Nabi SAW tidak pernah melakukan
(At-Tarku) Kenduri arwah, kesyukuran dan doa selamat. Baginda juga tidak
pula pernah melarang dan tidak pula mewajibkan. Bolehkah kita lakukan
perkara tersebut? Kalau dilakukan juga, adakah bid’ah sesat hukumnya
semua itu? (1) (2) (3)
Ijmak Ulamak Salaf dan Khalaf bahawa
(At-Tark) perkara yang ditinggalkan Nabi SAW bukan merupakan sumber
perundangan. Ulamak bersepakat bahawa sumber perundangan hukum itu
ialah:
- Al-Quran
- Sunnah Nabi SAW malalui perbuatan, percakapan dan takrir.
- Ijmak Ulamak
- Qias
Ulamak pula berbeza pendapat di dalam sumber-sumber berikut:
- Kata-kata para sahabat Nabi SAW
- Saddu az-zari’ah (Menutup pintu kemudaratan)
- Perbuatan penduduk Madinah
- Masolih Mursalah
- Istihsan
- Hadis dhoif dan lain-lain lagi
Kenduri arwah, kesyukuran dan doa selamat
ini tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan tidak pula pernah dilarang
secara sorih kerana ianya tiada di zaman Nabi SAW. Persoalannya, adakah
ia menjadi haram, makruh dan sebagainya disebabkan semata-mata ianya
tidak dilakukan oleh Nabi SAW sewaktu hayat Baginda?
Di zaman Rasulullah SAW, terdapat banyak
petunjuk yang menunjukkan perkara yang tidak dilakukan oleh Baginda,
tidak semestinya perlu ditinggalkan juga oleh ummat-Nya.
Antara yang paling masyhur adalah Hadis
berkaitan Saidina Bilal Bin Rabah yang kerap kali melakukan solat sunat
dua rakaat selepas wudhuk yang pada ketika itu tidak lagi diajar oleh
Baginda atau dengan kata lain ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Malahan setelah diketahui oleh Baginda perihal Saidina Bilal RA yang
seolah-olah mendahului ajaran Nabi SAW, Baginda tidak pula memarahinya
dan tidak pula melarangnya agar jangan melakukan perkara yang Baginda
tidak ajarkan pada masa akan datang. (4)
Kisah lain antaranya, Rasulullah SAW
biasanya menyampaikan khutbah di atas batang pohon tamar. Melihat
perkara itu, para sahabat mengambil inisiatif menukarnya dengan mimbar
yang lebih sempurna dan mendahului Nabi SAW dalam perkara tersebut. Para
sahabat tidak melihat penukaran batang tamar kepada mimbar sebagai
perkara bidaah yang sesat dan salah atau haram. Walhal perkara itu tidak
pernah dilakukan dan tidak diminta oleh Nabi SAW. (5)
Kisah seterusnya di dalam solat, Nabi SAW
tidak mengajarkan membaca ketika bangun dari ruku’ dengan bacaan Rabbana
Wa Lakal Hamdu Hamdan Kathira Toiyiban Mubarokan Fiih. Pada suatu hari,
seorang sahabat solat berjamaah di belakang Nabi SAW dan pada ketika
Nabi SAW bangun dari ruku’ sambil membaca Samiallahu Liman Hamidah,
sahabat tadi lantas melaungkan Rabbana Wa Lakal Hamdu Hamdan Kathiran
Toiyiban Mubarokan Fiih. Selepas solat, Nabi SAW bertanya siapakah
gerangan yang melaungkan bacaan tadi. Lantas, Rasulullah bersabda : Aku
melihat lebih dari 33 malaikat berebut-rebut untuk menjadi yang pertama
menulisnya. (6)
Menerusi hadis ini, Al-Hafiz Ibnu Hajar
Al-Asqolani menakalkan, bahawa harus membaca zikir yang tidak maathur
(tidak datang dari Nabi SAW) di dalam solat selagi tidak bertentangan
dengan apa yang telah diperintahkan. Jika perkara sebegini dibolehkan di
dalam ibadah solat, maka di dalam perkara lain seperti kenduri arwah,
kesyukuran dan doa selamat lebih-lebih lagi dibolehkan selagimana
kandungannya tidak bercanggah dengan kaedah-kaedah di dalam Islam.
Dari ketiga-tiga kisah ini, para sahabat
telah mendahului Nabi dalam keadaan Nabi SAW tidak pernah melakukan
perkara tersebut sebelumnya. Mereka tidak menganggap bahawa melakukan
perkara yang tidak dilakukan Nabi atau ditinggalkan Nabi itu haram atau
bidaah yang sesat semata-semata. Oleh itu, jika nanti dapat dibuktikan
bahawa intipati majlis kenduri arwah, kesyukuran dan doa selamat itu
tidak bercanggah dengan konsep-konsep di dalam Islam, maka ia juga
bukanlah bidaah yang sesat seperti yang dilakukan oleh para sahabat di
dalam kisah-kisah di atas. Wallahu A’alam.
___________________________
[1] Soalan di ambil dari buku Senjata Mukmin Karangan Ust Muhidir Cetakan Ke-3 (Mesir)
[2] Rujukan utama masalah pertama ini adalah
fatwa Darul Ifta’ Al-Misriyah, Nombor Fatwa 167. Untuk maklumat lanjut,
sila rujuk http://www.dar-alifta.org/ViewBayan.aspx?ID=167#_ftn5.
[3] Tajuk ini juga pernah dijelaskan oleh
As-Syeikh Al-Allamah Saiyid Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari di dalam
risalahnya, Husnu At-Tafahhum Wa Ad-Dark Li Masalati At-Tark.
[4] Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Sohih Bukhari, jilid 1 hlm. 366 dan Imam Muslim jilid 4 hlm. 1910.
[5] Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Sohih Bukhari, jilid 2 hlm. 908 dan jilid 3 hlm. 1314.
[6] Fathul Bari, Ibnu hajar Al-Asqolani, jilid 2 hlm. 287.