Dalam 7 kekuatan ada 7 kelemahan. Sekiranya ditutup 7 kelemahan
tersebut, Insya Allah bertambahlah ilmunya, imannya, takwanya dan
amalnya. Itulah 7 deria manusia.
Manusia mempunyai 7 deria iaitu kulit, mulut, hidung, dua mata dan dua
telinga. Dari 7 deria inilah manusia itu mengenal nikmat Allah SWT.
Manusia menggunakan 2 mata untuk melihat benda yang cantik. Menggunakan
2 telinga untuk mendengar bunyi yang merdu. Menggunakan hidung untuk
mencium bau yang wangi. Menggunakan mulut untuk merasa makanan yang
lazat dan menggunakan kulit untuk merasai kepanasan, kesejukan dan
memegang benda-benda di dunia ini.
Sebenarnya Allah SWT memberikan manusia 7 deria tersebut agar mereka
memerhatikan ciptaan alam ini agar mereka dapat mengenal Allah SWT.
Firman Allah SWT “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada
pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan
dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu)
orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri
dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula
memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai
Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia,
Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.” (Surah
al-Imran,ayat 190-191)
Itulah kekuatan manusia, apabila mereka menggunakan 7 deria yang
diberikan oleh Allah SWT kepada perkara-perkara yang baik. Mata melihat
kejadian alam. Telinga mendengar ceramah agama. Hidung mencium bau
yang wangi dan bernafas sambil mengingati Allah. Mulut untuk
berkata-kata tentang kebesaran Allah dan membaca Al-Quran. Kulit dan
anggota untuk melakukan amal-amal yang direhai Allah.
Pada masa yang sama, 7 deria manusia itulah juga kelemahannya, apabila
manusia menyalahgunakan 7 deria tersebut kepada perkara-perkara yang
haram dan tidak baik. Apabila mata melihat perempuan yang tidak halal,
telinga mendengar umpatan dan kejian, hidung mencium dadah dan asap
rokok, mulut mengata, mengeji dan mengumpat dan kulit dan anggota
menyentuh perkara yang haram dan berbuat maksiat.
Itulah sebenarnya ujian kepada kita di dunia ini. Kita perlu menutup
kelemahan 7 deria kita tersebut dengan bermujahadah melawan hawa nafsu
kita. Lakukanlah perkara tersebut semata-mata untuk mendapat keredhaan
Allah SWT. Ingatkah anda kisah seorang sufi yang mempunyai seorang anak
perempuan yang dikatakan cacat, buta, pekak dan bisu. Rupa-rupanya dia
dikatakan cacat kerana tidak pernah menggunakan anggotanya kepada
perkara yang haram. Buta kerana tidak pernah melihat yang haram. Pekak
kerana tidak pernah mendengar perkara haram dan bisu kerana tidak
pernah berkata perkara haram.
Itulah matlamat kita walaupun amat sukar untuk dilakukan pada akhir
zaman ini. Bermujahadahlah melawan nafsu kita. Moga bertambah ilmu
kita, iman kita, takwa kita dan amal kita dan semoga Allah mengampunkan
dosa-dosa kita dan redha kepada kita.
*Sumber dari lautan-biru.blogspot.com