Bagi yang sudah biasa bertemu dengan
mertua sebelum berkahwin, tentu tidak menjadi soal. Bagaimana bagi yang
tidak pernah bertentang mata dengan keluarga mertua? Pasti diselubungi
rasa bimbang, apatah lagi bila memikirkan cara untuk menyesuaikan diri
dengan mertua.Bagi menangani masalah tersebut, pastikan anda menyiapkan
diri dengan beberapa tips yang diberikan. Persediaan diri sebenarnya
bukan hanya bermula selepas sah bergelar suami/isteri, seeloknya sedari
awal pertunangan lagi. Kalau kena gaya dan caranya, tidak mustahil anda
akan jadi menantu kesayangan.
1. Sebaik sahaja anda sah sebagai
tunangannya, mulakan berkenal kenalan dengan keluarga mertua. Andai
tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk
bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu
berkunjung ke rumahnya.
2. Ketika berkunjung, bawalah buah
tangan bersama. Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun
buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh
dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain sebagai
tanda kenangan.
3. Kenali sikap sebenar mertua anda.
Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua.
Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini
boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.
4. Setelah berkahwin, jangan sesekali
anda memarahi anaknya dihadapan mereka. Keadaan ini memberikan gambaran
sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan
menimbulkan kebencian dihati mertua.
5. Setiap kali bertandang, cuba
mengambil hatinya dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh
menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian
agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang
dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.
6. Berkongsi minat dengannya. Kalau dia
gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia
gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya.
Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai.
Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin
dia beranggapan anda tidak serius.
7. Apabila tiba hari-hari penting
seperti ketibaan Hari Ibu, Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari
Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda
berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh
membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.
8. Paling penting, jaga pertuturan anda.
Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan
agar menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa.
Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan
sampai menyinggung perasaan keluarga mertua.
9. Setelah selesai majlis kenduri,
pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut.
Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak
barang yang patut dibasuh seperti periuk,kuali, gelas atau pinggan
mangkuk. Walaupun anda keletihan, tetapi cuba sibukkan diri dengan
menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering,
cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.
10. Akhir sekali, cuba mengasihani
keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri. Anggaplah
mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan
bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat.Walaupun jika
ditakdirkan anda tiada jodoh.