Rabu, 12 November 2014

Kos Sara Hidup Atau Gaya Hidup?

 
Barangkali ramai masih bercerita mengenai Bajet 2015 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak pada 10 Oktober lalu. Apatah lagi pengisian bajet kali ini menyentuh hampir semua golongan masyarakat. Daripada petani, nelayan, peniaga kecil, pesara sehinggalah pelajar, belia, kakitangan awam dan swasta serta pelbagai kalangan lagi.

Jadi ramailah yang mendapat manfaat daripada Bajet 2015. Kalau pun tidak banyak, sekurang-kurangnya dapat juga merasa sedikit. Seperti diramalkan banyak pihak, bajet diumumkan Perdana Menteri itu, banyak menjurus untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat. Berpaksikan 'ekonomi keperluan rakyat', Bajet 2015 menyenaraikan pelbagai insentif termasuk penambahan bantuan kewangan dan pengurangan cukai.

Kebimbangan rakyat berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) turut diambil kira dengan memperluaskan lagi skop barang yang tidak dikenakan GST. Berikutan itu, 532 barang atau 56 peratus daripada 944 barang dan perkhidmatan dalam kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus.

Kini, terpulang kepada kita bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan bagi memenuhi tuntutan hidup. Memanglah kalau ikutkan hati, macam-macam kita hendak untuk menjalani kehidupan yang selesa seiring dengan aliran gaya hidup sekarang. Kita kenalah beringat dan bersederhana dalam berbelanja.

Apa yang berlaku, kadang-kadang kita sendiri melakukan pembaziran kerana terikut-ikut dengan perubahan gaya hidup, sedangkan kita juga merungut kos sara hidup tinggi. Contoh mudah, kita langgan saluran berbayar, tetapi sekerap mana pula kita menontonnya? Kalau dulu kita lihat aerial televisyen menjalar di rumah pangsa dan kampung, kini kebanyakannya diganti dengan piring saluran berbayar selaras dengan perubahan teknologi penyiaran televisyen.

Mungkin penggunaan aerial tidak sesuai lagi, tetapi apakah perlu kita mempunyai lebih satu decoder atau melanggan banyak saluran? Sekarang pun semakin ramai memasang pendingin udara, tetapi selimut tebal pun diguna kerana terlalu sejuk. Telefon bimbit pula seolah-olah sudah menjadi satu kemestian sampaikan anak yang masih bersekolah turut memilikinya.

Begitu juga dengan pengambilan pelbagai vitamin dan makanan tambahan kesihatan, kini tidak lagi dikaitkan dengan gaya hidup mewah. Ada yang sanggup berhutang membeli alat senaman berharga beribu ringgit, tetapi banyak juga cerita kita dengar ia lebih kerap menjadi tempat menggantung tuala atau pakaian.

Persoalannya, apakah kita memerlukannya, sedangkan kita boleh menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, bersukan atau berjoging. Kita akui gaya hidup sekarang lain, tetapi janganlah kita bersikap seperti 'besar suap daripada mulut' dan apabila perbelanjaan kita melebihi pendapatan, kita salahkan pula kerajaan. Wallahualam.


MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...