Soalan:  Assalamualaikum. Saya nak tanya, apakah hukum seorang lelaki dan  perempuan yang bukan muhrim bersentuhan dan bercumbuan pada pertama kali  tanpa melakukan zina? Adakah dosa keterlanjuran ini sangat berat  walaupun tidak berlaku zina? Apakah Allah akan mengampunkan dosanya  sekiranya mereka ini telah insaf dan tidak mengulangi perbuatan ini untuk kali kedua? Saya kurang jelas tentang hal ini.
    Jawapan: Perbuatan tersebut sekalipun belum berzina tetapi ia telah  membabitkan pelbagai dosa dan kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu:
1.  Ia menghampiri zina. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu  menghampiri zina” (Surah al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir;  “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hambaNya dari zina, dari  menghampirinya dan dari terlibat dengan segala sebab dan pendorong  kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).
2.  Berdua-dua antara lelaki dan wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak  bersunyian (berdua-duaan) seorang lelaki dan seorang wanita melainkan  syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).
3.  Menyentuh bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu  ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh  seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan  al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi  hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat;  Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.
4.  Membuka aurat kepada bukan mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan  janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan  tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua  mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam  hadis, Rasulullah bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu  kecuali kepada isteri kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR  Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)
5.  Tidak menjaga pandangan mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai  Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat  pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan  mereka…. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya  menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan  memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat 30-31).
6.  Melepaskan nafsu seks mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran  Allah menyebutkan di antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang  menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya  mereka, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka sesiapa yang  mengingini selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang  yang melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). 
Perhatikan  Allah menegaskan “sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu”  (yakni mencari jalan untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan  hamba sahaya) mereka adalah orang yang melampau batas. 
Dengan  ayat ini Imam as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan  tangan (yakni melakukan onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan  kepada isteri atau hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika  melepaskan nafsu secara sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika  membabitkan pasangan yang bukan mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.
Orang  yang melakukan perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada  Allah. Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia  benar-benar bertaubat nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun  taubat berikut;
 * Meninggalkan maksiat tersebut sepenuhnya.
 * Menyesali ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.
 * Bertekad tidak akan mengulangi lagi.
Sebagai  bukti kejujuran taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana  maksiat kepada suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi  pergaulan luar batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan  orang-orang soleh, mendampingi masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa  takut kepada Allah dan balasan di akhirat). 
Hanya  dengan berada dalam suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri  dari terjerumus ke dalam maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda;  “Seseorang manusia itu berada di atas agama teman rapatnya. Maka  hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (HR Imam  at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4516)
Wallahu a’lam.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan