Jumaat, 10 Februari 2017

10 Model Kereta Yang Mengubah Evolusi Permotoran Dunia

Ini merupakan suatu persoalan yang agak subjektif. Bagaimana sebuah kereta mengubah lanskap dunia? Mungkinkah seperti Ford Model T yang merupakan model pertama dihasilkan secara besar-besaran ataupun Mini Cooper yang memberikan kita kereta pacuan hadapan seperti kebanyakan model yang ada hari ini.
Ataupun Tesla Model S yang memberikan kita alternatif kepada enjin pembakaran dalaman tradisional?
Sebuah kereta walaupun mempunyai hayat yang tidak begitu panjang memang telah banyak mengubah gaya hidup kita sedunia. Berikut kami senaraikan kereta-kereta yang akan terus diingati dalam sejarah. Ada yang laris, menjadi kereta produksi massa mengubah cara pemilikan kereta. Ada juga yang datang dengan inovasi mendahului zaman.
1. CITROEN DS

Walaupun mempunyai rupa paras yang dikira agak aneh (memang aneh pun) tetapi ia telah membawakan teknologi suspensi yang dinamakan oleopneumatic yang cukup kompleks kepada dunia.
Ia menawarkan keselesaan terbaik dan turut digunakan oleh pengeluar kenderaan-kenderaan mewah lain seperti Rolls-Royce, BMW dan Mercedes-Benz. Malah Citroen DS juga memperkenalkan teknologi lampu hadapan yang bergerak mengikut arah pusingan roda stereng untuk membantu mengambil selekoh dengan lebih selamat pada waktu malam.
Ini merupakan satu ciri yang semakin digemari oleh pengeluar kereta-kereta moden masa kini.
2. LAND ROVER

Land Rover bukannya merupakan kenderaan off-road yang pertama dihasilkan tetapi ia merupakan kenderaan seumpamanya yang mula-mula dikeluarkan untuk kegunaan awam dalam kuantiti yang besar.
Ia menawarkan kelebihan untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman tanpa jalan raya yang baik selain membantu para petani mengeluarkan hasil ladang mereka dengan lebih pantas (pernah pergi ke Cameron Highlands?).
Malah ia juga bertanggungjawab memperkenalkan segmen 4×4 yang cukup digemari pada masa kini.
3. TOYOTA PRIUS

Ramai yang menyukainya dan tidak kurang juga yang menyampah dengan rupanya yang agak lain dari kebiasaan.
Namun begitu Prius merupakan kenderaan hibrid yang pertama dipasarkan secara meluas kepada umum. Walaupun Honda terlebih dahulu mengeluarkan model Insight mereka namun impak yang diterima tidak sehebat Prius.
Kini hampir semua pengeluar mula mengeluarkan model hibrid mereka sendiri dengan menggunakan acuan yang dirintis oleh Toyota Prius. Prius juga merupakan kereta paling laris di Jepun setiap tahun dan ia “membunuh” segmen C seperti Honda Civic.
4. LAMBORGHINI MIURA

Dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kereta yang menjadi ikutan pengeluar lain khususnya pengeluar supercar seperti McLaren, Ferrari dan Porsche.
Ia merupakan model berenjin tengah dengan sistem pacuan roda belakang terawal. Selain daripada rekaannya yang mendahului zaman, ia juga diakui sebagai antara kereta yang paling cantik pernah dihasilkan.
Ini sekaligus membuktikan yang sebuah kereta bukan hanya berfungsi sebagai alat pengangkutan tetapi juga sebagai sebuah karya seni yang menjadi kegilaan ramai.
5. AUSTIN SEVEN

Austin Seven bukan hanya berjaya menggerakkan ekonomi Britain tetapi dihasilkan dengan kebenaran empunya jenamanya di Amerika Syarikat, Jerman dan juga Jepun.
Ia seterusnya membantu mengembangkan lagi sektor automotif di negara-negara tersebut. Selain daripada itu, Austin Seven juga merupakan kereta yang bertanggungjawab memperkenalkan konfigurasi kedudukan roda stereng, tiga pedal kawalan dan tuil brek tangan seperti yang kita gunakan sekarang.
Besar jasa Austin Seven ni sebenarnya.
6. LANCIA LAMBDA

Ini tidak ada kena mengena dengan tarian Lambada yang cukup popular suatu ketika dahulu.
Ia mungkin kurang popular di negara kita tetapi inilah model yang memperkenalkan teknologi rekaan kerangka unibody ataupun kita kenali sebagai monocoque pada hari ini.
Ia lebih ringan dan kukuh berbanding rekaan badan di atas kerangka (ladder frame) yang digunakan pada peringkat awal dahulu. Tidak hairanlah konfigurasi ini kini menjadi pilihan banyak pengeluar kenderaan pada masa ini.
7. TESLA MODEL S
Kereta-kereta elektrik sudah lama menjadi bahan lawak jenaka di dalam industri kerana mempunyai prestasi yang kurang baik, jarak operasi yang singkat dan rupa paras yang aneh.
Tesla Model S telah menepis semua dakwaan sebelumnya terhadap kereta-kereta elektrik dalam masa yang singkat dan penuh bergaya. Ia bukan sahaja elegan tetapi bergaya, laju dan pada masa yang sama cukup praktikal kerana mempunyai jarak operasi yang munasabah.
Dengan kata lain, inilah kereta yang merevolusikan penggunaan tenaga elektrik sebagai ganti kepada bahan api berasaskan fosil hari ini dan masa hadapan.
8. MINI

Walaupun bukan kereta pertama dengan teknologi pacuan hadapan, Mini ialah kereta pertama yang menggunakan teknologi tersebut dan digabungkan dengan enjin berkedudukan melintang dengan hasil yang mengagumkan.
Mini juga cukup kompak tetapi mampu memuatkan empat orang dewasa dengan selesa pada satu-satu masa. Kereta ini juga menyediakan sebuah kereta yang murah, praktikal, ekonomik tetapi pada masa yang sama cukup menyeronokkan.
Lebih daripada itu, ia juga merupakan pelopor kepada kereta-kereta kompak yang ada pada hari ini.
9. FORD MODEL T

Semua kereta yang ada hari ini terhutang budi dengan Ford Model T kerana inilah model pertama yang dihasilkan secara besar-besaran untuk pasaran umum.
Pengasas kepada Ford Motor Company, Henry Ford, telah memperkenalkan sistem pemasangan secara sistematik sepertimana yang boleh kita lihat sekarang. Visi Henry Ford inilah yang telah memastikan sebuah kereta menjadi pelengkap gaya hidup untuk setiap manusia sehingga ke hari ini.
10. BENZ PATENT MOTORWAGEN

Inilah nenek moyang kepada semua kereta. Tidak akan ada sebuah kereta sepertimana kita kenali sekarang tanpa model rekaan Karl Benz ini yang digabungkan dengan sebuah enjin pembakaran dalaman seperti ini.
Anda mungkin tidak akan mengatakannya sebuah kereta kerana hanya mempunyai tiga roda dan stereng yang kelihatan seperti alat pengawal kemudi bot. Tetapi ia masih diiktiraf sebagai sebuah kereta walapun dibekalkan dengan enjin 954 cc yang menghasilkan kurang dari 1 hp kuasa maksima.

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...