Apakah punca kegagalan? Punca paling
besar adalah selalu membuat alasan. Jadi, penyakit yang selalu ada dalam
kalangan orang yang gagal adalah orang yang selalu beralasan untuk
berjaya dan melaksanakan tugasnya.
Di kalangan mereka ini, ada yang
mengharapkan bulan jatuh ke riba tanpa melakukan usaha. Angan-angan mat
jenin sudah menjadi tabiat mereka. Kerja mereka hanya goyang kaki dan
mengharapkan nasib semata-mata.
Tahukah anda bahawa orang yang bijak
tidak menggunakan alasan yang sama yang dibuat oleh orang yang gagal
walaupun mereka boleh melakukannya. Kadang-kadang, mereka juga sakit,
keletihan, buntu dan tiada idea tetapi mereka tidak menjadikan perkara
ini sebagai penamat atau penghalang daripada terus berusaha sebaliknya
mereka menjadi lebih ghairah untuk mencari penyelesaiannya.
Suatu perkara yang lebih buruk lagi,
orang yang selalu beralasan dengan sesuatu alasan, katakanlah dia selalu
beralasan bahawasanya dia tidak sihat, maka sebenarnya dia telah
memfokuskan dirinya dalam keadaan sakit dan tidak bermaya. Walaupun, dia
tahu itu hanyalah alasan yang dibuat pada sesuatu ketika tetapi dia
lupa bahawasanya perkara itu sedang berakar umbi dalam dirinya. Seluruh
tubuh sedang berusaha untuk menjadikan dirinya lemah dan tidak bermaya
kerana dia telah memikirkan demikian.
Hal ini telah dibuktikan dengan seorang
yang menghidap penyakit kencing manis tahap normal. Beliau merasakan
dirinya tidak sihat dan terlalu berhati-hati dalam semua perkara bagi
mengelakkan dirinya tercedera atau terkena jangkitan. Beliau juga
mengurungkan diri sendiri dalam bilik dan kurang bergaul dengan orang
lain. Kesannya, tubuh badannya menjadi semakin lemah dan penyakit
kencing manisnya semakin kronik.
Apakah alasan yang sering orang gagal gunakan?
1. Saya tidak sihat
Ini alasan yang paling banyak sekali
digunakan. Bayangkan, kita banyak gunakan alasan ini dan hasilnya kita
tidak ke kelas atau tempat kerja berhari-hari. Katakanlah dalam setahun,
kita telah menggunakan alasan ini 5 kali bermakna kita telah
menghabiskan diri masa kita untuk berada dalam alasan ini selama 5 hari.
Dan 5 hari bermakna 5 x 24 jam = 120 jam. Lama tu! Bayangkan kalau kita
gunakan masa itu untuk kita menulis, saya kira kita sudah mampu
menghabiskan 2-3 bab.
Apakah sakit yang bermasalah? Tidak.
Sakit tidak bermasalah tetapi yang bermasalah adalah menggunakan alasan
sakit untuk duduk dan berbaring semata-mata tanpa melakukan apa-apa
kerja. Anggapkan hari sakit anda seperti hari-hari biasa. Lakukan kerja
harian seperti biasa dan abaikan fikiran kita daripada mengingati sakit.
Jangan bercakap dengan orang lain tentang sakit dan keadaan anda kerana
ianya hanyalah menambahkan lagi kesakitan dan anda lebih tidah bermaya.
Syukurlah dengan apa yang anda hadapi sekarang. Berapa lama anda
mengecapi nikmat kesihatan sebelum Allah berikan kesakitan? Pastinya
kesakitan ini hanyalah sekejap jika dibandingkan dengan kesihatan.
2. Saya tidak cukup pandai
Ini adalah sikap orang yang terlalu
merendah diri. Puncanya, anda terlalu memandang rendah terhadap
keupayaan diri sendiri dan memandang tinggi keupayaan orang lain.
Pandanglah diri kita sebagai insan yang luar biasa dan mempunyai
kemampuan yang istimewa yang belum kita cungkilkan lagi. Cari peluang
untuk mencungkil bakat yang terpendam itu.
Ingatlah bahawa ilmu bukanlah kuasa atau
penyebab seseoran itu berjaya kerana ramai orang yang berilmu tetapi
tersungkur di tengah jalan menuju kejayaan. Ilmu adalah potensi kuasa
sahaja sebaliknya yang menjadikannya berkuasa adalah mengaplikasikan
ilmu.
Selain itu, orang yang genius bukanlah
orang yang berjaya di atas muka bumi ini. Kebanyakan orang yang berjaya
di dunia ialah orang yang tidak sempat menghabiskan persekolahan mereka.
Mereka hanyalah orang berjaya mengawal pemikiran mereka untuk berjaya.
3. Saya terlalu muda / tua
Faktor umur dalam menggapai kejayaan
adalah tidak penting. Semua orang mampu berjaya. Tiada istilah terlewat
dalam berjaya. Selagi mana anda ada keinginan untuk Berjaya maka anda
mampu melakukannya. Just do it!
Ramai orang muda yang mengetuai
organisasi yang kebanyakan ahlinya adalah orang tua. Yang penting bukan
tua atau muda tetapi bagaimana anda menguruskannya dan menghargai orang
lain yang lebih tua daripada anda.
Mengikut kajian, umur yang produktif
adalah antara 20 tahun hingga 70 tahun. Maka, jika kita masih dalam
linkungan ini, teruskanlah usaha untuk berjaya. Sebaliknya, jika sudah
terkeluar dalam lingkungan ini tetapi merasa yakin mampu untuk menggapai
kejayaan, maka buktikan kajian tidak benar dan anda mampu melakukannya.
4. Saya sentiasa bernasib malang
Siapakah yang tahu nasib anda? Allah
sahaja yang Maha Mengetahui. Apakah kerja anda? Usaha dan tawakkal
kepada Allah s.w.t. Mengharapkan nasib semata-mata adalah seperti
mengharapkan bulan jatuh ke riba.
Buatlah perubahan. Pasti di sana ada
sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki. Tingkatkan diri anda kepada
yang lebih baik. Banyakkan membaca dalam bidang yang diceburi serta buat
sedikit kajian tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri dalam
bidang tersebut serta kelebihan dan kekurangan pihak lain. Insya Allah,
pastinya anda akan mendapat peluang yang diharapkan.
Kesimpulannya, janganlah beralasan
walaupun alasan itu benar kerana ia hanyalah melemahkan diri anda.
Positif dalam berfikir dan bertindak. InsyaAllah, anda pasti Berjaya.
Jumpa di sana!
Ar-Razi,
Fes, Maghribi.
By: Mohd Fakurazi Bin Ghazali