Nabi Idris a.s diutus oleh Allah SWT untuk mengingatkan umat keturunan Qabil yang telah bersikap derhaka. Idris merupakan keturunan keenam Nabi Adam a.s. Dalam kalangan bangsa Ibrani, ia dikenal dengan nama Khunuh. Idris belajar agama sejak kecil daripada Nabi Syits, anak lelaki Nabi Adam.
Idris berdakwah kepada kaumnya dengan gigih sehingga menerima gelaran Asad al-usud, yang bererti “singanya singa”.
Ketika Nabi Muhammad SAW melakukan Israk Mikraj, baginda bertemu dengan Nabi Idris di langit keenam. Ketika itu Nabi Idris tidak banyak diceritakan di dalam al-Quran. Namanya hanya disebut dalam surah Maryam ayat 56-57 dan surah al-Anbiya’ ayat 85-86.
Nabi Idris merupakan manusia pertama yang dapat menulis dengan kalam (alat tulis yang diperbuat daripada buluh). Idris dikurniai Allah SWT dengan beberapa kepandaian dan kemahiran. Ia menguasai ilmu hisab, ilmu haiwan, menunggang kuda, dan menjahit pakaian.
Selain itu, Idris jua amat tekun dalam sesuatu pekerjaan atau usaha yang dilakukannya. Ia belajar membaca dan menulis tanpa mengenal waktu dan tempat. Sejak kecil, Idris telah pandai membaca Sahifat (lembaran/helaian bertulis) yang diajarkan oleh Nabi Syits. Idris menerima wahyu daripada Allah SWT melalui Malaikat Jibril dengan 30 Sahifah. Isinya adalah ajaran agama yang harus disampaikan Idris kepada umatnya.
Dikunjungi Izrail
Malaikat Izrail pula amat mengagumi kepandaian Idris. Ia ingin mengenal Idris dengan lebih dekat. Dengan menyamar sebagai manusia, ia bertandang ke rumah Idris. Setelah berkenalan, Idris mempersilakan tamunya itu menginap di rumahnya. Mereka kemudiannya beribadah dengan tekun.
Idris meminta tamunya itu menikmati semua yang ada di rumahnya, tetapi Izrail menolaknya dan hanya ingin beribadah. Idris berasa hairan dan bertanya siapa sebenarnya tamunya itu. Si tamu menjawab bahawa dia adalah Izrail, malaikat pencabut nyawa.
Ketika umat Nabi Idris derhaka, Allah SWT menurunkan azab kepada mereka. Beberapa waktu negeri mereka dilanda kemarau. Aktiviti pertanian terhenti dan banyak haiwan ternakan yang mati. Untuk memperkukuhkan imannya, Idris memohon kepada Allah SWT agar diizinkan untuk melihat syurga dan neraka. Allah SWT memenuhi permohonan Idris itu.
Bersama Izrail, Idris mengunjungi neraka dan melihat api neraka yang menjulang serta berbagai-bagai bentuk seksaan di dalamnya. Kemudian Izrail membawa Idris ke syurga. Di sana Idris bertemu dengan Malaikat Ridzuan dan melihat nikmat yang diberikan Allah SWT kepada para penghuni syurga.
Oleh kerana sebahagian umatnya kufur, Idris mengajak para pengikutnya yang beriman meninggalkan negeri mereka. Pada awalnya mereka keberatan kerana khuatir negeri baharu yang akan mereka huni tersebut tidak sesubur negeri mereka.
Bagaimanapun, Idris dapat meyakinkan umatnya yang beriman itu sehingga mereka mengikut Idris berhijrah ke Mesir.

Tewaskan iblis

Pada suatu ketika Idris digoda syaitan/iblis. Ketika Idris sedang menjahit baju, tiba-tiba datang syaitan dengan menyamar sebagai seorang lelaki. Iblis itu membawa sebiji telur. Ia mencabar Idris supaya meminta Tuhannya memasukkan dunia ke dalam telur itu. Permintaan tersebut dimaksudkannya untuk membuat Idris berasa ragu-ragu akan ‘kemampuan’ Tuhannya.
Bagaimanapun, dengan tegas Idris menjawab bahawa Tuhannya bukan sahaja mampu memasukkan dunia ke dalam telur, tetapi juga ke lubang jarum. Lalu dengan jarumnya, Idris mencucuk mata Iblis. Iblis mengalah dan terus menghilangkan diri.
*Sumber dari www.suatuperjalananmaya.com