Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mencipta manusia dalam bentuk yang
sebaik-baiknya, memuliakan manusia dengan semulia-mulianya,
melebihkannya daripada sekalian ciptaan yang lain, mempermudahkan kepada
mereka segala benda di bumi dan di langit (taskhir) dan menjadikannya
sebagai khalifah di muka bumi.
Al-`Izz bin Abd al-Salam berkata:
“Ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mensyariatkan satu hukumpun
melainkan untuk maslahah dunia, maslahah akhirat atau untuk maslahah
dunia dan maslahah akhirat sekaligus sebagai limpahan kurniaan-Nya
kepada manusia. Bukanlah termasuk dalam tanda-tanda limpahan, rahmat,
hikmat dan kemudahan daripada Allah, jika dibebankan manusia dengan
kesukaran yang tidak mempunyai faedah dunia dan akhirat”.
(Syajarah
al-Ma’arif Wa al-Ahwal, hal. 401)
Syariat dibina di atas prinsip menjaga lima kepentingan dharuri iaitu
agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Imam al-Ghazzali berkata: Ada
lima maksud Syariat terhadap para makhluk iaitu menjaga agama mereka,
nyawa mereka, akal mereka, keturunan mereka dan harta mereka. Oleh itu
setiap perkara yang mengandungi penjagaan terhadap lima asas ini
dikatakan maslahah dan setiap menghilang lima asas ini disebut sebagai
mafsadah dan menghindarinya adalah maslahah. (Al-Mustasfa, jil 1 hal.
289)
Merujuk kepada arak dan pergaulan bebas, tidak dinafikan bahawa
sememangnya manusia mahu hidup dalam kenikmatan dan keseronokan. Bagi
seorang mukmin, alam dunia dan alam syurga amat jauh perbezaannya. Sifat
hidup di dunia adalah terbatas, terikat dengan hukum syarak, penuh
dengan ujian. Kenikmatan yang dikecapi tidak diperolehi dengan senang
tetapi memerlukan pengorbanan dan perjuangan.
Arak diharamkan kerana ‘illah atau sifat yang ada padanya iaitu
memabukkan. Sifat memabukkan ini relevan dengan penjagaan akal.
Mengambil arak bererti menutup kewarasan akal untuk berfikir sehingga
diri sendiri dan masyarakat terdedah kepada bahaya dan mudarat. Objektif
pengharaman arak dilihat kepada kesan daripada arak yang membawa kepada
kemudaratan. Pengambilan arak akan menjejaskan kesihatan terutamanya
kerosakan hati. Selain itu, arak menyebabkan ketagihan sehingga
peminumnya sanggup membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk
mendapatkannya. Di sini berlaku pemborosan dan pembaziran sehingga
mengabaikan tanggungjawab yang lain.
Arak yang ada di akhirat lain pula sifatnya yakni tiada sifat
memabukkan. Oleh kerana sifatnya yang berbeza di dua alam itu, maka
dibenarkan arak di syurga sebagai suatu nikmat bukan minuman yang
menyakitkan.
Sementara zina pula, persetubuhan yang tidak berdasarkan kepada aqad
perkahwinan yang sah tetapi semata-mata memenuhi hawa nafsu. Ia
merosakkan akhlak, meruntuhkan maruah (keperibadian) dan sistem
kekeluargaan. Ia menjejaskan kesihatan manusia dan mendedahkannya dengan
pelbagai penyakit. Keturunan menjadi celaru sehingga tiada diketahui
siapa ayahnya yang sebenar sehingga anak mengalami gangguan emosi dan
psikologi.
Oleh sebab itu, Islam mensyraiatkan perkahwinan supaya seseorang itu ada
jalan untuk memenuhi tuntutan seksualnya dengan cara yang halal,
selamat, suci, beradab dan terhormat. Mencari keseronokan di luar
perkahwinan akan menafikan nilai-nilai ketamadunan dan peradaban.
Perkahwinan lebih bersifat membina sistem kekeluargaan seterusnya
membentuk masyarakat yang sejahtera.
Bidadari di syurga umpama isteri yang menjadi milik mutlak penghuni,
tidak berkongsi dengan sesiapa, tiada yang pernah menjeling kepadanya.
Hanya menanti kedatangan orang mukmin. Dia tidak melahirkan anak, tidak
mengalami haidh dan segala macam yang dialami oleh manusia. Kenikmatan
bersamanya tidak mengakibatkan sebarang risiko. Hal ini berbeza sama
sekali dengan pergaulan bebas.
Ringkas kata, pengambilan arak dan pergaulan bebas hanya membawa kepada
porak peranda, kekacauan dalam kehidupan manusia baik pada tingkat
indivdu mahupun masyarakat.
Sewajarnya, manusia itu mengetahui bahawasanya dia diikat dengan hukum
supaya mengetahui bahawa ada kehidupan satu lagi yang lebih utama, lebih
kekal (Surah al-Dhuha, Surah al-A’la). Jikalau dunia ini berjalan tanpa
ada peraturan dan undang-undang bahkan yang ada undang-undang rimba,
kelangsungan hanya untuk orang yang kuat maka hancur dan musnah
kebahagiaan manusia.
Di syurga tiada lagi keterikatan dengan hukum kerana, perjalanan hidup
di sana atas sifat sejahtera tidak memudaratkan, aman dan penuh
kenikmatan.
Allah s.w.t. berfirman:
إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ
الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا (60) جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ
الرَّحْمَنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا
(61) لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ
فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (62) تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ
عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا (63)
Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka
mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala
sedikitpun, – (Iaitu) syurga ” ‘Adn ” yang telah dijanjikan oleh (Allah)
Ar-Rahman kepada hamba-hamba-Nya disebabkan kepercayaan mereka akan
perkara-perkara yang ghaib; Sesungguhnya Tuhan itu, janjinya tetap
berlaku. Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia
tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan
minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang
masa). Itulah taman syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka
kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba kami. (Surah Maryam:
60-63)
Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, terutamanya yang sering interaksi
dengan masyarakat sewajarnya dia mengetahui matlamat pensyariatan hukum
atau falsafah di sebalik perintah dan larangan serta hikmat syariah
supaya dakwahnya itu lebih berkesan dan menyakinkan.
BLOG TEMPAT APA SAJA NAK AKU MASUKKAN DAN POST. MOGA MEMBERI MANFAAT. SELAMAT BERLAYAR........
Rabu, 23 November 2016
Langgan:
Catatan (Atom)
PENAFIAN / DENIAL
B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.
B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.
B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.