Objektif utama perkahwinan dalam Islam
adalah ketenangan dan kebahagiaan. ini kerana dua insan berkenaan
memenuhi fitrah kemanusiaan dengan menjalin hubungan biologi, fizikal
dan rohani bersama pasangan menurut kehendak syarak.
Sabda Rasulullah SAW: “Nikah itu adalah
sunnahku, dan sesiapa yang membenci sunnahku bererti dia tidak termasuk
dalam golonganku. (Hadis riwayat Muslim).
Imam al-Ghazali pernah berkata:
“Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan
jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga,
bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke
jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping
berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan
tanggungjawab besar.”
Dalam al-Quran, jalinan perkahwinan disebut Allah sebagai mithaqan ghaliza yang bermaksud satu perjanjian yang sangat berat tanggungjawabnya dan sangat kuat. Jelas di sini bahawa Allah dan Rasul-Nya melarang umat Islam mempermain-mainkan persoalan nikah kahwin, apatah lagi untuk dijadikan isu atau modal dalam senda gurauan.
Malah, Islam juga melarang pernikahan
yang bersifat kontrak atau sementara kerana ikatan pernikahan adalah
suatu jalinan perhubungan di antara lelaki dan wanita yang berlangsung
sepanjang hayat, bukannya untuk tempoh 15 minit, sebulan, empat bulan
dan sebagainya.
Paling menarik ialah mereka yang sudah berkahwin akan diberkati Allah SWT dan diberikan kekayaan melalui limpah kurnia-Nya.
Allah SWT berfirman: “Dan kahwinkanlah
orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan
orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika
mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah
kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya),
lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Nur, ayat 32).
Di samping itu, pasangan yang sudah berkahwin bermakna mereka menyempurnakan separuh daripada agamanya kerana memiliki tanggungjawab keluarga, bukan sekadar tanggungjawab dirinya sendiri seperti sebelumnya.
Rumah tangga dalam konteks ini adalah
satu komuniti terkecil dalam sebuah masyarakat yang memiliki fungsi
penting bagi kehidupan bersama. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang
bernikah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh imannya.
Oleh kerana itu, dia hendaklah bertakwa kepada Allah dalam separuh yang
berbaki itu.” (Hadis riwayat Tabrani)
Sehubungan itu, Imam al-Ghazali pernah
berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara
latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak
keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya,
memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk
mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah
kerja dan tanggungjawab besar.”
Namun, mengapa kadangkala perkahwinan
yang terjalin hanya mampu bertahan seumur jagung? Mengapa pula
kebahagiaan perkahwinan hanya sebatas pada resepsi perkahwinan secara
besar-besaran? Mengapa pula perbalahan dan pertengkaran kerap mewarnai
kehidupan rumah tangga?
Dalam hal ini, Rasulullah SAW
menjelaskan kepada kita empat kriteria yang menjadi sebab dan
kecenderungan terciptanya ikatan pernikahan serta memberi panduan kepada
umatnya supaya mengutamakan satu daripada empat kriteria itu.
Rasulullah SAW bersabda: Perempuan
dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan
agamanya. Maka pilihlah yang memiliki pengetahuan agama yang baik, yang
akan memberi keuntungan kepadamu. (Hadis riwayat Muslim)”
Selanjutnya, campur tangan pihak lain,
terutama pihak mentua adalah antara punca keretakan rumah tangga. Oleh
itu, biarkanlah suami isteri yang melakukan penyesuaian dan
penyelesaiannya serta mengatasi masalah dengan caranya sendiri,
mengharungi suka dan duka, pahit dan manis nescaya mereka akan menemui
penyelesaian baru dalam memecahkan permasalahan yang ada.
Setiap pasangan hendaklah berusaha untuk
saling mencintai dan menyayangi, menghormati dan bertolak ansur,
menjaga perasaan dan memuji, serta sifat mulia lainnya dalam usaha
mengekalkan kelangsungan bahtera melayari ombak kehidupan yang membadai.
Demikianlah, matlamat perkahwinan yang
seharusnya berfungsi melahirkan kebahagiaan demi kebahagiaan, bukannya
kesedihan demi kesedihan kerana ia bererti berjalan di atas fitrah
kemanusiaan dan menjunjung perintah Allah.