Membuat keputusan untuk berkahwin
bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu
alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui
sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu
lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.
Antara sebab berlakunya keretakan dan
kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali
antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.
Percintaan sebelum berkahwin seperti
yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala
macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan
keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.
Alam percintaan tidak mendedahkan
hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang
terbaik sahaja di hadapan pasangannya.
Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.
Untuk mengenali calon pasangan hidup
anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan
agar anda mengajukan 10 soalan.
Soalan-soalan ini boleh diajukan secara
langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon
memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu
tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil.
Jangan cemari niat yang suci dengan
melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi
orang ketiga di antara anda dengan si dia.
Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan
cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda
ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda.
Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.
Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.
Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai
kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan
hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak
lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang
bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.
Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan
mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya
kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran
dan citarasa.
Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.
Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.
Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.
Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.
Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.
Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan
pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata
tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan
dan sukar didampingi.
Orang macam mana yang anda cari?
Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang
mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan
kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.
Oleh itu bakal tunangan harus tahu
status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan
kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.
Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.
Orang yang hidupnya sekadar untuk
memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup
dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.
Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan
akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan
dikenang zaman-berzaman.
Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga
adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang
boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri.
Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.
Pastikan diri anda telah bersedia
sebelum bertunang dan seterusnya memasuki alam perkahwinan, anda boleh
baca artikel yang penulis sediakan untuk menambahkan lagi ilmu &
persiapan anda sebelum memasuki Alam Perkahwinan..
Sumber HarianIslam