Sesungguhnya
matlamat hidup di atas dunia fana ini hanya satu, adalah untuk tunduk
kepada Allah yang Maha Esa dan meraih redha Allah. Namun, acapkali jika
kita cuba pandang di sekeliling kita, ramai manusia zaman kini lebih
mementingkan redha manusia berbanding redha Allah. Seakan redha manusia
itulah sumber kebahagian di dunia mahu pun akhirat. Seakan redha manusia
itulah penentu kehidupannya diberkati.
Redha manusia? Ya, redha manusia. Jika
disingkap kehidupan manusia… marcapada lebih menitik beratkan kepada
kemewahan, kesenangan, dan hiburan. Sebagai contoh; sesetengah manusia
sekarang berlumba lumba untuk menjadi cantik hanya kerana untuk mendapat
pujian dan layanan yang baik. Ada pula yang sanggup berbelanja lebih
untuk memiliki barang berjenama hanya untuk dijaja di mata orang lain.
Tidak salah untuk memakai barangan
berjenama, hanya yang kurang sedap di lihat jika ianya melebihi
keperluan yang ada sehingga ada yang hanya di pakai sekali dua kemudian
di simpan buat koleksi menambah harta. Andai dana tersebut diguna dan
dibelanjakan untuk bersedekah, alangkah baik dan murninya sikap
sedemikian rupa?
Tidak juga salah untuk berfesyen
mengikut arus kota yang bertamadun. Namun, hanya kurang sedap di lihat
jika ianya berfesyen sehingga lupa pada halal dan haramnya. Tudung
singkat yang masih menampakkan bayangan leher dan rambut, mekap tebal
menyilaukan pandangan sehingga boleh menimbul syahwat pada yang
melihatnya. Bukankah indah jika bersederhana dan sempurna dalam mengikut
syariat menutup aurat? Bukan sahaja aurat dijaga rapi bahkan akhlak
juga sentiasa menghiasi.
Sama-sama kira renungi diri, kelak apabila kita pergi meninggalkan dunia ini, pasti kain putih jua yang akan membaluti tubuh kita. Amalan mulia jualah sebagai ‘make up’ diri kita. Jika cantik amalan kita, maka tentu ‘cantik’ jugalah diri kita bertemu denganNya.
Sama-samalah kita muhasabah, niat di
hati tu sentiasa diperbaiki agar segala yang kita lakukan hanya
semata-mata kerana Allah. Biarlah apapun yang manusia lain perkatakan,
kerana yang tahu nawaitu kita hanya Allah sahaja. Sesungguhnya niat kita
itu penilainya adalah Allah, bukan manusia. Maka setiap niat kita
sandarkanlah ia hanya lillahitaa’la. Misalnya niat untuk menutup aurat,
biarlah kerana Allah ta’ala, jangan niat pakai tudung hanya untuk
cantik. Biar kita tidak cantik di mata manusia, asalkan kita cantik di
sisi Allah.
Sabda Nabi Muhammad SAW daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :
“Islam itu bermula sebagai sesuatu yang
asing dan akan kembali asing, maka sampaikan lah berita gembira kepada
orang orang yang terasing itu.”
(Hadis Riwayat Muslim no. 145)
(Hadis Riwayat Muslim no. 145)
Sesungguhnya apa yang baginda khabarkan
kepada kita sememangnya betul. Cuba lihat sekarang dunia, mana satu lagi
menjadi keutamaan? Duit ataupun agama? Tepuk dada tanya selera.
Allah kurniakan mata untuk manusia
supaya melihat, Allah ciptakan telinga untuk mendengar, dan Allah
ciptakan otak untuk berfikir, sesungguhnya ciptaan Allah itu sangat
berkait antara satu sama lain, bila melihat, lihatlah dengan mata hati
dan sampaikan la ia ke otak, supaya ia dapat diolah dengan betul.
“Hidup ini menjadi sempit dan semakin
sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha
manusia di sekeliling kamu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur
dengan reda manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani
sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan” (Syeikh Ibn Atoillah
As-Sakandari)
Sama-sama kita renung dan kita usaha untuk amalkan. Amal dengan penuh istiqamah.
“Ketahuilah sesungguhnya kehidupan di
dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan saling
berbangga di antara kamu serta berlumba dalam menambah kekayaan dan anak
keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para
petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya
kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang
keras dan keampunan daripada Allah serta keampunan daripada Allah serta
keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang
palsu ”
(Surah al-Hadid ayat 20)
(Surah al-Hadid ayat 20)
Justeru sama-samalah kita betulkan niat,
sucikan hati. Sedarlah, hidup di dunia ini hanya sementara tiada
kekalnya. Bukalah minda dan hati agar jangan mudah dan terlalu seronok
ditenggelamkan dengan kemewahan dan keseronokkan di dunia ini.
Sesungguhnya semuanya adalah pinjaman
Allah. Pinjaman bermaksud Allah boleh bagi dan Allah boleh tarik balik
nikmat tersebut bila bila masa sahaja tanpa kita mengetahui dan
menyedarinya. Saat kita diberi nikmat kepandaian, jangan lah kita
gunakan ia kepada kesesatan. Jika sesat, sukar untuk kita jumpa jalan
pulang, terus terjerumus dalam kesesatan melainkan Allah bagi hidayah.
Dan jangan lah sesama sekali kita
riak,ujub,bangga dengan pinjaman Allah. Siapalah kita untuk duduk
bangga. Kita hanya memiliki nikmat yang hanya akan hilang. Esok lusa
Allah murka Allah tarik balik.
Kesimpulannya, beringatlah sahabat..
Kita ini sangat dekat dengan akhir zaman. Usah kita jadi hamba Allah
yang berada dalam kejahilan dan kesesatan tanpa sedar. Ingatlah, dari
mana kita datang, dan janganlah sampai kita sesat sehingga mensyirikkan
Allah.
Melebihkan Allah dari segalanya seakan
kita menjadi hamba kepadanya. Melebihkan material, nafsu, kuasa,
pangkat, darjat dan menyandarkannya pada diri sehingga melupakan Allah
yang memiliki segalanya seakan kita menafikan keagungan dan kesempurnaan
Allah. Takutlah kita pada dosa yang terhijab yang tanpa menyedarinya,
kita rupa-rupanya sudah pun berada didalamnya. Iyya uzubillah~
Justeru, sentiasalah betulkan niat dan
hati. Sesungguhnya apa yang Allah pinjamkan di dunia ini milik Allah.
Ianya akan hilang seperti mana dunia itu hilang. Andai merasa hebat
dengan pinjaman Allah, pohonkanlah kemaafan dan keampunan. Sungguh Allah
itu Maha Pengampun bahkan Maha Pengasih dan Penyayang kepada
hamba-hambaNya.
Hai anak Adam, sesungguhnya jika kamu
meminta dan mengharap ampunanKu, nescaya Aku ampuni dosa yang telah kamu
perbuat dan Aku tak peduli. Hai anak Adam, andai kata dosamu seluas
langit lalu kamu memohon keampunan, nescaya Aku ampunkan dan Aku tak
peduli. Hai anak Adam jika kamu menghadap padaKu dengan membawa dosa
sepenuh bumi pula lalu kamu tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa
pun, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan sepenuh bumi pula”
(Hadis Qudsi, Hadis Riwayat Tirmidzi)
(Hadis Qudsi, Hadis Riwayat Tirmidzi)