Kalau lelaki tak boleh jadi imam, kita…
kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati. “Apalah
perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!”
Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada
seorang gadis juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu
yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan
keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.
“Habis sekarang kenapa tidak belajar?”
Tanya Si lelaki lagi dengan penuh angkuh dan bersemangat. “Sedang
belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar
agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!” Begitu jawab si
gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya
tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak.
Wanita sepatutnya buat begitu juga.
Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang
kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang
seumur hidup. Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai
perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya
sering diguna pakai. Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau
berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.
Sekarang bukan asing lagi gaji isteri
lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak
pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu
menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih
perlu. Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar
perlu handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri,
kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah
standard yang telah ditetapkan.
Bolehkah kita meletakkan undang-undang
itu kepada lelaki juga. Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.
Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam
satu taman perumahan juga. “Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu
bolehkah jadi imam?” Dengus beberapa kawan wanita yang lain. Betul juga.
Berapa kerat lelaki yang menjadikan
sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama,
selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita
kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.
Ternyata ramai yang menjawap tidak
confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna,
salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang
kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga
menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.
Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan
wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh
menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah
atau menjadi mangsa queen control. Kalau tidak pandai, belajarlah
sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apalah salahnya lelaki juga
disuruh belajar.