Oleh : TENGKU FARIDUDDIN
SAKA
dikaitkan dengan mewarisi jin yang membolehkan makhluk halus itu
menjadikan pewarisnya dengan pelbagai kuasa ghaib seperti memiliki
kecantikan, kekuatan luar biasa atau menjadi individu berpengaruh.
Hukum mewarisi dan
menggunakan saka adalah haram di sisi Islam. Biasanya saka diwariskan
kepada anak atau cucu kepada pemilik saka.
Saka
adalah ilmu keturunan yang dipusakai ada hubung kaitnya dengan jin,
sama ada dibela, dibuat sahabat secara sedar atau tidak oleh pemiliknya.
Gejala
saka amat berbahaya dan mampu merosakkan kehidupan seseorang. Maka,
penting kita menyiasat diri dan keluarga daripada mewarisi saka.
Masyarakat
Melayu memahami saka sebagai ilmu yang dipusakai daripada waris teratas
kepada waris di bawahnya. Contohnya daripada ibu atau bapa kepada anak,
daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucunya, atau
seseorang dalam lingkungan keluarga.
Kesan
jangka panjang jika seorang yang mewarisi saka ialah mampu menjadikan
seseorang itu mendapat sakit sehingga koma atau lumpuh.
Umumnya,
kebanyakan orang yang memiliki saka berkebolehan merawat orang yang
sakit disebabkan jin dan syaitan. Cara rawatannya dengan menurun
menggunakan mantera atau jampi.
Bacaan
dan amalan yang dilakukan itu amat meragukan serta sukar difahami. Ia
bertentangan dengan syariat kerana mempunyai unsur syirik yang boleh
merosakkan akidah.
Jika
seseorang itu menyatakan hasratnya pada waris tertentu, seperti anaknya
yang dia adalah orang yang paling sesuai atau ‘layak’ mewarisinya.
Penurunan
ilmu saka boleh berlaku secara tidak langsung apabila waris menerima
barang tertentu peninggalan si mati seperti barangan kemas, keris,
lembing atau tombak.
Syaitan
akan sentiasa memastikan setiap manusia atau orang yang mewarisinya
sesat ketika sampai ajal mereka. Pada mulanya memang saka kelihatan
seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya seperti melindungi
diri, keluarga dan harta benda tetapi itu semua hanya tipu helah untuk
menyesatkan manusia.
Pelbagai
kesan buruk dan masalah akan timbul dalam jangka masa panjang di mana
kemuncaknya menyebabkan manusia itu berdosa besar kerana mensyirikkan
Allah SWT.
Antara
kesan buruk memelihara saka ialah pemiliknya menghadapi seksaan yang
amat perit ketika menghadapi saat kematian kerana roh mereka sukar untuk
keluar daripada jasad menyebabkan mereka terseksa ketika menemui ajal.
Situasi
lebih dahsyat berlaku apabila pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi
saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.
Gangguan
saka juga menyebabkan seseorang dilanda penyakit misteri. Justeru ahli
keluarga atau sesiapa saja dilarang menerima warisan saka daripada
pemilik asal.
Bagi
mereka yang sudah menerima, berusahalah untuk memutuskan hubungan
dengan makhluk terbabit dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan
Islam yang menggunakan al-Quran dan sunnah sebagai kaedah rawatan.
Pengamal
Perubatan, Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie,
berkata saka adalah perjanjian yang dibuat antara nenek moyang dengan
jin laknatullah untuk mendapat kehebatan, kekuatan, kecantikan,
perlindungan tertentu melalui perjanjian tertentu dalam tempoh yang
ditentukan (tujuh keturunan).
“Saka
berada dalam tubuh badan manusia sejak sekian lama hingga menjadi
sebati dengan manusia. Ia berlaku sama ada seorang itu mengetahuinya
ataupun tidak.
“Jin
berkenaan ditinggalkan nenek moyang pembawa saka apabila mereka
meninggal dunia. Ketika hidupnya, mereka berkawan atau membela jin
berkenaan yang dikenali dengan pelbagai nama dalam masyarakat kita
seperti polong, pelesit, toyol dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata terdapat kronologi bagaimana jin saka berpindah selepas kematian tuan punya saka berkenaan.
“Selepas
nenek moyang yang membela jin terbabit meninggal dunia, jasadnya mati
selepas roh keluar dari badannya. Namun Begitu, jin yang berdamping
dengan nenek moyang itu tidak mati kerana umur jin bukan seperti
manusia.
“Apabila
jasad perumah saka dikebumikan, jin akan bebas seperti keadaan
layang-layang yang terputus talinya. Maka ia akan berkeliaran di atas
muka bumi ini untuk mencari pewaris baru,” katanya.
Sharhan berkata kebiasaannya jin berpindah kepada anak cucu yang mengamalkan jampi tertentu yang diambil daripada si mati.
“Saka
turut berpindah kepada waris seperti anak atau cucu yang menyimpan
barang peninggalan si mati. Mereka berpotensi besar mewarisi saka
disebabkan pernah tinggal serumah bersama si mati.
Petanda Seseorang Mempunyai Saka;
-Gejala waktu tidur
-Susah tidur malam.
-Sering terjaga pada waktu malam dalam keadaan cemas dan takut.
-Mimpi
buruk yang dikenali sebagai kabus seperti mimpi melihat sesuatu yang
mengancamnya kemudian menjerit meminta pertolongan tetapi tiada siapa
mendengarnya.
-Mimpi perkara menakutkan dan menyeramkan.
-Mimpi melihat binatang seperti kucing, anjing, unta, ular, serigala, tikus.
-Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
-Ketawa, menangis dan menjerit-jerit ketika tidur.
-Berdiri dan berjalan ketika tidur.
-Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
-Mimpi berada di kawasan kotor atau di tanah perkuburan.
-Mimpi melihat budak kecil.
-Mimpi melihat salib atau gereja.
-Merintih dan menangis ketika tidur.
Gejala waktu jaga :
-Selalu pening kepala.
-Lalai mengingati Allah SWT
-Sering lesu dan malas.
-Rasa sakit di salah satu anggota badan.
-Sakit di belakang terutamanya tulang belakang.
-Lenguh sendi-sendi utama.
-Mempunyai ketumbuhan yang sukar diubati.
-Mudah panik apabila berhadapan dengan sesuatu ujian.
-Jiwa sentiasa lemah dan tiada motivasi untuk meneruskan hidup.
-Mudah marah dan panas baran.
-Emosional dan terlalu sensitif.
-Terasa seperti terdapat sesuatu di bawah tapak kaki seperti terpijak batu atau telur.
-Sentiasa mengantuk terutamanya dalam majlis ilmu.
“Selain
itu, golongan yang menjadi sasaran kepada saka adalah anak cucu yang
cetek pengetahuan agamanya, sentiasa melakukan maksiat, meninggalkan
ibadat seperti solat, mereka yang lemah fizikalnya serta memang terlalu
menginginkan sangat kehebatan serta kelebihan nenek moyang mereka,”
katanya.
Beliau berkata memang terdapat pertalian erat antara jin dan saka kerana jin yang diwariskan itu umpama harta peninggalan.
“Terdapat
hadis daripada Abu Tha’labah berkata. Rasulullah bersabda yang
bermaksud: “Jin itu mempunyai tiga jenis iaitu jenis yang mempunyai
sayap dan berterbangan di udara, jenis yang berbentuk ular dan anjing
dan jenis yang berpindah randah.
“Jenis
jin ketiga itu dikelaskan jenis jin yang menjadi saka kerana mampu
berpindah dari satu keturunan ke satu keturunan di bawahnya,” katanya.
Sharhan
berkata mereka yang memiliki saka juga mempunyai kebolehan mengubati
penyakit yang disebabkan oleh jin dan syaitan tetapi mereka menggunakan
dengan cara meragukan.
“Kebanyakan
mereka berubat dengan kaedah menurun. Pembawa saka mampu mengubat
tetapi dengan menggunakan jampi yang mempunyai unsur syirik.
“Malah jampi yang digunakan langsung tidak difahami maknanya,” katanya.
Beliau berkata terdapat amalan yang mampu menghalang seseorang itu menjadi mangsa saka dengan berkat keizinan Allah SWT.
“Segala bentuk gangguan jin dapat dielakkan dengan syarat kita percaya dan benar-benar yakin Allah yang menyembuhkan.
“Antaranya
boleh mengamalkan zikir, membaca surah Mulk sebelum tidur, berwuduk
sebelum tidur atau ketika mengadakan hubungan kelamin dengan isteri,
jadikan amalan membaca surah Yaasin setiap Subuh, membaca Basmalah
sebagai wirid setiap kali melakukan pekerjaan dan perdengarkan bacaan
ayat ruqyah di dalam rumah,” katanya. (Harian Islam)