Selasa, 1 November 2016

‘Sunat’ Perempuan Tiada Dalam Islam, Kata Pakar



#EndFGM campaign - video
Amalan mengkhatan kanak-kanak perempuan di kalangan umat Islam negara ini tidak ada kaitan dengan ajaran Islam, kata beberapa doktor perubatan dan aktivis Islam yang ditemui FMT.

“Tiada satu pun ayat Al-Quran atau hadis yang mewajibkan khatan kepada perempuan,” kata pakar kardiotorasik dan pensyarah kanan jurusan perubatan di Universiti Monash, Dr Farouk Musa.

Beliau yang juga pengarah Islamic Renaissance Front menjelaskan, hadis yang menyatakan amalan berkhatan, atau apa yang dikenali sebagai “female genital mutilation” (pemotongan genitalia wanita, FGM) sebagai “memuliakan perempuan”, bukan merupakan hadis sahih.
Pandangan ini berbeza daripada amalan di Malaysia, di mana orang Melayu Islam yang rata-rata bermazhab Shafie, mengamalkannya secara berleluasa. Malah, ia dianggap tuntutan agama.

FGM melibatkan pemotongan sebahagian daripada alat kemaluan wanita, dan menimbulkan kontroversi yang berkait rapat dengan perdebatan mengenai kesaksamaan gender.

Pada 2009, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan hukum khatan bagi perempuan adalah wajib, namun boleh dielakkan jika membawa kemudaratan.

Ia bercanggah dengan pendirian ulama tersohor yang menjadi rujukan penting fekah aliran Sunnah zaman ini, Dr Yusuf al-Qaradawi. Menurut fatwa Qaradawi, FGM bukan tuntutan agama, malah berbahaya dan perlu dihentikan.

Satu alasan yang kerap diutarakan oleh mereka yang mengamalkan FGM ialah ia boleh membataskan nafsu seksual wanita apabila dewasa kelak, yang menurut mereka sesuatu yang baik.

Bagaimanapun, Dr Harlina Siraj, pakar sakit puan yang mengetuai Jabatan Pendidikan Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, menyifatkan pandangan tersebut sebagai “penghinaan” terhadap wanita.

“Ini sangat menghina. Padahal tiada dalam sirah (sejarah kehidupan Nabi Muhammad) yang menyatakan nabi mengkhatankan anaknya.

“Sebagai pengamal perubatan, kami hanya lakukan sesuatu yang mempunyai asas dan ada data saintifik. Berbeza bagi lelaki, tiada kajian menunjukkan khatan perempuan memberikan manfaat, malah ada risiko berlakunya kesilapan ketika dilakukan,” kata Dr Harlina kepada FMT.

Dr Farouk memetik ilmuwan Islam terkenal dari Mesir, Dr Mohammad Salim Al-Awa, yang berkata amalan FGM hanyalah budaya sebahagian masyarakat Arab.

“Seperti yang dikatakannya, Nabi Muhammad tidak pernah mengkhatankan walau seorang bayi perempuan. Tindakan itu untuk menunjukkan ia bukan ajaran Islam,” katanya.

Dr Farouk menyalahkan penafsiran agama dan budaya yang bersifat patriarki (pro lelaki) dalam masyarakat. Beberapa negara Islam termasuk Mesir dan Indonesia baru-baru ini melancarkan kempen membanteras amalan khatan perempuan.

Pada 2006, tindakan kerajaan Indonesia melarang amalan itu dibantah beberapa agamawan termasuk Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Jakarta kini melancarkan kempen mengakhiri amalan itu, termasuk bekerjasama dengan badan-badan agama dan pertubuhan wanita bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Bulan lalu, Mesir meluluskan undang-undang mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang mengamalkan FGM. Amalan itu diharamkan di Mesir walaupun 9 daripada 10 wanita dan kanak-kanak berumur antara 15 dan 49 pernah menjalani FGM.

Amalan itu juga berleluasa di kalangan penduduk Kristian, dan dianggap normal di Eritrea, Ethiopia dan Somalia.Dr Farouk bagaimanapun mengakui prosedur FGM di Malaysia tidak membuang terlalu banyak lebihan kulit pada kemaluan perempuan, seperti amalan budaya dan tempat lain.

“Tetapi sebaik-baiknya, ia tidak perlu dibuat,” katanya. “Apa hak kita? Tiada kebaikan melainkan kemudaratan, kerana risiko fizikal seperti jangkitan serta psikologi kepada perempuan. “Saya gesa mufti agar menilai semula fatwa dengan merujuk pandangan Qaradawi dan Al-Awa yang melarangnya,” tambahnya.

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...