UMAT MUHAMMAD DISERU DI TITIAN SIRAT
Allah Taala menyeru: “Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk dihisab
dan lintaskan mereka di atas Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh
500 tahun perjalanan.”
Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: “Wahai
Muhammad! Sesiapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada pelepasan dari
Allah Taala, maka dia akan terselamat. Sekiranya sebaliknya maka, dia
akan terjatuh di dalam neraka. Wahai Muhammad! Katakan kepada orang yang
diringankan agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar
berjalan!”
Nabi Muhammad SAW bersabda kepada malaikat Malik: “Wahai Malik!
Dengan kebenaran Allah Taala ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku
sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan gementar
apabila melihatmu.”
Malaikat Malik memalingkan mukanya dari umat Nabi Muhammad SAW. Umat
Nabi Muhammad SAW telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi
Muhammad SAW mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: “Ikutlah
aku wahai umatku di atas Sirat ini!”
Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar.
Kumpulan kedua melintasi seperti angin yang kencang. Kumpulan ketiga
melintasi seperti kuda yang baik. Kumpulan yang keempat seperti burung
yang pantas. Kumpulan yang kelima berlari. Kumpulan keenam berjalan.
Kumpulan ketujuh berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat.
Dosa-dosa terpikul di atas belakang mereka.
Nabi Muhammad SAW berhenti di atas Sirat. Setiap kali, baginda SAW
melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat, baginda SAW akan
menarik tangannya dan membangunkan dia kembali. Kumpulan kelapan menarik
muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa
mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru: “Wahai Muhammad SAW!”
Nabi Muhammad SAW berkata: “Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan
mereka!
Kumpulan ke sembilan dan ke sepuluh tertinggal di atas Sirat. Mereka
tidak diizinkan untuk menyeberang. Dikatakan bahawa, di pintu syurga,
ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Bilangan dahannya tidak terkira
melainkan Allah Taala sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak
yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang
dan lebih sebelum mereka baligh. Apabila mereka melihat ibu dan bapa
mereka, mereka menyambutnya dan mengiringi mereka memasuki syurga.
Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala dari sutera. Mereka
memberi ibu dan bapa mereka minum kerana kehausan kiamat. Mereka
memasuki syurga bersama-sama.
Hanya tinggal, kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka.
Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata: “Aku mengharamkan
syurga bagi diriku sehingga aku melihat bapa dan ibuku.” Kanak-kanak
yang belum melihat ibu dan bapa mereka telah berkumpul. Mereka berkata:
“Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia.”
Malaikat berkata kepada mereka: “Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu
berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa
mereka.” Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu
berkata: “Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Taala
mengampuninya dan menyatukan kami dengan mereka.”
Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat
pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Ia dipanggil “Tempat
Teropong.” Kaki-kaki mereka akan tergantung di Sirat.
Nabi Muhammad SAW melintasi Sirat bersama orang-orang yang soleh
di kalangan yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di
hadapannya, ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada
di atas kepalanya.
Apabila bendera baginda menghampiri pintu syurga, kanak-kanak akan
meninggikan tangisan mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang berlaku
pada kanak-kanak ini?” Malaikat menjawab: “Mereka menangis kerana
berpisah dengan bapa dan ibu mereka. “Nabi SAW bersabda: “Aku akan
menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka,
Insya Allah.”
Nabi Muhammad SAW memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang. Setiap kaum akan kekal di dalam rumah-rumah
mereka. Kita memohon kepada Allah Taala agar memasukkan kita di dalam
keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka.
*Dipetik Dari Buku: 1001 Duka Siri 1 “Himpunan Kisah-kisah Menyayat Hati”.
WALLAHUALAM.