Sabtu, 28 September 2013

Mengumpat Yang Diharuskan


 

Hadis : Bab 256 – Riyadus Solihin

256- Bab Pada Menyatakan Mengumpat Yang Diharuskan
Berkata Imam Nawawi r.a.: Ketahuilah! Sesungguhnya mengumpat ada juga yang dibenarkan kerana tujuan yang benar lagi disyariatkan yang tidak boleh dihasilkan melainkan dengan mengumpat. Ia terdapat pada enam sebab.

1- Pengaduan penganiayaan.
Maka harus bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang dikenakan keatasnya kepada Sultan atau hakim atau sebagainya daripada orang-orang yang berkuasa untuk menyekat kezaliman tadi. Contohnya dia berkata: Si pulan ini telah menzalimiku dengan begini-begini.

2 – Meminta pertolongan untuk menegur kemungkaran dan menarik si pelaku maksiat kepada kebenaran.
Maka harus bagi seseorang menceritakan kepada orang yang diharapnya mampu untuk menghilangkan kemungkaran itu dengan katanya sebagai contoh : Si pulan itu telah buat sekian-sekian, maka kamu laranglah dia. Dan tujuannya menceritakan keburukan itu adalah untuk menghilangkan kemungkaran itu. Tetapi jika tujuannya bukan untuk itu (bahkan untuk memburuk-burukkannya) maka ia adalah haram.

3 – Bertanya hukum atau cara penyelesaian.
Maka harus baginya berkata bagi orang yang ditanyainya itu (sebagai contoh): Ayahku atau abangku atau suamiku atau si pulan telah menzalimiku dengan begini-begini. Adakah haknya berbuat demikian? Dan apakah caranya untuk aku selesaikan masalah ini, atau apakah caranya untuk aku dapatkan hak aku, atau apakah caranya untuk aku sekat kezaliman ini atau sebagainya? Semua ini adalah harus kerana hajat tadi. Tetapi yang lebih baik ialah dengan berkata: Apakah pendapatmu tentang seorang lelaki atau seseorang atau suami (tanpa menyebutkan nama dan menentukan sesiapa) yang berbuat begini-begini? Ini kerana tujuannya untuk bertanya tadi telahpun terhasil sekalipun tidak dinyatakan seseorang yang tertentu. Walau bagaimanapun menyatakan seseorang yang tertentu adalah harus hukumnya sebagaimana pada hadis riwayat Hindun r.a. yang kami akan sebut Insya Allah.

4 – Mengingatkan muslim yang lain daripada kejahatan atau menasihatinya.
Di sini banyak cabangnya. Antaranya ialah menyatakan kecacatan dan kecelaan yang terdapat pada perawi-perawi hadis atau para saksi. Maka perkara ini adalah harus dengan ijmak kaum muslimin bahkan kekadang menjadi wajib jika perlu.
Antaranya juga ialah bila diminta pandangan untuk berbesan (mencari menantu dan pasangan hidup), bersyarikat, memberikan amanah barang-barang, bergaul, berjiran atau sebagainya. Dan wajib bagi orang yang diminta pandangan itu (memberitahu segalanya dan) tidak menyembunyikan hal keadaannya yang sebenar, bahkan dia perlu memberitahu keburukan-keburukan yang ada pada orang itu dengan niat nasihat. Dan ini banyak yang disalah gunakan. Ini kerana ada yang memberitahu kepada orang lain kerana kedengkiannya dan syaitan pula telah mencampur adukkan dan mengkhayalkan dia bahawa ia adalah nasihat. Maka hendaklah kita berhati-hati dengan perkara ini.
Dan termasuk dalam bab ini juga ialah seseorang pemimpin yang tidak memimpin dengan baik, samada kerana dia tidak layak atau kerana dia adalah seorang yang fasiq atau seorang yang cuai atau sebagianya. Maka wajib diberitahukan kepada orang atasannya untuk memecatnya dan menggantikannya dengan orang yang lebih sesuai atau supaya orang atasan itu mengetahui keadaannya dan memberikan tindakan yang sewajarnya dan tidak tertipu dengan tindak tanduknya. Juga supaya dia (orang atasan) memberikan dorongan kepada pemimpin itu supaya lebih istiqamah atau akan ditukar (digantikan dengan orang lain).

5 – Jika dia seorang yang jelas meunujukkan kefasiqannya atau bid’ahnya.
Contohnya orang yang menunjuk-nunjuk bahawa dia meminum arak atau orang yang terang-terang merampas harta orang ramai, memungut cukai (duit pau dan sebagainya), mengenakan cukai secara zalim atau mengetuai perkara-perkara kejahatan. Maka harus disebutkan kejahatan-kejahatan yang dilakukannya secara terang-terangan itu. Tetapi haram menyebut lain-lain keaiban yang ada padanya melainkan jika ia juga diharuskan dengan sebab-sebab lain yang kami sebutkan ini.

6 – Untuk dikenali.
Apabila seseorang yang sudah masyhur dengan gelaran seperti (si pulan) yang berdener matanya atau yang tempang, yang tuli, yang buta, yang bole atau sebagainya, maka harus disebutkan pengenalan mereka tadi. Tetapi haram jika disebutnya dengan niat untuk mencelanya. Dan jika boleh mengenalinya dengan pengenalan lain yang lebih elok, maka itulah yang lebih baik.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَجُلًا اِسْتَأْذَنَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, فَقَالَ: ائْذَنُوا لَهُ, بِئْسَ أَخُو الْعَشِيرَةِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
1532/1- Daripada Aisyah r.a., sesungguhnya ada seorang lelaki meminta izin untuk berjumpa Rasulullah s.a.w., dan baginda bersabda (kepada para sahabat): Izinkan dia (masuk). Dialah sejahat-jahat ahli keluarga.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Berkata Imam Nawawi: Imam Bukhari berhujjah dengan hadis ini dalam membolehkan mengumpat orang yang jahat dan yang tidak tetap pendirian.
Diharuskan mengumpati mereka supaya kita tidak terkena kajahatan mereka dan tidak terpedaya dengan zahir mereka.
وَعَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا أَظُنُّ فُلَانًا وَفُلَانًا يَعْرِفَانِ مِنْ دِينِنَا شَيْئًا. رَوَاهُ البُخَارِيُّ. قَالَ اللَّيْثُ بنُ سَعْدٍ, أحَدُ رُوَاةِ هَذا الْحَدِيْثِ: هَذانِ الرَّجُلانِ كَانَا مِنَ الْمُنَافِقِينَ.
1533/2 – Daripada beliau juga (Aisyah r.a.) katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku rasa kedua-dua orang ini sedikit pun tidak mengenali agama kita ini (Islam).
Hadis riwayat Bukhari. Berkata al-Laith bin Saa’d (salah seorang perawi hadis ini) : Kedua-dua orang ini adalah daripada kalangan munafiqin.
Harusnya mengumpati orang yang munafiq supaya zahir mereka tidaklah memperdayakan orang yang tidak mengetahui hal sebenar mereka.
Kita tidak boleh menuduh sewenang-wenang seseorang dengan munafiq.
وَعَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, فَقُلْتُ: إِنَّ أَبَا الْجَهْمِ ومُعَاوِيَةَ خَطَبَانِيْ, فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَمَّا مُعَاوِيَةُ فَصُعْلُوكٌ لَا مَالَ لَهُ, وَأَمَّا أَبُو الجَهْمِ فَلَا يَضَعُ العَصَا عَنْ عَاتِقِهِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ, وَفِيْ رِوَايَةٍ لِمُسْلِم: وَأمَّا أبوْ الْجَهْمِ فَضَرَّابٌ لِلنِّسَاءِ.
1534/3 – Daripada Fatimah binti Qais r.a. katanya: Aku datang menemui Nabi s.a.w. dan aku memberitahu baginda: Sesungguhnya Abu Jahmi dan Mua’wiyah masuk meminangku. Baginda bersabda: Mua’wiyah tu miskin dan tidak berharta. Abu Jahmi pula tidak membuangkan tongkat daripada bahunya.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Perhatian: Hadis ini tidak diriwayatkan oleh Bukhari sebagaimana yang beliau sebutkan. Perkara ini memang diketahui bagi orang yang mengkaji Riyadus Solihin. Memang hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud. Tirmizi, Nasaie, Ibnu Majah, Ahmad, Malik dan juga Darimi.
Dan pada riwayat Muslim : Abu Jahmi pula suka memukul perempuan. Dan ini adalah tafsir kepada riwayat: tidak membuang tungkat daripada bahunya. Ada juga yang berpendapat maknanya banyak bermusafir.
- Harus menceritakan keburukan calon suami atau isteri kepada pasangan mereka.
- Menyatakan pandangan terhadap calon suami atau isteri tidaklah termasuk dalam mengumpat yang diharamkan sekalipun dengan menyebut keburukan dan kelemahan mereka.
- Kita mestilah berhati-hati dalam membuat keputusan.
- Pandangan orang yang berilmu atau berpengalaman adalah penting dalam menentukan sesuatu.
Kita mestilah memberikan nasihat jika diminta.
وَعَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: خَرَجْنَا مَعَ رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ أَصَابَ النَّاسَ فِيهِ شِدَّةٌ, فَقَالَ عَبْدُاللَّهِ بْنُ أُبَيٍّ: لَا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنْفَضُّوا, وَقَالَ: لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ, فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, فَأَخْبَرْتُهُ بِذلِكَ, فَأَرْسَلَ إِلَى عَبْدِاللَّهِ بْنِ أُبَيٍّ, فَاجْتَهَدَ يَمِينَهُ مَا فَعَلَ. فَقَالُوا كَذَبَ زَيْدٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَوَقَعَ فِي نَفْسِي مِمَّا قَالُوا شِدَّةٌ, حَتَّى أَنْزَلَ اللَّهُ تعالى تَصْدِيقِي:﴿ إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ ﴾ ثُمَّ دَعَاهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيَسْتَغْفِرَ لَهُمْ فَلَوَّوْا رُءُوسَهُمْ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
1535/4 – Daripada Zaid bin Arqam r.a. katanya, kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. dalam musafir yang penuh dengan kesusahan. Maka Abdullah Ibnu Ubayy berkata: Jangan seorang pun daripada kamu memberikan belanja kepada sahabat-sahabat Rasulullah sehinggalah (akibatnya) mereka akan berpecah belah. Dia juga berkata: Jika kita pulang ke Madinah, maka orang yang sangat mulia (Abdullah Ibni Ubayy) akan menghalau orang yang sangat hina (Rasulullah). Aku pun datang menemui Rasulullah dan memberitahu baginda perkara tersebut. Rasulullah pun mengutuskan utusan menemui Abdullah Ibni Ubayy (untuk bertanya kesahihan perkara tersebut). Dia bersungguh-sungguh bersumpah tidak mengatakan demikian. Lalu orang ramai berkata: Zaid telah berbohong dengan Rasulullah s.a.w.. (Kata Zaid lagi) Hatiku sungguh terasa dengan apa yang dikatakan (tuduhan) terhadapku, sehinggalah Allah Taala menurunkan wahyu membenarkan (perkataan) aku. (Iaitu firmanNya): “Apabila datang orang-orang munafiqin kepadamu (wahai Muhammad) …”. Kemudian Rasulullah memanggil mereka untuk beristighfar memohon keampunan kepada mereka, tetapi mereka memalingkan kepala mereka (kerana lari daripada mematuhi Rasulullah dan enggan beristighfar).
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Harusnya menceritakan rahsia orang-orang munafiq dan orang-orang yang khianat supaya kita terselamat daripada kejahatan mereka.
Menceritakan hal dan rahsia mereka tidaklah termasuk dalam mengumpat yang diharamkan.
Orang munafiq sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Islam dan penganutnya. Kerana itu kita mesti sentiasa berwaspada dengan mereka.
وَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَتْ هِنْدُ امْرَأَةُ أبِيْ سُفْيَانَ للنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ وَلَيْسَ يُعْطِيْنِيْ مَا يَكْفِيْنِيْ وَوَلَدِي إِلَّا مَا أَخَذْتُ مِنْهُ وَهُوَ لَا يَعْلَمُ. فَقَالَ: خُذِيْ مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوفِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
1536/5 – Daripada Ai’syah r.a. katanya: Hindun (isteri Abu Sufyan) memberitahu Rasulullah s.a.w. (dengan katanya): Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang yang bakhil dan dia tidak memberi kepadaku (nafkah) yang mencukupi untuk aku dan anakku, melainkan (yang mencukupkan daku ialah) aku mengambil daripadanya (hartanya) sedangkan dia tidak tahu. Baginda bersabda: Ambillah daripadanya (hartanya) yang cukup untuk kamu dan anak kamu dengan baik (tidak berlebihan dan tidak juga terlalu sempit).
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis
- Harus menceritakan hal suami atau isteri dalam bertanyakan hukum atau jalan penyelesaian.
- Harus bagi isteri untuk mengambil haknya daripada suaminya jika haknya tidak diberi sekalipun dengan tidak keizinan suaminya.
- Tidak harus bagi isteri mengambil wang dan harta suami sewenang-wenang, yang diharuskan mengambil tanpa izin itu hanyalah sekadar keperluan.
- Suami hendaklah membelanjakan hartanya dengan baik untuk kebahagiaan isteri dan anak-anak dan janganlah terlalu kedekut sehingga menyusahkan mereka

Sumber

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...