Ketika zaman kebangkitan Islam, banyak peperangan telah berlaku di antara pihak
tentera Islam dan musyrikin. Ini kerana banyak suku-suku Arab yang musyrik telah
bangkit menentang kerajaan Islam yang berpusat di kota Madinah. Ketika inilah satu
peperangan besar telah dihadapi iaitu Perang Yarmuk.
Peperangan ini banyak menelan korban baik di pihak muslimin mahupun golongan
musyrikin. Diriwayatkan, telah terjadi satu peristiwa yang amat mengharukan di akhir
perang Yarmuk. Ia adalah satu contoh teladan yang tiada tolok bandingnya bagi
menunjukkan keluhuran budi pejuang-pejuang Islam di medan pertempuran.
Salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Jahim Bin Huzaifah yang menyertai
Perang Yarmuk itu menceritakan peristiwa tentang pengorbanan pejuang-pejuang Islam
yang berhati mulia.
Abu Jahim bercerita,"ketika Perang Yarmuk itu aku sedang mencari saudara sepupuku
yang berada di barisan hadapan sekali. Aku bawa bersama-sama sedikit air agar dapat
diberikan kepadanya. Namun,ketika menemuinya, dia sedang terbaring berlumuran darah.
Dia mengerang kesakitan dan aku tahu harapan untuknya hidup sangat tipis sekali.
Melihat keadaannya itu aku lantas berkejar kepadanya untuk memberikan air. Tetapi
ketika hampir aku memberikannya air itu aku terdengar seorang lagi pejuang Islam
sedang berteriak: “Berikanlah saya air! air!” Mendengar suara itu saudara sepupuku yang terbaring tadi lantas memberi isyarat agar
pergi melayani orang itu lebih dahulu dan memberikannya air itu. Maka aku pun tanpa
berlengah lagi terus pergi mendapatkan orang itu. Pejuang itu amat aku kenali, tidak
lain tidak bukan dia adalah Hasyim Bin Abilas.
Tetapi sebelum sempat aku memberikan air kepada Hasyim aku terdengar suara orang
mengerang di sebelahnya pula, juga meminta air. Hasyim pula kali ini mengisyaratkan
aku supaya memberikan air itu terlebih dahulu kepada orang yang mengerang dekatnya.
Bagaimanapun sebelum sempat aku sampai kepada pejuang yang ketiga itu dia pun telah
mati syahid. Lalu aku pun bergegas semula datang kepada Hasyim dengan air tetapi
alangkah sedihnya dia juga telah mati syahid. Tanpa lengah lagi aku terus pergi
mendapatkan saudara sepupuku yang mula-mula tadi. Sungguh tidak tahan kesedihan yang
kurasa kerana aku dapati sepupuku itu juga telah menghembus nafas terakhir dalam
syahid.
Demikianlah contoh keluhuran budi yang tidak ada bandingnya yang diperlihatkan oleh
pejuang-pejuang Islam yang beriman meskipun nyawa sudah berada di penghujung jalan.
Semoga Allah jua membalas segala pengorbanan mereka.
http://gayahidup.dunyahalal.com/index.php?id=25&mnu=25