Ada  sepasang suami isteri yang hidup bahagia. Tidak ada kurangnya bagi  pasangan yang dilimpahi dengan kemewahan ini kecuali satu,  mereka tidak  punya anak walaupun telah lama berumah tangga. Sering mereka bercerita  tentang betapa indahnya hidup sekiranya punya seorang anak penyejuk  mata. Rasa ini bergolak hebat apabila melihat kepada jiran sekeliling  yang sentiasa riuh rendah dengan bunyi hilai ketawa anak-anak,  kadang-kadang tangisan nyaring.
Apa  yang menarik tentang pasangan Mr. & Mrs. Perfect ini: Susun atur  dalaman rumah mereka yang rapi, kekemasan sentiasa pada tahap maksimum  dan semua benda mesti berjalan seperti yang dirancang dan dijadualkan.  Rutin hidup mereka semuanya berjalan seperti dalam catatan diari dalam  kerapian tahap tinggi. Nota semakan kerja rumah tergantung pada peti  ais, pada white board pula senarai semakan keberkesanan, perancangan  pula dalam buku management tersendiri. Dengan tekun semua ini  diulang-ulang saban hari, minggu dan tahun. 
Pada  satu hari yang indah, si isteri bergegas memberitahu jiran tetangga  berita gembira yang dikongsi bersama dengan sambutan syukur hampir  seluruh kawasan kejiranan berhampiran. Menurut doktor, dia bakal  menimang cahaya mata. Kegembiraan jelas terpancar pada pasangan ini,  ucapan tahniah datang mencurah-curah.
Begitu  pantas masa berlalu. Akhirnya sampailah saat yang mendebarkan, anak  yang ditunggu dilahirkan dengan selamat. Bayi lelaki comel ini  benar-benar memberi sinar pelengkap kasih sayang di dalam rumah itu.
Tiga  tahun berlalu, anak lelaki ini membesar dengan sihat dan subur, sesubur  perhatian dan belaian daripada ayah dan ibu. Namun berlaku sesuatu yang  tidak diduga oleh ibunya selama ini. Anak lelaki ini mempunyai perangai  yang seratus peratus berbeza dengan sikap ibunya. Kalau ibunya sangat  kemas, anak lelaki ini akan mengeromot segalanya. Rumah yang selama ini  kemas teratur sering kali bertukar wajah menjadi seperti lepas perang,  kena penangan anak ini. Keadaan tidak terkawal, anak ini mungkin telah  dimanjakan berlebihan. 
Si  ibu merintih derita. Apa yang berlaku ini bertentangan sama sekali  dengan kanun dirinya. Semua mesti sempurna! Sampai pada tahap ini si ibu  selalu terlanjur cakap bahawa mempunyai anak sebenarnya satu kesilapan.  Anak bukan penyejuk mata sebaliknya peragut ketenangan. 
Bagi  mendidik si anak, si ibu terpaksa menggunakan sedikit kekerasan, cubit,  rotan dan meminta dia berikrar untuk tidak mengulanginya kembali.   "Mama, abang minta maaf ... Abang tak akan ulang lagi." Itulah ungkapan  yang diajar setiap kali kesalahan dibuat. 
Satu  lagi tabiat yang pelik bagi anak ini ialah dia akan  mengoyak kertas  yang dijumpainya dan dibiarkan bersepah merata-rata. Cubitan dan  kemarahan tidak berjaya mengubah tingkah lakunya, dia masih dengan  tabiat menyepah-nyepah, kemudian rumah jadi bingit dengan leteran dan  bahang kemarahan ibu. Begitulah yang sering berlaku.
Pada  suatu hari si ibu bergegas mengemaskan rumah kerana kawan lamanya bakal  datang melawat. Dia ke dapur memasak hidangan kepada tetamu yang bakal  datang.
Bila  dia membawa makanan untuk dihidangkan, alangkah terkejutnya apabila dia  melihat ruang tamu bersepah, sofa tunggang langgang dan koyakan kertas  bertabur di mana-mana. 
"Abang  ... mari sini!!" Jerit si ibu memanggil anaknya lebih kuat daripada  biasa. Kemarahannya mencecah siling kesabaran dan membakar rentung  ladang hemahnya.
Si  anak ketakutan lalu lari meluru ke arah pintu. Si ibu mengejar dari  belakang. Nafasnya tertahan-tahan menahan marah. Kaki anak  melangkah  keluar dari rumah dengan larian deras. Sesaat dia telah berada di  hadapan pagar.
Tiba-tiba  terdengar satu bunyi hentaman keras. Larian ibu terhenti. Wajah terasa  basah terpercik sesuatu. Dia terpaku ... Alangkah  terkejutnya apabila  melihat anaknya menggelupur kesakitan berhampiran longkang besar di tepi  rumahnya. Basah di muka tadi rupanya adalah darah anaknya. 
Dia  tidak mempedulikan lagi pada kereta yang melanggar, dia meluru  mendapatkan anak dan merangkulnya. Darah merah ada di mana-mana, dada  anak berombak-ombak, tubuh kekejangan, terdengar bunyi rengekan menahan  sembilu kesakitan yang amat. Tanpa berlengah dia terus memandu  keretanya, anak diletakkan ke atas ribanya, tubuhnya kini dibasahi  darah  merah segar anaknya, dia terus memecut laju ke hospital. 
"Ya  Allah ... tolonglah selamatkan anakku ini." Doanya dalam  raungan kuat  sambil memandu laju. Hon dibunyikan bertalu-talu minta laluan daripada  pemandu lain. 
"Ya  Allah ... aku tahu aku gagal menjadi seorang ibu yang baik tetapi aku  memohon sekali ini ... Ya Allah selamatkanlah anakku ini."
Air  matanya bercucuran dengan deras menitis, tumpah dan bergaul dengan  darah merah anaknya. Perjalanan terasa begitu jauh dalam keadaan begini.  Nafas anak tercungap-cungap. Dari mulut, hidung juga telinga darah  terus mengalir begitu deras. Si anak bergelut dengan kesakitan, dada  berombak kuat, setiap kali dia membuka mulutnya darah bercucuran keluar.  
Anak  seperti ingin menuturkan sesuatu, ibu menangis semahunya. "Mama maafkan  abang ..." Ungkapannya sukar ... tersekat-sekat kerana kesakitan itu.
"...  Abang janji tak akan buat lagi." Itulah ucapan yang selalu dituturkan  apabila ibunya marah. Ibu memegang mulut anak, hatinya menangis. Bukan  ini yang ibu mahu dengar.
Sebaik  sampai di hospital, anak dikejarkan ke bahagian kecemasan. Ibu menunggu  di luar, dia membuat panggilan kepada suami dan mengurus segala  prosedur yang patut. Dengan baju dipenuhi darah tanpa merasa malu pada  orang sekeliling yang melihatnya, dia menangis sekuat hati, rasa sesal  mengasak kuat segenap ruang hatinya.
"Ya Allah berilah aku peluang kedua untuk menjadi seorang ibu  yang baik, aku sedar akan kesalahanku ..."
"Ya  Allah selamatkanlah anakku hari ini ..." Doa tidak pernah putus dari  bibirnya dengan permohonan  setulus-tulusnya kepada tuhan.
Setelah  lama menunggu, tiba-tiba doktor keluar. Bebola matanya merenung penuh  pengharapan pada doktor."Puan, maafkan ... Kami telah cuba melakukan  yang terbaik." 
Patah  bicara doktor satu-satu menyusun kalimah."Anak puan ... Telah meninggal  dunia. "Hanya itu yang mampu dituturkan, walaupun selalu tetapi  tetap sukar untuk menjelaskannya kepada ibu ini.
Dunia  terasa seperti pasir jerlus yang menyedut dengan deras ke dalam,  kepingan langit sekeping-sekeping menghempas ubun-ubun kepalanya.  Alangkah sakitnya hakikat ini. Dalam tangisan berderai, dia meluru dan  merangkul sekujur tubuh anaknya dengan mata tertutup rapat, kesakitan  telah tiada bersama nafasnya yang berangkat pergi buat  selama-lamanya. 
"Anak  ... Kamu tidak mendapat apa yang sepatutnya ibu berikan di sepanjang  perjalanan pendekmu ini ..." Ibu mencium semahu-mahunya. Namun wajah itu  hanya kaku,  dingin sekali.
Jenazahnya  kemudian diuruskan sehingga selesai sempurna. Malam itu apabila lampu  tidur dimatikan dan kawasan kejiranan sunyi, ibukeluar ke kawasan tong  sampah di hadapan rumah. Dia menyelongkar sampah semalam mencari koyakan  kertas anaknya. Malam itu di ruang tamu rumahnya penuh koyakan kertas  yang ditaburkan.
Dengan  nada lemah sekali bersama lelehan air mata hangat ibu berkata,  "Alangkah indah andainya ini yang ibu lihat pada setiap hari disepanjang  hidup ini."
”Ibu  rindu kepadamu ... Ibu rindu kepada nakalmu ... Ibu rindu pada koyakan  kertas ini, tetapi kenapa ibu buta tentangnya selama ini?"
Tangisan  hanya saksi bisu dengan irama tersendiri, namun hakikat yang terpaksa  direngguk ialah semua itu tidak boleh diulang lagi. Anak comel itu tidak  akan pulang lagi ke rumah sampai bila-bila.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan