Jumaat, 26 Februari 2016

Harta Pusaka; Apa Yang Anda Perlu Buat Selepas Kematian Orang Yang Disayangi?

Usai pengkebumian.


Utamakan syariat, bukan cakap-cakap orang.


Utamakan yang wajib sebelum melakukan yang sunat. Kemudian, utamakan yang sunat, ke atas sesuatu yang harus.


Sebelum hadirnya ‘bisik-bisik’ tentang mengadakan majlis kenduri tahlil (bila, berapa hari, menu apa dan katering mana) bagi si mati, para waris HENDAKLAH :


1) Mengenal pasti aset DAN waris-waris si mati


Ha!?


Tanah kubur masih merah dah tanya pasal harta!?


Ya, sebab barangkali ada hak orang lain iaitu hutang yang wajib dibayar


Waris hendaklah mencari (dan menggeledah sekiranya perlu) untuk mengumpul segala dokumen berkaitan aset-aset:




  • Geran tanah
  • Buku akaun simpanan
  • Polisi takaful / insurans
  • Senarai saham-saham
  • Dan harta-harta lainnya
  • Dan tidak lupa juga senarai waris-waris si mati.


Kenal pasti juga jika sekiranya si mati ada membuat wasiat atau deklarasi hibah. Simpan semuanya dengan baik dan nanti saya tunjukkan, dalam artikel seterusnya, ke mana dokumen-dokumen ini harus dikemukakan.


Waktu yang paling baik untuk menguruskan harta pusaka adalah sejurus selepas selesai urusan pengkebumian si mati (kita anggapkan kematian berlaku dalam situasi normal). Tetapi, memandangkan kematian tidak dapat lari dari suasana pilu penuh emosi maka kebiasannya waris menangguhkan urusan ini sementara menunggu emosi reda dan stabil.


Namun begitu, harus diingat, setiap kali bertangguh tentu ada risikonya. Antaranya, kemungkinan dokumen hilang (akibat bencana tak terduga) atau waris-waris sudah beransur pulang dan sukar mencari peluang berbincang.


Paling penting, akan berhadapan risiko kematian di kalangan waris yang akan menyebabkan urusan harta pusaka menjadi berlapis.


Kematian adalah perkara pasti, yang berlaku tidak mengira usia dan masa.

2) Mengenal pasti hutang-hutang si mati



Hutang tidak diwarisi.


Tetapi hutang si mati wajib dibayar.


Sama ada dengan harta si mati atau dengan harta pihak ketiga. Dan sudah tentu waris terdekat yang mesti bertanggungjawab menguruskannya. Takkan si mati perlu bangkit dari kubur untuk bayar hutang ?


i. Hutang si mati dengan institusi kewangan


Sekiranya si mati diketahui ada membuat pinjaman dengan institusi kewangan, cuba semak dalam perjanjian sekiranya hutang tersebut dilindungi insurans/takaful.


ii. Hutang si mati dengan kawan, jiran dan saudara mara


‘Hutang-hutang kecil’ dengan jiran atau kawan si mati pula, waris boleh buat catatan dan sekiranya mampu waris boleh dahulukan pembayaran hutang tersebut dan tuntut semula dalam tuntutan dalam pusaka si mati kelak.


Kalau waris hendak halalkan (sebab tolong bayarkan hutang) pun tidak menjadi salah, bahkan lebih baik. Begitu juga jiran dan kawan yang disebutkan tadi.


Tapi, suka saya hendak tegaskan bahawa hal hutang ini ada tatacaranya. Janganlah mentang-mentang jiran, mentang-mentang waris main ‘assume’ sahaja orang hendak menghalalkan. Mesti tanya dahulu. Biar terang, biar jelas.


iii. Hutang si mati dengan waris


Selanjutnya hutang si mati terhadap waris adalah kes yang agak sering menjadi punca persengketaan.


Sebab itulah hukumnya adalah sunat agar membuat perjanjian hutang hatta sesama ahli keluarga. Sekiranya jelas si mati pernah berhutang kepada waris, maka ia mesti ditolak dahulu sebelum pembahagian harta pusaka dibuat. Walaupun hutang itu hutang terhadap waris (jantina waris tidak menjadi isu dalam hal hutang ini) yang juga nantinya akan menerima juga bahagian harta pusaka si mati.


Dalam hal ini akan kelihatan pada permukaan bahawa salah seorang atau sebahagian waris mendapat lebih. Yang selalu menjadi konflik adalah orang yang tidak faham hal ini akan mengata. Kemudian meniup api sengketa. Padahal apa yang diterima terlebih dahulu oleh salah seorang atau sesetengah waris itu bukanlah bahagian pusaka, tetapi hutang si mati itu sendiri terhadapnya/mereka.


iv. Hutang waris terhadap si mati


Waris boleh sahaja menolak bahagian pusakanya untuk melangsaikan hutangnya terhadap si mati.


Tetapi sekali lagi saya jelaskan, apa-apa yang diberi oleh si mati kepada waris ketika hidup sebaiknya dijelaskan kepada semua- sama ada ia hutang, hibah atau memang itu adalah tanggungjawabnya.


Contohnya, si mati menjual sebidang tanah kepunyaannya untuk mendaftarkan anak bongsu (iaitu waris) ke pusat pengajian tinggi. Dengan hasil jualan tanah itu, anak bongsu itu dapat melanjutkan pelajaran dan akhirnya beroleh peluang pendapatan yang lebih baik.


Persoalannya, apakah anak bongsu ini nanti akan dikecualikan daripada menerima bahagian pusakanya ?


Jawapanya berbeza, bergantung kepada niat si mati ketika hidup.


Jika dia berniat penjualan tanah sebagai hutang anak kepadanya, maka sediakan dokumen hutang sewajarnya. Dalam hal ini abaikan hubungan ibu-bapa dan anak tetapi tulis sebagai pemiutang dan penghutang.


Tetapi jika tidak ada sebarang dokumen, tidak ada sebarang kenyataan yang dapat dibuktikan, anggapan terbaik adalah hasil jualan tanah itu adalah hibah (kerana diberikan oleh si mati ketika masih hidup) dan tanggungjawab ibu bapa untuk memberi peluang pendidikan kepada si anak. Tanpa bukti-bukti jelas bahawa ia adalah hutang maka YA, anak bongsu tersebut masih berhak menerima bahagian pusakanya.


Oleh itu, sebelum harta pusaka dibahagi-bahagikan adalah penting sekali waris mengetahui hutang si mati dengan manusia (institusi kewangan, waris dan bukan waris) dan juga hutang si mati dengan Allah.


Memandangkan hal hutang ini agak kompleks juga maka perkara lain seperti majlis kenduri tahlil, sedekah di surau atau sebagainya lebih baik jika tidak dibincangkan di awal-awal kematian seseorang. Bukan apa, takut termakan hak orang (saya tak akan bincangkan hukum-hakam majlis tahlil di sini). Kalau ada yang sudi menaja tak mengapalah.

3) Memastikan harta pusaka tidak dibahagi-bahagikan secara melulu



Yang biasa berlaku adalah, selepas kematian tiba-tiba barang-barang si mati terus sahaja dibahagi-bahagikan.


Terutaman barangan peribadi yang mempunyai harga seperti barang kemas, pinggan mangkuk, dan kain baju.


Tiba-tiba sahaja ada seorang yang mengumpul dan pandai-pandai membahagi – “Kau ambil subang, kau pula ambil gelang dan aku ambil kalung.”


Eh, begitu sahaja.


JANGAN.


Jangan terus bahagi (atau terus ambil untuk diri sendiri) walau betapa sentimental sekalipun barangan tersebut.


Jangan juga kerana anda anak perempuan tunggal dalam keluarga maka terus dianggap barang kemas anda yang punya.


TIDAK.


Barang-barang tersebut masih perlu dinilaikan dan dibahagi mengikut kadar yang sewajarnya. Kain batik, kain pelekat dan kain songket si mati juga TIDAK harus keluar dari rumah dengan alasan ‘sedekah ke orang yang tolong pengkebumian’ katanya.


Hal-hal sedekah ini nanti dulu. Hukumnya sunat. Malah boleh jadi haram, jika atas harta tersebut ada hak orang lain.


Urusan hutang si mati dan hak waris-waris harus diutamakan. Hukumnya wajib.


MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...