Saudari-saudara sekalian , masihkah
kita ingat kisah perjuangan dan ketabahan seorang Nabi yang bernama Ayub
a.s. Begitu tersentuh kala mendengar kisah Nabi Ayub a.s yang telah
disampaikan oleh Ustazah Nurhafizah Musa ketika di rancangan Halaqah
sentuhan Qalbu yang berjudul ‘Nota deritaku’.
Ia bermula dengan Nabi Ayub a.s telah
ditimpa pelbagai penyakit yang dasyhat sehingga dia tidak upaya untuk
bangun , dan pada masa itu juga daripada awal Nabi Ayub a.s menjadi
seorang yang kaya raya , dengan tiba-tiba akhir nya Nabi Ayub a.s
menjadi faqir miskin. Hartanya hancur begitu saja kerana ditimpa
pelbagai kesulitan.
Maka datang lah iblis itu menyamar
sebagai lelaki dan mencuba untuk menggoda Nabi Ayub a.s supaya tidak
berharap pada Allah s.w.t.
Si iblis berkata : “Sungguh malang nasib mu wahai Ayub , dulu kamu orang kaya sekarang kamu miskin. kasihan sekali dengan kamu.”
Tapi Nabi Ayub a.s menjelaskan dengan penuh ketabahan.
“Segala puji bagi Allah, Allah telah
mencurah diri ku nikmat , dimana nikmat itu adalah hak milik Allah.. dan
saat Allah ingin kembali nikmat tersebut diambil. Maka Allah layak
untuk mengambil nya dan aku sangat bersyukur kepada-Nya.”
SubhanaAllah!
Hebatnya orang yang bersyukur kepada
Allah. Impak kebaikan kesyukuran tersebut akan kembali pada kita
sendiri. Itulah kekayaan syukur , Allah tambah cinta dan kasih kepada
kita semua.
“….. Bersyukurlah kepada Allah. Dan
barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia
bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur,
maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
(Surah Luqman ayat 12)
Betapa hebatnya kesyukuran Nabi Ayub a.s sehingga Iblis laknatullah benci , berdendam dan sangat kecewa.
Pada satu saat, Allah SWT menguji lagi
ketabahan Nabi Ayub di mana baginda ditimpa ujian dengan kematian
anak-anaknya yang soleh, yang selama ini menyokong perjuangan baginda.
Anak Nabi ayub a.s kesemuanya ditaqdirkan mati di dalam sebuah gempa
bumi yang dahsyat.
Iblis datang lagi mengambil kesempatan terus menerus menghasut Nabi Ayub a.s,
“Wahai Ayub , apa yang ada pada mu !
harta benda mu telah pun hilang , anak-anak kamu semua nya telah diambil
kembali oleh Allah. Apa yang ada pada kamu?”
Lalu Nabi Ayub a.s menjawab dengan penuh rendah hati,
“Anak-anak itu adalah milik Allah. Dia yang menghidup kan dan Dia jua yang mematikan. Segala puji bagi Allah.”
Nabi Ayub tidak putus asa kepada Allah
walau pun telah kehilangan segala-galanya, tapi beliau redha selagi
tidak kehilangan cinta Allah. Inilah sifat dan ciri-ciri orang yang
beriman kepada Allah.
Tidak putus asa walau apa jua sekali pun ,
kerana mereka tahu ujian itu adalah satu didikan langsung daripada
Tuhan. Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahu
pun cercaan.
Seolah-olah Tuhan berpesan
“Belajar lah melalui ujian-Ku , nanti kamu akan mengenali diri-Ku.”
Iblis tetap tidak putus asa lalu , dia
berjumpa dengan isteri Nabi Ayub a.s yang setia kepada suami nya,
mengurus dan menjaga diri Nabi Ayub. Tapi isterinya Rahmah telah
terpedaya oleh iblis laknatullah.
Sebelum isterinya meninggal kan Nabi Ayub , dia mengadu keluhannya kepada suami nya Nabi Ayub a.s .
” Wahai suami yang ku sayangi ,
sampai bila kah Tuhan mu akan mengazab mu! Dulu kita senang , kita
dikellingi dengan anak-anak yang soleh , kita dikurniakan kesenangan
harta benda , kita dipandang tinggi oleh masyarakat. Kenapa kau tidak
mohon saja kepada Tuhan mu wahai suami ku, agar Tuhan membebaskan kita
daripada kesusahan ini.”
Lalu Nabi Ayub a.s memberi jawapan dengan pertanyaan.
“Wahai isteri yang ku sayangi , tadi
kau sesali anak-anak yang telah pergi , dan kau lagi sesali harta yang
telah habis dan juga menyesali penyakit yang menimpa suami kamu ini. Aku
ingin bertanya , berapa lama tempohnya Allah memberikan kita sebuah
kehidupan yang senang lenang dengan segala harta , kemewahan , anak-anak
, dengan kesihatan?”
” 80 Tahun.” jawab Rahmah singkat.
Nabi Ayub tanyakan lagi. ” Wahai isteri , berapa lama kita menderita dan sengsara dimuka bumi Allah ini?”
“7 tahun.” jawab Rahmah.
Lalu Nabi Ayub a.s menadah munajatnya kepada Allah s.w.t dengan rendah hati dalam pilu dan sedih.
“Wahai Allah. aku malu untuk memohon
agar Engkau bebaskan aku daripada penderitaan dan kesusahan ini. Aku
malu kerana nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami selama 80 tahun
, sama sekali tidak sebanding dengan kesusahan yang dialami 7 tahun
ini.”
“Wahai Allah. Sesungguhnya isteri ku telah dihasut syaitan.”
“Wahai Allah , andai aku diberikan
kesempatan kesembuhan oleh Allah. Pasti akan aku sebat isteri ku 100
kali sebatan sebagai hukuman..”
Dan untuk mu wahai isteri ku rahmah ,
aku tidak akan makan dan minum lagi apa-apa dari hasil tanganmu itu
mulai pada saat ini ! Aku tidak akan meminta tolong lagi daripada kamu
wahai isteriku.. Tinggal kan saja diri ku menerima ketentuan daripada
Allah.”
Allahu Akbar. Tinggal lah Nabi Ayub bersendirian. Sepi.
Al Quran menggambarkan munajat Nabi Ayub a.s merayu merintih pada Allah s.w.t..
” Wahai Tuhan , hamba telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah yang paling penyayang daripada yang penyayang.“
Sesungguhnya Allah tahu, Allah mendengar. Allah tidak biarkan ia sepi. Maka Allah mengabulkan rintihan Nabi Ayub a.s.
Allah suruh Nabi Ayub hentak kan kaki di tanah , lalu keluarlah air yang sejuk dingin lalu diminum , dimandikan sebagai penawar.
Dengan izin Allah SWT, Nabi Ayub a.s
telah mendapatkan kesihatan kembali, bahkan Allah mengurniakan zuriat
lagi ramai, berganda-ganda dari yang hilang dan Allah juga mengembali
kan kemewahan kepada Nabi Ayub a.s.
Sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah.
“Maka Kamipun memperkenankan
seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami
kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan
mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan
bagi semua yang menyembah Allah.”
(Surah al-Anbiya’ ayat 84)
(Surah al-Anbiya’ ayat 84)
Benar kasih sayang Allah itu wujud,
cebisan kisah ini Allah ingin menilai kesabaran dan keteguhan iman dan
cinta kita kepada Allah , jika kita benar-benar orang beriman dan
bertaqwa kepada Allah.
“Wahai Allah , penghibur kepada orang
yang keseorangan. Beri lah kami kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi
segala kesulitan demi cinta-Mu yang agung.”