Nama Ural mungkin agak asing bagi kita di Malaysia tetapi motosikal
tiga roda ini mempunyai sejarah dan pengaruh yang cukup panjang sejak
dari zaman Perang Dunia Kedua.
Ia bermula bila pihak Soviet Union memperolehi rekaan dan teknik
pembuatan motosikal BMW R71 pada tahun 1940. Motosikal Ural pertama yang
dinamakan M-72 telah berjaya dihasilkan pada tahun 1941. Army troops on Ural motorcycles
Pada asalnya kilang Ural terletak di Moscow, Leningrad dan
Kharkov tetapi kemudiannya telah dipindahkan ke Irbit dan Gorky untuk
mengelak kemaraan pihak Jerman sewaktu peperangan.
Sejarah syarikat Ural ini bermula sejak dari Perang Dunia Kedua di
mana pihak Soviet memerlukan kenderaan khusus untuk mobiliti ketenteraan
khususnya untuk bersaing dengan pihak Jerman. Pemimpin Soviet ketika
itu, Joseph Stalin mengarahkan pihak tentera untuk bersedia untuk
mempertahankan Soviet Union dari serangan darat tentera Jerman.
Satu mesyuarat telah diadakan oleh Kementerian Pertahanan Soviet dan
mereka memutuskan motosikal adalah kenderaan yang paling sesuai untuk
kegunaan Tentera Merah itu. Pihak Tentera Merah mahukan sebuah motosikal
yang moden sesuai dengan kegunaan mereka. Ini kerana motosikal yang
sedia ada tidak memuaskan hati pihak tentera.
Mereka telah memilih motosikal BMW dengan sidecar yang
dinamakan R71 sebagai model untuk motosikal baru mereka. Lima unit
motosikal tersebut telah dibeli secara sulit sebelum dibawa masuk ke
Soviet untuk ditiru oleh para jurutera mereka.
Ia dileraikan dan dijadikan acuan untuk projek motosikal baru Tentera
Merah sebelum prototaipnya ditunjukkan kepada Stalin. Beliau bersetuju
dengan rekaan tersebut dan proses pengeluarannya segera dimulakan.
Sebuah model asal yang dibeli secara sulit itu masih ada sehingga ke
hari ini dan dipamerkan di muzium Ural di Rusia. URAL ADALAH SYARIKAT GLC
Perusahaan Ural di Russia masa kini dimiliki sepenuhnya oleh
pemerintah dan jika ada pegawai kerajaan yang ingin memiliki motosikal,
mereka mesti membeli motosikal Ural (nasib baik Malaysia tidak membuat
peraturan yang sama, mesti beli motosikal Modenas).
Keterbukaan dasar kerajaan juga telah membolehkan Ural menggunakan komponen-komponen motosikal yang diimport dari luar negara.
Kini motosikal Ural telah dimodenkan dengan gabungan pelbagai alat
ganti dari seluruh dunia. Sebagai contoh ia kini dilengkapi dengan enjin
empat lejang 750cc dengan teknologi suntikan bahan api, gear
empat-kelajuan dengan tambahan gear mengundur, penyerap hentak moden dan
brek cakera pada ketiga-tiga roda.
Rekaan luarannya bagaimanapun masih dikekalkan dengan imej tahun
40-an yang cukup klasik. Bahagian badan dan luaran termasuklah rim
bagaimanapun masih dihasilkan menggunakan logam besi yang kukuh. Tidak
ada aksesori yang dihasilkan menggunakan plastik murah pada motosikal
ini.
Sama seperti pengeluar motosikal lain, Ural kini menggunakan khidmat
pembekal luar untuk menghasilkan komponen motosikal mereka. Mereka
mendapatkan alternator dari syarikat Nippon-Denso, brek dari Brembo,
sistem penghidup dari Ducati Energia dan banyak lagi syarikat lain.
Hanya bahagian kerangka, enjin dan bahagian badan dihasilkan sendiri.
Ia masih kelihatan seperti replika Ural tahun 1940 yang lengkap dengan
meter kelajuan analog.
Di Rusia, kebanyakan jalan-jalan desa mempunyai kualiti yang kurang
baik dan motosikal Ural sangat tahan lasak merupakan satu keperluan buat
penduduk luar bandar. Tetapi kini, motosikal Ural mula dieksport ke
serata dunia seperti Australia, Eropah, Asia Barat, Amerika Selatan dan
banyak lagi. Di Asia ia juga telah memasuki pasaran Indonesia.
Hubungan yang baik antara pemerintah Indonesia khususnya Presiden
Jokowi dan Presiden Rusia Vladimir Putin membolehkan Ural terjual di
Indonesia. Sehingga hari ini dikhabarkan lebih daripada 20 unit
motosikal Ural telah terjual di negara jiran itu. Ia dipasarkan menerusi
PT Hobby Motor Indonesia. Model paling laris dinamakan Gear Up dan
berharga RP 425 juta.
Motosikal Ural bukannya dihasilkan untuk peminat kelajuan tetapi
lebih kepada peminat motosikal sejati yang menghargai nilai sejarah dan
sentimental yang ada pada sebuah motosikal.
Jika motosikal keluaran Jepun telah menjajah kita dari segi ekonomi,
Ural pula pernah menguasai dunia dalam peperangan yang sebenar. Ia
meletakkan namanya sebaris dengan wira-wira perang dunia seperti kereta
kebal Panzer dan U-Boat Jerman, Jip Willy’s Amerika dan pesawat pejuang
Mitsubishi Zero dari Jepun.