Tahukah anda ?
9 Ramadan 93 H
Pada tarikh ini, setahun sebelumnya setelah Toriq Bin Ziyad (Timbalan Musa bin Nusoir) berjaya mengalahkan tentera Qouth dalam misi menawan Andalusia 92 H (Portugal & Sepanyol) dari peperangan di tengah laut hinggalah ke persisir pantai seterusnya ke daratan yang memakan masa sehingga 8 hari.
Beliau meneruskan penguasaanya terhadap wilayah atau kota-kota yang berbaki, sehingga ke musim sejuk, beliau meminta bantuan daripada Musa Bin Nusoir (Gabenor Afrika Bani Umayyah) untuk membantu melengkapkan misi penguasaan Andalusia serta menghalang saki baki penentangan tentera Qouth.
Pada tarikh 9 Ramadan 93 H, Musa Bin Nusoir tiba dengan bala tentera seramai 18 000 terdiri daripada tentera Arab juga disertai oleh beberapa Tabii'n.
Musa Bin Nusoir dengan bala tenteranya meneruskan perjalanan menguasai saki baki kota yang masih belum ditakluki oleh Toriq Bin Ziyad antaranya sebahagian Toledo, Malaga, Osuna, Cordova, Granada dan Seville juga menghapuskan saki baki penentangan oleh tentera Qouth.
Akhirnya mereka berjumpa di hujung Kota Toledo, kemudian bergerak melengkapkan penguasaan sehingga ke sempadan Perancis.
Sumber :
Kitab “Ramadhaniyat” karangan Muhammad Sa’id Mursy dan Qosim Abdullah
Cetakan Darul Tauzi’ wa Nasr Al Islamiyah Cairo Mesir.
Tahukah anda ?
10 Ramadhan 1393 H
Tentera Mesir mampu menembusi terusan Suez dan berjaya menembusi benteng Berlif yang dikatakan benteng tehebat dengan seni pertahanan padang pasir yang paling canggih seperti didakwa Israel.
Begitupula tentera Syria mampu membebaskan beberapa wilayahnya dari tangan Israel. Semboyan pasukan pada peperangan tersebut adalah Allahu Akbar (Allah Maha Besar).
Peperangan ini dinamakan Yom Kippur oleh orang Yahudi kerana bertepatan dengan tarikh perayaan Yom Kippur oleh orang Yahudi "Hari Pengampunan" yang mensyaratkan penganutnya berpuasa selama 25 jam.
Ini antara yang dijadikan alasan Israel akan kekalahan mereka pada perang tersebut, sedangkan Tentera Mesir juga dalam keadaan berpuasa lebih lagi kerana serangan berlaku pada 10 Ramadan.
Sumber :
Kitab “Ramadaniyyat” karangan Muhammad Sa’id Mursy dan Qosim Abdullah
Cetakan Darul Tauzi’ wa Nasr Al Islamiyah Cairo Mesir.
10 Ramadhan 1393 H
Persiapan dimulai dengan terancang oleh Mesir bermula ketika pemerintahan Jamal Abdul Naseer kemudian disambung Presiden Anwar Sadat.
Antara bentuk persiapan adalah dengan membeli peralatan perang soviet secara rahsia, kemudian Mesir juga dibantu oleh dari negara lain seperti Arab Saudi dan Kuwait dari sudut kewangan.
Pada 10 Ramadan 1393 H bersamaan 6 Oktober 1973, setelah beberapa kali ancaman untuk memulakan serangan yang membuatkan tentera Israel bosan, Tentera Mesir mula menggerakkan askarnya secara mengejut untuk menembusi benteng Bar Lev.
Benteng pertahanan terkuat dunia itu diberi nama sempena nama jeneral Israel Chaim Bar-Lev..
Benteng itu sukar ditembusi kerana bentuknya yang menjunam 60 darjah, berpasir, dan memiliki ketinggian 18-25 meter. Tentera mesir menggunakan pelbagai cara untuk menembusi benteng tersebut, namun tidak berhasil.
Akhirnya tentera Mesir diberi ilham supaya menggunakan semburan air tekanan tinggi bagi membentuk lurah pada benteng tersebut.
Akhirnya benteng tersebut berjaya ditembusi dalam masa 6 jam. Pada 7 Oktober, tentera Mesir bergerak masuk dari 5 lintasan jambatan dengan 32,000 tentera dan senjata anti kereta kebal. sebelum memasukkan 200 kereta kebal dan 980 lagi di hari yang berikutnya.
Mereka bergerak masuk secara beransur-ansur sebanyak 12 peringkat sehinggalah mencapai angka 90 000 tentera. Hampir 2,500 bot angin digunakan bagi memasukkan tentera dan jambatan untuk memasukkan kereta-kereta kebal.
Bertebaranlah tentera Mesir dari persisir Terusan Suez sehinggalah ke dalam Sinai dengan tangisan dan laungan "Allahuakbar.. Allahuakbar".
Kemudian bermulalah pertempuran satu lawan satu antara kereta- kereta kebal Mesir-Israel dan pesawat-pesawat Mesir-Israel.
Tekad Mesir untuk menguasai kembail Semenanjung Sinai sangat digeruni bilamana mereka bersedia berperang walaupun menelan korban 1 juta tenteranya.
Tentera mesir juga dibantu dengan pasukan dan kereta kebal oleh negara Arab yang lain seperti Algeria, Maghribi, dan Libya. Manakala Israel dibantu secara langsung oleh Amerika syarikat dengan segala peralatan dan senjata yang lebih canggih.
Berterusanlah peperangan sehingga 22 Oktober.
Hasilnya, Terusan Suez dan Semenanjung Sinai kembali diiktiraf sebagai tanah jajahan Mesir.
Manakala Israel mengalami kemusnahan teruk pada pertahanan udaranya jua kerugian yang besar pada kehilangan kereta-kereta kebal akibat dari senjata anti kereta kebal 'Sagger' yang digunakan tentera Mesir dalam peperangan itu.
Selain itu, Israel juga mengalami krisis kepimpinan dan krisis moral, baik dari dalam mahupun luar yang menyaksikan kemarahan rakyatnya dan beberapa siri pemecatan juga perletakan jawatan pemimpin-pemimpin tertinggi mereka.
Manakala di pihak Mesir, walaupun kehilangan anggota tentera yang banyak dan peralatan perang, mereka mampu mengembalikan kedaulatan tanah air mereka dari penjajahan Israel. Kemenangan mereka juga mampu meningkatkan moral rakyat Mesir dan negara-negara umat Islam amnya.
Gambar ini merupakan sebahagian tawanan Israel yang ditawan tentera Mesir.
Semoga obor Jihad umat ini masih menyala,
menunggu masa untuk beraksi.
Sumber :
Wikipedia,
Maklumat lisan rakyat Mesir,
Lawatan ke tempat peperangan Suez,
Kitab “Ramadaniyyat” karangan Muhammad Sa’id Mursy dan Qosim Abdullah
Cetakan Darul Tauzi’ wa Nasr Al Islamiyah Cairo Mesir.
Tahukah anda ?
13 Ramadan 1406 bersamaan 22 Mei 1986.
Pada tarikh ini, perginya seorang tokoh dakwah Umar Abdul Fatah Abdul Qadir Mustaffa Tilmisaani pada usia 82 tahun.
Beliau yang berasal keluarga Algeria merupakan Mursyidul Am Ikhwan Muslimun yang ketiga selepas Hasan Hudhaibi.
Pernah dimasukkan ke dalam penjara di Zaman Jamal Abdul Nasser dan 17 tahun hidup menetap di dalam penjara. Pada hari beliau dibebaskan, beliau meminta agar diberi masa satu malam supaya dapat menginap dengan alasan beliau sudah lupa jalan pulang ke rumah.
Dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, jika berbahasa menggunakan suara sederhana, tegas dengan kezaliman dan tidak mudah marah dengan sifatnya yang begitu, beliau dihormati oleh kawan mahupun lawan.
Pada hari pemergiannya, dikatakan hampir separuh juta rakyat mesir berkumpul di Masjid Umar Makram memberi penghormatan terakhir kepada jenazahnya. Selain ahli jemaah Ikhwan Muslimun, perarakan juga disertai Perdana Menteri, syeikhul Azhar, dan wakil gereja.
Sumber :
ikhwanWiki
Tahukah anda ?
14 Ramadhan 666 H
Kota Antokiah ini pernah dibuka di zaman pemerintahan Saidina Umar Al-khattab sebelum ditawan semula oleh tentera Salib.
Berada di sempadan turki dan Syria, kota ini merupakan tempat terpenting dan suci bagi orang Kristian suatu masa dahulu dan ianya masih dihuni oleh orang kristian Syria sehingga ke hari ini.
Kota ini pernah menjadi Pusat pemerintahan Rom di zaman Hercules dan dibuka oleh Muslimin ketika Perang Yarmouk.
Setelah ditawan oleh tentera Salib pada tahun 491 H, kota ini dijaga rapi dan dipagari oleh tembok kubu yang sangat tinggi. Tembok ini berukuran hampir 12 batu melingkari kota. Di atasnya terdapat 136 menara dan ditempatkan 24 000 penjaga yang sentiasa bergiliran siang dan malam menjaga kota tersebut.
Pada zaman Pemerintahan Mamalik (saki baki Abbasiyyah) Panglima ketika itu Zahir Baybars yang baru sahaja menghalau tentera Tartar dari bumi Syam meneruskan kemaraan menyerang kubu kuat tentera Salib yang sebelum ini bersekongkol dengan Tartar dalam menguasai negara-negara Islam Abbasiyyah.
Di atas kecerdikan dan strategi Zahir Baybars yang menggunakan helah untuk pergi ke tempat lain dan mereka bergerak pada waktu malam supaya tidak diketahui orang.
Dalam masa sama beliau menyediakan 3 pasukan tentera menyekat jalan perhubungan Tentera Salib Antokiah daripada lautan dan menyekatnya dari mendapat bantuan luar dari negara-negara Salib yang lain seperti Armenia.
Pada 1 Ramadan, beliau menukar arah dan menuju Antokiah secara mengejut kemudian mengepungnya.
Kemudian beliau menawarkan tawaran keselamatan namun diberikan syarat oleh pemerintah Antokiah, lalu Zahir baybars mula memperdahsyatkan kepungan dan mula menyerang dengan kuat sehinggalah kota Antokiah dikuasai sepenuhnya pada 14 Ramadan 666 H.
Beliau berjaya membebaskan tawanan Islam dan meraihkan harta rampasan perang yang sangat banyak.
Peperangan ini disifatkan sebagai peperangan kedua terbesar dalam sejarah perang tentera Islam-Salib selepas peperangan Hittin.
Sumber :
-IslamWeb
-Kitab “Ramadhaniyat” karangan Muhammad Sa’id Mursy dan Qosim Abdullah
Cetakan Darul Tauzi’ wa Nasr Al Islamiyah Cairo Mesir.
Tahukah anda?
Tragedi 15 Ramadhan 1414 H / 1994 M
Pada tanggal ini, seorang pelampau Yahudi bernama Baruch Goldstein, melakukan serangan terhadap Masjid Haram Ibrahimi di kota kholil Palestin.
Ketika jemaah yang hampir 500 orang sedang menunaikan solat subuh berjemaah, dia datang dari pintu masuk yang terbuka dan menembak jemaah yang sedang solat Subuh secara rambang.
Hampir 30 orang dalam kalangan jemaah yang meninggal dunia dan hampir 130 orang cedera.
Si pembunuh dikenali ramai sebagai seorang yang anti-arab, merupakan anggota dalam pasukan militan Israel juga terlibat berlatih bersama tentera Israel.
Sebelum kejadian, dia sering kali kelihatan berlegar di kawasan masjid memerhati jemaah yang sedang menunaikan solat.
Pada hari kejadian, dikatakan tentera keselamatan Israel bekerjasama bersekongkol dengan si pembunuh dengan cara menutup pintu-pintu masjid ketika jemaaah sedang solat.
Jeritan suara meminta tolong menyebabkan penduduk setempat bergegas menuju ke Masjid bagi memberi bantuan namun dihalang oleh tentera israel yang berada di luar dengan tembakan sehingga mengorbankan hampir 20 dan menjadikan angka kematian pada ari itu seramai 50 orang.
Akhirnya jemaah yang berada di dalam masjid dapat menangkap si pembunuh lalu membunuhnya di tempat kejadian.
Pihak Israel menafikan mereka terlibat dan mendakwa si Pembunuh adalah orang kurang siuman.
Sumber :
Aljazeera-Pembunuhan beramai-ramai Masjid Haram Ibrahimi
Kitab “Ramadhaniyat” karangan Muhammad Sa’id Mursy dan Qosim Abdullah
Cetakan Darul Tauzi’ wa Nasr Al Islamiyah Cairo Mesir.