Semua orang di dunia ini sudah semestinya mempunyai jiran. Sama ada kita tinggal di rumah, di dorm asrama, mahupun di bilik universiti tetap mempunyai jiran. Namun adakalanya kita lupa tentang adab menghormati jiran. Kita dengan sewenang-wenangnya melakukan sesuatu perkara sehingga menyakitkan hati jiran tanpa kita sedari. Persoalannya di sini, apakah hukum kita menghormati jiran tetangga? Ikuti ulasan di bawah ini.
Jiran tetangga adalah orang yang tinggal
berdekatan dengan kita. Di dalam Islam, Jiran terbahagi kepada tiga
jenis iaitu jiran tiga hak, jiran dua hak dan jiran satu hak. Nabi s.a.w
telah menyatakan dalam hadisnya bahawa Jiran tetangga itu ada tiga
jenis:
I-Tetangga muslim yang ada hubungan keluarga
baginya, maka dia mendapat hak sebagai tetangga, hak sebagai orang
muslim dan sebagai keluarga (kerabat).
II-Tetangga muslim, baginya mendapat hak sebagai tetangga, dan hak sebagai seorang Islam.
III-Tetangga kafir, maka baginya mendapat hak sebagai tetangga.
Dalam sejarah dicatatkan bahawa Khalifah
Umar al-khattab mempunyai seorang tetangga Yahudi yang tinggal
bersebelahan dengan rumahnya. Apabila beliau menyembelih kambing beliau
sering memberikan sedikit daging kambing tersebut kepada jiran yahudi
tersebut.
HORMATI JIRAN
Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim nabi bersabda:
“Demi Allah, dia tidak beriman, demi Allah dia tidak beriman. Nabi lalu ditanya:
“Siapakah dia Ya Rasulullah? Nabi menjawab: “Iaitu orang yang tetangganya tidak merasa aman dengan kejahatannya”.
Sabdanya lagi:
“Tidaklah akan memasuki Syurga orang yang tetangganya tidak merasa aman dari kejahatannya” ( Hadis riwayat Muslim)
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kimat ( Akhiratt) maka janganlah menyakiti jirannya”( Hadis riwayat Bukhari)
HAK-HAK JIRAN
Nabi menyatakan lagi dalam hadisnya:
“Tahukah kamu apa dia hak jiran tetangga itu?;
1. Jika ia meminta tolong kepadamu, Engkau akan menolongnya.
2. Jika ia minta pinjaman, engkau akan memberikan pinjaman kepadanya.
3. Jika ia memerlukan sesuatu, engkau akan memberikannya.
4. Jika ia sakit engkau akan menziarahinya,
5. Jika ia mendapat sesuatu kebaikan, engkau ucapkan tahniah kepadanya,
6. Jika ia tertimpa bahaya, engkau turut sedih bersamanya.
7. Jika ia meninggal dunia, engkau turut menghantar jenazahnya
8. Jangan sekali-kali engkau meninggikan rumahmu sehingga menyekat angin untuk sampai kerumahnya kecuali dengan izinnya.
9. Jangan mengganggu perasaannya dengan bau masakan kamu, melainkan engkau akan memberikan sedikit dari makanan itu
10. Jika engkau beli buah-buahan, berikan sedikit kepadanya
11. Jika engkau tidak mahu memberikannya maka hendaklah engkau memasukkan buah-buahan itu ke dalam rumah secara rahsia
supaya tidak kelihatan olehnya dan janganlah membiarkan anakmu memakan
buah-buahan itu dihadapan anaknya, kelak anak jiran itu akan menangis
mahukan buah tersebut.
SABAR KERENAH JIRAN
Seseorang itu hendaklah sentiasa bersabar
dengan karenah atau gangguan jiran, kerana ia termasuk dalam golongan
orang berbuat baik kepada jiran tetangga. Dalam sejarah di mana telah
datang seorang laki-laki kepada nabi s.a.w menyatakan:
” Ya rasulullah, tunjukan aku pada amal
yang jika aku mengejakan akan dapat dimasukkan aku ke dalam syurga”.
Nabi menjawab:” Jadilah kamu sebagai orang yang baik”. Orang itu
bertanya:” Ya Rasulullah, bagimana aku mengetahui bahawa aku ini seorang
yang baik?. Maka nabi menjawab:”Tanyakanlah pada tetanggamu, maka jika
mereka mengatakan enkau baik maka engkau sebenarnya adalah baik, maka
jika mereka mengatakan engkau jahat, maka engkau adalah jahat”. ( hadis
riwayat al-Baihaqi)