Begitu mudah sekali melontarkan keluhan.
Keluhan demi keluhan keluar dari bibir tanpa disedari. Kita mengeluh
atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang
tidak mendatangkan faedah.
Kita mengeluh dan asyik mengeluh. Andai
dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti
terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala
kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan.
Kita mengeluh kerana makanan kegemaran
tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan. Kita
mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa
bayaran. Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan
sebanyak buih dilautan dibiarkan.
Allah s.w.t berfirman “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya” (An-Nahl: 18).
Di saat kita tenggelam dalam keluhan
diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya
untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang
tiada henti-hentinya.
Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk
menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba
kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya. Memang manusia sentiasa leka dan
lupa.
Manusia mempunyai keinginan yang tiada
batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.Kecuali
orang-orang yang bersyukur.
Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab,
ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya:
“Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit” Doa beliau
didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf
di Kaabah.
Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: “Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?”
Pemuda berkenaan menjawab: “Ya Amirul
Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan
penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A’raaf ayat 10 yang
bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di
muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan)
penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur”
Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit,
iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah”
jelas pemuda berkenaan.
Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab
menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Wahai Umar,
alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu”
Subhanallah. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin…
Jadi, sama-samalah kita membina tekad
untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah
berjanji “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya
jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan
jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat
pedih.” (Ibrahim: 7)
Sumber: iluvislam by HarianISlam