Jumaat, 3 Mac 2017

Mitsubishi Pajero – Legenda 4×4 Rali Dakar

Mitsubishi Pajero ialah sebuah kenderaan serba guna (SUV) keluaran Mitsubishi yang paling laris. Ia dinamakan sempena nama sejenis kucing liar yang hampir pupus (Leopardus Pajeros) dan pernah menghuni kawasan hutan di selatan Argentina.
Untuk pasaran Amerika, ia lebih dikenali dengan nama Mitsubishi Montero. Sejak diperkenalkan, Pajero telah memberi saingan sengit kepada model-model SUV ternama seperti Land Rover dan Toyota Land Cruiser.
Prototaip pertama Pajero diperkenalkan di Tokyo Motor Show 1973 dan prototaip kedua menyusul lima tahun kemudian. Ia dihasilkan untuk pasaran Jepun sebagai alternatif kepada Toyota Land Cruiser dan Nissan Patrol. Pajero mula dipasarkan secara rasmi pada tahun 1982 di pasaran Jepun.
Setahun selepas pengeluarannya, Pajero terus mengambil langkah drastik dengan menyertai perlumbaan tahan lasak paling popular di dunia, Paris-Dakar Rally. Pada tahun 1985, tahun ketiga penyertaan, Pajero telahpun memenangi perlumbaan tersebut.
Sehingga kini, Pajero merupakan antara kenderaan paling berjaya dalam perlumbaan tersebut dengan catatan terbaik memenangi 7 daripada 10 siri perlumbaan. Ia bukan hanya membuktikan keupayaan off-road Pajero, malah membantu dalam menaikkan angka jualannya.
Kini Pajero sudah berada di generasi keempat dan masih menguasai pasaran sebagai SUV terlaris dari Jepun. Malah di Malaysia, Pajero generasi lama masih boleh dilihat berada di mana-mana dalam keadaan baik.
Ia juga merupakan platform permulaan yang baik untuk sesiapa yang baru sahaja mahu memulakan aktiviti 4×4. Berikut kami senaraikan secara ringkas perkembangan Pajero sejak mula diperkenalkan 35 tahun dahulu.
GENERASI PERTAMA (1982-1990)
Memulakan pengeluaran sebagai kenderaan SUV baharu. Generasi pertama ini juga dikenali sebagai Pajero LO (L047) di Malaysia. Ia merupakan genre 4WD baharu yang berbeza dengan kenderaan 4WD untuk kegunaan tentera yang langsung tidak selesa digunakan. Ia juga meninggalkan terus ciri-ciri lama 4WD yang langsung tidak mengambil kira aspek keselesaan. Asalkan kenderaan itu mampu berfungsi dengan baik hingga ke destinasi.


Kini dengan Pajero, Mitsubishi menawarkan sebuah SUV yang bukan hanya selesa, tetapi memiliki kawalan lebih baik untuk pemanduan di laluan off-road yang serba mencabar.
Pajero juga membangunkan beberapa ciri yang jauh lebih baik berbanding sebuah kereta penumpang biasa. Contoh terbaik ialah penggunaan pegas gelung pada bahagian suspensi. Ini bagi menggantikan pegas dedaun yang biasa digunakan oleh 4WD lain pada masa itu.
GENERASI KEDUA (1991-1998)
Mitsubishi mereka semula Pajero generasi kedua ini agar lebih moden dan besar. Ia bukan sekadar facelift tetapi memang sebuah model yang baru dari segi dalaman dan luarannya.
Generasi kedua Pajero juga dilengkapi sistem 4WD Super Select yang termaju. Ia membolehkan pemandu memilih mod pacuan yang diperlukan tanpa perlu menghentikan kenderaan untuk mengunci hub.

Sistem pacuan boleh ditukar ketika memandu sehingga kelajuan 100 km/j dan menjadi satu inovasi penting dalam segmen 4WD. Pajero generasi kedua merupakan Pajero yang paling meluas dipasarkan di Malaysia.
Selain diminati peminat pacuan empat roda, ia juga menjadi pilihan hampir semua agensi kerajaan di Malaysia. Sebut sahaja jabatan mana. Baik polis, bomba, kastam, JPJ dan banyak lagi memilih Pajero untuk kegunaan rasmi mereka.
GENERASI KETIGA (1999-2005)
Pajero berjaya menghapuskan perbezaan di antara pemanduan off-road dan on-road, seterusnya membawa kepada pembangunan generasi ketiga pada tahun 1999.
Tujuan utama Mitsubishi adalah untuk menambah baik kualiti pemanduan sebuah 4WD. Kemajuan utama generasi ini ialah apabila mereka menggabungkan rekaan badan monocoque dengan cesi ladder frame. Ini bagi mengurangkan berat dan pada masa yang sama cukup kukuh.

Pajero ini juga mempunyai pusat graviti yang rendah untuk kestabilan. Tetapi masih dengan kelegaan bumi yang sesuai untuk sebuah kenderaan pacuan empat roda. Ia juga dilengkapi topang bebas pada semua suspensi demi memastikan setiap tayarnya mencengkam permukan jalan dengan lebih mantap.
Ini menjadikan Pajero pendahulu segmen yang sukar digugat oleh mana-mana pesaing.
GENERASI KEEMPAT (2006- SEKARANG)
Pajero generasi keempat merupakan sebuah kenderaan 4WD yang cukup matang. Ia dilihat lebih kepada cubaan Mitsubishi untuk menyempurnakan kenderaan yang sudah dihasilkan dengan begitu baik.

Kemajuan yang dicapai juga digunakan untuk memperbaiki sebarang kekurangan yang ada, tanpa mengira sekecil mana kekurangan tersebut. Contohnya sewaktu pembuatan casis, Mitsubishi telah menambah 54 titik kimpalan untuk mengukuhkan lagi casis yang sudah sedia kuat untuk keselamatan.
Hasil kerja tangan seperti inilah yang membuatkan Pajero sebuah kenderaan pacuan empat roda yang tiada tolok bandingnya.
CABARAN RALI DAKAR (1983-2009)
Keputusan untuk bertanding dalam perlumbaan Rali Dakar diambil dalam masa cuma enam bulan selepas Pajero diperkenalkan ke pasaran.
Ini bermakna Pajero akan mengharungi laluan off-road sejauh beribu-ribu kilometer yang terdiri daripada padang pasir, batu, selut dan lumpur. Ia juga menjadi peluang terbaik untuk menguji dan membangunkan Pajero yang baru sehingga ke batas terakhirnya.

Komponen seperti suspensi dengan pegas gelung terbaru itu juga diuji dalam persekitaran rali yang sangat mencabar. Mereka menguji dan mengubah suai sehingga sesuai digunakan untuk Pajero akan datang.
Pajero mengecap kejuaraan paling hebat Rali Dakar dengan 12 kemenangan keseluruhan selama 25 tahun penyertaannya sehingga tahun 2009. Selepas itu cabaran Mitsubishi dalam Rali Dakar diteruskan oleh Mitsubishi Lancer.

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...