Soalan: Salam ustaz, adakah haram
memakai gelang kaki tapi tidak ada loceng? Bagaimana pula hukumnya
tentang pemakaian gelang tangan berloceng?mohon penjelasan terperinci
dari ustaz.
Jawapan:Bila termenung jauh memikirkan
masalah wanita sekarang ini, memang kebanyakkan wanita ini pada setiap
hari dalam kehidupan mereka dibelenggu dengan dosa-dosa tanpa disedari
oleh mereka. Kadang-kadang saya lihat wanita yang faham agama juga
terlibat dengan masalah ini.
Alasan mereka Islam tidak melarang
berhias dan bercantik-cantik. Paling malang lagi, mereka mengajarkan
orang lain dengan pandangan mereka yang singkat tanpa menjelaskan secara
terperinci pakaian yang dikehendaki oleh Islam. Di kesempatan yang ada
ini, saya hanya fokus kepada persoalan yang telah dikemukakan di atas
iaitu hukum pakai gelang kaki tanpa loceng.
Firman Allah yang bermaksud :
“Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur : 31)
Hukum Memakai Gelang Kaki Tanpa Loceng
Berdasarkan firman Allah di atas ini,
jelas bagi setiap wanita tentang tatacara berpakaian yang dituntut di
dalam Islam. Malah wanita tidak dibenarkan berjalan secara
berhentak-hentak kaki kerena ia mampu menarik perhatian orang lain yang
bukan mahramnya. Ini juga dapat menimbulkan fitnah buatnya.
Perlu diketahui bagi sekelian wanita
yang cintakan Islam yang memakai kasut bertumit, apabila mereka berjalan
ia akan mengeluarkan bunyi yang kuat, ini juga boleh menarik perhatian
dan minat orang yang bukan mahram terutamanya lelaki. Perkara ini juga
boleh digolongkan dalam larangan Allah akan wanita yang berjalan dengan
hentak-hentak kaki dan mengeluarkan bunyi.
Begitu juga bagi wanita yang memakai
gelang kaki berloceng, bila berjalan ia dapat menghasilkan bunyi gelang
dan perbuatan ini juga sangat dilarang di dalam Islam. Tegahan ini telah
dibuatkan di dalam Kitab Bahrul Mazi memakai loceng adalah ditegah oleh
syarak kerana bunyi loceng itu menyebabkan tiada malaikat Rahmat
mendekatinya. Penegasan ini berdasarkan kepada Hadis Rasulullah yang
bermaksud :
“Tiada menyertai malaikat Rahmat bersama jamaah (kumpulan) yang ada di dalamnya anjing dan loceng” (Riwayat Tarmizi)
Penegasan ini juga termasuk loceng yang
terdapat digelang kaki dan juga loceng yang terdapat dipergelangan
tangan. Bagi sesiapa yang melakukannya, maka lebih baik bertaubat dan
meninggalkan perbuatan tersebut.
Ini akan merugikan kita semua. Kalau ada
wanita yang memakai gelang kaki tanpa ada loceng, ini tidak menjadi
masalah dan perbuatan tersebut adalah harus, kerena ia tidak dapat
menarik perhatian orang lain, tambah lagi gelang kakinya disembunyikan
disebalik pakaiannya.
Semuanya bergantung kepada niatnya,
kalau ia pakai untuk menarik perhatian orang yang bukan mahram akan
perhiasan yang dipakai olehnya, maka ia boleh mendatangkan dosa dan
maksiat. Kadang-kadang setengah wanita mereka memakai atas sebab
keinginan kekasih lelaki mereka atas alasan apabila mereka pakai akan
lebih menarik dan cantik.
Tidak menjadi masalah kalau perbuatan
tersebut disebabkan suruhan suami. Secara logiknya, kebanyakkan wanita
yang memakai gelang kaki, tidak menutup aurat kaki dengan memakai stokin
atau seumpamanya.
Mungkin disebabkan sukar kerana gelang
tidak dapat dimasukkan ke dalam stoken atau takut orang lain tidak
nampak. Kalau begini punya persepsi, maka sudah pasti ia menjadi dosa. –
ustaznoramin