SOLAT memerlukan tumpuan kerana apabila
perhatian terganggu, ia mampu mengurangkan pahala solat. Sebab itu Islam
amat menitik beratkan persoalan persediaan sebelum solat termasuk
menetapkan hati yang tenang serta memakai pakaian bersih.Persediaan juga
mengambil kira mengelak daripada perkara yang boleh mengganggu solat
seperti kerap berlaku sekarang ini, bunyi deringan telefon bimbit.
Perkara ini penting kerana bunyi deringan telefon itu boleh mengganggu
solat kita serta jemaah lain.Deringan bunyi telefon terkadang
menghasilkan lagu dan bunyi yang jelas mampu menghalang jemaah terus
khusyuk ketika solat sedangkan khusyuk satu tuntutan penting dalam
solat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
Nabi Muhammad SAW sendiri pernah
menghalang sahabat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan
nyaring ketika orang lain sedang solat.
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW apabila pergi ke masjid untuk beriktikaf dan Baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata: “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain atau meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran (atau apabila bersolat).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis, jika al-Quran juga
dilarang diperdengarkan kerana boleh mengganggu solat, apatah lagi bunyi
deringan telefon. Sudah tentu dilarang dan sebab itu wajib bagi ingin
menunaikan solat menutup telefon bimbit sebelum melakukan solat sama ada
bersendirian atau berjemaah.
Namun persoalan berbangkit, bagaimana
jika kita terlupa menutupnya sebelum bersolat dan telefon berdering.
Adakah kita perlu menghentikan solat, menggerakkan anggota tubuh untuk
mematikan telefon bimbit atau membiarkan saja telefon terus berdering.
Jawapan paling tepat di sini ialah
mematikan telefon tanpa membatalkan solat. Maksudnya, orang yang sedang
solat dibenarkan bergerak sedikit anggota badan lalu menutup telefon
itu. Pergerakan ini dibenarkan dalam solat kerana maslahah menjaga
khusyuk solat lebih besar daripada terus membiarkan telefon berbunyi
sepanjang kita bersolat.
Persoalan ini termasuk dalam perbahasan
hukum pergerakan dalam solat. Perbuatan tidak termasuk dalam perbuatan
solat jika dilakukan dengan banyak maka ia terbatal tetapi jika dalam
kuantiti sedikit membabitkan anggota kecil, maka dibolehkan.
Cuma di sini, ulama berselisih pandangan
mengenai ukuran banyak atau sedikit. Dalam mazhab Syafie, jika
dilakukan melebihi tiga kali dan secara berturutan maka ia membatalkan
solat.
Namun bagi Imam an-Nawawi, ia turut
mendatangkan contoh pergerakan yang sedikit seperti memberi isyarat
ketika menjawab salam, melepaskan serban atau meletakkannya, menggosok
lendir yang terlekat di baju dan lain-lain lagi.
Banyak juga keterangan hadis
menceritakan pergerakan Nabi SAW dan sahabat ketika sedang solat kerana
maslahah tertentu. Contohnya, pergerakan Nabi SAW memegang telinga Ibnu
Abbas untuk memindahkannya daripada sebelah kiri ke sebelah kanan
Baginda.
Pergerakan yang banyak ini sudah
dijelaskan oleh Ibn Battal bahawa inilah maslahah digunakan Nabi SAW
dalam memelihara solatnya daripada terganggu.
Begitu juga kisah Nabi SAW sendiri
pernah solat dalam masjid sambil mendukung cucunya Umamah. Apabila
rukuk, Baginda akan meletakkan cucunya di bawah dan apabila bangun,
Baginda akan mendukung cucunya kembali.” (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Sebahagian cendekiawan Islam menolak
dalil pergerakan Nabi SAW sebagai hujah untuk membolehkan kita mematikan
telefon bimbit ketika solat kerana kata mereka ia khusus kepada Nabi
SAW. Bahkan ada sebahagian mengatakan pergerakan dilakukan Nabi SAW itu
boleh jadi tidak dilakukan secara berturut-turut melebihi tiga kali.
Namun, pendapat mereka masih tidak kukuh
disebabkan ada juga sahabat melakukan pergerakan yang banyak apabila
terdapat maslahah mendesak. Di samping itu, tiada jaminan Nabi SAW tidak
bergerak melebihi tiga kali berturut.
Bahkan ia adalah perkara ijtihadiyyah
Imam Syafie yang memang terkenal sebagai imam yang amat berhati-hati dan
menjaga kesempurnaan solat. Ini suatu yang baik jika kita ingin
mengambil pendekatan Imam Syafie.
Bagaimanapun, dalam kes
mematikan telefon, ini keperluan mendesak. Ia boleh dikategorikan
sebagai pergerakan yang wajib dilakukan ketika solat kerana larangan
mengganggu jemaah lain yang sedang solat adalah wajib.
Oleh itu, perbuatan mematikan telefon
dimasukkan dalam perbahasan yang sama seperti keharusan bergerak untuk
membunuh binatang buas yang mengancam. Ia diqiyaskan kepada hadis Nabi
SAW yang mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil ketika solat.
Diriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan supaya membunuh dua binatang buas walaupun ketika solat iaitu kala jengking dan ular (jika ia menghampiri ketika solat).” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Justeru, dapat difahami bahawa wajib
bagi seseorang untuk mematikan bunyi telefon bimbitnya kerana ia
merosakkan ketenangan orang yang sedang solat, seperti mana bahayanya
kala jengking dan ular.
Namun pergerakan itu mestilah dibatasi supaya tidak terlalu melampau sehingga melambangkan seolah-olah tidak ada perbezaan antara orang yang melakukan solat dan orang belum mengerjakan solat.