ARTIKEL DALAM MAJALAH AL ISLAM FEBRUARI 2012
-----------------------------------------------------------------------------------------
7 SEBAB KENAPA TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Perubatan tradisional dan komplementari (PTK) di Malaysia mendapat
sambutan yang sangat menggalakkan. Kajian yang dilakukan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 menunjukkan 56%
rakyat Malaysia menggunakan PTK sebagai alternatif kepada perubatan
moden. Manakala kajian oleh World Health Organisation (WHO) pula
menunjukkan 80% daripada populasi negara membangun dan 65% populasi
negara maju bergantung kepada PTK untuk perkhidmatan kesihatan mereka.
Maka tidak hairanlah banyak pusat-pusat rawatan alternatif wujud ibarat
cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Malangnya, dalam keghairahan menawarkan khidmat PTK ini, terdapat
segelintir pengamal perubatan Islam menggunakan kaedah yang bertentangan
syara’. Antaranya ialah menggunakan khidmat makhluk halus dari kalangan
jin, sama ada sebagai khadam, pendamping atau sahabat dalam proses
merawat pesakit. Mereka mendakwa, jin yang digunakan adalah jin Islam
dan hukumnya harus. Dakwaan sebegini bukan sahaja boleh mengelirukan
masyarakat, malah boleh membawa kemudaratan yang lebih besar. Jika
dikaji, ada 7 sebab utama kenapa Islam tidak membenarkan penganutnya
menggunakan khidmat makhluk ini, khususnya dalam merawat penyakit.
Hujah Pertama: Kemudaratan yang Timbul Akibat Meminta Tolong Jin
Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang akibat yang akan menimpa
mereka sekiranya meminta pertolongan dan perlindungan dari makhluk jin.
FirmanNya dalam surah Al-Jin ayat 6:”Dan bahawa sesungguhnya ada
beberapa orang dari manusia meminta perlindungan kepada ketua-ketua
golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitab Al-bayān al-mubīn fi Akhbār al-jinni wa al-shayāṭin,
halaman 58, jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan
berasa bangga apabila diminta tolong dan mereka akan segera datang. Jin
dan syaitan sangat mengetahui bahawa manusia itu lebih mulia dan lebih
berkuasa dari mereka. Maka apabila manusia tunduk kepada jin dan meminta
perlindungan dari mereka, ianya ibarat seorang raja yang melutut di
kaki seorang hamba untuk meminta ditunaikan hajatnya.
Lebih menakutkan lagi ialah apabila Allah SWT memberi amaran bahawa azab
neraka bakal menimpa orang-orang yang bersahabat dan meminta bantuan
dari jin melalui firmanNya dalam surah Al-An’am ayat 128: ”Dan
(ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua,
(lalu berfirman): "Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak
pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut
mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami
(manusia) telah bersenang-senang (mendapat pertolongan) dengan
sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami
(hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman):
"Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa
yang dikehendaki Allah".
Hujah Kedua: Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak pernah meminta pertolongan jin
Dalam sirah Nabi Muhammad SAW dan sirah para sahabat Baginda, tidak ada
satu riwayat pun yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah meminta
pertolongan dari kalangan jin. Apatah lagi menggunakan jin bagi tujuan
rawatan mahupun dalam kehidupan harian sebagai manusia biasa. Menurut
Imam Al-Alusi dalam tafsirnya, jilid ke 19, halaman 83, terdapat 6
pertemuan antara jin dan Nabi SAW atas urusan dakwah dan penyampaian
ilmu. Tiada langsung unsur meminta bantuan bagi urusan duniawi atau
merawat pesakit. Hatta bagi menghadapi peperangan pun, Nabi SAW sendiri
tidak pernah meminta bantuan dari malaikat, apatah lagi dari jin. Bala
tentera malaikat turun membantu tentera Islam atas arahan Allah SWT,
bukannya atas permintaan Nabi.
Hujah Ketiga: Melihat dan Menguasai jin adalah salah satu mukjizat khusus untuk para Nabi dan Rasul
Manusia biasa tidak mungkin boleh melihat jin dalam bentuk yang asal,
apatah lagi menguasainya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam
surah Al A’raf, ayat ke 27: “Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka”. Imam
Syafi’i r.a., sebagaimana yang dipetik dalam Kitab Fathul Bari karangan
Ibn Hajar al Asqalani, turut menegaskan bahawa sesiapa yang mendakwa
dapat melihat jin nescaya terbatal penyaksiannya, kecuali dia seorang
Nabi. Memang ada ulama’ yang mengatakan kemungkinan melihat jin itu ada,
tetapi bukan dalam rupanya yang asal, sebaliknya dalam jelmaan seperti
ular atau anjing. Keupayaan melihat dan menguasai jin merupakan satu
keistimewaan dan juga mukjizat yang dikhususkan kepada para Nabi dan
Rasul yang terpilih. Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan kebolehan menguasai
jin dan syaitan. Kebolehan ini tidak diberikan kepada mana-mana manusia
sesudah Baginda sebagaimana doa Baginda dalam surah Ar Shad ayat 35: ”Ya
Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak
dimiliki oleh seseorang juapun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah yang
Maha Pemberi”.
Namun, kebolehan Nabi Sulaiman memerintah jin telah dijadikan dalil oleh
syaitan untuk mengharuskan manusia lain untuk berbuat demikian. Maka,
timbullah dakwaan dari para perawat kononnya mereka boleh menangkap,
memenjara serta menyembelih jin. Bagi menolak dakwaan batil seperti ini,
Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dalam kitab Shahihnya: “Satu
ketika ketika Rasulullah hendak bersolat, tiba-tiba syaitan datang
mengganggu Baginda. Lalu Baginda berjaya menangkapnya dan dicekik leher
syaitan sehingga Baginda dapat merasa sejuk lelehan liurnya. Lalu
Baginda bersabda: “Kalau bukan kerana aku teringat doa saudaraku
Sulaiman (yang berdoa agar Allah tidak memberikan lagi kerajaan dan
kebolehan menguasai jin atau syaitan kepada selainnya-rujuk ayat 35
surah Sad) pasti akan ku ikat syaitan itu pada tiang masjid supaya
menjadi mainan kanak-kanak di Madinah.” Berdasarkan hadis ini, Nabi
SAW dikurniakan kebolehan untuk melihat, menangkap dan merantai jin.
Akan tetapi, Baginda SAW menghormati doa dan permintaan Nabi Allah
Sulaiman a.s. Justeru, sayugia kita sebagai umatnya turut mengikuti
contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Oleh yang
demikian, perbuatan menangkap dan mengurung jin jelas bertentangan
dengan sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Sekiranya orang yang
mempunyai kebolehan tersebut bukannya seorang Nabi, berkemungkinan
beliau melakukan istidraj (perkara luarbiasa yang terhasil melalui
tipudaya syaitan) tanpa beliau sedari.
Hujah Keempat: Tipu daya jin sangat licik
Makhluk jin adalah makhluk yang penuh tipu daya dan helah. Jin-jin yang
menjadi pengikut syaitan akan menggunakan pelbagai cara, sama ada halus
atau kasar bagi tujuan menyesatkan manusia. Allah mengingatkan hal ini
melalui firmanNya dalam surah Al A’raf, ayat 16-17: “Iblis berkata:
Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan
menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku
akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari
kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan
hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur.”
Jika dilihat kepada sejarah, Nabi Sulaiman a.s., yang diberikan
kebolehan untuk menguasai jin dan syaitan, juga pernah diperdaya oleh
jin bernama Sokhel sehingga Baginda hilang kerajaan selama 40 hari 40
malam. Begitu juga dengan kisah Abu Hurairah r.a. yang telah ditugaskan
oleh Rasulullah SAW untuk menjaga stor yang menempatkan kurma zakat.
Stor tersebut telah diceroboh oleh makhluk jin selama 3 malam
berturut-turut. Setiap kali ditangkap, jin tersebut mencipta pelbagai
helah dan memberikan pelbagai janji palsu. Akhirnya apabila ditangkap
kali ketiga, jin tersebut dapat juga meloloskan diri setelah mengajarkan
Abu Hurairah satu ayat yang dapat menghalangnya dari memasuki stor
tersebut. Kisah di atas diriwayatkan Imam Bukhari dalam Shahihnya, kitab
Al-Wakalah, hadis no. 2311. Ini menunjukkan bahawa makhluk jin dan
syaitan mempunyai seribu helah dan tipu daya yang licik serta seringkali
menggunakannnya untuk memperbodohkan manusia. Kalau kita manusia biasa
yang bukan bertaraf Nabi mahupun sahabat, sudah tentu lebih mudah untuk
ditipunya.
Hujah Kelima: Hanya orang jahil bersahabat dengan jin
Para ulama-ulama turut melarang sebarang persahabatan dan perjanjian
dengan makhluk jin dan menganggap itu adalah perbuatan orang jahil.
Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu
wal Jawahir, bahawa bersahabat dan bersekutu dengan jin itu sangat keji.
Beliau mengatakan: “Barangsiapa memilih dan melebihkan persahabatan
dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama, maka orang itu
sangat jahil. Kerana menjadi tabiat jin untuk berlebih-lebih dalam
perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana tabiat orang
fasik. Maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat
dan bersekutu dengan jin, sepertimana dia perlu mengelak dari bersahabat
dan bersekutu dengan manusia yang fasik.” Beliau menambah lagi : “Aku
tidak pernah melihat seseorang yang bersahabat dengan jin itu mendapat
kebaikan, kerana asal kejadian jin itu dari api dan api itu sangat
banyak geraknya, maka perbuatan dan perkataan orang itu hanya
berlebih-lebihan.”
Syeikh Muhyiddin Ibnu al-Arabi turut menegaskan perkara ini di dalam kitabnya al-Futuhat: “Adapun
orang yang bersahabat dengan jin itu tiada beroleh ilmu Allah, kerana
jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya. Dan terkadang orang
yang bersahabat dengan jin itu menyangka bahawa segala perkara (ghaib)
yang dikhabarkan oleh jin itu itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala
baginya. Maka sangkaannya itu adalah batil”. Tambah beliau lagi: “Sesetengah
yang telah terjawab bahawasanya banyak orang bersahabat dengan jin itu
jadilah takabbur atas segala manusia itu dan barangsiapa takabbur
dimurkai Allah Ta’ala akan dia dan dimasukkan ke dalam neraka seperti
yang tersebut dalam beberapa ayat Quran dan Hadis Nabi s.a.w.”
Hujah Keenam: Jin tidak akan rela melakukan kerja-kerja khadam
Bagi mereka yang mendakwa jin yang digunakan adalah khadam yang
dikuasainya, maka sesungguhnya orang tersebut telah tertipu dengan helah
jin. Seorang khadam ialah orang yang patuh kepada perintah tuannya
dalam setiap keadaan tanpa sebarang bantahan. Malangnya, jin yang
kononnya menjadi khadam ini hanya membantu dalam perubatan sahaja.
Selalunya dengan menampilkan perkara-perkara ajaib seperti memberitahu
lokasi barang hilang, scan penyakit, mengubati pesakit dari jarak jauh,
membongkar isi hati pesakit. Sekiranya khadam jin ini disuruh melakukan
kerja-kerja harian sebagai khadam seperti membersih rumah, membasuh
pakaian, memasak, menjaga anak, membeli barangan di pasar, membasuh
kereta, nescaya mereka tidak akan melakukan. Bagi mereka, pekerjaan
tersebut adalah suatu yang menghinakan. Hal ini telah diterangkan oleh
Allah SWT dalam surah Saba ayat 14: “Maka tatkala Kami telah
menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka
kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala
ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka
mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang
menghinakan.” Ayat ini menunjukkan bahawa khidmat yang diberikan
oleh makhluk jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman adalah dalam keadaan
terpaksa. Apabila nabi Sulaiman wafat, mereka merasakan mereka baru
terlepas dari perhambaan yang menyeksa lagi menghinakan. Jika suruhan
Nabi sulaiman pun mereka buat dalam keadaan terpaksa, apa lagi suruhan
manusia biasa. Tanpa disedari, manusia pula yang menjadi khadam kepada
jin tersebut kerana menuruti segala kehendak dan syarat jin itu.
Hujah ketujuh: Bersahabat dengan jin adalah evolusi kepada upacara menurun
Penggunaan jin dalam rawatan adalah bentuk satu fotokopi kepada ’upacara
menurun’ dalam bentuk moden. Kaedah ini sebenarnya sama sahaja dengan
kaedah merawat menerusi resapan mahkluk tersebut ke dalam tubuh perawat
seperti dalam upacara tok bageh, main putri, ulek mayang dan sebagainya.
Apabila umat Islam telah menyedari kaedah resapan roh menyalahi ajaran
Islam, maka syaitan memperkenalkan kaedah terbaru iaitu menggunakan jin
sebagai sahabat. Melalui strategi baru ini, makhluk tersebut tidak lagi
meresap masuk ke dalam tubuh perawat, sebaliknya mengilhamkan sesuatu
melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib
dari pandangan, serta pelbagai lagi perkara-perkara luar biasa.
Kehebatan yang ditunjukkan ini menyebabkan orang di sekeliling
menganggapnya sebagai wali yang keramat. Sebenarnya, kedudukan jin yang
menyampaikan maklumat kepada pengamal melalui bisikan atau ilham ini
adalah sama dengan kedudukan syaitan yang berusaha untuk menyesatkan
manusia. Firman Allah dalam surah Al An’am ayat 112: ”Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari
syaitan-syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya
membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang
indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu
menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah
mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan
dusta) itu."
Oleh itu, para pembaca harus berhati-hati dan jangan tertipu dengan
helah makhluk ini. Walaupun apa yang ditampilkan kelihatan sangat baik,
kita tidak seharusnya menjadikan mereka sebagai sahabat. Jika
difikirkan, manusia yang mempunyai jasad fizikal yang dapat dilihat
secara kasar ini pun banyak melakukan penipuan, apatah lagi jin yang
langsung tidak dapat dilihat. Bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa
kepada permainan licik syaitan, maka umat Islam diseru menjauhkan diri
dari bersahabat dengan makhluk ini. Allah SWT berfirman dalam surah
Fathir ayat 6:“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka
jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia
hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.”
Cadangan penyelesaian
Bagi memastikan umat Islam tidak terus diperdayakan oleh makhluk jin,
maka insititusi-institusi pentadbiran dan perundangan Islam seperti
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan agama Islam
negeri (JAIN) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) perlu
mengambil langkah bagi memberi kesedaran kepada pengamal rawatan
alternatif Islam tentang tipu daya dalam dunia perubatan, sama ada
melalui penganjuran kursus, seminar dan juga sebaran am. Ini kerana ada
sebahagian perawat menyangka apa yang mereka amalkan tidak salah dan
bertepatan dengan ajaran Islam.
Selain itu, dicadangkan juga agar sijil tauliah Amalan Perubatan Islam
dijadikan sebagai syarat kepada pusat rawatan Islam yang ingin
menjalankan rawatan Islam. Pensijilan ini adalah salah satu bentuk
pemantauan oleh pihak berkuasa bagi memastikan ianya tidak menyeleweng
dari syariat Islam. Ketiadaan pemantauan ini menyebabkan sesiapa sahaja
boleh menjalankan rawatan dan mendakwa rawatannya adalah rawatan Islam.
Melalui cara ini, kaedah yang digunakan oleh pusat rawatan tersebut akan
dinilai dan ditelitikan sebelum sijil tauliah dikeluarkan. Hasilnya,
masyarakat akan merasa lebih yakin dan secara tidak langsung dapat
menyelamatkan akidah mereka. Sekiranya perubatan moden mensyaratkan para
doktor untuk memiliki sijil amalan, maka peraturan-peraturan tersebut
juga patut digunapakai kepada perawat-perawat alternatif. Dengan usaha
ini, diharap taktik syaitan untuk memperdaya anak Adam melalui perubatan
yang terseleweng dapat dipatahkan.