Jawapan Untuk Soalan Agama Majalah I
Dari apa yang saya dengar, ada yang mengatakan bahwa seorang perempuan yang sedang
haid, tidak boleh memotong rambut dan potong kuku. Mengapa demikian? Apakah ada
akibat buruknya? Apakah memang ada dalilnya? Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini.
Jawapan : Disebutkan di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’ ( 1/60 ), menurut
Imam al-Ghazzali di dalam Ihya Ulumiddin, bahawa tidak seharusnya seseorang yang
berjunub memotong kuku atau mencukur bulu dan rambutnya kerana semua tadi akan
dikembalikan di hari akhirat nanti dalam keadaan junub (tidak bersih) . Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tiada didapati
sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik aqal semata-mata tadi. Demikian
menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif`at Fawzi, professor
Shari`ah di Univ. Kaherah. Soalan ini pernah di tujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya “Ghiza’
al-albab, 1/382 ) maka beliau menjawab : “ Tidak aku ketahui hukum makruh membuang
rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda : “ Sesungguhnya
seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati”, malah Nabi
memberitahu : “ buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir)
dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) “ maka arahan Nabi tidak menunjukkan
sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar
menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat
ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi)..justeru apa yang dikatakan
sebenarnya tiada asalnya.” Tiada sebarang halangan untuk memotong kuku secara junub. Pandangan ini juga datang
dari tokoh ulama Tabien iaitu Ato’ bin Abi Rabah. ’Ata disebut pernah menyatakan
seseorang boleh melakukannya dalam keadaan junub, malah dalam keadaan junub dan
tidak berwudu’ (Riwayat al-Bukhari) Sebagai makumat tambahan, kemestian menanam rambut, kuku yang dipotong dan
sebagainya juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan
disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam.
Wallahu a’lam