Pada suatu  hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin  Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat.  Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di  kedai itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga  kedai yang diamanahkan tuannya tadi. 
Satu  barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus dirham.  Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua  ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta  mengurangkan harganya tadi. 
Ditengah  jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu  bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang dibeli dari  kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari  kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga  barang ini kamu beli?" 
Badwi itu  menjawab, "Empat ratus dirham." 
"Tetapi  harga sebenarnya cuma dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya supaya  saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar  Yunus lagi. 
"Biarlah,  ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga yang  empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah  lima ratus dirham." 
Tetapi  saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya  juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan  wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah  saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan  takut kepada Allah atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali  ganda?" Marah saudagar Yunus lagi. 
"Tetapi  dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus dirham."  Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia dipihak yang benar. 
Kata  saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu  amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap  diri kita sendiri." 
Jika kisah  ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang beriman,  amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang  jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya  berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam  perniagaan. 
Dalam hal  ini Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap harga,  yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap  bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut aku  lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayat lima imam kecuali  imam Nasa'i) 
Wallahu’alam.


 
1 ulasan:
Não estava conseguindo comentar, pois estava solicitando o login e não estava aceitando o informado. Gostaria que me informassem como proceder, deixando um comentário no meu espaço. Oteu espaço continua muito bonito e bem ilustrado.
Abraços,
Furtado.
Catat Ulasan