangkap   Pasukan Andrea Doria di tengah-tengah dan kemudian mengebom armada   Andrea Doria habis-habisan.
Andrea   Doria dan armada lautnya pun lari dari pertempuran. Walau begitu,   Khairuddin tidak mengejarnya kerana dia tidak mahu berperang di laut   lepas, mengingati kapal-kapal armada laut Sepanyol mempunyai peralatan   yang lebih canggih. Apalagi ia hanya memimpin 20 kapal.
Tiga   tahun kemudian, Pasukan Salib Gabungan Sepanyol-Genoa kembali  menyerang  Algeria dengan kekuatan 200 kapal. Mereka sengaja melancarkan  serangan  di luar musim pelayaran, untuk mengelakkan pertemuan dengan  Pasukan  Barbarossa. Rakyat Algeria di bawah pimpinan Hasan Agha  berjuang sekuat  tenaga untuk mempertahankan Algeria. Charles V dan  Andrea Doria yang  memimpin serangan tidak menjangka bahawa pertahanan  dan strategi perang  Hasan Agha sangat matang, sehingga armadanya pun  kacau-bilau.
Ketika   itu pula tiba-tiba badai laut dahsyat menghentam Laut Mediterranean.   Andrea Doria dan Charles V berjaya selamat, dan kembali ke negerinya   dengan kekalahan pahit.
Tahun   1565, di penghujung usia, Khairuddin Barbarossa memimpin pasukan untuk   merebut Malta dari tangan Knight of St. John. Namun dalam pertempuran   itu, Khairuddin gugur. Kemudian Khairuddin dimakamkan di Istanbul.   Berhampiran kuburnya dibina sebuah masjid dan madrasah untuk   mengenangnya. Hingga kini makam tersebut masih dijaga untuk menjadi   bukti kepahlawanan Khairuddin atau dikenali sebagai Barbarossa yang   namanya masih ditakuti bangsa Eropah hingga zaman sekarang. 
sumber :http://keretaburuk12.blogspot.com 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan