10 surah mujarab sebagai penerang hati dari Nabi Muhammad S.A.W. yang disuruh kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita.
Semoga ianya dapat menjadi peringatan dan saling berpesan-pesanan antara kita semua.
1. SURAH AL-FATIHAH
Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa 
hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah 
Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya’Allah akan aman tenteram dan terjauh 
daripada gangguan syaitan.
Dianjurkan juga membaca surah ini 
sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan 
lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t.
Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.
2. SURAH YAASIN
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., 
sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur’an ialah 
Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur’an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin,
 nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca 
Al-Qur’an seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda : Surah 
Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan “At-Mu’ammah” 
(yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan 
akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun 
akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan 
kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika 
dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya
 Allah akan mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan 
Ibnu Hibban).
Surah Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.
3. SURAH AT-DHUHAN
Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.
4. SURAH AL-WAQI’AH
Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w.,
 mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi’ah pada tiap-tiap malam, 
insya’Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai 
wirid, insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang 
membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat Asar, insya’Allah akan 
dikurniakan dengan rezeki yang banyak.
Selepas solat Isyak, ambillah segelas air
 lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah 
Al-Waqi’ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam 
hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga 
kita. Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah: “Sesungguhnya, Kami 
telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta 
Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang 
tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.
5. SURAH AL-KAUSAR
Sesiapa yang mengamalkan membaca surah 
ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya 
termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali 
juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya’Allah dia dapat 
melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.
6. SURAH AL-KHAAFIRUUN
Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun,
 maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur’an, disamping 
terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari 
peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi).
Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.
7. SURAH AL-MULK
Sebuah lagi Surah dari Al-Qur’an iaitu 
Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa 
yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., 
mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat 
dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, 
insya’Allah, akan terselamat dari azab kubur.
8. SURAH AL-IKHLAS
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya :
“Wahai Aisyah isteri ku, sebelum kamu 
tidur, khatamlah dulu Al-Qur’an.” Siti Aisyah lalu berkata, “Wahai suami
 ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur’an sebanyak 30 juzuk itu.” Apabila 
mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil 
tersenyum lalu menjawab, “Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur,
 seolah-olah ia telah khatam Al-Qur’an keseluruhannya.”
Dari Rasulullah s.a.w. pernah bersabda 
kepada Saidina Ali r.a., “Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika 
dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, 
maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali.
Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan : “Surah
 ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barang 
siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka 
ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang 
sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari 
kiamat.”
9. SURAH AL-FALAQ
Siti Aisyah menerangkan : “Bahawa 
Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda 
membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan 
pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan 
kepala.
Barang siapa terkena penyakit kerana 
perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan 
Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari 
berturut-turut.
Barang siapa yang takut akan godaan 
syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan 
kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 
kali.
10. SURAH AN-NAS
Surah An-Nas adalah surah yang terakhir 
(ke-114) dalam Al-Qur’an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang 
berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini 
termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi 
menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan 
syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin.
Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati.


 
 
 
